Isu Terkini

Julai 2024

Personaliti / 10 November 2016

Kasma Daniel Kasmayudin Mengejar Impian Tertinggi!

Dia baru berusia 16 tahun, namun begitu pencapaiannya dalam dunia perlumbaan di dalam dan luar negara semakin memberangsangkan. Siapa dia... itulah pelumba sensasi negara yang kini sedang mencipta nama, Kasma Daniel Kasmayudin.

Berasal dari Johor Bahru, anak ketiga daripada empat adik beradik ini mula menceburkan diri dalam dunia permotoran sejak berumur lapan tahun menerusi perlumbaan pocket bike dan minatnya ini diwarisi daripada ayahnya sendiri yang juga merupakan seorang pencinta dan pelumba motosikal. Selepas memperoleh banyak kemenangan dalam perlumbaan pocket bike, pada tahun 2013, Kasma diserap masuk ke perlumbaan Cub Prix untuk bersaing dalam kelas Yamaha 135 Super Series Petronas.

Walaupun dia antara pelumba termuda ketika itu, semangatnya untuk belajar dan memberi saingan sengit di litar mula mendapat perhatian ramai pihak. Kasma menamatkan cabarannya dalam musim itu di tangga ketiga keseluruhan dan ia adalah satu pencapaian yang cukup membanggakan.

Setahun kemudian, Kasma kembali menyarung baju perlumbaan untuk meneruskan kariernya dalam kelas yang lebih tinggi, CP115. Ternyata berlumba dengan wakil-wakil pasukan yang berpengalaman telah memberikannya peluang untuk memajukan diri. Kasma juga sudah mula dikenali sebagai pelumba yang periang, mudah tersenyum dan merupakan antara 10 pelumba terpantas di dalam kelasnya.

Walaupun sekadar di tempat ketujuh, prestasi mantap yang ditontonkan telah menarik minat pihak Hong Leong Yamaha Motor untuk mewakili pasukan Malaysia dalam perlumbaan Yamaha Asean Cup yang diadakan di Indonesia. Pendedahan ini ternyata amat penting dan berguna buat Kasma.

Pada tahun 2015, Kasma kembali beraksi dalam kelas CP115. Ternyata keupayaannya jauh lebih hebat yang dibuktikan dengan kemenangan demi kemenangan yang dicapainya. Dalam usia 15 tahun, Kasma muncul sebagai juara keseluruhan CP115 dan pada masa yang sama dia juga menduduki tangga keenam dalam kategori AP250, Asia Road Racing Championship.

Menurut Kasma, dia akan sentiasa berlatih dengan menunggang motocross ketika masa terluang dan ke gimnasium untuk mengekalkan kecergasan. Tahun ini Kasma mewakili pasukan Petronas Yamaha Maju Motor dalam saingan CP130 bersama-sama dua lagi pelumba ternama iaitu Ahmad Fazli Sham dan Abdul Muhaimin. Tanpa disangka, tahap tunggangan Kasma meningkat dengan drastik untuk mendominasi hampir di seluruh pusingan.

Semestinya pemilihan untuk menjalani latihan bersama pelumba MotoGP dan idolanya, Valentino Rossi pada Julai dan September lalu merupakan detik terbaik buat Kasma untuk mempertingkatkan kualiti, gaya dan tahap tunggangannya. Di VR46 Riders Academy Itali, Kasma diberi latihan yang cukup keras merangkumi kecergasan fizikal dan mental.

“Di VR46 Ranch, saya dilatih menggunakan jentera motocross agar dapat mengendalikan sesebuah jentera lumba apabila berada di laluan licin atau berpasir. Ianya sangat-sangat berguna dan terbukti, gaya tunggangan saya telah berbeza dan kini lebih yakin untuk mengambil selekoh dengan lebih pantas.”

