Isu Terkini

Julai 2024

Personaliti / 16 Ogos 2020

Datuk Kapten Nik Huzlan Nik Hussain Pencinta Motosikal Sejati

Bagi pencinta motosikal di Malaysia, nama Datuk Kapten Nik Huzlan Nik Hussain sudah cukup popular. Beliau dikenali sebagai pencinta motosikal sejak puluhan tahun yang lalu dan telah memiliki lebih daripada 100 buah motosikal hingga ke hari ini. Cintanya untuk dunia dua roda amat luas, tidak kira jenama dan tidak kira model apa. Dari Vespa, skuter, sportbike, sport touring, dual purpose, naked motocross hinggalah ke model cruiser, semuanya pernah beliau miliki.

Selain motosikal, Datuk Kapten Nik turut mempunyai cinta yang sangat mendalam pada dunia penerbangan. Beliau merupakan bekas Ketua Juruterbang di Malaysia Airlines (MAS) dengan 30 tahun pengalaman penerbangan ke seluruh dunia termasuklah menerbangkan mantan Presiden Amerika Syarikat, Bill Clinton pada tahun 2005 dan pasukan bolasepak gergasi, Manchester United.

“Saya mula minat dengan motosikal apabila melihat pakcik saya yang menetap sekali di rumah membawa pulang sebuah Triumph 500cc. Memang bergaya sungguh. Itu kisah awal saya dengan motosikal. Kisah cinta pada penerbangan tercetus apabila mendapat peluang menaiki kapal terbang kecil buat pertama kalinya di sambutan Hari Keputeraan Sultan Kelantan.”

“Dengan bayaran RM15-RM20 ketika itu, kami dibawa menaiki kapal terbang untuk jangka masa sekitar 15 minit. Masa itulah saya dapat melihat cantiknya dunia dari atas dan semangat untuk menjadi juruterbang semakin membara apabila mendapati pilot yang menerbangkan kami pada hari itu ialah seorang perempuan. Kalau orang perempuan pun boleh, tak akanlah saya tak boleh?”

Datuk Kapt. Nik berasal dari Kelantan dan dibesarkan dalam keluarga pendidik. Pada usia sembilan tahun, bapanya membuat keputusan untuk berhijrah ke Kuala Lumpur demi masa depan dan mahukan anak-anaknya belajar serta bertanding dengan orang-orang bandar yang lebih bijak. Kedua ibu bapanya sedar, mereka perlu ke bandar agar peluang lebih terbuka. Datuk Kapt. Nik meneruskan pembelajaran di Victoria Institution dan seterusnya ke Kolej Penerbangan Diraja Selangor.

Datuk Kapten Nik bersama isterinya, Datin Geraldine.
Datuk Kapten Nik bersama isterinya, Datin Geraldine.

“Saya mula menaiki motosikal pada usia 15 tahun yang dipinjam daripada tukang penghantar surat khabar. Pertama kali pegang motor, berklac pula. Ia sebuah Honda Bentley, empat lejang. Nak beli motosikal? Saya perlu dapatkan kerja yang bagus dan itulah sebabnya saya letakkan dalam diri agar berupaya menjadi juruterbang. Gaji banyak bolehlah beli motor dan syukur sekali, segala perancangan berjalan dengan lancar.”

Selepas menamatkan pengajian di Kolej Penerbangan Diraja Selangor, Datuk Kapt. Nik mencuba nasib untuk dipilih menjadi pilot. Daripada 3,000 calon yang hadir, beliau merupakan antara 12 orang terpilih. Sejak tahun 1979, antara kapal terbang yang pernah diterbangkan adalah seperti F27, Boeing 737 dan Boeing B777.

Bila kewangan dah mencukupi, barulah boleh beli motor! Motosikal pertama miliknya ialah sebuah Suzuki GT380 pada harga RM1,800. Model ini menarik perhatiannya kerana ia memiliki 4 corong ekzos. Sementara menunggu panggilan untuk menjadi juruterbang, beliau sempat bekerja dalam perniagaan membaik pulih kereta untuk dijual semula. Duit yang terkumpul itulah beliau gunakan untuk upgrade motosikal miliknya.

