Isu Terkini

Julai 2024

Warta Produk / 10 Jun 2016

METZELER ROADTEC 01 : Tayar Pengembaraan Sporty

Keupayaan dan kemantapan prestasi tayar-tayar keluaran Metzeler tidak perlu dipertikaikan lagi dan pastinya ia tidak datang sekelip mata. Jenama dari Munich ini diasaskan oleh R.F. Metzeler pada tahun 1863 dengan menumpukan seluruh perhatiannya dalam perusahaan berkaitan dengan getah dan barangan plastik. Kira-kira lapan tahun selepas itu, kilang pertama Metzeler telah dibina di Schwanthalerstrasse, Munich.

Dengan kesungguhan para juruteranya, Metzeler akhirnya berjaya menghasilkan tayar pertama mereka pada tahun 1892. Produk ini ternyata mendapat permintaan yang tinggi dan pada tahun 1933, syarikat Jerman ini telah berjaya menggunakan tayar getah sintetik terbaru yang dinamakan BUNA. Tahun 1978 membuktikan kemampuan Metzeler untuk menghasilkan tayar tanpa tiub dan selepas mendapat penerimaan yang positif, akhirnya Metzeler memberi tumpuan sepenuhnya dalam pembikinan tayar-tayar untuk kegunaan motosikal yang berpusat di Breuberg.

Dari saat itu, bermulalah era kecemerlangan tayar ini dengan pengenalan kepada pelbagai jenis model hebat seperti ME-1 ComK, ME-Z1, ME Z4, Sportec M7RR dan model Z8 pada tahun 2015. Z8 juga telah memenangi kesemua cabaran perbandingan dan dinobatkan sebagai tayar terbaik untuk segmen motosikal pengembaraan atau sport touring.

Demi memberikan produk-produk terbaik buat para pencinta, para jurutera Metzeler telah berjaya menghasilkan sebuah tayar terbaru yang cukup sempurna untuk semua jenis tunggangan tidak kira dalam cuaca apa sekali pun. Ucapkan selamat datang kepada Metzeler Roadtec01. Pelancaran produk terbaru ini telah diadakan di kawasan Pergunungan Fuji, Jepun pada 10 Mei lalu. Terima kasih buat Metzeler dan SEA Asia Auto Parts atas kesudian menjemput RR untuk bersama-sama menguji dan melihat akan kehebatan tayar terbaru ini.

Seperti yang sedia maklum, segmen jentera pengembaraan telah berkembang dengan pesatnya tidak kira di Asia atau di Eropah. Di Malaysia contohnya, penganjuran konvoi ke negara luar seperti Thailand, Laos, Vietnam, Myanmar, Singapura dan China sudah menjadi perkara biasa di kalangan pencinta motosikal. Saban hari kita boleh melihat pelbagai jenama motosikal menghala ke arah utama untuk tujuan tersebut dan pastinya kumpulan-kumpulan pengguna motosikal ini menginginkan sebuah produk tayar yang berbaloi untuk dimiliki. Tayar-tayar yang menjadi pilihan harus mencengkam dengan baik, tahan lasak, mampu membawa bebanan, dapat mengharungi pelbagai cuaca dan permukaan jalan yang berbeza.

Di sinilah kelebihan tayar terbaru dari Metzeler ini. Roadtec01 adalah tayar radial dikhususkan buat jentera pengembaraan yang seringkali berdepan dengan pelbagai jenis jalan dan cuaca yang sukar. Tayar ini merupakan evolusi kepada model terkenal Z8 yang dibangunkan dengan menggunakan kepakaran dan teknologi yang lebih tinggi.

Selain daripada memberi cengkaman yang cemerlang, Metzeler Roadtec01 juga menjanjikan jangka hayat yang lebih lama tanpa mengurangkan kadar kestabilannya. Berbanding Z8, model ini menawarkan jarak perjalanan 10% lebih jauh disamping cengkaman mengagumkan di permukaan yang basah dan licin. Roadtec01 adalah gabungan tayar pengembaraan dan tayar sport yang bakal mengubah dunia motosikal pengembaraan di seluruh dunia.

