Isu Terkini

Julai 2024

Sudut RR / 13 April 2017

Usah Sengaja Cari 'Penyakit!'

Menunggang motosikal sememangnya amat menyeronokkan! Ia membantu kita bergerak untuk 1001 tujuan dan telah menjadi teman manusia sejak lebih seratus tahun yang lalu. Besar dan amat penting 'tugas'nya tetapi sayang, motosikal juga merupakan penyumbang utama kes-kes kemalangan maut yang direkodkan saban tahun. Mengapa ini terjadi sedang dikatakan tahap pemikiran masyarakat zaman sekarang lebih cerdas? Mungkin kita sendiri yang sengaja cari penyakit. Sarang tebuan pun kita jolok... memang kena sengatlah!

Isu yang ingin dikongsi kali ini bukanlah isu baru malah dalam RR sendiri telah dibincangkan sejak 31 tahun yang lalu. Isunya adalah soal keselamatan dan penyebab berlakunya kemalangan.

Sebagai seorang yang bertanggung jawab... kita akan sentiasa memastikan kita mempunyai lesen dan cukai jalan yang sah sebelum memulakan perjalanan. Jika satu atau kedua-duanya telah hilang, hakikatnya kita sudah tidak layak lagi untuk berada di atas jalan. Cepat-cepat buat yang baru atau berkemungkinan besar kita akan disaman. Bagaimana pula jika berlakunya kemalangan? Malang tidak berbau betul tak? Jika kita terlibat dalam kemalangan tanpa dokumen lengkap (lesen, cukai jalan dan insuran), kita akan lebih susah.

Begitu juga dengan ibubapa yang bertanggungjawab akan memastikan anak-anak mereka yang belum mempunyai lesen yang sah, dihalang daripada menunggang motosikal sama ada ke sekolah atau pun ke mana sahaja dengan sesuka hati. Merujuk kajian yang dilakukan oleh pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Kementerian Pendidikan pada tahun lalu, sebanyak 80% pelajar yang menunggang motosikal ke sekolah didapati tidak memiliki lesen motosikal yang sah. Sudah begitu, lebih membimbangkan apabila rata-ratanya tidak juga memakai topi keledar. Berdoalah agar tidak berlakunya kejadian yang tidak diingini atau kita akan menyesal seumur hidup.

Para penunggang motosikal juga perlu sentiasa memastikan komponen yang terdapat pada motosikal sedang berfungsi dengan baik. Lampu utama, lampu isyarat, lampu belakang, lampu brek, brek hadapan, brek belakang, tayar hadapan dan tayar belakang perlu dilihat dan diperiksa dengan kerap. Kami pun pelik apabila melihat beberapa buah motosikal tanpa lampu depan dan belakang bergerak di dalam kepekatan malam dengan tenang dan selesa sekali. Tolonglah fikir dengan bijak, ingat orang tersayang yang sedang menunggu di rumah.

Etika berpakaian juga amat penting demi keselamatan penunggang. Topi keledar, kasut, jaket biarlah yang berkualiti tinggi dan janganlah amalkan pemakaian jaket terbalik. Sudahlah tidak kemas... jaket boleh tersangkut pada cermin sisi kereta, bar hendal motosikal lain, hujung lori dan macam-macam lagi. Kebanyakan kes yang meragut nyawa turut disebabkan penggunaan topi keledar yang tidak berkualiti.

Bagi mereka yang menunggang bersama rakan atau berkonvoi pula kena jaga emosi. Memanglah seronok bermotor dengan sahabat handai tetapi berpada-padalah. Dengan budaya ‘sms, whatsapp, selfie' dan rakaman video yang semakin menjadi-jadi sekarang ini. Pernah kelihatan penunggang yang cuba menaip mesej, bergambar atau berlakon dengan telefon bimbit masing-masing ketika motosikal yang ditunggangi sedang bergerak.

Ini amat berbahaya kerana tumpuan terhadap keadaan trafik dan jalan raya sudah beralih. Harus beringat, motosikal cuma mempunyai dua roda yang boleh kehilangan kawalannya kalau kita tidak memberi tumpuan kepada tunggangan kita. Jadi... hati-hati dan tolong ambil gambar sebaik sahaja berhenti motosikal atau bila tiba di destinasi yang hendak dituju.

