Pusat Rasmi Ujian BMW Miramas Enjin Boxer R18
Pada tahun 2018, BMW telah berjaya menjual sebanyak 165,566 buah motosikal di seluruh dunia – sekali lagi mencatatkan rekod di tangga pertama di pasaran Eropah (dari segi nilai €). Pada tahun 2020 dan seterusnya, Ketua Pegawai Eksekutif BMW, Dr. Markus Schramm menyasarkan peningkatan jumlah pengeluaran melalui pasaran segmen cruiser di Amerika Utara. Sejak tamatnya pengeluaran model R1200C Custom yang pernah mendapat permintaan hebat pada tahun 1997 hingga 2004 (jumlah keseluruhan sebanyak 20,218 unit), BMW bagaikan telah 'lupa' untuk menarik minat pencinta motosikal di sana.
Mengapa keadaan ini berlaku? Ketika BMW Motorrad berada di bawah 'jagaan' bekas CEO, Dr. Herbert Diess (kini pengerusi VAG, VW Audi Group), enjin R 1200 C yang digunakan untuk jentera cruiser itu masih terlalu kecil untuk pasaran Amerika. Oleh itu, beliau membuat keputusan untuk tidak membina enjin baru sebaliknya cuba mengembalikan divisyen jentera BMW yang hampir pupus, ini bermula dengan F800 kembar-parallel hinggalah K 1300, S 1000 RR dan lain-lain lagi.
Penggantinya, Dr. Markus Schramm kini memiliki idea yang berbeza iaitu dengan melihat pembangunan rangkaian model-model untuk pasaran 2020 dan 2021 termasuklah enjin flat-twin berkapasiti paling besar pernah dihasilkan, R18 Big Boxer (nama yang diberikan buat masa ini). Butiran mengenai model ini sedang diperkemaskan buat pihak media dan bakal pembeli dapat melihat kemampuan BMW untuk berada sama tinggi dalam segmen jentera cruiser dengan Indian ataupun Harley-Davidson walaupun tanpa menggunakan enjin v-kembar.
Sehingga kini, 'permainan' yang sedang dilakukan oleh BMW adalah menerusi jentera teaser berenjin boxer seperti mana The Departed yang dicipta oleh perekabina jentera kustom dari Jepun, Custom Works Zon. Model teaser ini telah dipamerkan di Yokohama Hot Rod Show Disember 2018 lalu dan telah meraih anugerah The Best In Show. Kemudiannya menerusi model birdcage berkerangka titanium yang dipamerkan di Texas pada bulan April 2019 oleh Revival Cycles' Revival Birdcage. BMW sendiri memperkenalkan pada Mei lalu model konsep R18 dengan gaya 1950an di Villa d'Este Concours. Paling baru ialah model era 1970an iaitu Concept R18/2 yang terpamer penuh bangga di EICMA pada November yang lalu.
Ketika ditanya mengapa pihak BMW memberikan enjin Boxer Big Twin prototaip pada pereka motosikal kustom di Jepun dan kemudiannya di Amerika? Dr. Markus Schramm menegaskan ia adalah untuk membuktikan enjin ini mampu untuk dipasang pada mana-mana jenis motosikal mengikut kreativiti dan inovasi seseorang pereka itu. Baginya (Dr. Markus Schramm), elemen paling penting ialah rekabentuk enjin itu sendiri yang akan mempamerkan ciri-ciri hebat sesebuah motosikal kustom itu dan para pereka ini memiliki sentuhan unik untuk menciptanya.
Akhirnya hari yang dinanti-nantikan telah tiba. Seramai 27 orang wartawan dari seluruh dunia telah dipilih untuk dibawa melawat pusat ujian iaitu BMW Miramas Test Centre yang terletak di bahagian timur Marseille dengan saiz keseluruhan sebesar 473 hektar. Sebelumnya, kawasan tersebut merupakan litar speedway berbentuk bujur yang kemudian dibangunkan dengan pesatnya.
