Menunggang YAMAHA NMAX 155 Seronok & Selesa!
Pasaran motosikal di Malaysia sekarang ini ternyata semakin hari semakin luas. Jika dahulunya kita hanya melihat penguasaan jentera-jentera moped di jalan raya tetapi kini pemandangan itu telah jauh berbeza dengan kehadiran jentera-jentera segmen yang berlainan seperti streetbike, touring bike dan skuter. Tahniah buat Yamaha yang sememangnya antara penyumbang terbanyak jentera automatik ini dalam pasaran negara.
Antara model-model skuter Yamaha yang cukup popular ialah Ego S, Ego LC, Nouvo (sudah tidak dikeluarkan lagi) dan yang terkini Nmax yang berkuasa 155cc. Nmax menawarkan enjin serba baru dikuasakan oleh teknologi Yamaha Blue Core yang meningkatkan kecekapan pembakaran, mengurangkan kehilangan kuasa dan meningkatkan daya penyejukkan dengan lebih efisien. Enjin ini terletak di dalam sebuah 'tubuh badan' yang kemas dan cantik. Ini mengingatkan kita pada model ‘abang’nya, Yamaha TMax yang ternyata mempunyai spesifikasi digemari oleh seluruh penunggang motosikal.
Seperdua daripada kejayaan sesebuah produk itu bergantung kepada gaya persembahannya. Inilah yang dilakukan oleh perekacipta Nmax ini, bermula daripada pandangan hadapan. Lampu hadapannya jenis LED berwarna putih yang memberikan pencahayaan cukup terang – seperti kenderaan mewah. Dengan lampu ini, Nmax ternyata memberikan pemiliknya mudah untuk dilihat oleh kenderaan yang datang dari hadapan. Skuter ini juga dilengkapi dengan lampu-lampu LED di bahagian belakang.
Kami cukup sukakan meternya. Ia ringkas tetapi penuh berinformasi dan paling penting ianya jelas dibaca pada waktu siang dan malam. Meter bulatnya memberitahu kita tentang tahap kelajuan, jarak perjalanan, masa, tahap bahan api, suhu enjin serta beberapa penunjuk penting lain. Untuk memudahkan pemiliknya, sistem kunci Nmax ini juga boleh digunakan untuk membuka pelana yang mempunyai ruang barang di bawahnya yang cukup luas – membolehkan kita menyimpan pelbagai jenis barangan termasuk sebuah topi keledar.
Seperti skuter lain, kita perlu menarik tuas brek terlebih dahulu sebelum menekan suis penghidup dan... Ah! Bunyi enjinnya sangat lancar dan senyap. Sudut pelana yang neutral dan bar hendal yang tepat menjadikan posisi menunggang Nmax memang cukup selesa dan terima kasih kerana menyediakan papan pemijak yang cukup luas. Anda berkaki panjang? Anda seorang yang tinggi? Nmax tawarkan keselesaan yang cukup baik.
Gerek bersaiz 58.0mm dan Lejang 58.7mm menawarkan kuasa tork yang cukup mantap. Pulas sahaja pendikit dalam apa juga keadaan dan rasanya Nmax ini memecut pantas ke hadapan. Enjin berkuasa 11.9hp pada 8,000rpm dan tork 14.4Nm pada 6,000rpm berjaya menggerakkan sebuah mesin seberat 136kg dengan cemerlang sekali. Dengan pantas kita dapat memecut dari kelajuan sifar mencecah 80km/j tanpa sebarang gegaran dan sentapan pada bahagian tali sawat.
Bagi para petugas yang perlu 'mengembara' ke tempat kerja, Nmax mungkin boleh menemani anda. Pemilik Nmax bukan sahaja akan bergembira dengan saiz ruang barangnya yang luas tetapi juga akan sentiasa tersenyum dengan kepantasan dan kelincahannya mencelah di tengah-tengah kota. Sistem penyejuk jentera ini juga berfungsi dengan baik sekali, tidak terasa sebarang haba panas yang mengganggu perjalanan.
