Isu Terkini

Oktober 2024

Personaliti / 1 Ogos 2017

Tham Bii Sheng Ingin Ikuti Jejak Pakciknya

Bagi peminat perlumbaan motosikal negara, Oh Kah Beng merupakan lagenda dunia permotoran negara yang masih terus aktif hingga ke hari ini. Beliau pernah meraih pelbagai kejayaan dalam sirkit GP yang disertainya. Zaman kegemilangannya ialah pada tahun 1980an apabila menjuarai Kejuaraan GP kebangsaan dengan menunggang jentera Suzuki dan Kawasaki serta meraih kejayaan di Macau GP pada tahun 1982 dan 1983.

Ke mana tumpahnya kuah jika bukan ke nasi.... ini mungkin perumpamaan terbaik yang boleh kita gunakan pada Profail Pelumba kali ini iaitu Tham Bii Sheng, anak saudara kepada Oh Kah Beng yang kini bersaing dalam perlumbaan Petronas Cub Prix atau lebih tepat dalam kategori Yamaha Petronas Super Series.

Tham Bii Sheng juga mempunyai nama panggilan iaitu Hayden, kini berusia 19 tahun dan merupakan seorang mahasiswa diploma di Despark, Pulau Pinang dalam bidang Kejuruteraan Automotif. Minatnya dalam motosikal tumbuh sejak kecil lagi selepas melihat kemantapan tunggangan para pelumba GP dan keghairahan bapa saudaranya dalam dunia motosikal.

“Ketika berumur tujuh tahun, saya telah benar-benar jatuh hati pada dunia motosikal kerana kelajuannya. Oleh itu, ayahnya En. Tham Siew Hip (seorang bekas pelumba era 80an dulu) membelikan saya sebuah pocket bike untuk berlatih dan pada masa yang sama, terdapat perlumbaan pocket bike di Pulau Pinang. Ketika berusia lapan tahun, saya mencuba nasib dan berjaya mendapatkan tempat kedua pada perlumbaan pertama dan itulah cukup menyeronokkan.”

Tham kemudian meneruskan minatnya dalam dunia motosikal dengan menghadiri klinik dan latihan menunggang yang dianjurkan oleh bapa saudaranya, Oh Kah Beng di Most Fun Gym (MFG) yang terletak di Sungai Penchala. Dengan menunggang jentera motocross, Tham memiliki kelebihan terutamanya dari segi pengendalian, posisi badan, brek, fitness dan sedikit ilmu tentang penyelenggaraan motosikal.

Selepas beberapa lama berlatih dan menyiapkan diri, Tham sempat mencuba nasibnya dalam pusingan kelayakan pemilihan para pelumba untuk Cabaran Shell Advance Talent Cup pada tahun 2014. Tham cukup bertuah kerana mendapat kepercayaan daripada kedua ibu bapanya yang sentiasa menyokong dan menghormati segala keputusannya.

“Emak pada mulanya tidak begitu setuju tetapi dia juga tahu bahawa hati saya dan ayah adalah sama. Dua-dua pencinta motosikal. Saya mahu cuba sebaik-baiknya dalam apa jua bidang yang saya ceburi.”

Selepas mempunyai lesen menunggang, Tham kini memiliki dua buah motosikal iaitu sebuah Honda CBR250R dan Kawasaki KSR110. “Walaupun kecil, saya sudah dua kali terlibat dalam kemalangan dengan KSR ini. Satu daripadanya berlaku di waktu malam, oleh kerana terlalu mengikut ajakan kawan yang ingin memecut, saya gagal mengawal jentera yang akhirnya terbabas di atas jalan. Oleh kerana tidak memakai pakaian yang sesuai, Tham mengalami sedikit kecederaan.”

Selepas kemalangan itu, Tham tidak lagi mengambil sikap sambil lewa dengan mengenakan pakaian yang sesuai setiap kali menunggang tidak kira dekat atau jauh.

