AKIBAT MELAKUKAN KESALAHAN
Sudahlah kemalangan yang melibatkan motosikal semakin meningkat, masalah kesalahan-kesalahan yang dilakukan oleh penunggang motosikal juga bagaikan tiada penghujungnya. Pelbagai operasi telah dijalankan oleh pihak berkuasa untuk mengesan pesalah trafik ini tetapi hakikatnya, tanpa disedari usaha yang dijalankan ini adalah untuk kebaikan penunggang itu sendiri.
Antara kesalahan yang seringkali dilakukan ialah menunggang tanpa lesen dan cukai jalan, pengubahsuaian enjin, tidak mengenakan topi keledar dan menunggang di bawah pengaruh alkohol atau dadah. Menurut keratan akhbar Berita Harian bertarikh 5 April 2015 lalu, Ketua Trafik Pasukan Bukit Aman menegaskan bahawa untuk mengawal kadar kemalangan dan kematian yang melibatkan penunggang motosikal, pihak polis bakal bertindak dengan mengeluarkan saman serta merta selain menyita motosikal yang bermasalah.
Cuba fikirkan apakah kesan sampingan kepada kita jika menunggang dalam keadaan 'bermasalah'?
1) Menunggang tanpa lesen dan cukai jalan. Jika berlakunya kemalangan, penunggang bermasalah ini tidak akan menerima sebarang pampasan atau perlindungan daripada mana-mana pihak insurans. Kalau melibatkan kes kematian, ia bagaikan 'mati katak' atau dalam bahasa inggeris, senseless death. Adakah ini berbaloi jika ditukarkan dengan harga pembaharuan lesen? Cukai jalan?
2) Pengubahsuaian enjin motosikal selalunya ditala oleh mekanik di bengkel-bengkel mengikut kepandaian dan pengalamannya sahaja. Tidak ada jurutera atau mekanik yang bertauliah akan melakukan perbuatan tidak bermoral seperti ini. Tahukah anda bahawa untuk menghasilkan sebuah motosikal ia memerlukan satu pasukan yang melibatkan para jurutera, pereka, penguji dan pemeriksa yang bukan sahaja bertauliah tetapi juga mempunyai pengalaman dan kelayakan yang dibenarkan oleh satu-satu pengeluar motosikal.
Jika menunggang motosikal yang diubahsuai tidak mengikut spesifikasi atau piawaian yang ditetapkan, penunggang bagaikan sedang duduk di bawah sebiji 'bom jangka' yang mungkin akan meletup pada bila-bila masa. Jika itu berlaku...di manakah faedahnya? Jika ingin benar berlumba, beranikan diri untuk hadir di sessi ujian kelayakan perlumbaan yang dianjurkan di merata negeri.
3) Tidak memakai topi keledar? Ini cerita lama.... mungkin terlalu taksub dengan adegan filem-filem yang ditayangkan menyebabkan kita berasakan menunggang tanpa mengenakan topi keledar itu nampak cool dan berani? Salah... anda sebenarnya nampak bodoh kerana kepala kita (manusia) sangat mudah tercedera walaupun dengan ketukan kecil.
Tidak pentingkah kepala? Bukan di sinikah terletaknya otak? Bukankah telah ada beberapa kes yang menceritakan si ibu dan ayah terpaksa menanggung derita menjaga anaknya yang menjadi kurang upaya akibat kecuaian ketika menunggang. Sememangnya takdir telah ditetapkan oleh Yang Maha Esa tetapi kita harus berusaha untuk mengelakkan segala keburukan daripada berlaku.
4) Menunggang dalam keadaan mabuk atau berkhayal. Kajian menunjukkan bahawa tahap alkohol dalam darah sebanyak 0.08% sudah cukup untuk mengakibatkan seseorang itu terlibat dalam kemalangan dan hal yang tidak jauh bezanya jika sedang khayal di bawah pengaruh dadah.
Mereka yang sedang berkhayal atau mabuk tidak mungkin dapat berfikir secara rasional serta memberi tindak balas dengan sempurna seperti penunggang yang sihat. Penunggang yang mempunyai masalah ini seringkali mempunyai pandangan kabur, mengantuk, kurang peka, memberi tindak balas negatif dan halunasi. Jika berada di jalan raya, mereka bukan sahaja membahayakan nyawa sendiri tetapi juga orang lain!
Melentur Buluh Biarlah Dari Rebungnya....tanggung jawab melahirkan penunggang berkualiti bermula di bahu kita selaku penunggang dewasa. Kita perlu memberikan contoh tauladan yang baik, pamerkan cara pemakaian keselamatan di hadapan anak-anak ketika mereka kecil lagi dan terapkanlah nilai-nilai murni ini sepanjang masa. Kalau ‘si abah’ pun tak pakai topi keledar...macam mana pula dengan anaknya?
Mari kita bekerjasama! Pihak berkuasa perlu memperluaskan dan melipat gandakan usaha memantau dan mengesan mereka yang bersalah. Nilai saman perlu dipertingkatkan terutamanya untuk kesalahan yang tidak wajar dilakukan. Kita selaku penunggang motosikal perlu terus menunggang dengan berhemah dan berdisiplin.
Bermula Julai 2013, pihak kerajaan telah menyelaras sistem pembayaran saman yang diberikan oleh PDRM, JPJ dan DBKL berdasarkan prinsip ‘The More You Delay’, ‘The More You Pay. Ini juga salah satu cara yang baik untuk ‘mengajar’ pesalah-pesalah trafik agar menjadi pengguna jalan raya yang lebih baik. Untuk maklumat lanjut, sila layari Laman Interaktif Trafik PDRM di http://trafik.rmp.gov.my/copsportal/. Selamat Menunggang. RR
Salam mesra,
K.Azuan
Ketua Pengarang
Popular