Franco Morbidelli & Fabio Quartararo Dua Jagoan Pasukan PETRONAS Yamaha SRT
Sememangnya persaingan MotoGP tahun ini telah melakarkan sejarah baru buat sukan permotoran negara dengan pembabitan pasukan PETRONAS Yamaha Sepang Racing Team (SRT) dalam ketiga-tiga kategori yang dipertandingkan iaitu MotoGP, Moto2 dan Moto3. Lebih membanggakan apabila ia adalah pasukan pertama di Asia Tenggara yang memiliki barisan jaguh-jaguh yang bersedia menjulang nama dalam semua kategori.
Untuk kali ini, jom kita berkenalan dengan dua orang pelumba muda pasukan PETRONAS Yamaha SRT yang bersaing dalam kelas prima iaitu Franco Morbidelli dan Fabio Quartararo.
Franco Morbidelli merupakan seorang pencinta motosikal sejak kecil lagi. Ayahnya Livio Morbidelli juga merupakan seorang pelumba yang pernah mencipta nama di Itali dalam kelas 80cc dan 125cc. Walaupun menyedari anaknya mempunyai bakat besar dalam dunia motosikal, sumber kewangan yang tidak kukuh ketika itu menyebabkan Livio terpaksa menyimpan impian untuk melihat anaknya berjaya.
Pada masa yang sama, Livio bertemu dengan rakannya, Graziano Rossi (ayah kepada Valentino Rossi) yang mencadangkan agar dia berpindah ke Tavullia. Tavullia mempunyai litar bernama La Cava yang menjadi tempat Valentino Rossi, mendiang Marco Simoncelli dan Andrea Dovizioso berlatih dan berlumba di litar tersebut. Selepas berpindah ke Tavullia dan mula mempamerkan bakatnya, nama Franco Morbidelli mula dikenali dalam perlumbaan kecil.
“Pada tahun 2013, saya dipilih untuk menyertai VR46 Academy yang baru sahaja dibangunkan oleh guru dan mentor saya, Valentino Rossi ketika itu. Saya juga antara pelumba pertama yang dapat menjalani latihan bersama Rossi. Ia merupakan impian bagi setiap pelumba untuk mendapat tunjuk ajar daripada pelumba lagenda itu,” komen Franco.
Kematangannya dalam tunggangan membolehkan dia melangkah lebih pantas dengan menyertai siri Kejuaraan Cuna de Campeones dan selepas itu berhijrah pula ke Kejuaraan European Superstock 600 yang memberikan gelaran juara buat Franco pada tahun 2013. Kemenangan itu telah membuka pintu rezeki buat Franco untuk menerima pelawaan sebagai pelumba wildcard dalam saingan Moto2 Fabio Quartararo 2013 di tiga pusingan iaitu San Marino, Jepun dan Valencia.
Tahun berikutnya dia telah mendapat tempat sebagai pelumba tetap dalam kelas Moto2 dan mula memberikan pencapaian yang membanggakan di setiap pusingan. Kejayaannya meraih tempat keempat keseluruhan Moto2 pada tahun 2016 ternyata membakar semangatnya untuk terus maju. Tahun berikutnya, Franco mencipta lapan kali kemenangan dan 12 kali posisi podium untuk dinobatkan Juara Dunia Moto2 yang dinikmatinya di Litar Antarabangsa Sepang.
Berikutan kejayaannya itu, Franco Morbidelli mendapat peluang keemasan pada tahun lepas untuk menyertai pasukan satelit dalam kelas MotoGP. Ia adalah musim yang cukup positif buat pelumba berusia 25 tahun itu tetapi segalanya tidak datang dengan mudah. Memandang dia kini mengendalikan jentera yang lebih canggih dan berprestasi tinggi, Franco tidak pernah berhenti untuk memahirkan diri.
Dia akan menunggang jentera superbike bersesaran 1,000cc untuk dapatkan keserasian walaupun jujurnya jentera MotoGP adalah suatu mesin yang jauh berbeza. Dengan semangat yang membara untuk terus cemerlang dalam dunia yang dicintainya, Franco berjaya menguasai jentera tunggangan dengan cepat untuk meraih tempat yang semakin baik. Selepas bertarung sengit dengan seorang lagi pelumba rookie dari Malaysia, Hafizh Syahrin, Franco telah mencipta sejarah baru buat dirinya dengan gelaran 2018 Rookie of the Year.