Penggunaan telefon pintar tidak dibenarkan apabila berada dalam lingkungan 3,000m² mendekati kawasan bengkel serba moden itu. Kilang Miramas turut dilengkapi dengan litar offroad khas untuk ujian jentera-jentera enduro dan ini termasuklah laluan menyeberangi kawasan air, sungai, kawasan berbukit, berbatu, lumpur dan lain-lain agar setiap jentera BMW mampu melepasi tahap kelasakan dalam pelbagai keadaan. Pusat Ujian ini hanya boleh digunakan oleh Kumpulan BMW dan para pembekal mereka sahaja.
Para wartawan dibantu oleh dua orang eksekutif BMW iaitu Ketua Projek Enjin Boxer-Sejukan Cecair, Josef Miritsch dan Ketua Projek R18, Kurk Böck. Mereka kemudiannya menunjukkan enjin R18 yang sudah siap tetapi belum dipasang sepenuhnya. Enjin ini diuji dengan jarak 100,000km menggunakan mesin dyno diikuti pula 13,000km lagi di atas jalan. Selepas setahun menunggu, BMW telah mendedahkan data-data utama cukup penting daripada enjin boxer terbesar yang pernah dihasilkan.
Enjin ini direka baru sepenuhnya, sistem suntikan bahan api elektronik yang menepati piawaian Euro 5 dan ia mengingatkan kita dengan enjin OHV flat-twin yang pernah digunakan oleh BMW Motorrad pada tahun 1960an yang lalu – pastinya kali ini saiz sesarannya jauh lebih besar. Enjin R18 Big Boxer – itulah nama rasmi untuk enjin ini. Ia disempurnakan dengan sistem penyejuk cecair/udara, sistem transmisi 6 kelajuan, badan pendikit 48mm, pacuan akhir syaft, saiz dimensi 107.1 x 100mm yang memberikan isipadu 1,802cc dan kebuk pembakaranya dari gaya-Heron yang memberikan pemampatan rendah 9.6:1.
“Kami diminta untuk menghasilkan sebuah enjin tulen yang memiliki enjin boxer disempurnakan dengan teknologi moden dan yang paling sukar ialah untuk menepati tahap bunyi Euro 5 dan undang-undang emisi tanpa perlu mengubah rekabentuk tradisi enjin ini. Kami percaya kami dah lakukannya,” kata Josef Miritsch.
“Kami telah melakukan banyak eksperimen pada keberatan relatif bahagian engkol dan di flywheel clutch. Kami ingin kekalkan sebuah enjin yang boleh memberikan kemantapan dan keselesaan buat para pelanggan BMW. Ramai di kalangan pencinta jentera cruiser sudah biasa dengan enjin v-kembar berkapasiti tinggi dan oleh itu, BMW mesti menawarkan sesuatu yang istimewa buat pemilik enjin Big Boxer,” kata Kurt Böck.
Kekuatan enjin ini membuatkan kita gemar untuk menarik enjinnya. “Kami telah mempertimbangkan untuk membuat dua injap di setiap silinder ketika mula-mula R18 dibangunkan pada 2016 yang lalu. Objektif kami ialah untuk memberikan para pelanggan sebuah enjin berbentuk klasik yag lengkap dengan teknologi terkini.
Terdapat dua injap keluli (41.2mm untuk kemasukan dan 35mm ekzos, masing-masing lengkap dengan spring yang bersudut 45 darjah. Ini menghasilkan ruang pembakaran rata dengan dua nyalaan dan masing-masing dengan satu penyuntik di setiap silinder. Segalanya dikawal oleh sistem pengurusan enjin BMS-O.
