Isu Terkini

Julai 2024

19 November 2021

Valentino Rossi - Dari Pencinta Motosikal Ke Seorang Lagenda

Valentino Rossi. Nama yang tidak asing lagi buat dunia motosikal. Tidak kira anda peminat MotoGP atau tidak, hampir semua orang mengenalinya tidak kira lelaki atau perempuan, tua atau muda. Walaupun selepas 25 tahun berada di persada dunia, aura pelumba bernombor keramat 46 ini sentiasa kuat di mana sahaja dan belum dapat ditandingi oleh mana-mana pelumba setakat ini.

Valentino Rossi yang kini berumur 42 tahun, sememangnya pelumba idola buat para pelumba motosikal di seluruh dunia termasuklah mereka yang kini bersama-sama bersaing dalam 'gelanggang' MotoGP. Mengapa VR46 begitu diminati? Sejujurnya... beliau memiliki 1001 keistimewaan yang amat sukar dicari ganti.

Valentino Rossi berjabat tangan dengan CEO Dorna, Carmelo Ezpeleta selepas sidang media tentang persaraan beliau.
Valentino Rossi berjabat tangan dengan CEO Dorna, Carmelo Ezpeleta selepas sidang media tentang persaraan beliau.

Rossi dilahirkan di Urbino, Itali pada 16 Februari 1979. Bapanya, Graziano Rossi merupakan seorang bekas pelumba motosikal yang juga pendorong utama untuk dia menceburi dunia perlumbaan. Rossi bermula dalam perlumbaan go-kart – menyertai saingan jentera enjin 100cc ketika baru berusia lima tahun. Enam tahun kemudian, ketika berumur 11 tahun, Rossi telah menjadi juara peringkat negeri pada tahun 1990 dan meraih kedudukan kelima di peringkat nasional.

Selepas itu, Rossi dan ayahnya cuba untuk sertai perlumbaan yang lebih terjamin termasuklah siri Eropah yang boleh membawanya ke perlumbaan Formula 1 tetapi disebabkan kos yang tinggi, mereka memilih untuk bertukar ke saingan minimoto. Pada tahun 1992 dan 1993, Rossi mendalami selok belok perlumbaan motosikal.

Kemenangan pertama beliau sebagai juara keseluruhan 125cc pada tahun 1997.
Kemenangan pertama beliau sebagai juara keseluruhan 125cc pada tahun 1997.

Rossi akhirnya diberi peluang berlumba oleh Paolo Pileri (bekas juara dunia) menggunakan jentera 125cc. Pada tahun 1993, Rossi memberi cabaran di Kejuaraan Italian Sport Production dengan menunggang Cagiva Mito. Dalam mesyuarat dan perbincangan pertamanya dengan pihak Cagiva, Rossi terbabas seawal selekoh pertama – hanya 100 meter dari kawasan pit yang menyebabkan motosikal tersebut rosak teruk. Namun begitu, Rossi berjaya menebus kembali kesalahannya dengan meraih tempat kesembilan.

Dalam musim pertamanya, Rossi telah mempamerkan prestasi yang cukup membanggakan dengan kemampuan untuk mendapatkan posisi pole dan kemenangan. Pada tahun berikutnya, Rossi telah dibekalkan dengan jentera Cagiva Mito factory dan berjaya menjadi juara keseluruhan. Pada tahun 1994, Rossi berlumba dengan jentera prototaip bernama Sandroni tetapi berpindah ke pasukan Aprilia tahun berikutnya dengan kejayaan menjadi juara 125cc di Italian Championship serta tempat ketiga di Kejuaraan Eropah.

Valentino Rossi sentiasa ceria dengan pelbagai gaya setiap kali muncul juara.
Valentino Rossi sentiasa ceria dengan pelbagai gaya setiap kali muncul juara.

Tanggal 31 Mac 1996 di Litar Shah Alam, Malaysia merupakan 'medan' perjuangan pertama buat Rossi dalam kelas 125cc, GP Dunia. Dengan kelincahan dan ketangkasannya, Rossi berjaya mendapat tempat keenam dalam kemunculan sulungnya itu. Selepas mengharungi beberapa pusingan yang mencabar, Rossi akhir berjaya mendapatkan podium di GP Austria di tempat ketiga dan kemudiannya kemenangan pertama di GP Republik Czech.

