Skuter Scomadi : Cantik & Comel
Scomadi Ltd merupakan sebuah syarikat dari Britain yang diasaskan oleh dua orang pencinta motosikal iaitu En. Frank Sanderson dari Scooter Innovation dan En. Paul Melici dari PM Tuning Ltd. Berbekalkan pengalaman mereka ketika berkhidmat untuk syarikat skuter Lambretta, Scomadi kini ternyata semakin mendapat perhatian para penunggang motosikal dengan rekabentuknya yang klasik dengan enjin baru yang berinovasi tinggi.
Tahniah buat Motor Legend Enterprise Sdn Bhd atas kerjasama yang dilakukan bersama Scomadi Ltd dalam usaha memperkenalkan jenama ini ke pasaran negara. Jentera Scomadi ini juga dipasang sepenuhnya oleh Mofaz Motosikal Sdn Bhd yang berpengkalan di Johor Bahru. “Ternyata jenama ini semakin mendapat permintaan yang tinggi terutamanya di negara-negara Asia Tenggara seperti Thailand dan Malaysia. Sejak berada di pasaran pada tahun lalu, sebanyak 1,000 Scomadi Turismo Leggera 125 telah berjaya dijual,” kata En. Frank Sanderson.
Untuk terus kukuh dalam pasaran negara, Scomadi Malaysia telah merasmikan kedai konsep pertama mereka yang terletak di No.2 Jalan Sri Rejang 4, Pusat Industri Sri Rampai, Taman Sri Rampai, 53300 Kuala Lumpur pada 16 April lalu. Majlis bersejarah ini telah disempurnakan oleh Pengarah Urusan Scomadi Ltd, En. Paul Melici, Pengarah Scomadi Ltd, Frank Sanderson, CEO Scomadi Malaysia, En. Ronnie Chen ditemani oleh Timbalan Presiden Mofaz Motosikal SB, Dato’ Nik Izani Nik Ibrahim dan Pengarah Kedai Konsep Scomadi Kuala Lumpur, En. Alex Chen.
“Sememangnya saya sentiasa meletakkan diri saya sebagai penunggang motosikal agar dapat memahami dan mengetahui apa yang mereka inginkan. Scomadi adalah sebuah motosikal yang berinspirasikan gaya hidup unik dan santai, dengan adanya kedai konsep seperti ini, para pelanggan akan mempunyai lokasi untuk bertemu di sebuah lokasi yang lengkap dengan ruang dalaman yang unik dan cantik seperti di Scomadi Kuala Lumpur ini,” kata En. Ronnie.
Scomadi Turismo Leggera didatangkan dengan enjin 125cc yang menawarkan kuasa setinggi 9.39hp pada 6,500rpm dan tork 8.90Nm pada 7,200rpm. Kelincahan jentera ini datangnya daripada kerangka jenis tiub yang ringan dan bertegaran tinggi. Untuk menjamin keselamatan pemiliknya, skuter Scomadi telah dilengkapkan dengan sistem brek cakera 220mm jenis hidraulik di depan dan belakang. TL125 dijual pada harga tunai atas jalan RM9,800 dengan beberapa pilihan warna seperti merah, biru muda, hitam dan hijau manakala untuk model TL125 SE pula berharga RM10,500 berwarna Matt Grey. Menurut pihak Scomadi, model terbaru iaitu TL200 akan diperkenalkan pada tahun ini juga.
Turut diraikan di majlis yang sama ialah kejayaan seorang penunggang dari Kota Bharu, En. Alimin Aziz berumur 34 tahun, atau lebih popular dengan nama Alimin Van Alaros yang telah membuat pengembaraan solo dari Kelantan ke Singapura – Perlis dan Thailand pada bulan Februari lalu dengan menunggang Scomadi LT 125nya. RR
Popular