“Saya memang sukakan kejuruteraan dan teknologi. Berkat gaji yang diperolehi, saya sudah dapat memiliki motosikal yang diingini. Bagi saya, motosikal menawarkan teknologi yang pesat membangun dan kita dapat merasakan setiap pembaharuan pada harga yang mampu milik. Contohnya, kalau nak rasa teknologi terkini pada kenderaan empat roda, kita perlu memandu sebuah Ferrari – memang mahal sangat!”

Datuk Kapt. Nik sempat merasakan pelbagai jenis teknologi yang diperkenalkan dari tahun ke tahun. Dari segi enjin, talaan, sistem elektronik, pakej keselamatan dan lain-lain. “Saya dapat melihat pembangunan motosikal dari zaman ke zaman. Contohnya dari brek jenis gelendong ke brek cakera, bar hendal (biasa/clip-on), jenis tayar (tanpa tiub/biasa), sistem penyejuk udara ke sistem penyejuk cecair, dua lejang ke empat lejang, satu silinder ke empat silinder atau dari motor biasa hingga ke yang penuh sistem elektronik. Saya juga sempat melihat perubahan pakaian menunggang dari dulu hingga sekarang. Ada ketikanya semua berjaket kulit, diganti pula dengan racing suit dan terkini jaket jenis hoodie pula.”

Datuk Kapt. Nik juga sempat mengharungi zaman 'demam turbo' pada tahun 1980an di mana para pengeluar motosikal Jepun seperti Kawasaki, Yamaha, Honda dan Suzuki masing-masing bersaing untuk memperkenalkan model Turbo. Beliau dapat memiliki salah satu daripadanya iaitu Yamaha Turbo Seca 650 pada harga RM24,800.

“Dulu, motosikal memang tidak banyak varian. Kalau jentera 1,000cc, setiap pengeluar ada satu model sahaja. Bagi mereka yang sukakan pengembaraan, terpaksalah beli aksesori tambahan untuk melakukan ubahsuai sedikit. Motosikal sekarang pula ada banyak versi untuk saiz enjin yang sama contohnya Honda 500cc sahaja sudah ada tiga varian yang dihasilkan untuk peminat sport, pengembaraan dan untuk jalanan biasa. Bagi perubahan dunia motosikal paling rancak, paling besar ialah pada era 70an hingga 80an.”

Beliau telah mengembara ke pelbagai pelusuk dunia termasuk Asia, Eropah, Amerika Syarikat hingga ke Himalaya. Menurut Datuk Kapt. Nik, menerusi motosikal lah beliau dapat mendekati pelbagai jenis masyarakat dengan lebih mudah. Memang seronok apabila dapat berbual dengan orang tempatan yang sentiasa mahu berkongsikan kisah dengan pengembaran motosikal. Datuk Kapt. Nik sering mengembara bersama isterinya, Datin Geraldine tetapi jika laluan ekstrim, beliau selalu menunggang solo.

Dalam dunia perlumbaan pula, Datuk Kapt. Nik pernah menyertai Penang Race suatu ketika dulu. “Kami berkonvoi ke Pulau Pinang dan antara peraturan yang wajib diikuti ialah meletakkan pita lekat pada lampu hadapan (takut kaca berkecai jika jatuh) dan potong nombor pendaftaran (besi) untuk diletakkan di bahagian tepi dan enjin mesti 'standard'! Penonton pula dekat sampai bisik pun boleh dengar. Suasana sebegini memang cukup seronok sekali.”

Menurut beliau, ada macam-macam jenis penunggang motosikal. Ada yang jadi biker sebab ikut kawan, ikut trend dan dari minat individu itu sendiri. Ada juga yang 'melekat' pada jenama sahaja. Kalau brand lain dia tak nak kawan. Ada juga beli motor untuk berkonvoi atau pergi kenduri sahaja dan ada pula 'kaki' bikeweek.

“Antara pengalaman yang tidak boleh saya lupa ialah ketika cuba menunjuk di hadapan para pelajar perempuan Stamford College yang sedang menunggu bas. Depan bus stop tu ada selekoh cantik. Saya dan kawan-kawan memang tayang skill tapi di sini juga saya jatuh! Ego punya pasal, tak ada rasa sakit, motor berat pun angkat... terus sambung ride. Sampai tempat tak ada orang barulah merintih kesakitan.”

