Isu Terkini

Oktober 2024

Sudut RR / 2 Januari 2023

Menghadapi Hari Dengan Penuh Cekal... Selamat Tahun Baru 2023!

Selamat Tahun Baru buat semua! Jutaan terima kasih atas sokongan yang terus diberikan buat RodaRoda yang kini sudah tidak begitu jauh dengan 'umur' 40 tahun. Dalam kehidupan manusia, 40 tahun dikira sudah mencapai waktu matang, berpengalaman, makin ceria dan selesa kerana dikatakan kebanyakan dari kita sudah mencapai/memiliki apa yang pernah dihajati. Betul atau tidak dengan kata-kata ini terpulangkan pada anda.

Apa pun, sepanjang 'umur' majalah ini, kami dan anda bersama-sama telah menempuh pelbagai era dan masa khususnya dalam dunia dua roda. Evolusi kejuruteraan berkembang pesat, sejajar dengan daya pemikiran umat manusia yang semakin moden dan terbuka. Cetusan pemikiran dan idea yang dahulunya mungkin hanya dongengan kini terbukti mampu dizahirkan di depan mata. Lihat sahaja model-model baru yang ditampilkan di pameran motosikal, semuanya hebat-hebat belaka!

Namun begitu, jiwa kita bagaikan kekal beku apabila tiba bab keselamatan. Tidak semua kawan-kawan motor ya, segelintir sahaja. Sedihnya kerana masalah atau isu ini tak pernah habis sejak dari dulu lagi. Kalau nak bincang memang banyak tapi kita suarakan tentang isu penting saja, antaranya seperti melanggar lampu isyarat, tidak memakai topi keledar, menunggang dengan 'mengkhinzir buta', berlumba di lebuhraya dan berlagak hero!

Terjebaknya sesetengah dari kita dalam perkara negatif dan ketaksuban terhadap sesuatu perkara adalah disebabkan ego, nafsu dan buta hati yang mengundang kepada masalah yang lebih teruk. Maka akhirnya, terpaksalah kita 'lepaskan' golongan ini seperti kisah “Si Luncai Terjun Dengan Labu-Labunya”.

Puas 'otai-otai' motor memberi nasihat, pihak berkuasa mengenakan denda, lakukan tangkapan, motosikal disita malah ramai yang terlibat dalam kemalangan tetapi kesedaran tetap sifar. Kemalangan maut memang sedih dan merugikan. Saban hari kita dapat melihat perkongsian kemalangan yang melibatkan para penunggang motosikal. Ada yang disebabkan kedegilan sendiri dan tidak kurang juga kerana sikap buruk pengguna jalan raya yang lain.

Menjelang tahun baru ini juga, ramai yang risaukan pada tahap kehidupan yang semakin hari semakin mencengkam. Ramai di antara kita nafasnya semakin sesak walaupun di alam yang hakikatnya terbentang luas. Nilai ringgit semakin merisaukan, harga barangan tinggi menggunung, pendapatan tidak lagi sebaik dulu dan sudah pasti kita khuatiri kehidupan tidak lagi makmur.

Jika terlalu memikirkan tentangan perihal untung rugi, wang harian semakin susut.... masalah ekonomi semata-mata, ia akan menjejaskan mental serta kewarasan kita dalam membuat keputusan. Akhirnya, ia akan tetap menjejaskan fizikal. Ini memang menakutkan. Tanpa sedar, mereka yang gagal menangani masalah mental juga akan bermasalah dalam pengurusan kewangan. Kajian membuktikan kedua-dua masalah ini berkait rapat dan mempunyai potensi besar untuk memberi kemudaratan.

Bukankah kita pernah diuji dengan kejadian pandemik dua tahun yang lalu. Ketika itu, kita langsung tidak bersedia dan tidak mempunyai sebarang 'pertahanan' untuk menghadapi kedatangan Covid-19. Dalam kebuntuan, seluruh 'dunia' ditutup, kita masih mampu meneruskan kehidupan hingga ke saat ini. Bersyukur dan berbanggalah di atas kejayaan kita itu.