Yamaha ini mampu memecut ke tahap maksimum sekitar 120-125km/j dan ketika ini, masalah utama yang perlu diatasi segera oleh pihak Yamaha ialah pada rekaan cermin pengadang udaranya yang terlalu kecil – tidak mampu memberikan laluan udara yang efisien kepada penunggang. Masalah berganda jika ia ditunggangi oleh Si Tinggi Lampai. Bahagian dada dan kepala tertampar dengan udara yang kuat sekali. Tubuh badannya mantap dan tegap mengelakkan daripada bergoyang ketika berada di kelajuan tertinggi.
Tubuh badan yang tidak terlalu gemuk memudahkannya menyelit dan apabila nampak ruang lebih terbuka, pulas pendikit untuk rasakan sistem bahan apinya membuatkan Nmax ini 'berlari' dengan kencang sekali. Apa yang boleh diperbaiki ialah dengan meletakkan penyangkut di bahagian tengah bar hendal seperti mana yang digunakan hampir semua jenis skuter lain. Ia cukup berguna terutamanya jika membawa barang keperluan basah seperti ikan, daging dan sayuran. Kalau letak bawah pelana, berbau pula nanti.
Sekali lagi kami ingin memuji ruang papan pemijaknya yang luas. Ia membantu kita untuk menukarkan posisi tunggangan jentera ini ke kiri dan ke kanan dengan mudah dan yakin sekali. Kemantapan proses ini juga datangnya daripada sistem saspensi hadapan (teleskopik) dan belakang jenis lengan ayun berspring menyerap segala hentakan dengan baik.
Nmax ini didatangkan dengan sistem pertahanan yang baik. Ia dilengkapkan dengan brek hadapan dan belakang jenis cakera bersaiz 230mm. Benar... hanya guna dua jari sahaja sudah cukup untuk kita memperlahankan kelajuannya. Sesuai dengan saiz badannya, Yamaha ini dilengkapi dengan tayar-tayar bersaiz 110/70-13 (hadapan) dan 130/70-13 di belakang.
Walaupun ia bukanlah sebuah skuter maksi atau mesin sport, kemampuan Nmax ini meratah setiap selekoh cukup memuaskan hati. Ketiadaan brek enjin seperti mana yang kita rasai pada jentera biasa langsung tidak mengganggu kelancarannya kerana sistem brek Yamaha ini sudah cukup hebat.
Nmax juga sangat sesuai untuk penunggang hawa. Ia mudah dikendalikan, kuasa yang terkawal dan boleh menyimpan segala barang-barang anda seperti beg tangan, telefon pintar, buku resepi, alat solek dan kasut 'bling-bling' dengan selamat.
Selepas lebih kurang 160 kilometer, barulah Nmax ini menunjukkan tanda 'haus' dan memaksa kami berhenti di petrol stesen untuk memenuhi tangki yang sebesar 6.6 liter itu. Bagus... penutup tangkinya terletak hanya di bahagian tengah bawah jentera ini. Cukup mudah untuk kita gunakan, tak perlu bangun pun!
Ke sana sudah... ke sini pun sudah... tangan dan pinggang langsung tidak menunjukkan tanda-tanda lenguh. Itu sudah cukup untuk menggembirakan ramai penunggang. Skuter Yamaha Nmax ini ternyata boleh digunakan dengan baik di kawasan urban dan juga sebagai teman setia untuk suatu perjalanan jauh.
Yamaha Nmax ditawarkan dalam dua warna menarik iaitu merah, kelabu dan boleh dimiliki pada harga asas RM8,812.84 (selepas GST 6% tanpa cukai jalan, nombor pendaftaran dan insurans). RR
Spesifikasi
Enjin | 4 lejang, silinder tunggal, sistem penyejuk cecair, SOHC |
Isipadu | 155cc |
Gerek x Lejang | 58.0 x 58.7mm |
Nisbah mampatan | 10.5:1 |
Kuasa maksimum | 11.1kW (11.9hp) pada 8,000rpm |
Tork maksimum | 14Nm pada 6,000rpm |
Tinggi pelana | 765mm |
Berat | 136kg |
Isi tangki | 6.6 liter |
Pengeluar | Hong Leong Yamaha Motor Sdn. Bhd. |
Popular