Mesin Paling Pantas Di Utah Salt Flats
Salt Fever merupakan satu 'penyakit' yang hanya mempunyai sejenis ubat sahaja di dalam dunia ini iaitu dengan melawat ke suatu tempat istimewa iaitu Utah Salt Flats yang menjadi pilihan pereka motosikal laju dan mereka yang ingin memecahkan rekod. Antara pencinta motosikal yang akan ke sini setiap tahun ialah Mark Bjorklund yang datang dari Bellingham, Washington. Dia memiliki sebuah jentera yang akan dibawanya ke Bonneville dan menegaskan bahawa setiap pencinta kelajuan akan cuba membuat rekod sendiri, dan kembali pada tahun berikutnya untuk cuba memecahkan rekodnya itu dan orang lain di tempat yang sama.
Bellingham terletak di tepi Lautan Pasifik dan cukup berdekatan dengan sempadan Kanada. Dalam dunia motosikal, Bellingham terkenal sebagai ‘kampung halaman’ buat bekas juara Dunia Formula 750 iaitu Steve Baker dan juga merupakan antara pengedar Yamaha terbesar. Pada tahun 2012, Mark Bjorklund menarik perhatian ramai dengan tajuk utama di media massa dan cetak selepas berjaya mencipta rekod kelajuan jentera 1000cc A-AG (kerangka diubahsuai, enjin jenis aspirated) dengan kelajuan sekitar 166.360bsj atau lebih kurang mencecah 267km/j bersama pasukan Super Rat Ducati S4RS. Proses ini dibuat di kedai baru yang dimiliki bersama abangnya, Carl di Bellingham.
Sebelum kejayaan itu, Ducati seringkali mendominasi dunia perlumbaan di Eropah dan jujurnya, jenama ini agak asing untuk perlumbaan di Utah Salt Flats. Agak terkejut dan mengujakan apabila kelihatan jentera berenjin desmo v-kembar ini berada di dalam sesi ujian kelayakan di Bonneville Speed Trials. Dengan kejayaan ini Mark telah membuktikan kita tidak memerlukan penaja dan duit yang banyak untuk mencipta sejarah.
Apa pun, tiada sebarang benda yang datang dengan mudah. Untuk melahirkan sebuah jentera yang mampu pecah rekod, ia memerlukan pengorbanan dari segi masa, ketulenan dan kepintaran. Mark juga memerlukan bantuan daripada abangnya Carl, seorang pembantu pembinaannya, Jason Omer dan seorang lagi kawan baik mereka iaitu Tim Clossey.
“Saya mempunyai ramai pelanggan di Super Rat yang menyebabkan saya cukup sibuk dan juga kerja utama saya di Electron Hyro. Jadi... mustahil sekali untuk memberi tumpuan untuk kembali bertanding di Bonneville. Saya bersyukur kerana kerja-kerja yang banyak ini juga membantu dalam penambahan dana untuk projek Landspeed kami,” kata Mark.
“Selepas kejayaan kami pada 2012 lalu, saya terpaksa menunggu hingga bulan Januari 2014 untuk memulakan pembinaan jentera terbaru. Cuma... kali ini kami nak bina apa pula? Untuk itu, saya perlu 'kembali' pada tahun 2006. Ketika itu saya pernah membuat kajian mengenai model Ducati Monster S4RS dan ia adalah sebuah jentera yang dihasilkan dengan cukup bijak. Saya perlu dapatkannya tapi rasa seperti pentingkan diri sendiri pula kerana sudah 20 tahun saya dan Carl kerja bersama dan melakukan segalanya bersama.”
“Saya baru sahaja mendapat projek yang cukup menguntungkan. Saya dan Carl terpaksa bekerja keras di atas perancah untuk kerja-kerja menambah sokongan besi. Saya terpaksa mengurangkan keuntungan buat kami berdua dengan membeli dua buah motosikal. Saya membeli sebuah Ducati S4RS Monster berwarna merah dan warna putih untuk Carl. Kedua-duanya terus menjadi motosikal kegemaran kami dan kami menjaganya dengan baik sekali. Kedua-duanya dikemaskan dengan barangan aftermarket dan mempunyai kuasa sehebat 128bhp – Desmo Perfection!”
“Ok... kembali pada tahun 2014. Saya akan bangun di tengah malam untuk mendapatkan gambaran yang jelas dan terperinci untuk menghasilkan sebuah jentera yang mampu memecut lebih daripada 200bsj di Bonneville. Sebagai permulaan, saya merancang untuk menggunakan hanya satu enjin tetapi selepas membuat pengiraan... saya terfikir pula bagaimana jika guna dua buah enjin?”
