Isu Terkini

Oktober 2024

Personaliti / 14 Mei 2021

Gary, Tina & Sam Sharman - Pencinta Motosikal Sejati

Bagi mereka yang sudah lama dalam dunia motosikal di Malaysia, nama Gary Sharman, Tina Sharman dan Sam Sharman sudah tidak perlu untuk diperkenalkan lagi. Ketiga-tiga bersaudara ini bukan sekadar peminat motosikal tetapi lebih tepat digelarkan sebagai pencinta sejati dunia dua roda. Lebih menyeronokkan apabila melihat keakraban ahli keluarga Sharman ini yang membolehkan mereka menghabiskan masa bersama dengan menunggang, bercerita dan membelek motosikal.

Keluarga Gary, Tina dan Sam memang besar. Mereka bersama enam lagi adik beradik dibesarkan oleh ibu bapa yang sangat penyayang tetapi cukup berdisiplin. Ayah mereka, En. Daud Sharman merupakan seorang pegawai tinggi Polis dan juga seorang juruterbang yang bertauliah. Beliau juga merupakan seorang peminat tegar dunia kereta dan motosikal.

“Ayah saya memang minat dengan kelajuan, tidak kira kereta atau motosikal. Dia sering menasihati kami agar mampu mengawal kuasa, kelajuan dan paling penting menjaga keselamatan. Sifat brotherhood di kalangan penunggang motosikal juga penting dan mesti amalkan apa sahaja yang kita lafazkan,” kata Sam Sharman, kini bertugas sebagai Pengurus Pemasaran GIVI Asia.

Gary Sharman
Gary Sharman

Gary Sharman, 59 tahun dan merupakan bekas pengurus di beberapa syarikat motosikal berprestij seperti Naza Bikers Dream, Indian Motorcycles dan Harley-Davidson. Gary juga pengasas Headhunters Original Chapter Malaysia. Cintanya pada motosikal berputik sejak beliau masih kecil dan ia kerana ayahnya yang punyai minat yang sama.

“Hembusan udara yang mengenai tubuh dan perasaan bebas setiap kali bermotosikal memang sangat istimewa dan tidak dapat dinikmati jika kita berkereta. Bagi saya motosikal adalah segalanya, ia bagaikan peneman untuk pelbagai tujuan seperti karier, kembara, persahabatan dan mencari pengalaman hidup. Menerusi dua tayar yang bergolek ini, saya dapat melihat keindahan dunia, melakukan sesuatu yang mengujakan dan bertemu dengan berbagai individu yang berkongsikan minat yang sama,” kata Gary.

Sepanjang pengalamannya, Gary telah memiliki pelbagai jenis motosikal antaranya Honda C70, Suzuki TS 250 Scrambler, Yamaha RD250 LC, Yamaha RD500 YPVS, Suzuki Katana 750S, Honda GL1800 Gold Wing, Harley-Davidson Sportster 883 Hugger dan banyak lagi. Gary telah pernah mengembara ke destinasi permotoran dunia seperti U.S.A, Australia, Eropah, Indonesia dan semestinya negara-negara kejiranan (Asean). “Antara yang tinggalkan memori indah buat saya ialah ketika mengunjungi Bali yang terkenal dengan kawasan gunung berapi dan pemandangan matahari tenggelam yang menakjubkan.”

Motosikal telah menjadi sebahagian daripada hidup untuk Gary sejak dari zaman ayah beliau hinggalah ke hari ini. Sekarang, anaknya Isaac Azmi pula juga mengikuti jejak dengan mempunyai Yamaha R25, Yamaha NVX dan Ducati Monster. Gary adalah seorang pengembara motosikal yang suka memerah pendikit ke pelbagai destinasi menarik. “Masa saya muda-muda dulu, saya pernah sertai perlumbaan..... berani pecut selaju-lajunya dan kenangan itu amat mematangkan saya sebagai penunggang.”

“Impian saya sekarang ini ialah untuk memiliki sebuah Ducati Multistrada yang lengkap dengan perkakas moden dan sistem elektronik. Saya ingin mengembara ke tempat-tempat yang belum lagi dijejaki. Dunia ini luas dan kita tidak mungkin dapat nikmati kesemuanya jadi saya mahu melakukannya sebaik mungkin selagi ada daya.”

Tina Sharman
Tina Sharman

Tina Sharman: Nama sebenarnya ialah Kartina Sharman berusia 45 tahun dan mulanya dia 'melibatkan diri' dengan motosikal sejak berumur 14 tahun. “Masa saya 12 tahun, ayah sudah ajar cara-cara memandu kereta dan apabila mencecah 14 tahun, saya minta pula dia ajarkan cara-cara menunggang motosikal tapi ayah saya jawab:...girls can't ride bikes. Saya akur.”

