Nasarudin Mat Yusop Usaha Tangga Kejayaan
Saya memang cukup meminati dunia motosikal kerana ia seronok dan memberi kebebasan. Selepas tamat pengajian, saya bertugas buat sementara sebagai seorang despatch dan ketika itu jentera paling popular ialah Yamaha RXZ. Itulah antara kenangan awal saya dengan dunia motosikal,” kata Nasaruddin kini berumur 48 tahun dan seorang usahawan yang lebih mesra dengan panggilan Nasa.
Pada tahun 1990an, cinta Nasa pada motosikal telah berubah kepada dunia empat roda. Dia aktif menyertai beberapa siri perlumbaan yang diadakan di Litar Batu Tiga. Tahun-tahun selepas itu Nasa menumpukan perhatiannya dalam bidang perniagaan hinggalah pada tahun 2006 apabila Nasa membuat keputusan untuk kembali menunggang. “Motor pertama saya ketika itu ialah Honda CBR600RR dan dengan mesin inilah saya kembali mengasah bakat. Selain menunggang di jalan-jalan biasa seperti Ulu Yam dan Genting Highlands, saya juga semakin kerap menyertai acara trackday yang dianjurkan oleh pelbagai pihak.
Ketika inilah rakan-rakan Nasa mula menegur dan memberi komen positif tentang cara dan gaya tunggangannya yang mantap dan pantas. Selepas bertambah yakin dengan keupayaan diri, Nasa mula melibatkan diri dalam perlumbaan Malaysia Super Series (MSS) dalam kategori Supersport pada tahun 2007. “Saya amat bertuah kerana mendapat sokongan penuh daripada keluarga dan rakan-rakan. Itulah yang memberi semangat untuk saya menunggang dengan cemerlang.”
Pada kemunculan pertamanya dalam MSS, Nasa berjaya meraih tempat ketiga keseluruhan kelas Novice Supersport. Mengikut peraturan yang ditetapkan oleh SIC pada musim itu, mana-mana pelumba yang telah berada dalam kelas Novice selama setahun, maka dia berhak untuk berlumba dalam kelas Expert pada tahun berikutnya. Walaupun Nasa terpaksa bersaing dengan para pelumba yang lebih berpengalaman, lebih laju... dia masih mampu menamatkan saingannya di tangga ketiga keseluruhan.
“Pada tahun 2009, saya mencuba nasib dalam kelas yang lebih tinggi iaitu Superstock 1000 dan saya di antara orang terawal yang menggunakan jentera CBR 1000RR Rabbit dalam negara ketika itu. Perbelanjaan untuk berlumba waktu itu dianggarkan sekitar RM20,000 untuk mengubah jentera jalanan biasa kepada jentera perlumbaan. Saya amat bertuah kerana mendapat tajaan daripada Two Wheel Garage (TWG) selama tiga tahun.”
“Antara pengalaman yang tidak dapat dilupakan ialah ketika memasang sistem Bazzaz di Singapura. Selepas siap talaan dan sebagainya untuk meningkatkan prestasi dan kelancaran enjin, saya terus menuju ke sempadan dengan bunyi yang sangat kuat. Nasib baik pihak berkuasa di sempadan tidak menahan dan selepas itu saya terus memecut memandangkan hari sudah lewat malam. Selepas mengubah-suai motosikal saya, penggunaan bahan api sangat-sangat kuat.”
“Minyak habis langsung apabila tiba di Melaka. Sudahlah ketika itu stesen minyak di situ sudah banyak yang tutup. Nasib baik ada rakan motosikal yang datang membantu menolak Rabbit saya sampai ke sebuah stesen yang satu-satunya masih beroperasi. Selepas itu tiap-tiap kali tiba di stesen minyak pasti saya isi... takut! Dah lah menunggang seorang diri di lebuhraya pada lewat malam ketika itu.”
Pada tahun 2010, saingan semakin sengit kerana Nasa kini berlumba dalam kelas Expert yang turut dibarisi oleh para pelumba tersohor negara seperti Zamani, Zamri Baba dan para pelumba luar negara. “Saya dan Rabbit ini berjaya meraih kemenangan demi kemenangan sehinggalah pada tahun 2011. Dari Honda, pada tahun 2012 akhirnya Nasa diperkenalkan kepada model BMW S1000RR oleh syarikat TWG selepas pelumba asal mereka, Raymond Azrin mengalami kecederaan di awal-awal musim. “Itulah jentera BMW S1000RR pertama yang berlumba dan saya menggunakannya selama dua tahun.”