Ketika membangunkan valve drive untuk enjin Big Boxer ini, para jurutera BMW Motorrad diinspirasikan oleh salah satu rekaan enjin cukup bersejarah dalam syarikat ini. Ia adalah R5 (kemudiannya R51 yang lengkap dengan saspensi belakang) yang dibina dari tahun 1936 hingga 1941. Enjin Boxer pertama dari BMW dibina selepas tercetusnya Perang Dunia Kedua (1950-1951) dan kehadiran BMW R5 telah memecahkan cara dan acuan pembikinan asal jentera BMW ke pelbagai aspek yang hebat. Ia memaparkan kerangka jenis tiub double-cradle dan fork teleskopik termasuklah, penukaran gear di kaki dan sistem brek yang lebih besar. Rupabentuk BMW R5 ketika itu adalah antara yang paling canggih pada waktunya.
“Itulah kegemilangan R5 dan ia menjadi inspirasi buat kami dalam usaha untuk menghasilkan R18. Kami perlu menghormati tradisi BMW yang dipegang selama ini dan pihak akaun BMW harus membenarkan kami untuk menggunakan dua aci sesondol berbanding Big Boxer ini,” gurau Miritsch.
Pada enjin R18 ini, terdapat dua aci sesondol yang terletak pada bahagian kiri dan kanan atas engkol dan kelebihan penggunaan format twin-cam ini ialah ia membolehkan penggunaan pushrod yang lebih pendek. Dengan itu, operasi sistem injap akan berjalan lebih tepat dan lebih lancar. Enjin ini dapat bergerak sangat baik dalam apa juga kelajuan, rendah atau pun tinggi. Model ini juga didatangkan dengan gear undur yang dikawal oleh motor elektrik.
Big Boxer menawarkan hantaran kuasa tertinggi 91bhp pada 4,750rpm dan tork 158Nm pada 3,000rpm sahaja, memang mantap! Kekuatan enjin ini jelas terasa walapun ketika berada di dalam putaran yang rendah di antara 2,000rpm dan 4,000rpm. BMW turut mengutamakan penjimatan penggunaan bahan api dengan jangkaan purata 100km/l dan bagi sebuah mesin berkapasiti 1800cc, ia memang cukup ekonomi. Menurut Böck, kelajuan tertinggi yang mampu dicapai oleh model ini ialah sekitar 180km/j dan servis penyelenggaraannya pada setiap 10,000 kilometer perjalanan.
BMW ternyata amat bersedia untuk masuk ke dalam pasaran jentera cruiser/touring dan pastinya model ini akan menawarkan pelbagai ciri-ciri mantap yang lain daripada yang lain agar menarik lebih ramai peminat. “Pelaburan harus dilakukan agar BMW dapat mengeluarkan sebuah jentera dengan platform serba baru dan enjin yang juga serba baru. Untuk dapatkan satu versi bagi enjin ini memang sudah boleh dibanggakan tetapi kami ada beberapa versi yang akan diperkenalkan secara berperingkat-peringkat. Diharapkan pada hujung tahun ini, kami sudah boleh memperkenalkan model-model cruiser untuk pasaran 2021,” kata VP Bahagian Penjualan dan Pemasaran BMW Motorrad, Timo Resch.
Segmen cruiser memerlukan sebuah jentera yang memiliki DNA unik dan istimewa, BMW telah sedia untuk itu. Model-model Big Boxer akan dihasilkan di kilang yang terletak di Berlin Spandau dan di sinilah segala kemahiran dan kebijaksaan akan digabungkan demi kepuasan para pelanggan. Nantikan jentera BMW Cruiser Touring dari pengeluar motosikal terbaik di Jerman tidak lama lagi. Ya... projek R18 kini sudah memecut ke hadapan dengan jayanya! RR
Laporan: Alan Cathcart
Kredit Foto: BMW Motorrad dan Markus Jahn.
Spesifikasi
Enjin | dua silinder boxer, sistem penyejuk udara/cecair |
Kapasiti | 1,802cc |
Nisbah mampatan | 9.6:1 |
Gerek x Lejang | 107 x 100mm |
Kuasa maksimum | 91bhp pada 4,750rpm |
Tork maksimum | 158Nm pada 3,000rpm |
Emisi | Euro 5 |
Kawalan Injap | OHV |
Popular