Minyak Pelincir FKR Dipercayai Terbaik
Fung Keong Rubber Manufactory (M) Sdn Bhd diasaskan pada tahun 1939. Dengan membawa jenama FKR yang sinonim dengan pengeluaran tiub basikal dan motosikal telah berkembang mengikut iklim pembangunan, perniagaan, kepesatan industri permotoran negara seiring menjana ekonomi tempatan dan menerpa nama dalam pengeksportan produk miliknya ke pasaran antarabangsa.
Jenama tempatan ini pernah menjadi antara penaja utama ekspedisi-ekspedisi anjuran RodaRoda malah diperakui terkenal di kalangan mat-mat motor alam era 80an – 90an lalu.
Di era millenium ini, FKR maju setapak lagi dalam penghasilan produk kegunaan motosikal. Kepelbagaian produk menjadikan ia pesaing dalam industri permotoran tempatan.
Produk minyak pelincir keluaran FKR. Mungkin agak janggal mendengarnya walhal ia sudah berada di pasaran sejak April 2019 yang lalu dan mulai mendapat sambutan dengan kehadirannya dalam pasaran.
Mengujiguna produk minyak pelincir ini bukanlah sesuatu yang mudah. Bahkan ianya sesuatu yang perlu dirasai dan dijiwai secara holistik. Jika dibandingkan antara minyak pelincir mineral, semi sintetik dan sintetik penuh dengan mata kasar, secara amnya tidak dapat dibezakan. Hanya dengan kajian makmal dapat memberikan keputusan tepat dan diterima pakai.
Walaubagaimana pun, ada beberapa aspek yang boleh diberi nilai kepercayaan dalam penggunaan sesuatu produk minyak pelincir.
Kami diberi peluang menguji minyak FKR 4T-15W50 Semi-sintetik pada sebuah motor Yamaha Y15ZR. Disebabkan motor ini memang menggunakan semi-sintetik sebelum ini maka kami tidak perlulah melakukan ‘flush engine oil’. Cuma tukar penapis minyak yang baru dan terus guna minyak ini.
Dengan penakrifan API-SL dan JASO MA2 tanpa keraguan penggunaannya sesuai bagi motosikal moden. Ini adalah laporan makmal dan pengiktirafannya adalah tepat dan diterima pakai antarabangsa.
FKR 4T-15W50 Semi sintetik berupaya melancarkan pergerakan komponen dalaman enjin di samping menjaga jangka hayat enjin menjadi tahan lama. Pada awal penggunaan minyak pelincir ini, enjin memang mudah dihidupkan. Ya betul semua minyak baru bertindak sama. Jadi tak salah lah kan.
Ujian pemanduan dilakukan pada 2 peringkat. Peringkat pertama semasa enjin sejuk. Sebaik sahaja enjin dihidupkan kami lakukan pecutan di lebuhraya. Tujuannya adalah menyamai pergerakan umum penunggang motosikal di negara kita. Dah lambat, start terus jalan. Tak sempat warm up katakan. Tiada sebarang masalah untuk mendapatkan kelajuan yang diperlukan. Anda pasti senang mendapatkannya.
Peringkat kedua; Ketahanan (endurance). Kita ambil kira perjalanan sesebuah motosikal kali ini dari segi jarak, dan kekerapan seperti penunggang Food Panda, Grabfood, posmen dan lain-lain.
Mereka bergerak selama 4 ke 8 jam perjalanan sehari sama ada jauh mahupun perjalanan singkat. Bergerak dalam kehangatan dan kesesakan lalulintas bandaraya Kuala Lumpur, Ipoh, Johor Bahru atau di mana pun mereka berada.
Disebabkan kelikatannya yang tinggi berbanding 10W40, 15W50 semi sintetik ini adalah terbaik di dalam mengawal suhu enjin secara semulajadi. Mengapa saya katakan begitu adalah kerana kita boleh membuat kajian sendiri tempoh masa bila kipas radiator anda akan mula berpusing. Anda akan faham maksud saya.
Secara amnya, ianya membantu menjaga enjin walaupun dalam masa ketegangan aktiviti pemanduan dan apa jua keadaan. Jenama serta pengiktarafan API dan JASO dari segi klinikal meyakinkan bahawa minyak pelincir ini adalah terbaik di antara jenama-jenama lain dalam pasaran. RR
Popular