“Jadi saya minta bantuan adik saya, Sam untuk jadi guru. Saya akhirnya berjaya dan dapat menunggang motosikal TS250 milik Sam dan terus jatuh cinta. Saya dapat mengawal dan menunggang dengan cepat dan semakin cekap, oh ya... masa tu semua ini adalah rahsia besar daripada pengetahuan ayah.”

“Jika dibandingkan dengan zaman saya mula-mula memperoleh lesen B kira-kira 11 tahun yang lalu, sekarang adalah masanya penunggang wanita harus menyinar, membuktikan kemampuan dan mengejar impian bersama motosikal. Jumlah penunggang wanita semakin hari semakin bertambah dan ia adalah suatu perkara yang membanggakan. Pengalaman dan memori bersama rider-rider perempuan memang sangat menarik dan saya amat fokus dalam usaha untuk mempromosikan pakaian keselamatan di kalangan penunggang wanita.”

Seperti yang dinyatakan oleh Tina, pakaian menunggang untuk golongan hawa sememangnya masih terhad. Inilah yang beliau cuba ketengahkan agar lebih banyak syarikat memperkenalkan safety gear yang dikeluarkan khusus untuk penunggang motosikal wanita.

Tina Sharman sentiasa ingin memartabatkan wanita sebagai penunggang motosikal dan bersama komitinya yang cukup dedikasi, mereka telah pun berjaya menganjurkan acara bermotor (relay) iaitu Ripple Relay Malaysia. Acara Ripple Relay Malaysia merupakan kesinambungan Women Riders World Relay (WRWR) yang diasaskan oleh seorang pencinta motosikal wanita dari UK, Hayley Bell dengan hanya satu matlamat iaitu untuk menggalakkan wanita dan mencetus semangat dalam dunia permotoran. Acara ini telah melibatkan 15,000 penunggang motosikal wanita di seluruh dunia. Tahniah diucapkan!

“Berada di dalam dunia dua roda adalah satu kenikmatan sejati. Dengan memulas pendikit dan pemilihan destinasi, saya dapat bertemu dengan sahabat handai, lelaki mahupun wanita yang memiliki minat yang sama. Saya telah berkenalan, bersahabat dengan ramai insan berjaya dan hebat yang kesemuanya telah memberikan inspirasi buat saya untuk menjadi manusia yang lebih baik.”

Tina Sharman -berbaju biru- mengetuai konvoi khas acara penutup Ripple Relay Malaysia di SIC.
Tina Sharman -berbaju biru- mengetuai konvoi khas acara penutup Ripple Relay Malaysia di SIC.

Tina juga menerangkan dia sentiasa akan mempertingkatkan tahap dan teknik tunggangan agar lebih cekap dari masa ke semasa. Tina mengidamkan sebuah BMW R 1250 GS dan sehingga hari ini, dia telah pun memiliki pelbagai jenis motosikal seperti Vespa, Harley-Davidson Street 750, Harley-Davidson Fat Bob dan Harley-Davidson Sport Glide. Kenangan pertama saya berkonvoi bersama Super Bikers Club Malaysia Jawa di Bali pada tahun 1992, diikuti dengan pengembaraan solo di Pergunungan Troodos pada 2009 dan semestinya kenangan menunggang di litar SIC bersama-sama 195 penunggang wanita pada tahun 2019 yang lalu. Selain itu, saya juga pernah ke Cyprus, Indonesia, Thailand dan Borneo.”

Walaupun Tina tidak dapat menikmati saat bermotosikal bersama ayahnya, dia kini sering berkonvoi dan melakukan aktiviti bermotor bersama abang dan adiknya. 'All gear at all time, go forth & adventure' merupakan prinsip hidupnya dan Tina kini merancang untuk membuat pengembaraan motosikal ke seluruh Eropah bersama adik bongsunya yang menetap di Ireland.

Sam Sharman
Sam Sharman

Sam Sharman: Seorang yang fokus dalam apa sahaja bidang yang diceburinya dan sentiasa inginkan yang terbaik. Berumur 41 tahun dan sebelum ke GIVI, Sam pernah dilantik menjadi Ketua Syarikat Ducati Cambodia, Ketua Bahagian Jualan Ducati Vietnam dan Ketua Syarikat Ducati Malaysia.

Sam juga memiliki bakat besar dalam bidang muzik, nyanyian dan pernah dicalonkan sebagai Best New English Artist di Anugerah Industri Muzik (AIM) dan di Anugerah Era 2006. Sam kemudiannya meneruskan karier dalam bidang seni dengan menjadi DJ Radio di hitz.fm dan red.fm pada tahun 2006 dan 2008.

