Berkongsi Pengalaman Menyelamatkan Jiwa
Tahun demi tahun kita dapat melihat dan merasakan evolusi motosikal bergerak dengan amat pantas sekali. Kuasa dipertingkatkan, kestabilan diperkemaskan dan soal keselamatan penunggang sentiasa diutamakan. Setiap pengeluar motosikal akan sentiasa memastikan setiap jurutera dan para pereka mereka tampil dengan idea baru yang mampu menyelamatkan nyawa setiap penunggang motosikal di dunia ini.
Ya... untuk diselarikan dengan kemantapan kuasa enjin yang kini sudah mencapai ke fasa yang amat mengagumkan, tahap keselamatan sesebuah jentera itu juga sedang diperhalusi tanpa mengenal jemu. Traction Control, Stability Control, Ride by Wire, sistem ABS, Engine Braking Controller dan banyak lagi yang membuatkan insiden seperti jatuh, terbabas dan kemalangan hampir mustahil untuk berlaku.
Dengan pelbagai jenis promosi, harga potongan dan pinjaman mudah yang ditawarkan oleh sesebuah syarikat permotoran, memiliki motosikal berkuasa tinggi kini bukanlah perkara yang sukar. Sebagai pencinta motosikal, kita amat menyokong dengan peningkatan jumlah pemilikan ini. Destinasi pelancongan dan lokasi-lokasi menarik di tanahair kini lebih kerap dikunjungi oleh para bikers, pengeluar pakaian keselamatan juga menerima kunjungan pelanggan dengan lebih kerap dan para pekerja dapatlah berulang alik dengan lebih selesa dan cepat.
Tetapi… sedih dan malangnya, indeks kemalangan di kalangan para penunggang motosikal terus meningkat. Mengapa? Benar... ajal itu di tangan Tuhan tetapi bukankah kita disuruh berikhtiar untuk terus selamat dan terus hidup? Antara faktor utama berlakunya kecelakaan ialah disebabkan kecuaian dan kelalaian manusia. Sukar dipercayai, teknologi yang hebat gagal menyelamatkan jiwa.
Kalau kita perhatikan dan mengkaji semula. Sikap tidak bertanggung jawab dan tidak matang penunggang itu sendiri juga adalah punca masalah ini terus berlaku. Ramai penunggang superbike yang terlalu bergantung kepada teknologi sesebuah motosikal melebihi keupayaan dirinya. Selepas membuat talaan sistem TC, pemetaan yang disukai... pendikit dipulas menuju jalanan berselekoh sedangkan pengalaman masih cetek. Memecut laju memang mudah... tetapi untuk memperlahankan kelajuan dengan betul sebelum masuk ke selekoh memerlukan pengalaman.
Disarankan dan dicadangkan kepada para penunggang muda, dampingi mereka yang telah lama menunggang. Jangan ego... jangan malu untuk bertanyakan tentang gaya dan cara tunggangan yang betul. Para penunggang 'otai' ini sudah pernah menunggang dan 'meleper' dengan sebuah mesin 1000cc tanpa sebarang sistem keselamatan berteknologi tinggi. Pengalaman dan kebergantungan pada keupayaan diri sendiri adalah keutamaan berbanding menyerahkan bulat-bulat pada jentera itu sahaja.
'Otai-otai' ini juga lebih arif pada selok belok sesebuah tempat berbanding penunggang muda. Sebelum melakukan ekspedisi atau konvoi ke suatu tempat (lebih-lebih lagi jika ke luar negara), jumpa rakan-rakan yang pernah berkunjung ke sana untuk mendapatkan panduan dan nasihat. Setiap penunggang juga perlu menghormati corak kehidupan sesebuah masyarakat setempat itu sebelum bermotor ke sana. Tanpa pengalaman dan pengetahuan yang luas mengenai sesebuah tempat, insiden dan kemalangan ternyata boleh berlaku.
Revolusi dunia motosikal berlaku untuk mencari resolusi kepada masalah kemalangan yang sedang berlaku. Apa yang penting sebelum memanjat di atas motosikal baru ialah dengan membuat penilaian dan penyesuaian diri. Kenali motosikal sebelum memecut, banyak bertanya dan meluangkan sedikit masa dengan rakan-rakan motosikal lain yang lebih berpengalaman.
Sentiasa ingat pepatah lama, “Malu Bertanya, Sesat Jalan....” Selamat Menunggang. RR
Salam Mesra
Khairil Azuan
Ketua Pengarang
Popular