Isu Terkini

Oktober 2024

Personaliti / 10 Jun 2016

Mr. Sam Mengamalkan Tunggangan Berhemah

Walaupun sudah berusia 66 tahun... cintanya terhadap motosikal tidak pernah padam dari dulu hingga kini. Menurutnya, dengan bermotor, dia mendapat kebebasan dan pengalaman hidup. Jom kita kenali personaliti RR kali ini, Mr. Samy Dorai dari Shah Alam.

Berasal dari Sungai Petani Kedah, Mr. Sam mula mengenal dunia motosikal sejak berusia 10 tahun. Empat tahun selepas itu, Mr. Sam telah dihadiahkan sebuah Vespa oleh ayahnya yang juga seorang peminat mesin dua roda yang ketika itu telah memiliki sebuah Triumph Thunderbird 650. Oleh kerana masih tidak mempunyai lesen, Mr. Sam tidak menunggang motosikal ke sekolah sebaliknya hanya membawa jentera ke hujung jalan kampung sebelum menahan bas ke sekolah.

“Selepas tamat tingkatan lima, saya menyambung pelajaran di Kuala Lumpur dan bermulalah sejarah hidup saya sebagai seorang peminat motosikal. Saya ketika itu membeli pula sebuah Vespa Super baru untuk kegunaan di kolej dan selepas mula bekerja, membeli pula Honda CB175 kerana ia lebih laju, selesa dan tahan lasak untuk perjalanan jauh.”

Keputusan cemerlang Mr. Sam memberikannya jawatan sebagai Pengurus Teknikal dan bertugas di bandar Klang. Dengan sudut kewangan yang semakin kukuh, Mr. Sam mula membeli dan menyimpan motosikal-motosikal yang diminatinya seperti Lambretta, Vespa dan Honda S90. Dari Kuala Lumpur, dia kemudiannya ditugaskan kembali ke Sungai Petani dan semestinya aktiviti motosikalnya diteruskan dengan berkonvoi ke negeri-negeri yang berdekatan.

Pada tahun 1990, Mr. Sam telah memberhentikan semua aktiviti motosikalnya buat sementara kerana ingin menumpukan seluruh perhatian kepada pelajaran apabila mendapat peluang untuk melanjutkan pendidikannya di Sweden.

“Sebaik sahaja pulang, saya mendapat tawaran untuk berkhidmat di Malaysia International Shipping Corporation (MISC) dan ia adalah masa yang cukup sesuai untuk menyambung kembali cinta saya pada dunia motosikal dengan membeli sebuah Kawasaki Vulcan 500.

“Pada tahun 1992, saya menambah koleksi motosikal dengan membeli pula Kawasaki ZX1100. Jentera ini besar, mantap dan cukup berkuasa. Dengan Kawasaki inilah saya berpeluang untuk menyertai program penguatkuasaan penggunaan lampu utama untuk motosikal pada tahun 1992. Program anjuran pihak kerajaan ini mendapat sokongan penuh daripada JPJ, PDRM dan seluruh rakyat Malaysia.”

Menurut Mr. Sam, dia bersama 70 orang superbiker lain telah berkunjung hampir ke setiap bandar di semenanjung untuk menyampaikan hasrat dan tujuan perlaksanaan itu. Seperti yang sedia maklum, hasrat mewajibkan lampu hadapan dinyalakan pada waktu siang adalah untuk mengurangkan kadar kemalangan yang berlaku di kalangan pengguna motosikal.

Jarak dan kadar penglihatan pengguna jalan raya seringkali terganggu walaupun pada waktu siang. Kadar silau matahari menjadikan sesebuah objek bersaiz sederhana yang bergerak seperti motosikal gagal untuk dilihat. Apabila lampu hadapan menyala, kehadiran motosikal akan lebih disedari oleh pengguna jalan raya yang lain. Menurut Mr. Sam, penerimaan masyarakat kepada hasrat kerajaan ini ternyata cukup positif tidak kira di bandar mahu pun di desa.

Paling menyeronokkan tentulah ketika konvoi memasuki sesebuah bandar. “Pada awal tahun 1990an dulu, motosikal berkuasa tinggi memang tak banyak dan deruman bunyi-bunyi ekzos bagaikan ‘menghentikan’ segala urusan di bandar-bandar yang kami kunjungi itu. Lebih membanggakan apabila usaha ini telah mendapat kejayaan besar dan seterusnya mengubah keadaan sistem pengangkutan di negara khususnya bagi penunggang motosikal.”

Menerusi program itu, Mr. Sam kini mempunyai lebih ramai kenalan yang kesemuanya mempunyai pengalaman luas dalam dunia motosikal. Selain bertukar pengalaman, kesempatan berkonvoi beramai-ramai ini juga memperbaiki tahap tunggangannya.

Mr. Sam dan rakan-rakan rapatnya terus mempamerkan tunggangan yang berdisiplin dengan harapan agar imej penunggang motosikal itu sentiasa bersih di kaca mata masyarakat. Selepas beberapa lama memiliki Kawasaki, akhirnya Mr. Sam mengubah selera kepada mesin Suzuki iaitu GSX-R1100 yang dibelinya pada tahun 2005 dengan harga RM36,000. Beliau menambah lagi koleksi jentera berkuasa tingginya setahun kemudian dengan membeli sebuah Suzuki Bandit pada harga RM30,000.

