MyLesen Bantu Belia Miliki Lesen dengan Cepat
Kalau berborak mengenai penunggang jalan raya, isu yang tidak pernah lekang untuk dibincangkan ialah menunggang tanpa lesen. Masih ramai yang tidak mahu memilikinya sedangkan kita juga yang susah apabila ditahan pihak berkuasa malah lebih teruk lagi jika terlibat dalam kemalangan. Sudah pasti penunggang tanpa lesen ini tidak akan menerima sebarang pampasan daripada pihak insurans. Kalau cedera parah? Kalau meninggal dunia? Sedih untuk digambarkan... hanya kerana sekeping lesen!
Seperti mana yang dipaparkan di akhbar Berita Harian bertarikh 1 September 2015, Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) telah melaksanakan program Mylesen yang merupakan satu inisiatif dirangka khusus kepada belia yang belum atau tidak mempunyai lesen memandu yang sah. Program ini ditawarkan bermula 15 September hingga 15 Oktober nanti adalah untuk para penunggang motosikal kelas B2 sahaja (tidak melebihi 250cc) dengan kadar bayaran serendah RM299 (termasuk GST).
Justeru itu, sebagai pencinta motosikal yang sentiasa mengutamakan tunggangan selamat, berhemah dan mematuhi undang-undang, RR menyambut baik usaha murni pihak JPJ demi melahirkan para penunggang yang mematuhi undangundang, berhemah seterusnya membantu mengurangkan kadar kemalangan jiwa yang semakin membimbangkan. Dengan kerjasama antara JPJ dan institusi memandu di seluruh negara, para penunggang baru pastinya akan menerima latihan yang memberangsangkan.
Kadar bayaran semasa untuk pengambilan lesen menunggang kelas B2 ialah sekitar RM350 dan dengan adanya program Mylesen yang menawarkan harga lebih rendah, ia akan membantu serta menggalakkan golongan yang berpendapatan rendah untuk memiliki lesen. Menerusi program ini juga kita dapat memastikan para penunggang itu turut dilindungi dengan insuran keselamatan.
Dengan adanya program Mylesen, sudah tidak ada alasan lagi buat pengguna motosikal di seluruh negara untuk terus menunggang tanpa menggunakan lesen yang sah. Tidak perlu lagi kita menonton di saluran berita aksi-aksi melawan arus para penunggang yang cuba melarikan diri hanya kerana ketiadaan lesen yang kadang kalanya membawa maut.
Antara syarat kelayakan untuk mendapatkan Mylesen 2015 ialah, calon-calon ini mesti warganegara atau penduduk tetap Malaysia yang berumur 16 tahun dan ke atas, memiliki MyKad/Polis/Tentera/ MyPR dan tidak memiliki apa-apa kelas lesen memandu lain termasuk lesen memandu percubaan. Calon juga mesti tidak mempunyai senarai hitam oleh mahkamah, JPJ atau Polis.
Tahniah sekali lagi kepada pihak JPJ atas usaha murni ini cuma kami amat berharap jika tempoh program Mylesen ini dapatlah dipanjangkan agar lebih ramai anak-anak muda terutamanya pelajar sekolah, institusi pengajian tinggi berkesempatan mendapatkan lesen menunggang yang sah. Selamat Menunggang. RR
Salam mesra, Khairil Azuan
Ketua Pengarang
Popular