Dalam 'keluarga' cub prix, Kasma digelar Dragon Boy yang diberikan oleh pengurus pasukannya, En. Yong Yin Hoe kerana dilahirkan pada tahun Naga. “Saya amat bertuah kerana berada di dalam pasukan bersama-sama Ahmad Fazli Sham dan Abdul Muhaimin. Mereka cukup terbuka dan sentiasa bersedia untuk berkongsi maklumat, tips dan pandangan. Mereka berdua adalah idola saya di dalam sirkit kebangsaan.”

Apabila ditanya adakah dia seorang pelajar yang popular di sekolah? “Eh... Mana ada! Saya hanya pelajar biasa sahaja dan syukur kerana pihak sekolah sudah memahami karier saya sebagai seorang pelumba. Saya sentiasa akan membahagikan masa dengan mengulangi kaji pelajaran di hari cuti.”

Dengan segala pendedahan dan pencapaian yang sedang dilakar oleh anak muda ini, kita dapat mengagak masa depan Kasma akan cerah dengan syarat, dia wajib bekerja lebih keras tanpa kenal erti mengalah. Walaupun dikenali sebagai seorang pelumba yang sentiasa ceria dan mudah bergurau, Kasma sebenarnya bagaikan seorang pahlawan yang digeruni setiap kali dia beraksi di litar.

“Impian saya ialah untuk menjadi seorang pelumba bertaraf antarabangsa seterusnya mampu bergelar juara dunia di masa akan datang.”

Kasma kini memiliki peluang yang amat cerah untuk muncul juara keseluruhan Kelas CP130 untuk musim 2016 ini dan pastinya merangkul kejuaraan utama dalam usia semuda ini adalah satu kebanggaan buat dirinya dan semua pencinta dunia motosikal di Malaysia. Kita doakan agar segala impiannya tercapai. RR

Isu Pada

November 2016

Popular

  • Model Baru

    EICMA 2024: Moto Morini Alltrhike 450: Makin Meriah Segmen Kembara

  • Warta Roda

    Cikgu Pencen Ubahsuai Motosikal Untuk Bersihkan Kampung

  • Dari Litar

    Honda HRC - Repsol: Penghujung Suatu Era

  • Dari Litar

    Jorge Martin Cipta Sejarah, Pelumba Pasukan Satelit Pertama Jadi Juara MotoGP!

  • Warta Roda

    Honda BigWing Melaka Dibuka Secara Rasmi

Artikel berkaitan

Cikgu Offroad, Mohd Halim "Yang Kental Pasti Sampai Pos Balar"

Uncle Chin - Gemar Pengembaraan Luar Bandar

Pelumba Muda, Dharwin Lingam Lebih Semangat Harungi Musim Baru

Rewi Hamid Bugo - Usahawan & Pencinta Motosikal Sejati

Khairulamirin Yahaya - Pelumba Supermoto Negara

Md. Mikail Razlan - Terus Buru Kegemilangan

Bob Eden - Ingin Menabur Bakti Buat Pengguna Motosikal

Gary, Tina & Sam Sharman - Pencinta Motosikal Sejati

Disyorkan untuk anda
Model Baru

EICMA 2024: Moto Morini Alltrhike 450: Makin Meriah Segmen Kembara

Moto Morini telah melancarkan Alltrhike 450 baru di pameran motosikal antarabangsa EICMA 2024

Warta Roda

Pos Malaysia Terima 1,092 Jentera Elektrik, MEV-1 Pro dari MODENAS

Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (MODENAS) sehingga kini telah pun menyerahkan sejumlah 1,092 unit motosikal elektrik iaitu MEV-1 Pro khusus kegunaan pihak Pos Malaysia Berhad.

Model Baru

EICMA 2024: Honda Perkenalkan CL500, Jentera Retro Moden

Model baru ini menyasarkan para peminat dua roda muda yang mementingkan gaya retro dengan spesifikasi moden.

Warta Roda

Ops Khas Motosikal Hari-4, Lebih 11,000 Saman Sudah Dikeluarkan

Baru empat hari Ops Khas Motosikal diadakan di seluruh negara, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengeluarkan 11,435 saman atas pelbagai kesalahan kepada pengguna motosikal.