Bijak Tangani Musim Panas
Seperti yang kita semua tahu, cuaca di negara kita kini agak panas dengan suhu sekitar 22 hingga 34 darjah Celsius menurut Jabatan Meteorologi Malaysia. Bagi mereka yang berulang alik ke tempat kerja, bekerja dengan menunggang motosikal atau yang sedang mengembara bermotosikal, tidak dinafikan ada ketikanya kita terpaksa mengharungi perjalanan yang agak panas.
Berikut adalah sedikit perkongsian bagaimana untuk kekal cergas ketika menunggang di kala cuaca panas sebegini. Pertamanya, janganlah kita menjadikan faktor cuaca ini untuk tidak mengenakan pakaian tunggangan yang sesuai. Terdapat berbagai jenis jaket atau seluar menunggang yang kini membenarkan udara memasuki dan menyejukkan badan kita. Jaket ultra cool ini menggunakan fabrik lembut bertebuk yang mempunyai liang-liang udara untuk pengaliran udara dan menghilangkan kelembapan dengan cepat.
Bahan pelindung seperti kevlar juga dipasang pada bahagian bahu dan siku kerana ia ringan tetapi mempunyai daya tahan yang tinggi. Apa yang penting, kita jangan terpengaruh dengan jelingan orang luar yang melihat kita kemas berpakaian – kesihatan dan keselamatan kita lebih utama.
Bagi yang mengembara, boleh juga meletakkan kain/bandana basah atau neck cooler pada bahagian leher agar tidak terlalu kering. Jangan membiarkan tubuh badan kita sering terkena sinaran matahari bermula daripada lewat pagi hinggalah di tengahari iaitu sekitar 10.00 pagi hingga 2.00 petang kerana kadar sinaran ultra violet yang berlebihan boleh mengakibatkan berlakunya barah kulit seperti melanoma, ruam panas, vitiligo, eczema dan banyak lagi.
Kita juga perlu banyak minum air (lebih kurang dua cawan setiap jam) agar cecair dalam badan kita yang melalui proses penyejatan dapat diganti semula. Air isotonik, air mineral atau air berkarbonat boleh dipilih tetapi perlu juga diiringi dengan peringatan tentang kesihatan tuan punya badan. Jika anda memiliki tekanan darah tinggi, janganlah terlalu banyak meminum air yang berunsurkan garam – sama juga bagi mereka yang sukakan air manis. Air ‘putih’ biasa adalah pilihan yang terbaik!
Rancang perjalanan, tempat berhenti dan kekerapan untuk berehat. Dalam cuaca panas, otak kita kadang kalanya tidak dapat berfungsi dengan baik manakala tubuh kita juga mudah mengalami masalah seperti kegatalan dan kekejangan. Jika cuaca terlalu panas, jangan berada terlalu lama di atas lebuhraya, pilih jalan luar bandar yang lazimnya mempunyai pokok-pokok teduh. Udara lebih baik di sini dan kita perlu lebih kerap berehat tetapi jangan pula terus mencari kedinginan sistem penghawa dingin. Jika perubahan suhu bertukar dengan drastik, kita akan cepat sakit atau demam.
Menurut penilaian WHO (World Health Organization), seramai 12 hingga 15 juta penduduk bumi menjadi buta akibat masalah cataract setiap tahun dan 20% daripadanya berpunca daripada radiasi UV (ultra violet) yang terdapat di bawah sinaran matahari. Pemakaian topi keledar yang dilengkapi dengan visor mini atau cermin mata gelap amat digalakkan yang kini mudah kita dapati daripada pengeluar topi keledar seperti GIVI, SolidGold, ISO-I Helmet dan Shoei.
Sinaran terang matahari sememangnya menyilaukan mata kita dan ini amat berbahaya jika perjalanan sudah bermula. Dengan pemakaian cermin mata gelap atau topi keledar bervisor gelap mini, kita mudah melihat keadaan trafik di depan, kiri, kanan dan belakang. Siapa kata kita tidak boleh mengembara di dalam cuaca panas. Dengan perancangan yang baik, pakaian yang lengkap dan ilmu kesihatan asas yang sempurna…. menyusuri perjalanan di waktu sebegini tentulah lebih mengujakan daripada duduk di rumah. Selamat menunggang! RR
Salam Mesra,
Khairil Azuan
Ketua Pengarang
Popular