Isu Terkini

Julai 2024

Personaliti / 5 Februari 2017

Sunny Ramalingam Hero Motocross!

Bagi pencinta dunia motocross, Sunny Ramalingam pastinya satu nama yang tidak perlu diperkenalkan lagi. Dari dulu hingga kini, Sunny sentiasa gagah dan tangkas mengendalikan jentera lasaknya di litar sehingga masih mampu bergelar juara. Hebat!

Berumur 59 tahun, Sunny memulakan kariernya pada tahun 1980 di Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) sebagai seorang eksekutif pemasaran. “Waktu dahulu, kedua ibu bapa saya langsung tidak benarkan saya dekati dengan motosikal. Bukan setakat naik... jadi penumpang pun tak boleh. Tapi akhirnya mereka tetap menghadiahkan saya sebuah Honda C70 untuk saya ke tempat tuisyen.”

Motosikal tersebut dibeli pada harga RM650 (pada tahun sekitar 1975) merupakan motosikal pertama milik Sunny yang juga digunakan untuk ke sekolah. Sebelum ini, Sunny hanya berbasikal ke sekolah tetapi basikal miliknya agak istimewa. “Saya memotong madgad hadapan menjadi lebih pendek dan hendal bar ditinggikan. Di hujung minggu, saya dan rakan-rakan akan berbasikal dan menguji kelasakan masing-masing ke kawasan tanah merah dan berpasir.”

Suatu hari, beliau dibawa abangnya ke Ipoh Polo Ground untuk menonton perlumbaan dirt bike pertama (atas rumput) dan Sunny terus jatuh cinta pada sukan motor ini. Beberapa tahun kemudian, Sunny membeli jentera scrambler pertamanya iaitu Honda XL100 dan kemudiannya membeli pula sebuah Suzuki TS185. Dengan Suzuki inilah Sunny mula menceburi perlumbaan motocross iaitu di Pusing MX Ipoh. Sunny akui bahawa dirinya menggemari dunia motocross lebih daripada motosikal jalanan.

“Saya cintakan perlumbaan MX kerana dia amat pantas, mantap dan cukup hebat. Anda bukan sahaja memerlukan skil yang tinggi tetapi juga kekuatan fizikal. Perlumbaan ini sentiasa memberikan adrenalin terutamanya ketika membuat lompatan, memasuki jalan berlumpur dan ketika mengendali kepantasan mesin anda di jalanan berpasir. Selepas berjaya melepasi halangan-halangan tersebut, setiap pelumba MX merasakan nikmat dan kepuasan.”

Tidak lama kemudian, Hong Leong Yamaha Motor menganjurkan Yamaha Motocross School di Ipoh dengan membawa seorang tenaga pengajar dari Jepun iaitu K. Iwao. “Disebabkan saya tidak memiliki jentera Yamaha, saya meminjam sebuah unit motocross (Yamaha DT100) daripada seorang kenalan. Selepas selesai latihan tersebut, saya membeli Yamaha YZ125 yang dibawa hampir setiap minggu ke litar Pusing MX di Ipoh.

Melihat akan kebolehan yang ditunjukkan, salah satu pengedar Yamaha di Ipoh telah membawa Sunny ke perlumbaan pertamanya iaitu Camel Motocross di Penang. Oleh kerana terlalu minat, beliau tetap sertai perlumbaan tersebut senyap-senyap walaupun kedua ibu bapa tidak begitu setuju.

“Perlumbaan pertama saya tidak berjalan dengan lancar kerana kekurangan pengalaman. Saya ter'wheelie' di awal perlumbaan dan terbabas. Walaupun berjaya bangun dan menyambung perlumbaan semula, saya tidak pasti kedudukan apa yang diperolehi ketika itu.”

Selepas perlumbaan tersebut, Sunny menyertai lebih banyak klinik dan kursus perlumbaan termasuk yang diadakan di luar negara iaitu di Jepun. Sekembalinya ke Malaysia, HLYM telah menawarkan kontrak perlumbaan dan karier selama tiga tahun. Menerusi perlumbaan ini, Sunny berpeluang untuk menjejakkan kakinya beberapa kali ke New Zealand, Jepun, Hong Kong, Indonesia dan Thailand. Sejak berlumba bersama pasukan Yamaha, kedua ibu bapanya memberi sokongan penuh dan mencuba sedaya uapaya untuk hadir ke setiap perlumbaan MX yang beliau sertai. Kejayaan yang dimilikinya juga amat membanggakan seluruh keluarganya.

Adatlah orang berlumba... jatuh dan luka itu perkara biasa. Menurut Sunny, beliau pernah mendapat kecederaan di beberapa bahagian anggota badannya tetapi itu semua tidak pernah mematahkan semangatnya untuk meninggalkan dunia yang diminatinya. Kariernya bersama HLYM berakhir selepas lapan tahun bersama.

Walapun begitu, Sunny terus memerah jenteranya untuk berlumba dan memahirkan tahap tunggangan tanpa henti. Ternyata beliau merupakan antara pelumba MX yang cukup disegani dari dulu hingga kini. Perlumbaannya yang terakhir ialah di Burung Mandi Endurance Race di Kuala Lipis. Perlumbaan itu juga memberikan kenangan manis buat Sunny kerana berjaya menjuarai perlumbaan kategori 1 Hour 4 Stroke Endurance dan menang pula kategori 4 Hours Endurance Race pada hari kedua.

