Silau Akibat Lampu LED? Ramai Luahkan Perasaan yang Sama

Lampu depan jenis LED merupakan ciri yang standard buat hampir semua kenderaan yang baharu sekarang, termasuklah untuk motosikal. LED atau dalam frasa panjangnya light emitting diode tidak menggunakan filamen bagi menghasilkan haba yang tinggi untuk mengeluarkan cahaya. Sebaliknya cahaya dihasilkan daripada aliran elektron (elektrik) melalui sesuatu semi-konduktor. Oleh yang demikian, cahaya daripada LED putih kebiruan, manakala cahaya daripada mentol halogen kuning-jingga disebabkan tindakbalas haba dengan gas iodin dan bromin.
Lampu LED sememangnya lebih terang kerana pembuat lampu atau kenderaan dapat memfokus cahaya itu dengan lebih optimum. Tetapi, lampu yang putih terbukti sangat menyilau apabila terkena mata manusia kerana kita lebih biasa dengan cahaya matahari yang sebenarnya tidak putih sempurna tetapi sebenarnya sedikit kuning.
Masalah ini bukan sahaja terhad kepada jalan-jalan di Malaysia malah di seluruh dunia. Sebuah kajian yang dijalankan oleh badan perkhidmatan automotif di United Kingdom, RAC, menunjukkan 85 peratus pengguna jalan rata-rata berdepan dengan masalah keselamatan akibat silauan lampu LED.
85 peratus daripada 2,500 orang pemandu yang dihubungi untuk kajian ini berkata, "Lampu sesetengah kenderaan masa kini terlalu terang." Yang selebihnya berkata, "Lampu semua kenderaan kini terlampau terang."
91 peratus pula berkata mata mereka terasa silau. 67 peratus berkata mereka terpaksa memperlahankan kenderaan mereka dengan mendadak apabila mata mereka terkena silauan lampu kenderaan lain. Tambah lagi, 64 peratus berkata masalah ini sangat merbahaya, dan 5 peratus berkata mereka hampir-hampir terlibat di dalam kemalangan.
Data kerajaan UK menunjukkan lebih kurang 280 kes kemalangan yang disebabkan oleh silauan lampu LED sejak 2013.
Ada juga di kalangan mereka (7 peratus) yang mengambil bahagian di dalam kajian ini berkata mereka tidak mahu keluar memandu pada waktu malam kerana risau mengenai silauan lampu. Golongan ini ialah mereka berusia 65 tahun ke atas dan berjumlah 14 peratus daripada 2,500 peserta.
44 peratus daripada peserta berkata silauan disebabkan oleh lampu depan yang dilaras dengan tidak betul. Ada kereta yang menggunakan ciri di mana pemandu boleh melaraskan lampu mereka mengikut muatan tetapi mereka tidak berbuat demikian mahupun tidak tahu apakah kegunaan ciri tersebut.
Selain daripada itu, ketinggian kenderaan juga memainkan peranan yang besar, khususnya untuk kenderaan-kenderaan SUV seperti 4x4. Lampu depan kenderaan tersebut berada di paras mata pemandu kenderaan yang biasa.
Malangnya kajian itu tidak membuat sebarang garis panduan atau cadangan untuk mengatasi masalah ini.
Di kalangan motosikal pula, penulis ini pernah bertemu dengan penunggang lain yang menyalakan lampu tinggi dan ini menyilau dalam cermin pandang belakang. Ada pula yang memasang spotlight yang tidak dilaras dengan betul.