Kurangkan Kos Pengangkutan Dengan Bermotosikal
Ternyata tahun 2015 meninggalkan kesan pada seluruh warga negara terutamanya dari segi ekonomi. Sejak perlaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pada bulan April tahun lepas dan kemerosotan nilai ringgit ternyata semakin membebankan. Ketika kita berusaha gigih mencari jalan penyelesaian, pelbagai pihak tampil membuat kenyataan rasmi untuk menaikan kadar bayaran produk dan perkhidmatan masing-masing.
Menjelang tahun 2016 hingga kini, kita terpaksa pula menanggung peningkatan kos pembayaran untuk tambang pengangkutan awam seperti bas, teksi, LRT, ERL dan keretapi serta perlu menyimpan lebih wang untuk bayaran tol yang semakin tinggi. Kini, kita terpaksa pula menghadapi kadar kenaikan bertindih-tindih seperti tarif elektrik, barangan keperluan, bahan mentah, sewa rumah dan banyak lagi. Krisis ekonomi ini tidak dinafikan sudah mencapai ke tahap yang boleh dikatakan agak kritikal dan bagaikan tiada jalan keluar.
Bagi warga kota yang sebahagian besar terpaksa berbelanja lebih untuk ke tempat kerja sememangnya semakin hari semakin tertekan. Kita bekerja untuk mencari duit tetapi kini duit itu habis untuk ke tempat kerja. Jika dahulu ramai yang memilih untuk berjimat dengan menaiki pengangkutan awam tetapi selepas apa yang berlaku... penilaian perlu dilakukan semula. Selepas membuat pengiraan secara menyeluruh, kami dapati penggunaan motosikal masih berada di tangga teratas bagi mereka yang ingin berjimat.
Bagi mereka yang baru pertama kali mendapatkan lesen, maka perlulah terlebih dahulu menyiapkan sejumlah wang untuk pembayaran kursus, latihan dan ujian di pusat-pusat latihan memandu. Harga yang dikenakan untuk memiliki lesen selalunya bergantung kepada pusat latihan itu sendiri, kena bijak membuat pilihan. Untuk memiliki motosikal sememangnya tiada masalah! Pengeluar-pengeluar motosikal seperti Yamaha, Honda, Kawasaki, Suzuki, Modenas, SYM, BMW, KTNS, CMC dan banyak lagi mempunyai pelbagai model yang boleh dipilih mengikut kesesuaian para penunggang. Dengan adanya sistem pinjaman kewangan berbagai jenis, para pembeli hanya perlu meneliti segala syarat-syarat yang ditetapkan sebelum membuat perjanjian.
Sebelum memilih model mana untuk dibawa pulang, bakal penunggang motosikal terlebih dahulu perlu mengenal pasti beberapa perkara penting, antaranya:
- Lokasi tempat kerja: jika bertugas di tengah kota, antara pilihan yang sesuai ialah daripada model-model moped, streetbike atau naked. Posisi menunggang perlu relaks, motosikal harus ramping dan mesti mudah dikendalikan.
- Jarak perjalanan ke tempat kerja: Jika perlu menunggang pada jarak yang agak jauh dinasihati belilah sebuah jentera yang berkuasa 150cc dan ke atas yang terdiri daripada model jalanan, skuter atau dual purpose berkuasa sederhana.
- Pengalaman menunggang dan saiz badan yang sesuai dengan jentera pilihan juga penting agar tunggangan lebih selamat. Jika kita tidak menepati ciri-ciri yang dikehendaki mungkin boleh menyusahkan lebih-lebih lagi apabila berlaku kecemasan.
Selepas berjaya mempunyai sebuah motosikal, tunggangilah dengan betul iaitu dengan kelajuan yang sesuai, memakai pakaian yang selamat, penyelenggaraan yang berjadual, minda yang tenang dan mengikut undang-undang ditetapkan. Setelah dibuat sedikit ujikaji, kami membuat anggaran kos petrol untuk 50 kilometer perjalanan sehari ialah sekitar RM3.00 dengan kelajuan malar sekitar 80-90km/j. Untuk terus berprestasi tinggi, servis motosikal dan periksa komponen-komponen anda sekitar enam bulan sekali (bergantung kepada jarak perjalanan dan corak tunggangan).
Antara komponen selain enjin yang memerlukan pemantauan ialah sistem brek, tayar, minyak enjin dan lampu-lampu. Jika bersikap sambil lewa, motosikal kesayangan kita itu akan cepat rosak dan apabila ini berlaku, wang akan lebih banyak digunakan. Dianggarkan kadar pakej servis adalah sekitar RM80 (rantai dan sproket), RM15-RM20 (pad brek), RM160 (tayar depan dan belakang), RM18 (minyak enjin satu liter) dan RM50 (brake shoes).
Penggunaan motosikal ternyata antara cara terbaik untuk kita mengurangkan kos perjalanan dan pada masa yang sama dapat meningkatkan industri permotoran ke tahap yang lebih baik. Sentiasa beringat, kita menunggang bukan untuk berlumba atau sebagai hero jalanan tetapi untuk mencari nafkah demi keluarga tercinta. Tungganglah dengan penuh disiplin, berwaspada dan mengikut undang-undang jalan raya. RR
Popular