Metzeler meletakkan sasaran kepada tiga jenis penunggang utama iaitu Urban Fighter, Sport Tourer dan Master Traveller. Penunggang yang berada di dalam kumpulan Urban Fighter terdiri daripada mereka yang menggunakan jentera berkapasiti sederhana atau tinggi di dalam bandar dengan jarak perjalanan tidak begitu jauh. Kumpulan ini inginkan sebuah produk yang ideal, selamat dan berdaya tahan untuk jalan-jalan yang licin, berlopak dan berlubang.

Sport Tourer pula adalah mereka yang menggunakan mesin masing-masing pada hujung-hujung minggu dan musim cuti untuk mencari ketenangan serta keseronokan menunggang. Mereka akan bermotor ke beberapa destinasi pilihan yang berjarak sederhana dan kadang kalanya agak jauh. Penunggang dalam kumpulan ini memerlukan sepasang tayar yang mencengkam dengan baik, membantu jadikan pengendalian lebih mudah dan jangka hayat yang tinggi.

Master Traveler. Kumpulan ini terdiri daripada pengembara motosikal hardcore yang seringkali mengembara ribuan kilometer. Tiada destinasi yang jauh buat golongan ini…. semuanya akan dikunjungi. Mereka tidak takutkan sebarang cuaca, tidak risaukan keadaan jalan dan pastinya pengembaraan bersama tayar-tayar yang berkualiti tinggi seperti Roadtec01 ini lebih bermakna dan selamat.

Untuk menepati kehendak para penunggang ini, Metzeler Roadtec01 telah dipermantapkan dengan rekaan dan teknologi terbaru ciptaan kompaun dan rekabentuk bunga tayar. Bunga tayar hadapan Roadtec01 baru ini dicipta melawan arus putaran tayar bertujuan untuk mempertingkatkan cengkaman ketika proses membrek. Rekaan ini juga lebih mantap apabila digabungkan dengan jentera bersistem ABS.

Untuk mengekalkan sesebuah mesin itu terus tepat di laluannya, jalur tayar hadapan ini dipanjangkan hingga ke bahagian tepi. Dengan ini, Roadtec01 mampu mengalirkan air dengan cepat dan lebih baik. Bunga tayar belakang juga cukup istimewa. Bahagian tengah tayar ini jenis slick ribbon yang mempertingkatkan kestabilan ketika menunggang dalam kelajuan tinggi dan meningkatkan jangka hayat tayar ini. Rekaan bunga dari Drop & Sabers pula meningkatkan gaya geseran dan memperbaiki tahap kawalan motosikal dalam keadaan kritikal. Rekabentuk bunga baru ini juga mempercepatkan kompaunnya dipanaskan.

Demi membuktikan keupayaan dan prestasi sebenar tayar baru ini, pihak Metzeler telah menjemput para wartawan daripada negara-negara Asia Pasifik seperti Taiwan, Singapura, Thailand, Korea, Australia, Indonesia, New Zealand dan Malaysia.

Sesi ujian dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu Ujian Jalan Raya, Ujian Brek & Kawalan dan Ujian Litar. Kami diberi pilihan untuk menunggang pelbagai jenis motosikal seperti Kawasaki ER6n, KTM 690 Duke, KTM Superduke 1290, Yamaha MT-09, Yamaha Tracer, Ducati Multistrada, Honda CB1300 dan Honda VFR1200.

Ujian Jalan Raya memerlukan kami mendaki Myojing Pass yang berketinggian sekitar 1,000 meter dengan jarak sejauh 40 kilometer. Selepas menerima penjelasan keadaan jalan oleh dua pelatih berpengalaman iaitu En. Jun Yamada dan En. Matsui Tsutomu, kami memulakan perjalanan. Kabus yang cukup tebal dan suhu yang rendah (12-13 darjah) bukan sahaja menghadkan jarak penglihatan (sekitar lima meter) tetapi juga mengganggu sedikit tumpuan. Untuk tujuan keselamatan menunggang di kawasan yang tidak biasa, wakil RR memilih untuk menguji Roadtec01 dengan menggunakan Kawasaki ER6-n.

