Franco Morbidelli Raih Kemenangan Sulung!
“Sukar untuk menggambarkan perasaan saya ketika ini tetapi yang pastinya saya amat gembira. Saya terbayangkan saat kemenangan yang pernah dicapai beberapa tahun lalu dalam saingan yang berbeza. Perasaan itu hampir sama tetapi jauh lebih hebat dan tinggi. Saya amat berterima kasih kepada seluruh pasukan yang telah bekerja keras untuk menyediakan jentera saya sepanjang minggu ini,” komen juara pusingan tujuh Franco Morbidelli dari pasukan Petronas Yamaha SRT.
Dalam saingan akhir, Franco yang berada di belakang Maverick Vinales (petak pertama) mengambil peluang dengan sebaiknya untuk memecut ke hadapan apabila mendapati Vinales tidak bermula dengan sempurna. Franco yang diekori rapat oleh mentornya, Valentino Rossi memimpin perlumbaan dengan tenang. Segala tekanan serta serangan dari ‘The Doctor’ dapat ditangkis dan sedikit demi sedikit, dia mula mampu menjarakkan diri.
Fabio Quartararo yang agak ketinggalan di belakang perlu segera mengejar Franco dan Rossi. Dia cuba menyerang Vinales dari dalam, tetapi tindakan itu menyebabkan jenteranya gagal dikawal. Fabio terbabas! Walaupun dia menyambung semula cabarannya, pelumba dari Perancis ini sekali lagi terbabas tidak lama kemudian dan menyebabkan kedudukannya sebagai pendahulu keseluruhan telah dirampas oleh Andrea Dovizioso yang tamatkan persaingan di tempat ketujuh.
Rossi yang berada di tempat kedua diserang oleh beberapa orang pelumba seperti Jack Miller, Alex Rins, Francesco Bagnaia dan Joan Mir. Walaupun masih belum pulih sepenuhnya (retak di kaki), Bagnaia membuat kejutan dengan melakukan rekod lap terpantas untuk beberapa kali. Kekuatan jentera milik Bagnia terutama di laluan lurus menyebabkan Rossi akhirnya tertewas. Kedudukan Rossi sekali lagi diancam Rins tetapi harus diakui, bukan mudah untuk menewaskan pelumba lagenda ini. Mir yang berjaya mengatasi Vinales yang menghadapi kesukaran sejak di awal saingan. Setelah itu, pelumba Suzuki ini mempunyai rentak cukup baik untuk mengejar dua pelumba di depannya.
Akibat tekanan yang diberikan, Rins melakukan kesilapan pada lap terakhir dan ini memberi peluang untuk Mir memintas. Impian Rossi untuk mencipta rekod 200 kali podium di tempat sendiri lenyap apabila Mir mengemudi jenteranya dengan cemerlang untuk memintas Rossi di saat-saat akhir untuk menerima kibaran bendera penamat di tempat ketiga.
Perlumbaan kali ini juga telah mendapat kelulusan daripada Presiden Wilayah Emilia-Romagna, Stefano Bonaccini untuk membenarkan kemasukan penonton sehingga 10,000 orang untuk tiga hari penganjuran dengan kewajiban mengikuti setiap protokol yang disediakan. Pihak penganjur turut diwajibkan untuk menyimpan data para penonton untuk tempoh 14 hari sebagai langkah keselamatan jika penularan virus berlaku.
Walaupun sekadar di tempat ketujuh, ia sudah memadai buat Dovizioso untuk berada di tangga teratas keseluruhan dengan 76 mata, enam mata di hadapan Fabio Quartararo. Jack Miller terus bersemangat di tangga ketiga (64 mata) manakala pelumba muda pasukan Suzuki Ecstar, Joan Mir di tangga keempat dengan 60 mata. RR
Popular