Selamat Sambut Hari Lebaran
Selamat menyambut hari lebaran dan semoga perayaan kali ini lebih bermakna dan lebih berbahagia. Seperti biasa, lebuhraya dan jalan-jalan raya akan dipadati dengan pelbagai jenis kenderaan seperti kereta, motosikal mahu pun bas persiaran. Dengan penambahan mendadak jumlah kenderaan pada saat sebegini, kita akan berdepan dengan masalah kesesakan trafik sudah pasti akan berlaku hampir di mana-mana. Kerenah dan perilaku pengguna jalan raya seringkali mengundang kepada berlakunya kemalangan.
Persoalannya, mengapa ia terus berlaku sedangkan berbagai-bagai usaha telah dianjurkan pihak kerajaan mahu pun swasta. Sebagai seorang pengguna jalan raya yang berhemah dan manusia yang bertanggung jawab, kita wajar memiliki sifat-sifat terpuji apabila berada di jalan raya.
Kita perlu bersedia dalam semua hal dimulakan dengan kondisi kenderaan yang bakal digunakan. Enjin yang dalam keadaan terbaik tidak mudah rosak dan menjanjikan penjimatan bahan api. Usah dihantar servis di saat genting, berkemungkinan besar ianya akan dilakukan secara ala kadar kerana kesempitan waktu.
PASTINYA di mana ada kesesakan, di situlah akan berlaku kepenatan, kehilangan kesabaran dan pelbagai kerenah pengguna lain yang menyebabkan emosi kita terganggu. Minta dijauhi yang tidak stabil serta emosi yang kurang menyenangkan dan mudah menyebabkan seseorang itu melakukan sesuatu di luar dugaan dan logik akal. Jadi... perlu bersabar dan mengendalikan suatu perkara dengan berhemah.
Walaupun terpaksa berkongsi ruang dengan ramai pengguna lain, berehatlah sebentar selepas dua jam menunggang atau memandu. Tidur seketika jika perlu agar tubuh badan sentiasa segar sebelum berada di atas jalan. Badan yang lemah dan lesu boleh menyebabkan kita terlena dan sesaat ianya berlaku, nyawa jadi taruhan.
Bagi mereka yang menunggang motosikal, lengkapi diri anda dengan pakaian menunggang yang selamat. Topi keledar berkualiti, sarung tangan, kasut yang sesuai, jaket yang berkualiti serta warna yang terang adalah satu kewajiban. Pastikan sistem brek, lampu-lampu dan keadaan tayar berada di tahap terbaik demi keselamatan diri.
Biarlah kita habiskan masa cuti bersama keluarga dengan penuh kegembiraan dan sentiasa ingatkan orang tersayang sebelum dan ketika berada di jalan raya. Jadikan jalanraya satu sumber perhubungan yang menyeronokkan dengan menjadi seorang pengguna yang berhemah, berdisiplin, bersopan santun dan bertimbang rasa.
Kesempatan ini, kami di pejabat RR ingin menyusun sepuluh jari memohon maaf zahir dan batin kepada semua pembaca, peminat, pengiklan, pencetak dan pengedar RR. Semoga kita semua dapat menyambut hari mulia ini dengan bahagia dan selamat di mana jua anda berada.
Selamat Hari Raya Adilfitri. RR
Popular