Oh Kah Beng Cinta Motosikal... Dulu, Kini & Selamanya
Bagi para peminat motosikal khususnya dalam dunia perlumbaan, Oh Kah Beng (OKB) merupakan satu nama yang tidak perlu diperkenalkan lagi. Berumur 63 tahun, berasal dari Sungai Pinang, Pulau Pinang dan cintanya pada jentera dua roda sangat mendalam dari dulu hingga ke hari ini. Bapanya seorang mekanik yang mahir dan sangat disegani oleh para pemilik motosikal di Pulau Pinang ketika itu.
“Walaupun masih bersekolah, saya sering menolong ayah di bengkel dan lama kelamaan saya semakin mahir dan lebih memahami tentang selok belok enjin dan cara untuk memperbaikinya. Ketika itu juga saya mempunyai banyak peluang untuk mencuba berbagai jenis motosikal pelbagai jenama. Secara tidak langsung, tahap tunggangan saya juga semakin hari, semakin baik.”
“Kebanyakan para pelanggan ayah saya merupakan warga Australia yang berkhidmat di Royal Australia Air Force yang berpengkalan di Butterworth ketika itu dan untuk merapatkan hubungan sesama mereka, Royal Butterwoth Motorsport Club (RBMC) ditubuhkan. RBMC menganjurkan banyak aktiviti permotoran seperti gymkhana, konvoi dan motocross.”
Salah seorang daripada mereka, Douglas Munro yang juga merupakan seorang pelumba motocross dan jentera jalanan cukup menyukai dan minat dengan kebolehan OKB. Nama OKB mula bersinar sebagai seorang pelumba muda yang memiliki pengetahuan luas dalam selok belok motosikal. Warga Australia tersebut memilih untuk menghantar lebih banyak dan lebih kerap jentera ke bengkel milik bapanya untuk dibaik pulih.
“Kami kemudiannya menjadi sahabat baik dan dia juga orang paling awal meminjamkan saya sut perlumbaan kerana memang ketika itu saya masih baru dalam dunia ini. Saya bermula dengan jentera motocross. Dorongan, nasihat dan tunjuk ajar para sahabat dari dalam dan luar negara banyak membantu agar saya maju ke hadapan dengan lebih cepat.”
Selain daripada mendekatkan diri dengan dunia perlumbaan, OKB turut aktif dalam aktiviti konvoi bersama rakan-rakannya. “Pada tahun 1971, saya dan rakan-rakan berkonvoi dari Pulau Pinang ke Ipoh untuk menghadiri majlis kenduri kahwin. Saya dan rakan yang masih baru di jalan-jalan tersebut dan sekadar mengekori leader di hadapan. S a m p a i di suatu jalan yang agak gelap, ketua konvoi membuat belokan yang secara mengejut dan saya terus ikut. Rupa-rupanya dia sudah gagal mengawal motosikalnya dan kami terus terjatuh ke dalam longkang. Ini merupakan kemalangan pertama saya di jalan raya biasa yang mengakibatkan kaki saya patah.”
Dari perlumbaan motocross, OKB beralih kepada perlumbaan jentera sport ketika berumur 19 tahun dengan menyertai Kejuaraan Penang GP. Keistimewaan OKB berbanding para pelumba lain tentulah pada kemampuannya mengendalikan mesin di dalam selekoh dan juga kemahiran beliau memperbaiki jentera. Antara jentera terawal tunggangannya ialah sebuah Yamaha RD250 yang dipinjamkan oleh sahabat baik dari Pulau Pinang manakala pakaian berlumba daripada Douglas.
OKB merupakan seorang pelumba dan insan yang cukup bersemangat, berdisiplin dan sentiasa positif. Ini membolehkan dia cepat mahir dalam apa juga bidang yang diceburinya. Pada tahun 1976, OKB menerima peluang keemasannya untuk berlatih dan menyertai perlumbaan di Australia selama setahun dengan menunggang Yamaha TZ250. Perlumbaan pertama di sana berlangsung di Sydney dan mendapati standard perlumbaan dan pelumba di sana cukup tinggi. OKB yang berlumba bersama pasukan Munro Team ternyata memperoleh banyak pengalaman yang sangat berharga.
Ternyata pengalaman menunggang bersama para pelumba luar negara memang banyak mempertingkatkan tahap tunggangan dan keupayaannya. Ini dibuktikan apabila OKB mula meraih kemenangan demi kemenangan di dalam kejuaraan dalam circuit kebangsaan dan Asia. OKB juga berpendapat bahawa pendedahannya kepada perlumbaan motocross di peringkat awal dahulu membantunya menjadi pelumba yang versatil.
