Semoga 2016 Lebih Baik!
Diam tak diam, kita akan meninggalkan 2015 hanya beberapa hari sahaja lagi. Ya.... semua masyarakat sedar akan kesukaran yang sama-sama kita hadapi sepanjang tahun ini. Selepas Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) diperkenalkan, harga jualan barangan dalam pelbagai sektor seperti pemakanan, perladangan, perindustrian dan pelancongan telah meningkat dengan tinggi sekali. Belum selesai memikirkan masalah itu, kita diuji pula dengan kejatuhan nilai ringgit, kenaikan harga petrol, kadar tol dan tambang LRT.
Apakah rancangan kita untuk tahun hadapan? Ingin membuat sedikit perubahan agar menjadi lebih baik? Ya… kita perlu bersyukur dengan apa yang ada tetapi jangan pula sehingga tidak langsung berusaha untuk membaiki kehidupan. Kita boleh bermula dengan menilai apa yang boleh terus dikekalkan dan apa pula yang perlu ditinggalkan. Berjimat cermat dan berbelanja apa yang perlu sahaja dan mula menabung untuk menjamin masa hadapan. Untuk yang berumahtangga, kerjasama dan persefahaman antara suami isteri amat penting untuk menghadapi kesulitan terutamanya bab kewangan. Jangan ada salah menyalahkan dan sentiasa bersikap positif dengan mengamalkan gaya hidup sederhana.
Kita juga dapat membantu ekonomi setempat dengan beriadah dan melancong ke destinasi-destinasi menarik di dalam negara. Bagi pengusaha dan peniaga kawasan pelancongan pula belajarlah dari sahabat-sahabat kita di Thailand dan Indonesia. Mereka kreatif, rajin, mesra dan berdisiplin. Sentiasa menyambut kedatangan pelancong dengan senyuman, sajikan masakan yang lazat dan sentiasa mengambil berat akan kebajikan pelanggan mereka. Tidak hairanlah kenapa tempat-tempat mereka sentiasa dikunjungi para pelancong dari dalam dan luar negara.
Selain daripada itu, kami berharap agar tahun baru ini bakal mendewasakan kita daripada segala aspek kehidupan. Contoh terdekat tentulah dunia permotoran, kemajuan teknologi itu jangan menjadi sempadan untuk kita memacu jentera beroda dua bagaikan orang tidak siuman. Sebelum memutarkan kunci, kenali jentera anda, fahami jalan yang dilalui dan sedar kemampuan diri serta ingat mereka yang tersayang. Nyawa adalah aset penting buat sesebuah negara dan adalah satu kerugian jika negara kehilangan anak-anak muda akibat kecelakaan jalan raya.
Selain pengangkutan awam, ramai penjawat awam dan swasta memilih untuk berjimat dengan menggunakan motosikal, tidak salah! Cuma jangan pula motosikal itu yang mengikis poket kita, perlu tahu menunggang dengan cara yang menjimatkan. Antara tips yang dapat dikongsikan ialah: Jangan memerah pendikit terlalu rakus ketika enjin masih sejuk, jangan asyik memecut, jangan terlalu kerap menggunakan brek dan lakukan penyelenggaraan berjadual.
Kepada pemilik moped yang ingin bertukar jentera kepada lebih besar, eloklah bermula dengan jentera-jentera berkuasa 400cc dan ke bawah terlebih dahulu. Ini kerana pemilik perlu membiasakan diri dengan kos penyelenggaraan mesin-mesin sebegini dan kuasanya. Jika terus memanjat mesin berkuasa tinggi, takut pula tidak mampu menanggung kos servis, penukaran alat ganti dan kekuatan enjin yang dimiliki.
Susun perjalanan dengan bijak! Elakkan pembaziran petrol dengan cara membuat senarai barangan yang perlu dibeli dan susun lokasi kedai-kedai itu mengikut jalan yang ringkas dan paling lancar. Pilih destinasi paling jauh terlebih dahulu dan semasa dalam perjalanan pulang, singgah di satu kedai besar untuk membeli keperluan barulah pulang ke rumah. Elakkan daripada berulang alik semata-mata kerana terlupa suatu barangan.
Belajar selok belok cara-cara asas penyelenggaraan rumah seperti menukar lampu, membaiki paip, mengemas rumah atau memotong rumput. Bayaran untuk membaiki pulih paip mungkin berharga RM200 (bergantung kepada lokasi), upah mengemas rumah pula berharga dalam lingkungan RM15 sejam, mesin rumput RM15 (minimum) dan kos membaik pulih lampu bernilai RM50. Maka cuba bayangkan berapa banyak dapat kita jimat jika kita dapat melakukannya sendiri.
Kesempatan ini juga ingin kami rakamkan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua pembaca, peminat, pengiklan, pencetak dan pengedar yang terus menyokong RR. Dengan doa dan sokongan kalian RR masih terus berbakti kepada dunia permotoran yang kini masuk tahun ke-30. Kami akan terus berusaha untuk mendidik, memberikan maklumat-maklumat yang tepat dan terkini buat tatapan anda.
Semoga kedatangan tahun baru ini akan memberikan kehidupan yang lebih baik untuk kita semua. Pastikan sentiasa menjaga keselamatan tidak kira di mana sahaja anda berada. Sayangi keluarga kita serta hayatilah kebahagiaan yang sebenarnya dan salah satu kunci kebahagiaan itu ialah dengan kesederhanaan. RR
Selamat Menyambut Tahun Baru 2016
Salam mesra,
Khairil Azuan,
Ketua Pengarang
Popular