Kabus bercampur hujan gerimis menjadikan permukaan jalan basah dan licin. Walaupun belum pernah melalui keadaan jalan seperti ini, Roadtec01 berjaya membuktikan keupayaannya buat kami untuk terus yakin berada di setiap selekoh dengan selamat. Air yang terkumpul di sesetengah tempat dapat dilalui dengan mudah dan apabila pendikit diperah, kita dapat rasakan tayar belakang berputar dengan kemas sekali.

“Tayar ini memang cukup bagus. Ia mencengkam dengan baik walaupun di permukaan jalan yang bersuhu rendah. Saya cukup yakin dan teruja dengan prestasinya,” komen En. Andika dari Indonesia.

Sememangnya mengembara dengan tayar-tayar berprestasi tinggi seperti Roadtec01 ini menenangkan jiwa. Kita tidak perlu bimbang keadaan jalan sebaliknya terus menikmati keindahan dan kesegaran bersantai di kawasan pergunungan yang serba indah.

Cuaca semakin baik menjelang ke tengahari dan kami diminta untuk kembali ke Litar Fuji Speedway untuk menjalani ujian membrek dan kawalan. Setiap penunggang perlu memecut di dua lurusan yang disediakan dengan dua kelajuan berbeza iaitu 60km/j dan 70km/j. Permukaan jalan dibasahkan sebelum kami diarah untuk memecut dan membrek dengan keras apabila tiba di satu garisan. Hasil keputusan ujian ini lebih daripada jangkaan.

Motosikal terus stabil, tayar hadapan dan belakang kemas menggigit permukaan jalan dengan baik bagaikan menunggang di jalan kering. Ini disebabkan bunganya yang mempunyai jalur laluan lebih panjang telah membenarkan air dialirkan dengan lebih efisyen. Dengan cara ini, kadar sentuhan permukaan tayar dan jalan dapat dikekalkan dengan lebih banyak.

Dari litar lurus, kami menguji pula kecekapan Roadtec01 berada di laluan berselekoh yang juga telah dibasahkan. Terdapat laluan berselekoh tajam, selekoh kecil dan laluan berkon (slalom) yang semuanya tidak menjejaskan langsung keupayaan tayar-tayar Metzeler untuk berada di laluannya dengan tepat.

“Jika kita mahukan cengkaman yang cukup kuat, permukaan tengah tayar selalunya tidak dilengkapkan dengan jalur tetapi tayar sebegini cukup berbahaya apabila berhadapan dengan permukaan basah. Inilah kelebihan Roadtec01 yang direka dengan rekabentuk bunga jenis Drops & Saber yang bukan sahaja mengalirkan air keluar daripada tayar dengan cekap tetapi juga mengekalkan cengkaman seperti biasa,” kata Pengurus Produk Global Metzeler, En. Silvio Frare.

Sesi kemuncak tentulah ujian di litar. Kami dibenarkan untuk berada di dalam litar dari jam 3.00 hingga 4.30 petang. Peluang ini digunakan sebaik-baiknya untuk menguji Metzeler Roadtec ke tahap tertinggi. Untuk kecekapan lebih tinggi terutamanya ketika membrek, tayar hadapan Roadtec01 menggunakan 100% bahan silika manakala tayar belakang mempunyai sedikit perbezaan iaitu dengan penggunaan 100% di bahagian sisi tayar dan 80% silika di bahagian tengah tayar.

Permukaan litar yang sejuk tidak dihiraukan kerana cengkaman yang dirasa cukup cemerlang. Dalam kelajuan melebihi 120km/j di laluan lurus, kita mampu membrek dengan keras sebelum membuat belokan ke kiri untuk masuk ke selekoh pertama yang cukup tajam menggunakan gear kedua. Selepas membuat sedikit belokan ke kanan, jentera perlu dibaringkan semula ke kiri untuk mendaki selekoh ‘U’ yang cukup mencabar.

