Isu Terkini

Julai 2024

Personaliti / 19 Mac 2024

Uncle Chin - Gemar Pengembaraan Luar Bandar

Dalam dunia motosikal, penganjuran konvoi itu ada pelbagai jenis tujuan dan destinasi. Ada yang ingin melihat negara luar, ada yang ingin mencari ketenangan, ada juga yang sukakan bermotosikal bersama rakan-rakan dan ramai juga lakukannya untuk tujuan amal.

Mungkin nama Uncle Chin kurang dikenali oleh beberapa komuniti motosikal berkuasa tinggi tetapi hakikatnya, beliau memang popular kerana sering menganjurkan konvoi yang melibatkan jentera berkuasa tinggi untuk menikmati makanan-makanan sedap di gerai dan restoran luar bandar.

Nama penuh beliau ialah Chin Kok Chuan. Katanya, “Saya sekarang sudah berumur 56 tahun dan pada tahun 2017 yang lalu, saya disahkan mengidap kanser dan terpaksa melakukan pembedahan membuang buah pinggang. Apabila merenung kembali umur yang semakin meningkat, saya ingin enjoy, berehat dan menikmati keindahan Malaysia selagi masih berkesempatan.”

“Malaysia sememangnya luas dan antara cara terbaik untuk mengembara melihat negara ini ialah dengan menunggang motosikal. Oleh kerana umur pun dah meningkat, ramai orang sudah mula panggil saya uncle... so terus letak Uncle Chin lah! Orang pun suka dengan panggilan tu.”

Pada tahun 2019, Uncle Chin mencabar dirinya agar dapat menunggang motosikal dan mengambil lesen yang sah. Selepas berjaya, beliau membeli Yamaha Tracer awal pertengahan bulan Mac 2020 di Klang kerana sukakan rekabentuk dan spesifikasinya. Dengan pembelian itu, Uncle Chin terima pelbagai barangan motosikal secara percuma dan beliau merasa begitu seronok.

“Itulah kali pertama saya menunggang motosikal berkuasa tinggi dari Klang. Memang syok sebab Yamaha Tracer cukup garang sekali, pulas sahaja dah sampai 140-150km/j. Cepat-cepat saya perlahankan kepada 110km/j, skuter pun dapat potong saya.”

Sehari selepas membawa pulang motosikal barunya itu, kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan. Oleh kerana tidak dapat keluar, Uncle Chin mulakan pengambaran video mengenai motosikal yang berkaitan dengan keselamatan, pakaian sesuai dan lain-lain. Dalam jangka masa empat tahun ini, saya sudah hasilkan kira-kira 700 klip video kesemuanya berkaitan motosikal.”

“Selepas dibenarkan kembali bermotosikal, saya telah anjurkan konvoi atau ride ke kawasan-kawasan perkampungan dan luar bandar. Hingga ke hari ini, saya belum pernah mengulangi ke restoran yang sama kerana tempat persinggahan untuk makan/minum di negara kita sangat banyak, kecuali makanan di restoran itu sangat-sangat sedap.”

Ramai yang bertanyakan kenapa Uncle Chin tidak anjurkan konvoi ke luar negara, Thailand contohnya. Jawapan beliau ringkas sahaja, banyak lagi tempat di Malaysia yang perlu diterokai. Komunikasi mudah, tempat cantik, orang-orang kita pun baik-baik dan ini juga cara terbaik bagi membantu pengusaha gerai makan mendapat lebih pendapatan dan mempromosikan kedai makan itu yang beroperasi nun jauh di dalam kampung.

“Untuk mencari lokasi gerai atau restoran di kawasan-kawasan kampung, saya perlu rajin membuat pencarian dan persiapan pergerakan seperti jarak perjalanan, jangka masa dan lokasi. Saya juga amat pentingkan keselamatan dan keselesaan rakan-rakan peserta konvoi. Oleh itu, kami akan berhenti untuk berehat seketika setiap 1 jam atau 80-120 kilometer (bergantung pada jalan).”

“Bila masuk ke kawasan kampung, kami sering bertemu dengan pengusaha restoran generasi kedua yang mengenalkan kita dengan resepi tradisional yang dahulunya dimasak oleh mak dan ayahnya. Selalunya memang sangat sedap dan itulah yang menyebabkan kami seronok.”

Konvoi unik Uncle Chin ini semakin popular. Dari 20 orang peserta, kini sudah mencecah 170 orang. Menurut Uncle Chin, konvoi ke TLDM Lumut yang diadakan tahun lalu berjaya mengumpul kira-kira 130 orang peserta. Uncle Chin juga pernah anjurkan kembara yang cukup mencabar iaitu 1,050 kilometer dalam satu hari.