Sebagai pelumba bertaraf antarabangsa, OKB berpeluang untuk bertemu dan bersaing bersama-sama pelumba lagenda seperti Randy Mamola, Barry Sheen, Wayne Gardner, Eddie Lawson dan ramai lagi. Dalam perlumbaan Penang GP pada tahun 1981, OKB mempamerkan tunggangan yang cukup hebat untuk tamat sebagai naib juara di belakang Wayne Gardner. Antara kejayaan paling manis buat OKB ialah ketika memenangi tempat kedua GP Macau pada tahun 1987 dengan menunggang Yamaha FZ750.
OKB juga pernah disunting oleh pasukan Suzuki untuk memacu jentera RG500 ke peringkat lebih tinggi. Untuk tujuan itu, OKB dan seorang lagi pelumba tempatan, Chao Kit Choong dihantar ke New Zealand untuk berlumba dan mencari kekuatan di sana lebih kurang untuk enam bulan. Ketika inilah OKB terlibat dalam satu kemalangan yang agak serius. “Saya masih ingat ianya berlaku sewaktu lap pemanas. Oleh kerana suhu agak sejuk dan ketiadaan lagi alat pemanas tayar, saya terus ke litar dan apabila tiba di sebuah selekoh, ia tiba-tiba hilang kawalan dan terus terbabas. Rusuk saya patah dan terpaksa ditahan di hospital selama dua minggu.”
OKB amat bertuah kerana dapat sembuh dengan cepat dan hikmah daripada kemalangan itu ialah OKB diberi latihan dan pemakanan yang betul oleh pihak Suzuki. Beliau kemudiannya mengagumkan ramai pihak apabila berjaya menamatkan perlumbaan Malaysian GP di Batu Tiga di tempat keempat yag ketika itu turut disertai oleh Barry Sheen dan Randy Mamola.
Sebagai pelumba yang versatil, OKB juga pernah mewakili pasukan Yamaha dengan menunggang TZ500 dan sekali lagi berjaya memberi keputusan yang memberangsangkan dengan pencapaian tempat ketiga dalam perlumbaan pertamanya dengan Yamaha. Antara saingannya ialah Fabian Lui (Singapura) dan Hendra dari Indonesia.
Selepas terlibat dalam satu lagi kemalangan serius pada tahun 1986 dan walaupun cuba kembali untuk berlumba, tangannya tidak lagi sekuat dan memandangkan tugasnya juga semakin sibuk. OKB tidak lagi berlumba sebaliknya menyambung minatnya dengan menguruskan sebuah pasukan dalam siri kejuaraan tempatan dengan menggunakan jentera Kawasaki.
OKB juga pernah bersama Proton seketika sebelum bersara dan menyambung minatnya dalam dunia motosikal dengan memperkenalkan Most Fun Gym (MFG) sebuah tempat paling menarik dan sesuai bagi mereka yang ingin belajar dan berlatih menunggang motosikal dengan lebih lasak menggunakan jentera motocross.
MFG dibina pada tahun 2004 yang direka sendiri oleh OKB dengan bantuan dan nasihat beberapa orang kawannya seperti Sunny Ramalingam. Ia terletak di sebuah tapak motocross berkeluasan hampir 5 ekar dengan tiga litar berbeza iaitu (A:Beginner, B:Intermediate dan C:Advance) mengikut tahap tunggangan para pelatih. Terdapat 12 buah jentera pelbagai jenis yang boleh dinikmati dan paling mengujakan tentulah para pelanggan akan dilatih sendiri oleh OKB.
“Dengan mengendalikan jentera motosikal, segala ‘sensor’ dan deria pada tubuh badan kita akan berfungsi dengan cepat. Penglihatan kita juga akan bertambah jitu dan di sini juga kita akan dapat cara-cara terbaik untuk menggunakan pendikit dan membrek. MFG juga tempat menunggang dan bertemu rakan-rakan yang cukup istimewa.”
Ayuh bergembira dan tingkatkan kemahiran menunggang terutamanya buat penunggang muda di MFG yang terletak di alamat No.2734 Jalan Damansara, Kampung Sungai Penchala (sebelah bilik pameran Tibara). Facebook: “Most Fun Gym”. RR
Popular