Tahun 1997, Rossi yang ketika itu bersama pasukan Nastro Azzurro Aprilia terbukti lebih matang dengan tunggangan lebih dominan untuk menikmati beberapa kejayaan manis. Prestasinya yang semakin konsisten itu telah melonjakkan dirinya sebagai Juara Keseluruhan 125cc.

Rossi telah mencipta kemenangan buat kali ke-100 dalam kariernya.
Rossi telah mencipta kemenangan buat kali ke-100 dalam kariernya.

Rossi kemudiannya diberi peluang untuk bersaing dalam kelas 250 pada musim berikutnya. Ia adalah detik ujian buat dirinya dengan kegagalan yang menimpa beberapa kali. Namun begitu semangat juangnya terus membara dan berjaya kembali ke podium tiga kali berturut-turut sebagai naib juara di GP Sepanyol, Itali dan Perancis. Di penghujung musim, Rossi menamatkan cabaran di tangga kedua keseluruhan dengan 201 mata, ketinggalan hanya 23 mata di belakang Loris Capirossi selaku juara.

Dominasi pelumba Itali ini cukup ketara dalam saingan musim keduanya dalam kelas 250cc. Rossi meraih posisi pole ketika perlumbaan pertama di Malaysia tetapi tamat di tempat kelima. Kemenangan pertamanya ialah pada pusingan ketiga di Sepanyol dan bermula dari itu, Rossi mula meraih tumpuan ramai dengan kejayaan demi kejayaan sehingga mampu memungut 309 mata di penghujung musim untuk bergelar juara.

Tahun 2000 merupakan detik penting buat Rossi apabila dinaikkan pangkat menjadi pelumba kelas prima iaitu 500cc dengan menunggang jentera Honda. Rossi terpaksa menunggu sehingga sembilan pusingan sebelum berjaya menjadi juara dengan menewaskan Kenny Roberts Jr. dan Jeremy McWilliams. Rossi kemudiannya mengekalkan konsistensi untuk berada di podium sebanyak mungkin dan mengakhiri musim pertamanya di GP500 sebagai naib juara.

Kecemerlangan Valentino Rossi dalam saingan GP500 pada musim keduanya cukup sukar dicabar. Dia berjaya menjadi juara sebanyak 11 kali dan hanya tiga kali gagal ke podium. Pencabar terdekatnya ialah bekas juara 250cc, Max Biaggi yang akhirnya terpaksa akur dengan lahirnya juara baru iaitu VR46 pada tahun 2001 dengan pungutan mata yang cukup mengagumkan iaitu 345 mata.

Rossi -atas motor- bersama pasukan Malaysia ketika majlis perasmian Yamaha Asean Cub.
Rossi -atas motor- bersama pasukan Malaysia ketika majlis perasmian Yamaha Asean Cub.

Kelas MotoGP diperkenalkan pada tahun 2002 dengan menampilkan jentera empat lejang 990cc dan para pelumba termasuk VR46 terpaksa berdepan dengan pelbagai masalah dan cabaran memacu jentera serba baru. Rossi yang ketika itu bersama pasukan Repsol Honda berjaya 'menjinakkan' jentera RC211Vnya untuk merampas 11 kemenangan dan memenangi takhta juara keseluruhan buat kali keempat. Pada tahun 2003, Rossi sekali lagi mempamerkan tunggangan yang memukau untuk bergelar 'Raja' dengan kejayaan sembilan kali posisi pole dan sembilan kemenangan.

Valentino Rossi kemudiannya berpindah ke pasukan Yamaha pada tahun 2004 dengan nilai bayaran dikhabarkan sekitar $12 juta setahun. Ia adalah musim paling berharga dan istimewa buat dirinya. Rossi mencipta sejarah sebagai pelumba pertama yang memenangi perlumbaan berturut-turut dengan pengeluar motosikal yang berbeza. Valentino Rossi mengulangi kejayaannya selaku Raja MotoGP pada tahun 2005 dengan kutipan mata setinggi 367 mata, mendahului pemenang tempat kedua iaitu Marco Melandri sejauh 147 mata.

‘Sweeping the Opposition’ adalah sindiran Rossi kepada pencabarnya Sete Gibernau pada tahun 2004.
‘Sweeping the Opposition’ adalah sindiran Rossi kepada pencabarnya Sete Gibernau pada tahun 2004.