Tahun baru ini ayuh kita sambut dengan penuh keazaman, kecekalan dan keberanian seperti mana yang pernah kita lakukan dahulu. “Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.” “Bara yang digenggam, biar sampai jadi arang!” Usah biarkan sifat lemah dan negatif menjadi pakaian seharian.

Sentiasa cakna dengan perubahan zaman. Cepat mengubah cara pemikiran mengikut peredaran masa. Lihat pesaing di sekeling dan beradulah tenaga dengan kepakaran bukan hasutan. Kita diajar untuk bekerja keras, jujur dan bijaksana. Sesungguhnya “Yang bulat tidak datang menggolek, yang pipih tidak datang melayang.”

Jangan bersedih kawan-kawan. Ceriakan dengan mendidik hati untuk sentiasa bersyukur. Kita tempuhi segala rintangan menerusi pengaturan strategi dengan bijak laksana sambil meneruskan doa agak dipermudahkan segala urusan. Yakin boleh!!

RR juga akan terus memberikan yang terbaik buat para pembaca semua. Kami akan cuba 'berlari' sama kencang dengan arus kemodenan. Doa dan sokongan kalian amat dihargai. Tungganglah dengan selamat dan ingat orang yang tersayang! RR

Isu Pada

Januari 2023

Popular

  • Warta Roda

    Lelaki tumbuk pemandu wanita selepas anak dilanggar.

  • Model Baru

    Vespa GTS 300 Classic - Harga RM31,900

  • Warta Roda

    Nahas Treler & Kereta: 5 Mangsa Disahkan Maut

  • Warta Roda

    Dua Penunggang Wanita Maut Motosikal Bertembung

  • Model Baru

    JEDI K333: Direka Untuk Kesesuaian Penunggang Baru & Wanita

Artikel berkaitan

Silau Akibat Lampu LED? Ramai Luahkan Perasaan yang Sama

5 Sebab Kenapa Tayar Slick tidak Sesuai untuk Jalanraya

Kematian Penunggang Jalan Raya Kian Bertambahm Salah Siapa?

Motosikal Kian Moden, Tabiat Menunggang Kekal Tak Berubah

Hukuman Lebih Berat Menanti Pelumba Haram

Hasrat Mengurangkan Kadar Kemalangan Motosikal Perlu Kesedaran

Saranan Haramkan Jualan Kapcai Prestasi Tinggi - Ketua Polis Negara

Keselamatan Jalan Raya Tanggung Jawab Bersama

Disyorkan untuk anda
Kembara

TM Bikers Jelajah Turkiye 2024!

Pada 6hb September 2024, 10.00pm, seramai 47 Peserta TM Bikers Turkiye Ride telah berkumpul bersama sanak keluarga yang datang mengiringi di KLIA 1.

Model Baru

MODENAS Perkenalkan Ninja 500 & Ninja 500 SE - Harga Bermula RM28,100

MODENAS dengan rasminya melancarkan Ninja 500 dan Ninja 500 SE.

Model Baru

Triumph Tiger Sport 800 Serba Baharu Diperkenalkan

Didi Group selaku pengedar rasmi jenama Triumph di Malaysia telah memperkenalkan Tiger Sport 800 serba baharu.

Pandu Uji

Honda XL750 Transalp: Antara Jentera Kembara 'Middle Weight' Yang Terbaik?

Ketika Boon Siew Honda (BSH) melancarkan 4 model hebat tahun lalu, saya memang terpikat dengan model Transalp ini. Ini kerana beberapa tahun dulu, saya pernah menunggang Transalp model lama. Apabila saya kongsikan beberapa gambar di media sosial, ramai yang 'menyakat' tanya motor itu abad ke berapa? Betul kata mereka, dari segi design, ia tidaklah begitu hebat tetapi dari segi hantaran kuasa dan keselesaannya memang sangat saya suka.