“Ya... proses pembuatan pun bermula. Saya tanyakan pada Carl sama ada boleh meminjamkan enjin motosikalnya untuk projek ini dan dia katakan ia adalah satu idea bijak. Saya kini sedang mencipta sebuah jentera untuk rekod 2000 A-AG, ini bererti saya tidak lagi cuba untuk mengatasi rekod 1000 A-AG, memang hebat!”
“Hakikatnya, kami telah pun menghasilkan sebuah mesin dengan menggunakan dua buah enjin Yamaha iaitu YZ80 dua lejang untuk kelas 175cc A/AG. Menerusi konsep ini, kami memikirkan bagaimana untuk membuat ruang terbaik di bahagian hadapan untuk kepala penunggang agar dia boleh melihat ke hadapan melepasi bahagian atas tayar hadapan.”
Jason Omer telah melihat beberapa buah gambar motosikal British OEC tahun 1930 yang mengguna 'Duplex Steering”, seorang lagi pencipta rekod iaitu Joe Wright yang juga melengkapkan jenteranya dengan alat ini. Apa yang menarik mengenai sistem ini ialah ia memberi kestabilan yang mengagumkan ketika pecutan ke tahap tertinggi – sangat sesuai untuk motosikal Landspeed. Fork hadapan tidak lagi dibuat panjang manakala kerangka dibuat menggunakan plat aluminium yang rata untuk kestabilan yang tinggi.
“Jadi untuk membuat Ducati Double-Duck, saya ikatkan kedua-dua enjin pada kerangka menjadikannya bagaikan bersatu. Saya baring untuk dapatkan panjang yang sesuai untuk jentera ini dan jawapannya ialah sekitar 11 kaki (tapak roda) atau 3.35 meter panjang. Saya jarang melukis motosikal yang ingin saya buat kerana saya percaya ianya akan dapat dilakukan secara organik.”
Selepas berjaya mengemaskan empat tiub utama, Tim Clossey datang untuk menyempurnakan kerangka dengan corak kekuda, berasaskan struktur pembinaan jambatan kerana kami tahu titik paling lemah ialah di bahagian tengah. Bahagian sisi juga perlu dibuat agar boleh diubah untuk memudahkan enjin dipasang atau dikeluarkan.
Sememangnya tugas untuk menggabungkan kedua-dua enjin ini memang sukar kerana hujung aci engkolnya agak kecil – Mark dan pasukannya membuat keputusan untuk memanjangkan bahagian countershaft pada bahagian transmisi. Ini memerlukan penggunaan gear dengan serentak pada kedua-dua transmisi. Ini juga membantu pacuan rantai berada di dalam suhu yang sedikit rendah kerana putaran rpm lebih rendah daripada enjin. Sememangnya pembuatan jentera ini cukup sukar dan memerlukan pengiraan yang sangat tepat. Mark amat bertuah kerana dikelilingi dengan rakan-rakan baik yang cukup mahir dan pakar dalam dunia pembikinan motosikal seperti ini.
“Saya akhirnya berjaya menyiapkan jentera kira-kira lapan bulan sejak projek ini bermula dan tiga hari sebelum pertandingan Bonneville Motorcycle Speed Trials dijalankan. Motosikal ini juga belum pernah dicuba dan oleh kerana terlalu sibuk menyiapkannya, saya terlupa bahawa orang yang perlu menunggangnya ialah saya sendiri. Jadi... saya sempat mengujinya seketika di kawasan parkir yang seluas 30 ela dan syukur, saya tidak jatuh. Kami terus bersiap dan menuju ke Bonneville.”
“Rekod semasa dalam 2000 A-AG ialah pada 159bsj atau 256km/j. Saya perlu menguji jentera ini dan belajar bagaimana nak menunggangnya – masa sangat suntuk. Memang janggal rasa baring di atas motosikal ini, kaki lebih tinggi daripada kepala manakala topi keledar pula hanya enam inci daripada tayar hadapan. Saya mengambil keputusan untuk menunggang dengan perlahan terlebih dahulu sehingga benar-benar serasi. Kelajuan yang dicapai 160kmj dengan penggunaan pendikit hanya satu per empat. Saya rasa ianya ok dan apabila bertanyakan pada petugas litar yang memberitahu kelajuan saya ialah 169bsj atau 272kmj.”