Sejak mendominasi saingan 500cc, Valentino Rossi diberi gelaran 'The Doctor' yang merupakan tanda penghormatan di atas kecemerlangannya tanpa ada sebarang kaitan dengan dunia perubatan. Ini juga sama seperti gelaran 'The Professor' yang diberikan pada Andrea Dovizioso. Menurut ayah Valentino, Graziano Rossi: “Di Itali, panggilan 'The Doctor' itu diberikan untuk menzahirkan rasa hormat dan betapa pentingnya seseorang itu.”

Rossi tewas di tangan sahabat baiknya, mendiang Nicky Hayden pada tahun 2006 dalam perebutan juara keseluruhan dengan perbezaan hanya lima mata. Rossi yang diuji dengan pelbagai masalah di awal musim menyebabkan dia ketinggalan tetapi kembali mencipta beberapa kemenangan untuk merapatkan dirinya dengan pendahulu kejuaraan (Nicky).

Kemenangan pertama bersama pasukan Yamaha.
Kemenangan pertama bersama pasukan Yamaha.

Sayangnya, selepas berhempas pulas sepanjang musim, Rossi terbabas di perlumbaan akhir menyebabkan dia menamatkan perlumbaan di tangga ke-13 sedangkan ketika itu, Rossi hanya perlu sekurang-kurang tempat kedua untuk muncul juara. Kekecewaan pelumba Itali ini ditambah apabila hanya mampu mengumpul 241 mata pada tahun 2007 untuk berada di tangga ketiga keseluruhan di belakang Casey Stoner dan Dani Pedrosa.

Kritikan demi kritikan menghujani hidup 'The Doctor' selepas dua tahun tewas. Rossi mula memperbaiki tunggangannya dan menang di tiga perlumbaan berturut-turut (China, Perancis dan Itali). Tahun inilah para peminat MotoGP dapat melihat pertarungan hebat di antara Rossi-Stoner terutamanya insiden terkenal selekoh 'Corkscrew' yang hangat dibicarakan hingga ke hari ini.

Rossi menunjukkan nombor 9 selepas bergelar juara dunia buat kali kesembilan di Sepang -4 kali bersama pasukan Yamaha-.
Rossi menunjukkan nombor 9 selepas bergelar juara dunia buat kali kesembilan di Sepang -4 kali bersama pasukan Yamaha-.

Ketika meraih takhta juara buat kali kelapan (Litar Motegi), Rossi mengenakan baju yang tertulis dalam bahasa Itali iaitu “Scusate il ritardi” yang bermaksud “Maaf Atas Kelewatan.”

Kejayaan itu meniup semangatnya untuk terus cemerlang pada musim serba baru dan kali ini dia terpaksa menerima tentangan yang lebih hebat daripada Casey Stoner dan Jorge Lorenzo. Pada perlumbaan di Assen, Rossi telah mencipta kemenangan buat kali ke-100 dalam kariernya dan merupakan pelumba kedua dalam sejarah GP yang melakukannya selepas Giacomo Agostini. Ya.. Rossi muncul juara keseluruhan dengan 306 mata dan ia adalah takhta juara buat kali kesembilan dan terakhir dalam pencapaiannya.

Rossi mengabadikan corak topi keledar Marco Simoncelli sebagai tanda penghormatan atas pemergiannya.
Rossi mengabadikan corak topi keledar Marco Simoncelli sebagai tanda penghormatan atas pemergiannya.

Dari tahun 2010 hingga 2021, Valentino Rossi tidak lagi berjaya mengulangi kejayaannya untuk meraih juara keseluruhan. Rossi juga berpindah ke pasukan Ducati untuk dua musim iaitu dari tahun 2011 dan 2012 yang telah menempatkannya di tangga ketujuh dan keenam keseluruhan. Rossi juga diuji dengan pemergian rakan karibnya, Marco Simoncelli yang telah terlibat dalam kemalangan maut di Litar Sepang pada 23 Oktober 2011.

Rossi kembali memasuki khemah Yamaha pada tahun 2013 dan berusaha cukup gigih pada tahun 2014 untuk menjadi juara tetapi ditewaskan oleh pelumba muda, Marc Marquez dengan perbezaan sebanyak 67 mata.

Persaingan sengit di antara Rossi -46- & Max Biaggi dalam pusingan pembukaan MotoGP musim 2004.
Persaingan sengit di antara Rossi -46- & Max Biaggi dalam pusingan pembukaan MotoGP musim 2004.