Walaupun ia baru pertama kali berada di litar ini, kami langsung tidak berasa risau dan kekok untuk meratah setiap selekoh dengan sempurna. Karaktor dan kebolehannya benar-benar memberi kejutan… hampir menyamai ketangkasan tayar sport. Dari KTM 690 Duke, kami melompat pula ke atas Honda CB1300. Di laluan lurus jentera ini tidak bermasalah tetapi apabila dimiringkan terlalu dalam, tempat pemijaknya sering bergeser dengan permukaan jalan menyebabkan tunggangan tidak begitu selesa.

Walaupun CB1300 bukanlah sebuah mesin untuk penggunaan litar tetapi ternyata Roadtec01 mampu mengubah karaktor jentera Honda ini menjadi lebih agresif dan lebih tangkas. Itulah yang dijanjikan oleh Metzeler dan sememangnya dunia motosikal pengembaraan pastinya akan melalui satu evolusi baru dengan lahirnya tayar sehebat Roadtec01 ini.

“Melihat akan bunga tayarnya, kita tidak percaya prestasi Roadtec01 sehebat ini kerana ia adalah sesuatu yang mustahil untuk dilakukan suatu ketika dulu. Ini menunjukkan kepesatan teknologi yang sedang dicapai oleh pengeluar tayar sekarang ini. Ya… mantap sekali!” Komen En. Chris Dobie daripada MCN Australia.

Menurut Pengurus jualan SEA Auto Parts Sdn Bhd, En. Wong Kah Chun, Roadtec01 pastinya akan dapat dinikmati oleh para pencinta motosikal di Malaysia dan akan berada di pasaran tidak lama lagi. Sama-sama kita nantikan. RR

Isu Pada

Jun 2016

Popular

  • Model Baru

    Rieju Xplora 557 dan 707, Model 'Crossover' Baru dari Sepanyol.

  • Dari Litar

    WorldSBK: Yamaha Pertingkatkan Prestasi Jentera, Jonathan Rea Dapat Ketua Krew Baru!

  • Warta Roda

    Lelaki Lemas, Motosikal Dihanyut Banjir

  • Model Baru

    Suzuki Malaysia Perkenalkan GSX-8R Baru. Harga asas RM53,800

  • Model Baru

    BENDA NAPOLEON BOB 500 - Sudah Berada di Pasaran, Harga Bermula RM27,888

Artikel berkaitan

Cardo Packtalk Pro Kini di Pasaran Negara

GIVI ASIA Lancarkan Kotak Simpanan Baru “THE MATTERHORN"

Arai Europe Persembahkan Topi Keledar Edisi Terhad, RX-7V EVO IOM TT 2024

Kilang baru di Thailand, Brembo Mahu Tingkat Jualan Di Asia Tenggara

'Product Recall' Untuk Suzuki GIXXER 250, GIXXER 250SF & V-Strom 250SX. Jentera pengeluaran Malaysia Tak Terlibat...

Akan Datang: Topi Keledar GoPro

Gracshaw Tampilkan Barisan Topi Keledar Edisi DC Superheroes

CFMOTO Jelaskan Penghasilan Motosikal Yamaha untuk Pasaran China Sahaja

Disyorkan untuk anda
Model Baru

BENDA NAPOLEON BOB 500 - Sudah Berada di Pasaran, Harga Bermula RM27,888

Benda Napoleon Bob 500 akhirnya sudah boleh didapati di pasaran menerusi pengedar-pengedar sah Mforce seluruh negara.

Model Baru

EICMA 2024: Aprilia Tuono 457 - Jentera Jalanan Ada Aura

Aprilia kini memperkenalkan pula model jalanan paling baru iaitu Tuono 457.

Model Baru

HLYM Perkenalkan Yamaha Y16ZR 6MRO Edisi Terhad – RM13,668

Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) turut meraikan pencapaian bersejarah itu dengan menampilkan model edisi terhad iaitu Yamaha Y16ZR 6MRO.

Model Baru

Kawasaki ZX-6R 2025 Sudah Boleh Ditempah Bermula 1 Disember Ini. Harga asas RM59,900

MODENAS telah melancarkan kempen pra-tempahan untuk model ZX-6R terbaru bermula pada 1 Disember 2024 di semua bilik pameran Kawasaki All-Star.