“Percubaan saya untuk menunggang dengan perlahan demi mencari keselesaan telah berjaya memadamkan rekod lama dengan 16 km/j lebih pantas.”
“Saya terus menunggang untuk lima hari dengan kelajuan maksimum yang dicapai pada 318kmj manakala purata kelajuan ialah sekitar 310 km/j. Okay, ia pantas daripada sebelum ini tetapi masih belum mencecah 200bsj dan itulah kelajuan yang saya impikan. Permukaan yang licin dan basah menyukar para penunggang untuk mendapatkan daya tarikan. Saya gembira dengan kemenangan ini tetapi agak sedih kerana sasaran saya ialah 200bsj.
“Saya kembali ke litar ini tahun 2015 dan dapati hari hujan dan permukaannya basah. Akhirnya pada tahun lalu, keadaan terang dan saya bersedia untuk mencuba lagi. Dua tahun saya tunggu untuk membuat pecutan bersejarah dan tiada apa perubahan yang dilakukan pada jentera itu selain menukar rantai dan memeriksa semua bearing.”
“Sebaik sahaja tiba di Bonneville, saya menukar sproket (kurang satu mata) yang boleh mempertingkatkan kelajuan motosikal saya kepada 358km/j. Seseorang yang berpengalaman memberi nasihat agar tidak melakukannya tetapi nasihat itu saya endahkan. Sememangnya menunggang jentera lumba di ‘litar’ ini menyebabkan kita menjadi lebih berani. Ketika memasuki Miles 3, kelajuan saya baru mencecah 306kmj, jentera saya berputar ke bahagian tepi – memang menakutan.”
“Saya menutup pendikit dan cuba bertahan. Ketika melihat penunjuk Flying Marker, topi keledar saya bergegar dengan sangat kuat – WOW! ...inilah kelajuan paling tinggi yang saya rasa. Ketika saya menunggu Carl dan krew lain datang, tiba seorang lelaki dari trak untuk memberi bantuan. Dia berkata, Hey... mahu air? Yeah, bagus tu, terima kasih. Awak dengar radio tadi? Awak berjaya mencecah 330kmj!” Saya terus melompat dan memeluk lelaki itu.”
“Banyak kisah yang saya boleh ceritakan mengenai pengalaman setiap kali memecut jentera ini. Banyak juga masanya saya gagal melihat keadaan di hadapan kerana garam-garam yang terbang terus ke muka saya. Agak sukar untuk mengekalkan kedudukan lurus kerana ufuk sentiasa bergerak. Motosikal ini sangat stabil dalam kelajuan tinggi. Saya terbabas dua kali tetapi di penghujungnya saya berjaya dan amat gembira kerana masih hidup.
“Projek ini cukup menarik kerana ia bermula tanpa sebarang idea: Saya tertanya-tanya bagaimana nak lakukannya? Dua enjin pasti lebih baik daripada satu dan lapan bulan kemudian, saya berjaya beraksi di atasnya. Jujurnya, saya mahu orang lain menunggang motosikal ini agar dapat bertukar-tukar pandangan tetapi memang sukar sekali untuk dapatkannya. Selepas saya mencuba, saya boleh kata rasanya seperti Superman!
Mark Bjorklund kini merupakan pemegang 2000 A-AG Class AMA Land Speed Record bersama Ducati Double-Duck dengan catatan kelajuan 203.741bsj atau 327.819km/j. Antara yang lain ialah rekod semasa FIM untuk 2,000cc empat silinder Unstreamlined Normally Aspirated ialah pada kelajuan 209.598bsj (337.315km/j) yang dibuat oleh Jamie Williams dengan menunggang Suzuki Hayabusanya pada tahun 2012.
Untuk kategori dua silinder, rekod FIM dimiliki oleh Johnny Cortopassi yang berjaya mencapai kelajuan 176.869bsj (284.644kmj) dengan menunggang Harley Davidson VRSCR V-Rod pada tahun 2013. Jadi... jika Mark Bjorklund telah melalui birokrasi dan perbelanjaan untuk mendapatkan lesen antarabangsa FIM, dia tentunya telah memadam rekod dunia Harley Davidson dengan motosikal Ducati buatan sendirinya itu. Dia tetap gembira kerana berjaya meletakkan namanya dalam buku rekod dengan kelajuan 327.819kmj!! RR
Oleh: Alan Cathcart
Kredit Foto: Phil Hawkins & Mark Bjorklund
Popular