Tahun 2015 pastinya memberikan kenangan buat para peminat MotoGP di seluruh dunia, Persengketaan di antara Valentino Rossi dan Marc Marquez dapat dilihat hampir di setiap pusingan. Ia menjadi semakin hangat apabila para pelumba tiba di Litar Antarabangsa Sepang dan pastinya kita tidak akan lupa insiden perlanggaran Rossi-Marquez yang penuh kontroversi.

Berikutan insiden itu, Rossi telah dikenakan penalti tiga mata dan diarahkan untuk bermula di petak terakhir dalam perlumbaan pusingan akhir di Valencia yang telah memberikan posisi keempat buat Rossi.

Jentera khas ‘Fiat 500’ YZR-M1 di Assen TT pada tahun 2007 yang ditunggang oleh Rossi.
Jentera khas ‘Fiat 500’ YZR-M1 di Assen TT pada tahun 2007 yang ditunggang oleh Rossi.

Kisah sengketa dua pelumba ini nampak seperti dapat diselesaikan pada perlumbaan GP Catalunya 2016 apabila Rossi dan Marquez dilihat berjabat tangan tetapi pada pusingan GP Argentina 2018, ia membara semula apabila tindakan Marquez di dalam litar dikatakan agak berbahaya dan telah menyebabkan Rossi terbabas.

Selepas muncul naib juara pada tahun 2014, 2015 dan 2016, prestasi Rossi semakin menurun dengan kedudukan tangga kelima pada musim 2017, naik sedikit ke tangga ketiga pada tahun 2018 dan jatuh ke tangga ketujuh pada tahun 2019.

Rossi rai kemenangan di Spanish GP 2007 dengan gaya tersendiri.
Rossi rai kemenangan di Spanish GP 2007 dengan gaya tersendiri.

Tahun lalu Valentino Rossi sekadar di tangga ke-15 keseluruhan dan sehingga artikel ini ditulis iaitu pada 11 Ogos 2021, Rossi berada di tangga ke-19 dengan 20 mata.

Sepanjang kariernya, antara pelumba yang pernah memberi cabaran sengit sehingga beberapa kali berlakunya bergaduhan ialah Max Biaggi, Sete Gibernau, Jorge Lorenzo dan Marc Marquez. Perselisihan faham ini bukan hanya menerusi kata-kata malah 'dilepaskan' ketika sama-sama bersaing di dalam litar.

Pertarungan dua lagenda MotoGP, Rossi -46- dan Casey Stoner di selekoh ‘Cockscrew’ Litar Laguna Seca pada tahun 2008.
Pertarungan dua lagenda MotoGP, Rossi -46- dan Casey Stoner di selekoh ‘Cockscrew’ Litar Laguna Seca pada tahun 2008.

Apa yang menjadi Rossi digemari ialah caranya meraikan kemenangan. Dia sering mengenakan pakaian unik atau gaya-gaya menarik apabila meraih kemenangan seperti Robin Hood (1997), Osvaldo The Chicken (1998), Guardian Angel (1999), Toilet Break (1999), 200mph Speeding Ticket (2002), A Condemned Man (2003), Sweeping the Opposition (2004), Bowling Strike (2007), dan semestinya The New Love, Welkom yang merupakan detik bersejarah buatnya apabila muncul juara pada kemunculan pertamanya bersama pasukan Yamaha selepas berpindah dari Honda pada tahun 2004.

Rossi juga memiliki aksi yang cukup unik sehinggakan selalu menjadi perhatian jurugambar iaitu akan berhenti kira-kira dua meter dari jentera, duduk bersebelahan dengan jenteranya itu, bongkokkan badan dan memegang kasut. Selepas itu, dia akan duduk dan memegang tempat pemijak sebelah kanan.

“Ia adalah saat untuk menumpukan seluruh perhatian dan ‘bercakap’ dengan motor saya untuk pergi dari satu tempat ke satu tempat yang lain,” kata Rossi. Dia juga akan membetulkan sut perlumbaannya dengan berdiri tegak sambil jenteranya bergerak di kawasan pit.

Pada Mac 2010, Valentino Rossi telah menerima anugerah Winning Italy daripada Menteri Luar Negara Itali, Franco Frattini di atas sumbangannya dalam mempromosikan negara Itali ke mata dunia.