Kedua-dua model tersebut mempunyai ciri dan karaktor yang berbeza. Untuk memecut laju, Mr. Sam akan memacu GSX-Rnya manakala untuk menunggang dengan santai dan perjalanan jauh, Bandit adalah pilihan terbaik buatnya.

“Motosikal pada saya membuat saya bahagia dan rasa bebas. Apa yang paling penting ialah sentiasa mengenal pasti tahap kemampuan sendiri, skill, keselamatan diri dan orang lain. Tidak guna kita menunggang motosikal hebat tetapi memecut di tengah-tengah bandar yang turut digunakan oleh kenderaan lain.”

Untuk meningkatkan tahap kecekapan tunggangannya, Mr. Sam bukan sahaja kerap berkonvoi tetapi juga menyertai kursus keselamatan menunggang yang dianjurkan oleh pelbagai pihak. Lokasi digunakan untuk program-program sebegini ketika itu ialah di Litar Batu Tiga, Shah Alam.

“Ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Minat saya turut diwarisi oleh anak sulung saya yang kini menunggang Kawasaki Vulcan 500. Saya juga mempunyai tujuh orang cucu iaitu lima lelaki dan dua perempuan, kesemuanya sukakan motosikal. Untuk membiasakan mereka dengan kuasa dan pengendalian sebuah motosikal, saya membeli sebuah Kawasaki KSR110 dan sebuah Momos Forza 125 yang bersaiz kecil.”

Kedua-dua motosikal itu disimpan di dalam rumah bagaikan salah satu tarikan dan hiasan menarik di rumah Mr. Sam.

Pada tahun 2010 dan 2011, selepas beberapa tahun menunggang Suzuki, Mr. Sam kembali untuk menggunakan jentera Kawasaki iaitu GTR1400 dan Versys 650. Kedua-dua model ini dibeli atas sebab-sebab tertentu. GTR1400 merupakan motosikal yang paling diminatinya kerana menawarkan enjin yang berprestasi tinggi, memberikan kepuasan menunggang, selesa dan cukup praktikal.

Model Versys pula dipilih kerana ia lasak, mampu untuk pengembaraan jauh dan pengendalian yang mudah. Dengan kedua-dua jentera ini, Mr. Sam telah mengembara bukan sahaja ke seluruh semenanjung tetapi juga ke negara-negara jiran seperti Thailand dan Singapura bersama rakan baiknya, En. Suresh yang menunggang Ducati Multistrada.

“Sebagai pencinta motosikal, saya harap para bikers generasi muda dapat menikmati dunia dua roda ini dengan sebaik-baiknya. Jadikan kita (penunggang motosikal) sentiasa dipandang tinggi oleh masyakarat dengan menunggang penuh berhemah, patuhi undang-undang, berdisiplin, lengkap dengan lesen, cukai jalan dan insurans kerana malang tidak berbau,” nasihat Mr. Sam sebelum menamatkan perbualan. RR

Isu Pada

Jun 2016

Popular

  • Warta Roda

    Lagi kes bengkel terbakar. Kali ini 7 buah motosikal hangus dijilat api!

  • Dari Litar

    Marquez Jatuh...Pecco Raih Juara

  • Warta Roda

    Lelaki tumbuk pemandu wanita selepas anak dilanggar.

  • Model Baru

    Vespa GTS 300 Classic - Harga RM31,900

  • Warta Roda

    Nahas Treler & Kereta: 5 Mangsa Disahkan Maut

Artikel berkaitan

Cikgu Offroad, Mohd Halim "Yang Kental Pasti Sampai Pos Balar"

Uncle Chin - Gemar Pengembaraan Luar Bandar

Pelumba Muda, Dharwin Lingam Lebih Semangat Harungi Musim Baru

Rewi Hamid Bugo - Usahawan & Pencinta Motosikal Sejati

Khairulamirin Yahaya - Pelumba Supermoto Negara

Md. Mikail Razlan - Terus Buru Kegemilangan

Bob Eden - Ingin Menabur Bakti Buat Pengguna Motosikal

Gary, Tina & Sam Sharman - Pencinta Motosikal Sejati

Disyorkan untuk anda
Model Baru

Honda NSS250 2025 Tampil Warna Baru & Meter TFT

Boon Siew Honda turut memperkenalkan versi skuter terkini iaitu Honda NSS250 bagi tahun 2025.

Model Baru

CFMOTO Malaysia Lancar 700MT – RM33,888

CFMOTO Malaysia telah melancarkan model Adventure Touring iaitu 700MT.

Model Baru

KAMAX CUB X temui peminat offroad tahun ini

KTNS Holdings Sdn Bhd akan menampilkan model terbaru, KAMAX Cub X ke pasaran negara sekitar bulan September 2025 ini.

Dari Litar

Litar Buriram Menguji Adam & Sharf Untuk Terus Bangkit

Menurut Pengurus Pasukan SIC Racing, "Prestasi dalam sesi Latihan Bebas dan Kelayakan juga kurang memuaskan, namun masih terdapat ruang yang luas untuk penambahbaikan. Peningkatkan persiapan serta memperkukuhkan latihan agar kedua-dua pelumba lebih bersedia dan mampu memberi saingan sengit di Pusingan 2,dijadualkan berlangsung di Qatar pada April ini."