Menunggang penuh aksi juga perlu dielakkan. Ini bukan sahaja membahayakan diri kita tetapi juga memburukkan imej penunggang motosikal. Kita mahu hilangkan tanggapan buruk masyarakat terhadap pengguna motosikal dan untuk itu pelbagai usaha murni telah dianjurkan oleh kelab motosikal dan syarikat korporat supaya disiplin dan tanggung jawab diamalkan oleh setiap penunggang motosikal.

Bijak memilih kawan dan jauhi mereka yang terpengaruh dengan minuman keras atau penggunaan dadah. Mereka yang terlibat dalam dunia penuh khayalan ini mempunyai kualiti pemikiran yang sangat rendah. Sering kali beremosi, mudah baran, berani tidak bertempat, tidak malu dan tidak pernah memikirkan soal orang lain. Jika kita bersama mereka... takut-takut kita juga akan terlibat sama. Inilah yang dikatakan... “kerana nila setitik, habis susu sebelanga...”

Demi keselamatan diri dan orang lain, para penunggang juga perlu rajin dan bersedia. Kaji tempat yang hendak dituju dengan mengenal pasti keadaan jalannya, simpang siurnya dan corak kehidupan masyarakat di sana. Kenali serba sedikit motosikal yang kita tunggangi agar dapat tahu dengan cepat bahagian bermasalah jika jentera rosak di tengah-tengah perjalanan. Penunggang yang bijak juga sentiasa memastikan jentera tunggangan berada di tahap terbaik. Lakukan pemeriksaan pantas pada bahagian lampu utama, lampu belakang, lampu isyarat, sistem brek, tahap minyak enjin dan kadar penggunaan tayar.

Diharapkan para pembaca RR dapat mengamalkan perkara yang baik, tinggalkan perkara yang buruk dan berkongsikan ilmu ini kepada keluarga dan rakan-rakan motosikal. Dengan disiplin yang tinggi pastinya setiap saat kita bersama motosikal akan menyeronokkan dan selamat. Jadilah penunggang yang berilmu demi keselamatan semua. Hargailah nyawa sendiri dan yang tersayang. Selamat menunggang! RR

Isu Pada

April 2017

Popular

  • Model Baru

    EICMA 2024: Moto Morini Alltrhike 450: Makin Meriah Segmen Kembara

  • Warta Roda

    Cikgu Pencen Ubahsuai Motosikal Untuk Bersihkan Kampung

  • Dari Litar

    Honda HRC - Repsol: Penghujung Suatu Era

  • Dari Litar

    Jorge Martin Cipta Sejarah, Pelumba Pasukan Satelit Pertama Jadi Juara MotoGP!

  • Warta Roda

    Honda BigWing Melaka Dibuka Secara Rasmi

Artikel berkaitan

Silau Akibat Lampu LED? Ramai Luahkan Perasaan yang Sama

5 Sebab Kenapa Tayar Slick tidak Sesuai untuk Jalanraya

Kematian Penunggang Jalan Raya Kian Bertambahm Salah Siapa?

Motosikal Kian Moden, Tabiat Menunggang Kekal Tak Berubah

Menghadapi Hari Dengan Penuh Cekal... Selamat Tahun Baru 2023!

Hukuman Lebih Berat Menanti Pelumba Haram

Hasrat Mengurangkan Kadar Kemalangan Motosikal Perlu Kesedaran

Saranan Haramkan Jualan Kapcai Prestasi Tinggi - Ketua Polis Negara

Disyorkan untuk anda
Model Baru

HLYM Perkenalkan Yamaha Y16ZR 6MRO Edisi Terhad – RM13,668

Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) turut meraikan pencapaian bersejarah itu dengan menampilkan model edisi terhad iaitu Yamaha Y16ZR 6MRO.

Model Baru

EICMA 2024: Yamaha R3 'Kemas Kini' Lebih Mantap!

Berikutan pelancaran R9 baru tempohari, Yamaha memilihi 'pentas' EICMA untuk memperkenalkan model yang dikemas iaitu R3 untuk pengeluaran tahun 2025.

Model Baru

EICMA 2024: Moto Morini Perkenalkan Model Ikonik, 3 1/2 Baru

Moto Morini meraikan ulang tahun ke-50 model ikonik yang dikenali sebagai '3 1/2' dengan memperkenalkan di pameran motosikal antarabangsa EICMA.

Warta Roda

Kemalangan Maut Motosikal Akibat Langgar Kerbau

Perjalanan seorang pengawal keselamatan ke tempat kerja bertukar tragedi apabila motosikal ditungganginya terlanggar seekor kerbau.