Tahun 2017 merupakan musim pertamanya dalam dunia perlumbaan sebenar dan walaupun masih baru, Tham akui dia perlu cepat memperbaiki tunggangannya dan mengatasi segala kelemahan. “Cabaran dalam kelas ini memang sukar kerana para pelumba inginkan kemenangan. Saya perlu lebih bersedia, lebih mantap dan mempunyai ketahanan fizikal yang tinggi. Ini kerana terdapat ramai pelumba yang berbakat besar dan mempunyai gaya tunggangan yang bagus.”

Untuk memperbaiki tunggangannya, Tham diberi latihan dan tunjuk ajar oleh bapa saudaranya dan bekas pelumba negara, Shahrun Nizam Tamin yang tidak pernah lokek untuk berkongsikan tip dan cara menunggang dengan betul terutamanya ketika berlumba.

Setakat pusingan kelima yang berlangsung di MAEPS, Serdang pada pertengahan Julai lalu, Tham telah mengumpul sebanyak 18 mata untuk berada di kedudukan ke-13 keseluruhan. “Saya perlu tenang dan lebih yakin untuk mendapatkan posisi yang lebih baik di setiap pusingan.”

RR berharap Tham Bii Sheng akan terus bersemangat dan menyinari dunia perlumbaan di negara. Tahniah dan selamat maju jaya! RR

Isu Pada

Ogos 2017

Popular

  • Warta Roda

    Insiden Putra Heights: MOT Sumbang 55 Unit Yamaha Ego Avantis Kepada Mangsa Terjejas

  • Warta Roda

    Kerjasama Ducati dan Lamborghini diteruskan lagi dengan penampilan model baru esok!

  • Dari Litar

    Espana Superbike Championship (ESBK):Qabil Irfan Raih Kemenangan Berganda di Jerez

  • Warta Roda

    Tiga Warna Terbaru Untuk Yamaha Y16ZR ABS 2025

  • Warta Roda

    Tak Puas Hati Kerana Lumba Haram, Sekumpulan Lelaki Merusuh Guna Pedang Samurai

Artikel berkaitan

Cikgu Offroad, Mohd Halim "Yang Kental Pasti Sampai Pos Balar"

Uncle Chin - Gemar Pengembaraan Luar Bandar

Pelumba Muda, Dharwin Lingam Lebih Semangat Harungi Musim Baru

Rewi Hamid Bugo - Usahawan & Pencinta Motosikal Sejati

Khairulamirin Yahaya - Pelumba Supermoto Negara

Md. Mikail Razlan - Terus Buru Kegemilangan

Bob Eden - Ingin Menabur Bakti Buat Pengguna Motosikal

Gary, Tina & Sam Sharman - Pencinta Motosikal Sejati

Disyorkan untuk anda
Warta Roda

Midnight Black, Warna Terbaru Untuk Yamaha MT-15

Para peminat Yamaha MT-15 kini boleh memilih untuk mendapatkan model jalanan ini yang kini berada di pasaran dengan warna serba baru. Ya... MT-15 yang paling 'fresh' berada di pasaran hadir dengan warna Midnight Black.

Model Baru

BMW Motorrad Malaysia Perkenalkan BMW C 400 X & C 400 GT. Harga bermula RM47,500

BMW Motorrad Malaysia telah melancarkan skuter maksi baru iaitu BMW C 400 X & C 400 GT yang direka sesuai untuk para pencinta jentera automatik di seluruh negara.

Model Baru

Honda NSS250 2025 Tampil Warna Baru & Meter TFT

Boon Siew Honda turut memperkenalkan versi skuter terkini iaitu Honda NSS250 bagi tahun 2025.

Model Baru

Aveta DY115 Baharu Diperkenalkan - Harga Bermula RM3,988

Aveta Malaysia telah memperkenalkan model terbaru untuk pasaran negara iaitu DY115.