Rossi juga pernah menerima ugutan berupa bungkusan bom daripada Pergerakan Anarchist Italian-Spanish yang mendakwanya ‘bersalah’ hanya kerana menerima tajaan pelincir jenama Sepanyol iaitu Repsol.

Sebagai ikon dunia perlumbaan motosikal, Valentino Rossi mengembangnya segala ilmu dan pengalamannya dengan mengasaskan VR46 Riders Academy pada tahun 2014 lalu. Akademi pelumba yang beroperasi di Tavullia ini telah melahirkan beberapa pelumba ternama seperti Franco Morbidelli, Francesco Bagnaia, Luca Marini, Andrea Migno dan ramai lagi.

Dia juga sibuk menguruskan empayar perniagaan dan pasukan perlumbaannya iaitu SKY Racing Team yang kini mengambil bahagian dalam kelas Moto2 (sebelum ini Moto3). Terbaru, Valentino Rossi juga berkemungkinan besar akan memiliki pasukannya (VR46) untuk saingan kelas prima musim hadapan dengan menggunakan jentera Ducati.

Rossi beri penghormatan di hadapan para penyokongnya selepas menamatkan saingan di litar Sepang -2018-.
Rossi beri penghormatan di hadapan para penyokongnya selepas menamatkan saingan di litar Sepang -2018-.
Gelagat penyokong-penyokong Valentino Rossi dengan rambut gaya afro.
Gelagat penyokong-penyokong Valentino Rossi dengan rambut gaya afro.

Menurut laporan beberapa media online, Rossi merupakan antara bintang sukan terkaya dunia dengan nilai sekitar $200 juta.

Selamat tinggal Valentino Rossi dan pastinya MotoGP akan kurang serinya apabila tiada lagi jentera bernombor 46 di litar perlumbaan. Kibaran bendera-bendera Kuning Stabila Rossi tidak lagi mewarnai litar-litar perlumbaan selepas ini.

Petronas Sepang Racing Team, merupakan pasukan terakhir beliau sebelum bersara di penghujung musim 2021.
Petronas Sepang Racing Team, merupakan pasukan terakhir beliau sebelum bersara di penghujung musim 2021.

Ketika mengumumkan persaraannya pada GP Styria, Rossi menyatakan dia akan terus berada dalam dunia MotoGP walaupun bukan lagi sebagai pelumba dan akan cuba beralih ke dunia empat roda yang sememangnya antara aktiviti kegemarannya.

Terima kasih untuk semua kenangan dan perjuangan yang cukup luar biasa sepanjang 25 tahun mewarnai dunia perlumbaan motosikal. Anda memang lagenda MotoGP dulu, kini dan selamanya. RR

Isu Pada

September 2021

Popular

  • Dari Litar

    Voge Formica Rossa 150 Bakal Muncul di Perlumbaan CubPrix & ARRC Musim Depan

  • Warta Roda

    Honda RS150R Tiba Dengan Warna Baru

  • Model Baru

    EICMA 2024: Moto Morini Alltrhike 450: Makin Meriah Segmen Kembara

  • Warta Roda

    Cikgu Pencen Ubahsuai Motosikal Untuk Bersihkan Kampung

  • Dari Litar

    Honda HRC - Repsol: Penghujung Suatu Era

Disyorkan untuk anda
Model Baru

EICMA 2024: Nikmati Dunia Pengembaraan Dengan Voge Valico 800DS Rally

Voge menggunakan pentas global iaitu EICMA untuk melancarkan model kembara terbarunya iaitu Valico 800DS. Ia adalah sebuah jentera yang memberi cabaran dalam segmen Kembara/Adventure

Model Baru

Ducati Panigale V4 2025 Kini Di Malaysia - Harga Asas RM182,900

Ducati Malaysia telah melancarkan Panigale V4 generasi terbaru sempena dengan perasmian pembukaan Ducati Sungai Buloh.

Warta Roda

Penunggang motosikal berkuasa tinggi terlibat dalam kemalangan maut...

Seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi dan pemandu warga emas maut selepas kedua-dua kenderaan tersebut bertembung dalam kejadian di Kilometer 11 Jalan Pan Borneo, di sini pada hari Ahad yang lalu.

Warta Roda

SUZUKI GSX-S1000GX Tiba Di Pengedar Sah Suzuki. Harga asas, RM89,900

Akhirnya model kembara, GSX-S1000GX sudah pun tiba di pengedar rasmi Suzuki dengan harga jualan rasmi RM89,900.