“Dalam dunia motosikal, saya dikelilingi oleh ayah dan abang yang benar-benar pencinta dua roda sejak dari kecil lagi. Pada usia 10 tahun, saya dah pun menunggang Suzuki TS250. Passion saya mengenai motosikal bagaikan tanpa batasan. Ia adalah 'alat' yang saya gunakan untuk menikmati keterujaan, karier, beriadah bersama kawan-kawan dan membantu masyarakat. Sememangnya cinta dan minat pada motosikal ini kurang difahami oleh mereka yang bukan rider.”

Antara motosikal yang pernah Sam miliki ialah Suzuki TS250, Suzuki RS Sport 150, Yamaha TZM 150, Suzuki VS 125, Suzuki GS550E, Kawasaki Vulcan 750, Suzuki Savage 650, Yamaha Virago, Honda C70, Kawasaki ZZR600E, Kawasaki ZZR600D, Kawasaki Zephyr 750, Kawasaki ZX7 L1, Harley-Davidson Sportster 1200 72, Honda VFR800 dan Suzuki GSXR 750 L2.

Sam -depan- & Gary Sharman.
Sam -depan- & Gary Sharman.

“Dengan motosikal juga saya dapat melihat dunia. Antaranya kembara di Eropah (Latihan Menunggang Ducati) dan di negara-negara Asean termasuk kembara ke Golden Triangle. Jatuh, sakit, bangun itu adalah perkara biasa untuk penunggang motosikal. Rider mesti kental! Saya cukup berbangga kerana anak saya, Dean Mikhail pula menyambung legasi keluarga Sharman sebagai peminat dan pencinta motosikal.”

Idaman Sam ialah untuk memiliki sebuah Suzuki Katana Savana yang telah dipulihkan dengan sebaiknya. “Saya kini memberi tumpuan terhadap tahap keselamatan dan cara tunggangan yang betul. Untuk itu GIVI dan Wazi Moto bekerjasama demi nyawa dan keselamatan penunggang motosikal di Malaysia. Rancangan saya apabila bersara nanti ialah untuk memiliki bengkel motosikal sendiri khusus untuk pengubahsuaian/baikpulih dan aksesori. Saya juga ingin melatih anak saya untuk bersaing dalam dunia perlumbaan motosikal suatu hari nanti.”

Memang seronok dan teruja apabila berbual/bertemu dengan ketiga-tiga adik beradik ini. Mereka cukup ramah dan minat benar dengan motosikal. Semoga Gary, Tina dan Sam Sharman terus success dalam apa juga bidang yang diceburi. RR

Isu Pada

April 2021

Popular

  • Warta Roda

    Lelaki tumbuk pemandu wanita selepas anak dilanggar.

  • Model Baru

    Vespa GTS 300 Classic - Harga RM31,900

  • Warta Roda

    Nahas Treler & Kereta: 5 Mangsa Disahkan Maut

  • Warta Roda

    Dua Penunggang Wanita Maut Motosikal Bertembung

  • Model Baru

    JEDI K333: Direka Untuk Kesesuaian Penunggang Baru & Wanita

Artikel berkaitan

Cikgu Offroad, Mohd Halim "Yang Kental Pasti Sampai Pos Balar"

Uncle Chin - Gemar Pengembaraan Luar Bandar

Pelumba Muda, Dharwin Lingam Lebih Semangat Harungi Musim Baru

Rewi Hamid Bugo - Usahawan & Pencinta Motosikal Sejati

Khairulamirin Yahaya - Pelumba Supermoto Negara

Md. Mikail Razlan - Terus Buru Kegemilangan

Bob Eden - Ingin Menabur Bakti Buat Pengguna Motosikal

Azlan Shah Kamaruzaman: Semangat Juang Tidak Pernah Padam

Disyorkan untuk anda
Warta Roda

Lelaki tumbuk pemandu wanita selepas anak dilanggar.

Seorang lelaki yang dipercayai berang selepas anaknya dilanggar menumbuk pemandu kereta jenis Perodua Axia dalam kejadian di Bazar Aidilfitri Dataran Senawang.

Warta Roda

Honda CBR150R Hadir Dengan Warna Serba Baru!

Boon Siew Honda Sdn. Bhd. dengan bangganya memperkenalkan Honda CBR150R dengan skema warna baharu lebih menarik. Warna serba menawan ini adalah inspirasi daripada DNA Honda Racing ikonik seperti mana yang dilihat pada model lagenda CBR1000RR-R, CBR650R dan CBR250RR.

Dari Litar

MotoGP 2025 (Argentina): Marc vs Pecco, Round 2!!

ejak Marc Marquez meraih kemenangan sulungnya di Litar Buriram tempohari, dunia MotoGP kecoh dengan 'perang' yang berlaku dalam khemah pasukan Ducati Lenovo di antara Marc dan Francesco Bagnaia (Pecco).

Model Baru

Triumph Tiger Sport 800 Serba Baharu Diperkenalkan

Didi Group selaku pengedar rasmi jenama Triumph di Malaysia telah memperkenalkan Tiger Sport 800 serba baharu.