Sesaat Atau Seumur Hidup?
Malang tidak berbau! Kemalangan berlaku dalam sekelip mata dan jika ia adalah disebabkan kurangnya sifat sabar dalam diri seseorang penunggang itu maka ia amat menyedihkan. Janganlah kerana beberapa saat, kita sanggup pertaruhkan nyawa atau kecatatan seumur hidup.
Apa yang sering kita lihat ialah sikap para penunggang motosikal dan pengguna jalan raya lain yang tidak sanggup menunggu lampu merah. Apabila melihat lampu kuning, kebanyakannya menerpa atau memecut selaju-lajunya untuk melepasi simpang tersebut. Bagi yang sedang menunggu pula, pendikit akan dipulas sebaik sahaja lampu hijau menyala. Situasi itu paling kita takuti! Seorang nak lari dari lampu merah.... seorang lagi dah lama sangat tunggu lampu merah!
Tak boleh ke ‘berbaris’ bersama para pengguna jalan raya yang lain untuk beberapa ketika? Lama sangat ke 45 saat... 60 saat... 90 saat? Mana hilangnya sifat sabar tu? Sedar atau tidak, lampu isyarat berperanan untuk menyelamatkan nyawa, menghalang kita daripada melakukan kesilapan di persimpangan, membantu kita supaya tidak leka, mencegah kita daripada membuat keputusan bodoh. Kalau kita patuhinya, kita akan selamat.
Bagi penunggang motosikal, kena ingat selalu bahawa kita lebih terdedah dengan bahaya berbanding kereta. Dilanggar sakit... melanggar pun sakit. Jangan ambil mudah sangat. Tak lupa juga kepada saudari-saudari yang kini agak ramai yang bertugas sebagai penghantar makanan/barangan. Jagalah diri, jangan senang-senang langgar lampu isyarat. Jika nasib tidak menyebelahi anda, kemalangan akan berlaku dan barangan yang ingin dihantar juga berkemungkinan rosak atau hilang.
Jika kemalangan itu menyebabkan motosikal saudara-saudari rosak teruk, pendapatan harian mungkin terjejas malah perlu mengeluarkan pula modal untuk membaikpulih. Bagaimana pula jika tercedera? Situasi pastinya akan bertambah buruk, sedih untuk dibayangkan. Hanya kerana beberapa saat, kita derita sepanjang hayat. Tak cukup sakit sendirian, menyusahkan orang-orang tersayang pula.
Ada juga di kalangan kita yang ‘selamber’ membuat pusingan ‘U’ walaupun di laluan yang tidak dibenarkan atau berbahaya. Alasannya, tempat membuat pusingan ‘U’ jauh di hadapan. Ini memang masalah besar kerana kawasan/lorong yang dilarang untuk membuat pusingan ‘U’ biasanya adalah laluan utama yang berkenderaan laju. Amat berbahaya jika kita terhegeh-hegeh di laluan itu sedangkan ianya kenderaan yang datang dari belakang semuanya sedang memecut. Maka, pulaslah ‘throttle’ saudara-saudari untuk sedikit masa saja lagi – sehingga sampai di laluan yang sebetulnya.
Puas difikirkan mengapa masih ramai yang bersikap sedemikian. Dari segi logik memang tak ada jawapan yang boleh menyokong tindakan-tindakan bodoh itu tetapi ada beberapa andaian menarik, antaranya:
Pertama: Tubuh badan orang-orang itu kebal, dibuat menggunakan titanium, besi waja atau lulus ilmu kebatinan peringkat tertinggi. Golongan ini bagaikan Clark Kent dalam filem Superman, kebal! Urat besi, tulang dawai! Tiada apa yang boleh melukakan mereka di dunia ini.
Kedua: Sudah terlalu lambat untuk temujanji dengan kekasih atau kena pick-up isteri. Ramai juga di antara kita yang takutkan isteri, buatnya mereka tarik muka 14, serabut dibuatnya nanti! Jadi... daripada kena marah, sanggup langgar lampu merah! Aduhai...
Ketiga: Sudah lewat ke tempat kerja, lebih-lebih lagi di syarikat yang mengamalkan Sistem Penggunaan Kad Perakam Waktu (Punch Card), takut catatan berwarna merah. Jadi... daripada Punch Card merah, mereka lebih rela langgar lampu merah!
Keempat: Mungkin dah terlalu lama duduk di rumah sehinggakan begitu teruja apabila dapat kesempatan untuk keluar. Bila nampak kedai mamak (lama tak pekena teh tarik), mata dah tak berapa nampak mana satu hijau… mana satu merah atau dah lupa fungsi warna-warna tersebut.
Memang banyak lagi alasan-alasan yang tak masuk akal akan diberikan oleh ‘kawan-kawan’ kita jika ditanya mengapa mereka melanggar lampu merah atau lain-lain kesalahan yang berkaitan dengan kesabaran. Apa yang boleh kita lakukan ialah, teruskan memberi nasihat kerana kita sayangkan mereka. Jika masih berdegil, golongan ini memang sesuai benar dengan peribahasa, “Biarlah Si Luncai Terjun Dengan Labu-Labunya.”.
Usahlah kita ‘membenci’ lampu isyarat! Bila dah merah, berhentilah. Anak-anak kita yang masih bersekolah lebih faham makna warna lampu-lampu isyarat – jangan kita pula melanggar undang-undang ketika bersama anak-anak! Jangan dididik jiwa suci itu untuk melakuan kesalahan. Jika pernah kita lakukan kesilapan itu, jangan ulangi lagi. Ingat mak, ayah, atuk, nenek, abang, kakak, adik-adik, anak-anak dan sahabat handai. Selamat menunggang dan pulanglah dengan selamat. RR
Popular