“Ya… kembara itu melibatkan tujuh orang peserta dan ia memang cukup mencabar bagi saya. Perjalanan bermula dari Kuala Lumpur – Raub – Sungai Koyan – Cameron Highlands – Gua Musang – Jeli – Gerik – Kuala Kangsar dan kembali ke Kuala Lumpur.”

Apa yang tidak pernah dilupakan ialah faktor keselamatan. Uncle Chin mengeluarkan syarat dan peraturan panjang, wajib dipatuhi oleh mereka yang ingin menyertai konvoi yang dianjurkan. Peraturan seperti undang-undang trafik, cara/ etika berkonvoi, pakaian menunggang yang ada ketikanya kurang disenangi – cerewet!

Antara tempat tercantik, unik dan istimewa pernah dilawati ialah di kawasan penanaman Bunga the Chrysanthemum pelbagai warna di Cameron Highlands. Menurut Uncle Chin, kepakaran pemilik kebun tersebut memang sukar dipercayai. Mereka dapat membuat pengiraan bila bunga-bunga itu akan mengembang, kembang mengikut saiz yang diminta oleh pelanggan dan lain-lain. Contohnya, pelanggan Jepun mahukan bunga Chrysanthemum ini mengembang pada saiz 2 ½ inci bila sampai di tanah Jepun. Jadi pemilik kebun ini tahu mengatur masa dengan tepat agar bunga ini akan mengembang dengan saiz yang tepat setibanya di Jepun. Hebat!

“Bagi saya mudah. Ia berkenaan dengan keselamatan dan jika seseorang peserta itu tidak bersetuju maka lebih baik jangan ikut kerana ia cukup berisiko. Tanggung jawab untuk berkonvoi dengan selamat bukannya perkara kecil. Jika terlalu ramai, saya akan pecahkan kepada beberapa kumpulan yang dikawal oleh krew marshal yang berpengalaman. Selepas beberapa lama menganjurkan konvoi ini, Uncle Chin telah menerima penajaan dari Castrol berupa minyak enjin dan servis.

“Tidak kira ke mana sahaja kita pergi, etika dan disiplin diri amat penting agar kita dihormati. Rajin-rajinlah menyusuri kawasan-kawasan perkampungan di negara kita, rasa keenakan masakan mereka yang murah dan sedap. Selain itu, kita juga dapat membantu meningkatkan ekonomi masyarakat setempat. Saya dan rakan-rakan akan teruskan nilai murni ini.” RR

Isu Pada

Mac 2024

Popular

  • Model Baru

    EICMA 2024: Moto Morini Alltrhike 450: Makin Meriah Segmen Kembara

  • Warta Roda

    Cikgu Pencen Ubahsuai Motosikal Untuk Bersihkan Kampung

  • Dari Litar

    Honda HRC - Repsol: Penghujung Suatu Era

  • Dari Litar

    Jorge Martin Cipta Sejarah, Pelumba Pasukan Satelit Pertama Jadi Juara MotoGP!

  • Warta Roda

    Honda BigWing Melaka Dibuka Secara Rasmi

Artikel berkaitan

Cikgu Offroad, Mohd Halim "Yang Kental Pasti Sampai Pos Balar"

Pelumba Muda, Dharwin Lingam Lebih Semangat Harungi Musim Baru

Rewi Hamid Bugo - Usahawan & Pencinta Motosikal Sejati

Khairulamirin Yahaya - Pelumba Supermoto Negara

Md. Mikail Razlan - Terus Buru Kegemilangan

Bob Eden - Ingin Menabur Bakti Buat Pengguna Motosikal

Gary, Tina & Sam Sharman - Pencinta Motosikal Sejati

Azlan Shah Kamaruzaman: Semangat Juang Tidak Pernah Padam

Disyorkan untuk anda
Dari Litar

Pelumba Negara Tampilkan Aksi Memberangsangkan

Tahniah buat para pelumba muda negara telah mempamerkan aksi yang cukup hebat dalam saingan FIM MiniGP World Finals.

Model Baru

HLYM Perkenalkan Yamaha Y16ZR 6MRO Edisi Terhad – RM13,668

Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) turut meraikan pencapaian bersejarah itu dengan menampilkan model edisi terhad iaitu Yamaha Y16ZR 6MRO.

Warta Roda

Kemeriahan Konvoi PETRONAS Sprinta ke MotoGP Sepang 2024

PETRONAS Lubricant Marketing Malaysia Sdn Bhd (PLMM)bekerjasama dengan Dania Garage dala menganjurkan konvoi 'PETRONAS Sprinta ke MotoGP Sepang 2024'.

Model Baru

Scrambler Ducati Edisi 10° Anniversario Rizoma

Bersempena dengan ulang tahun ke-10 jentera Scrambler, Ducati telah berkolaborasi dengan pengeluar aksesori motosikal Rizoma untuk memperkenalkan Scrambler Ducati 10° Anniversario Rizoma Edition.