Rimba Valley Motor Campsite.
Rimba Valley Motor Campsite.

Cintanya pada dunia motosikal tidak hanya tamat di jalanan, kini beliau turut menganjurkan perlumbaan lasak bertaraf antarabangsa iaitu Rimba Raid yang dimulakan pada tahun 2015. “Saya amat berbangga dengan penganjuran ini kerana boleh dikatakan ia adalah perlumbaan lasak terbesar di dunia yang menggunakan hutan tropika dan jalan sedia ada (bukan jalan yang direka untuk berlumba). Hutan di Malaysia adalah yang tertua di dunia, satu khazanah negara yang harus dikongsikan buat para pencinta alam sambil tidak merosakkan hutan.”

Rimba Valley Motor Campsite merupakan tempat percutian yang memberi tumpuan kepada alam sekitar, sungai dan suasana segar. Ramai bikers, camper van, caravan sering bermalam di sini kerana airnya yang bersih dan udaranya yang sihat. Turut singgah di Rimba Valley ini ialah para pengembara dari luar negara dan inilah peluang bagi Datuk untuk memperkenalkan Malaysia di mata dunia. Ia dibuka setiap hari dan untuk dapatkan bilik yang diminat, sila hubungi: Rimba Valley Motor Campsite, Kampung Janda Baik, 28750 Pahang. Tel: 0139234701. RR

Isu Pada

Ogos 2020

Popular

  • Model Baru

    EICMA 2024: Moto Morini Alltrhike 450: Makin Meriah Segmen Kembara

  • Warta Roda

    Cikgu Pencen Ubahsuai Motosikal Untuk Bersihkan Kampung

  • Dari Litar

    Honda HRC - Repsol: Penghujung Suatu Era

  • Dari Litar

    Jorge Martin Cipta Sejarah, Pelumba Pasukan Satelit Pertama Jadi Juara MotoGP!

  • Warta Roda

    Honda BigWing Melaka Dibuka Secara Rasmi

Artikel berkaitan

Cikgu Offroad, Mohd Halim "Yang Kental Pasti Sampai Pos Balar"

Uncle Chin - Gemar Pengembaraan Luar Bandar

Pelumba Muda, Dharwin Lingam Lebih Semangat Harungi Musim Baru

Rewi Hamid Bugo - Usahawan & Pencinta Motosikal Sejati

Khairulamirin Yahaya - Pelumba Supermoto Negara

Md. Mikail Razlan - Terus Buru Kegemilangan

Bob Eden - Ingin Menabur Bakti Buat Pengguna Motosikal

Gary, Tina & Sam Sharman - Pencinta Motosikal Sejati

Disyorkan untuk anda
Warta Roda

Cikgu Pencen Ubahsuai Motosikal Untuk Bersihkan Kampung

Bermodalkan RM700, seorang pesara guru mengubah suai motosikalnya sebagai pe­ngangkut sampah dan me­lakukan kerja-kerja mengutip sampah secara sukarela di Kampung Lanai, di sini.

Dari Litar

MotoGP Malaysia: Walaupun Raih Juara, Misi Pecco Belum Selesai....

Pecco akhirnya menerima bendera penamat sebagai juara diikuti Martin di tempat kedua dan kini mendahului carta dengan 24 mata manakala Enea Bastianini di tempat ketiga.

Warta Roda

Operasi Khas Motosikal Besar-Besaran Bermula....

Operasi Khas Motosikal akan dijalankan secara besar-besaran bermula 1 November hingga 31 Disember di seluruh negara susulan peningkatan kadar kemalangan yang direkodkan pada tahun ini.

Model Baru

Yamaha Europe Perkenalkan Tracer 9, Tracer 9 GT & Tracer 9 GT+ 2025

Yamaha Motor Europe telah memperkenalkan rangkaian Sport Touring mereka bagi tahun 2025 iaitu Yamaha Tracer 9, Tracer 9 GT dan Tracer 9 GT+ Y-AMT.