Sunny bukan sahaja terkenal sebagai pelumba yang cukup berbakat tetapi juga kerana sifat dan sikapnya yang wajar dicontohi. Beliau cukup mementingkan disiplin diri, kompetitif, rajin berlatih dan berfikiran positif. Untuk kekal cergas, Sunny sentiasa ke gimnasium, berlari (jogging) dan berlatih. Dengan kerap menjalani latihan, gaya tunggangannya semakin baik dari masa ke semasa.

“Saya kini berlumba untuk suka-suka sahaja dan kembali ke litar pada tahun 2013 dengan menyertai persaingan Malaysian Supermoto Championship dan meraih tempat ketiga keseluruhan dalam kategori Veteran dan paling membanggakan tentulah ketika dinobatkan sebagai Juara Keseluruhan Malaysian Supermoto Veteran Championship 2014 pada usia 57 tahun.”

Berkenaan dengan kerjaya, Sunny mula bekerja di dalam agensi perkhidmatan HLYM pada tahun 1989 kerana minat dan keserasiannya dalam dunia motosikal. Sejak dari saat itulah beliau bekerja bersama HLYM hingga kini. “Saya kini merupakan seorang pengarah di syarikat milik saya sendiri dan menguruskan hal ehwal pengiklanan dan promosi buat HLYM.”

Menurut Sunny, untuk menjadi pelumba yang berjaya, seseorang itu perlu mempunyai disiplin yang tinggi untuk kekal cergas dan ketahanan stamina. Enjoy dan bergembira setiap kali berlumba kerana ia terbukti mampu mendorong pelumba mendapatkan rentak yang lebih baik.

“Ternyata jumlah peminat dan pelumba MX memang cukup ramai tetapi sayangnya penganjuran perlumbaan ini di peringkat kebangsaan amat kurang sekali. Terdapat perlumbaan yang dianjurkan di kawasan kampung hampir setiap minggu dan ini membuktikan sukan ini masih diminati cuma masalah harga jentera MX yang mahal menyebabkan ramai pelumba tidak mampu memiliki model-model terkini. Pihak pengeluar motosikal juga kurang berminat untuk menaja pelumba MX kerana jentera ini tidak dijual di pasaran negara dan tiada nilai promosi berbanding motosikal jalanan atau moped.”

“Nasihat saya untuk para pencinta motosikal muda ialah belajar untuk berjalan terlebih dahulu sebelum terus berlari. Ini bermakna, mahirkan dulu diri kita dengan perkara asas mengenai motosikal tidak kira model jalanan atau jentera MX sebelum melangkah masuk ke dunia perlumbaan. Sabar... belajar menunggang dengan betul sebelun ke tahap lebih tinggi,” kata Sunny. RR

Isu Pada

Februari 2017

Popular

  • Model Baru

    EICMA 2024: Moto Morini Alltrhike 450: Makin Meriah Segmen Kembara

  • Warta Roda

    Cikgu Pencen Ubahsuai Motosikal Untuk Bersihkan Kampung

  • Dari Litar

    Honda HRC - Repsol: Penghujung Suatu Era

  • Dari Litar

    Jorge Martin Cipta Sejarah, Pelumba Pasukan Satelit Pertama Jadi Juara MotoGP!

  • Warta Roda

    Honda BigWing Melaka Dibuka Secara Rasmi

Artikel berkaitan

Cikgu Offroad, Mohd Halim "Yang Kental Pasti Sampai Pos Balar"

Uncle Chin - Gemar Pengembaraan Luar Bandar

Pelumba Muda, Dharwin Lingam Lebih Semangat Harungi Musim Baru

Rewi Hamid Bugo - Usahawan & Pencinta Motosikal Sejati

Khairulamirin Yahaya - Pelumba Supermoto Negara

Md. Mikail Razlan - Terus Buru Kegemilangan

Bob Eden - Ingin Menabur Bakti Buat Pengguna Motosikal

Gary, Tina & Sam Sharman - Pencinta Motosikal Sejati

Disyorkan untuk anda
Warta Roda

Honda BigWing Melaka Dibuka Secara Rasmi

Boon Siew Honda (BSH) telah merasmikan pembukaan Honda Bigwing yang pertama di Melaka.

Model Baru

EICMA 2024: Honda Perkenalkan CL500, Jentera Retro Moden

Model baru ini menyasarkan para peminat dua roda muda yang mementingkan gaya retro dengan spesifikasi moden.

Warta Roda

Operasi Khas Motosikal Besar-Besaran Bermula....

Operasi Khas Motosikal akan dijalankan secara besar-besaran bermula 1 November hingga 31 Disember di seluruh negara susulan peningkatan kadar kemalangan yang direkodkan pada tahun ini.

Dari Litar

GP Valencia 2024 Dibatalkan...Litar Untuk Pusingan Akhir Belum Dipastikan Lagi

Berikutan bencana banjir yang melanda beberapa buah bandar di Utara Sepanyol yang turut melibatkan komuniti di Valancia, pihak Dorna telah mengumumkan bahawa GP Valencia yang dijadualkan berlangsung pada 15-17 November nanti telah dibatalkan.