Kini, Franco bergabung dengan pasukan PETRONAS Yamaha SRT yang sememangnya memiliki kemampuan untuk 'berlari' lebih kencang. Dia terus meletakkan sasaran untuk berada dalam peringkat elit seperti mana yang dicapai oleh mentornya, Valentino Rossi. Kehadiran pelumba muda ini mendapat riaksi yang cukup positif daripada Rossi yang menyifatkan Franco sebagai seorang pelumba yang cukup hebat. Rossi beberapa kali bergurau bahawa dia gembira tetapi pada masa yang sama takut kerana Franco sememangnya seorang pencabar yang tidak pernah patah semangat. Selepas tujuh pusingan berlalu, Franco berada di tangga ke-12 dengan 34 mata.
Fabio Quartararo berumur 20 tahun, merupakan seorang pelumba motosikal yang cukup berbakat. Dilahirkan di Nice, Perancis dan mula menunggang motosikal pada usia empat tahun. Dari Perancis, dia telah berpindah ke Sepanyol agar mendapat lebih banyak peluang untuk memajukan diri. Antara kejuaraan yang disertainya ialah Promovelocidad Cup yang dianjurkan khas oleh Real Automovil Club de Catalunya (RACC). Pada tahun 2008, Franco berjaya menjuarai kategori 80cc dan mengulangi kejayaannya pada tahun berikut dalam kategori 70cc.
Oleh kerana memiliki gaya tunggangan yang mantap, dia tidak perlu menunggu lama sebelum meraih banyak kemenangan di perlumbaan kategori jentera kecil di serantau Catalunya.
Selepas berhempas pulas dari tahun 2008 hingga 2011, Fabio akhirnya berjaya merangkul kejuaraan PreMoto3 Nasional pada tahun 2012.Di usia 14 tahun (2013), Fabio melangkah masuk ke siri FIM CEV dengan semangat yang membara. Dia ketika itu bersama pasukan Wild Wolf Racing yang dijalankan oleh bekas pelumba GP, Juan Borja. Walaupun berdepan dengan pelbagai ujian di peringkat awal, Fabio akhirnya berjaya meraih kemenangan pada tiga pusingan terakhir untuk mencipta sejarah sebagai juara termuda. Pelumba Perancis ini mempertahankan takhtanya pada tahun 2014 dengan kejayaan podium di setiap perlumbaan. Franco mencipta sembilan kemenangan dari sebelas perlumbaan. Cukup hebat!
Pada tahun 2015, dia melayakkan dirinya dalam saingan Moto3 dan berjaya meraih dua pole position dalam lima pusingan. Fabio menamatkan musim pertamanya dalam Moto3 di tangga ke-10 pada tahun 2015 manakala pencapaiannya sedikit menurun pada tahun 2016 dengan posisi keseluruhan di tangga ke-13.
Pada tahun 2017, Fabio diberi kepercayaan untuk bersaing dalam kelas Moto2 dan ia adalah satu tugas yang agak berat buatnya. Walaupun dicabar dengan pelbagai ujian, Fabio tidak pernah patah semangat dan terpaksa menunggu sehingga tahun 2018 untuk membuktikan kemampuan sebenarnya. Fabio telah berjaya meraih kemenangan sulungnya dalam Moto2 pada perlumbaan pusingan ketujuh yang berlangsung di Catalunya. Tahun tersebut dia telah menempatkan namanya sebagai 10 pelumba terbaik Moto2.
Untuk musim ini, Fabio melangkah di kelas prima dan ia adalah kemuncak kariernya. Tidak disangka-sangka, gaya tunggangannya amat sesuai dengan jentera Yamaha M1 yang telah membawa pasukan PETRONAS Yamaha SRT ke tangga podium pada perlumbaan pusingan ketujuh di Catalunya Jun lalu. Pastinya kita tidak sabar-sabar melihat pasukan PETRONAS Yamaha SRT melintasi garisan penamat di antara tiga pelumba paling hadapan.
Selamat maju jaya untuk Franco Morbidelli, Fabio Quartararo dan seluruh pasukannya. RR
Popular