Pada tahun 2014, Nasa tidak lagi bersama pasukan TWG tetapi sebagai pelumba persendirian. Dia amat bertuah kerana dapat membeli sebuah jentera BMW S1000RR versi perlumbaan yang dijual oleh BMW Motorrad Malaysia. “RR ini dibeli pada harga RM120,000 dan paling menggembirakan tentulah komponen dan aksesori perlumbaan yang dipadatkan padanya sudah mampu dibawa ke atas litar. Untuk saingan Malaysian Superbike Championship (MSC), saya terpaksa membeli fairing perlumbaan pada harga RM4,000 dan kemudiannya membuat acuan lain pada harga yang lebih murah.”
Pihak BMW Motorrad turut memberi tajaan sebanyak RM8,000 untuk alat ganti dan aksesori serta duit insentif sebanyak RM1,500 di setiap pusingan. Pada tahun ini juga Nasa mendapat sokongan dan tajaan daripada syarikat Ultimate Bikers seperti mekanik, tayar Pirelli SCII dan yuran penyertaan. “Tahun itu saya terlibat dalam kemalangan yang menyebabkan tulang selangka saya patah. Saya terpaksa berehat selama sebulan! Ketika sudah mampu panjat semula ke atas motosikal, sekali lagi saya terjatuh. Nasib...nasib...!”
Menjelang musim 2015, BMW Motorrad Malaysia sekali lagi memberi tajaan seperti tahun sebelumnya. Pihak BMW lebih gemar menerima maklum balas daripada para penunggang mereka tentang kebolehan jentera S1000RR. Dengan keputusan yang cemerlang, jentera BMW S1000RR semakin banyak penyertaan bilangannya hari demi hari. Pada tahun 2014, pencapaian jentera-jentera BMW telah menarik minat banyak pihak untuk bersaing dengan menggunakan jentera ini.
“S1000RR diminati kerana kepantasannya memecut ke tahap maksimum. Jika dahulu bilangan pemilik jentera ini hanya beberapa orang, kini jumlahnya telah meningkat kepada 1/3 daripada keseluruhan jentera yang bersaing dalam MSC.”
Pada tahun ini juga BMW telah memperkenalkan BMW Motorrad Race Trophy yang melibatkan para pelumba BMW di seluruh dunia. Ketika di awal musim 2015, beberapa pelumba BMW telah disenarai pendekkan dan mereka ialah Nasarudin, Syahnas dan Luca Cassorie. Peluang untuk Nasa menerima anugerah agak cerah apabila Luca telah berpindah kerja manakala Syahnas pula mempunyai sedikit masalah. “Saya berjaya menaiki tangga podium pada perlumbaan pertama dan terus mendapat sokongan penuh pihak BMW dengan menukar warna jentera saya mengikut warna yang disyorkan pihak BMW untuk pasukannya.
Nasa menamatkan persaingan musim 2015 di tangga kelima keseluruhan dan telah dipilih untuk mewakili negara sebagai penerima anugerah BMW Motorrad Race Trophy. “Ia adalah satu penghargaan yang sangat tinggi dan cukup membanggakan buat saya sekeluarga. Jadi... pada November tahun lepas, saya, isteri dan wakil BMW Motorrad Malaysia, Noer El Huda terbang ke Jerman untuk menerima anugerah ini.”
“Ia adalah pengalaman pertama saya ke sana dan amat bertuah kerana dapat juga melihat salji di hadapan mata. Pihak BMW Motorrad membawa kami mengunjungi muzium BMW yang terletak di Munich. Oleh kerana tidak pernah ke sana, saya menambah jumlah percutian agar saya dan isteri dapat melancong dan melihat keindahan negara Jerman ini.”
“Sememangnya jentera BMW S1000RR adalah sebuah mesin yang boleh ditunggang terus ke dalam litar. Ia adalah sebuah mesin perlumbaan yang telah siap sedia pada bila-bila masa. Selain sokongan keluarga, saya juga cukup bertuah kerana mempunyai rakan-rakan pelumba hebat seperti Zamri Baba, Azlan Shah, Zamani dan Zaquan yang sentiasa memberi tunjuk ajar dan berkongsi pengalaman.”
“Apa yang diharapkan ialah promosi perlumbaan MSC ini dapat dipertingkatkan agar lebih ramai peminat motosikal dapat hadir untuk menonton persaingan yang diberikan oleh para pelumba. Perlumbaan MSS atau MSC bukanlah semata-mata untuk kita mencari kemenangan tetapi juga merupakan masa yang ideal untuk menjalankan hobi yang disukai, menambah kenalan dan sebagai tempat untuk mempromosikan barangan perniagaan,” kata Nasa.
Tahun ini Nasaruddin dijangkakan akan terus mewakili pasukan BMW Motorrad dan akan mula beraksi pada perlumbaan sokongan WSBK Malaysia pada 13-15 April nanti. Untuk memulakan kempennya tahun ini, Nasarudin menyasarkan kedudukan di tempat pertama atau kedua dalam perlumbaan tersebut. Sama-sama kita doakan kejayaan pelumba BMW ini. RR
Popular