Jangan Perjudikan Nasib Kita
Mungkin ramai yang sudah sedar, mungkin juga masih ramai yang tidak sedar atau mungkin juga lebih ramai yang ‘pura-pura’ tidak sedar. Peratusan kemalangan yang menimpa pengguna motosikal sememangnya semakin hari semakin menakutkan. Berbagai program telah dijalankan sama ada daripada pihak kerajaan, swasta, NGO mahu pun badan persendirian untuk mengurangkan kadar kemalangan tetapi hasilnya tetap sama. Bilangan kemalangan ini akan meningkat sekali ganda apabila tiba pula musim perayaan.
Antara masalah yang boleh difikirkan bersama ialah pemberian atau kebenaran yang diberikan oleh seorang individu kepada individu lain yang tidak berlesen. Menurut keratan akhbar ‘The Star’ bertarikh 13 Mac 2015, pihak Polis DiRaja Malaysia kini telah mengeluarkan undang-undang terbaru di mana sesiapa yang ditangkap membenarkan motosikalnya ditunggangi oleh mereka yang tidak berlesen maka jenteranya itu bakal disita dan dilelong. Selain daripada itu, kedua-dua pesalah iaitu Si Pemberi Pinjam dan Peminjam akan dikena bayaran saman yang setimpal.
Usaha ini sememangnya amat dialu-alukan kerana sikap sambil lewa ini bakal merugikan kedua-dua belah pihak. Perbuatan memberi keizinan untuk penunggang tanpa lesen memacu jentera kita sebenarnya mengajar mereka beberapa perkara buruk secara tidak sengaja. Pertama, bagi penunggang yang cilik, ia seumpama mengajar mereka agar tidak patuh kepada undang-undang jalan raya yang ditetapkan.
Kedua, menyebabkan adanya rasa tidak hormat atau benci kepada pihak berkuasa jika ditahan atau disaman kerana ketiadaan lesen. Ketiga, menyebabkan mereka lebih terdedah dengan bahaya khususnya mengenai selok belok jalan raya. Ini kerana peraturan di persimpangan, lampu isyarat, susur masuk jalan utama, penggunaan laluan kecemasan dan cara-cara menempuhi saat kecemasan hanya dapat kita pelajari melalui kursus atau kelas yang disediakan ketika proses pengambilan lesen. Keempat, secara tidak langsung kita sedang melahirkan seorang penjenayah yang engkar dengan perintah kerajaan.
Jadi, mengapa perlu kita menjadi individu demikian. Kita penunggang motosikal yang telah dididik sekian lama untuk menjadi warga negara yang berdisiplin dan patuh kepada undang-undang.
Dalam laporan akhbar itu turut memaklumkan bahawa ibu bapa yang membenarkan anak-anak mereka menunggang tanpa lesen turut akan dikenakan tindakan yang setimpal. Ya…ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi! Kalau anak-anak kita ‘diasuhkan’ dengan perkara buruk, maka jangan terkejut jika mereka suatu hari nanti boleh mencontengkan arang ke muka kita.
Sedarlah bahawa membenarkan anak-anak kita menunggang dalam usia muda dan tanpa lesen adalah perkara yang cukup memalukan. Dalam usia yang sangat muda pasti mereka inginkan perhatian, ingin kata-kata pujian, ingin diri ini melebihi keupayaan atau kebolehan rakan-rakan lain dan antara cara untuk mendapat ‘pengiktirafan’ itu dengan melakukan aksi-aksi lasak tanpa latihan dan bimbingan daripada mereka yang terlatih. Kasih sayang ibu bapa bukanlah dengan memberikan apa yang mereka inginkan secara membuta tuli tetapi dengan garis panduan yang telah tersedia. Mengapa semakin majunya teknologi, semakin mundurnya pemikiran kita?
Untuk menjadi ibu bapa yang cemerlang, biasakan diri kita dengan menceritakan kepada anak-anak sewaktu menunggang atau memandu bersama mereka tentang baik dan buruknya menunggang tanpa lesen, mengapa perlu ada lesen dan apa terjadi jika tidak berlesen. Lenturlah buluh biar dari rebungnya…Semoga kita lebih prihatin dan lebih bertanggung jawab dalam usaha melahirkan generasi yang lebih baik. Selamat menunggang. RR
Salam mesra,
Khairil Azuan,
Ketua Pengarang
Popular