Isu Terkini

Julai 2024

Pandu Uji / 10 Mei 2016

CONFEDERATE P51 FIGHTER COMBAT : Cantik Macam Fantasi!

Confederate merupakan motosikal butik yang sentiasa menjadi pilihan insan-insan kaya dan terkenal di USA untuk memilikinya. Antara selebriti Kelas A di Hollywood yang menunggang jentera hebat ini ialah Tom Cruise, Brat Pitt, Nicholas Cage dan juga idola muzik rock, Bruce Springsteen. Keistimewaan jentera ini tentunya datang daripada rekabentuknya yang unik dan anggun.

The Confederate Motor Company telah memperkenalkan sebuah unit terbaru yang sangat mengagumkan menerusi model P51 Fighter Combat dengan gaya Art of Rebellion. Ia dikuasakan oleh enjin v-kembar, berisipadu 2,163cc dengan sistem penyejuk udara/minyak S&S X-Wedge. Walaupun sebuah mesin untuk jalanan biasa, model ini menjanjikan kuasa hantaran dan tork yang cukup bertenaga. Seni rekaan enjin ini adalah dari Wisconsin yang memang cukup sesuai untuk kerangka jenis monocoque. Casis, saspensi dan kotak engkol enjin telah dibentuk menggunakan aluminium billet 6061 yang cukup tegar.

Model G1 (generasi pertama) P120 Fighter dilancarkan pada tahun 2009 dan ia juga merupakan model sulung Confederate yang dihasilkan sepenuhnya di ibu pejabat mereka yang terletak di Birmingham, Alabama. Dahulunya syarikat ini beroperasi di New Orleans tetapi terpaksa berpindah selepas tempat itu dimusnahkan oleh Taufan Katrina. Kemampuan pereka hebat mereka dalam mencipta sebuah mesin lain daripada yang lain, sebanyak 63 buah jentera hebat telah berjaya dihasilkan sejak dari tahun 2009 hingga 2011.

Syarikat ini diasaskan pada tahun 1991 oleh Matt Chambers yang kini bergelar Presiden/CEO dan beliau berasal dari Lousiana. Produksi untuk mengubahsuai jentera ini hanya bermula tiga tahun selepas syarikat ini dilahirkan. Confederate juga bakal menyambut ulang tahun ke25 mereka pada tahun ini dan ianya satu pencapaian yang cukup membanggakan berbanding beberapa syarikat lain yang telah gagal bertahan lama. Kunci kejayaan mereka ialah dengan menghasilkan produk cukup unik yang tidak ada saingannya oleh mana-mana pengeluar lain di seluruh dunia.

“Produk kami sememangnya terus diminati walaupun ia mempunyai harga yang sangat tinggi. Dengan kerjasama terbaru bersama S&S, ia memberi kami lebih peluang untuk terus berkembang dengan lebih luas tanpa pernah berkompromi mengenai tahap kualiti yang dihasilkan,” kata Matt Chambers.

Pihak Confederate kini menggunakan enjin X-Wedge untuk setiap pengeluaran mereka dan pada masa yang sama, rekaan baru sedang dibangunkan untuk lebih bersaing di pasaran. Kilang mereka di Birmingham bersaiz 25,000 kaki persegi dan ia merupakan bekas gudang yang dibina semula pada tahun 2013. Di sini, mereka amat yakin mampu mempertingkatkan pengeluaran daripada 49 buah unit pada tahun lepas kepada 100 buah pada tahun ini. Walaupun angka ini tidaklah sehebat Honda tetapi ia tetap cool kerana melibatkan proses jual beli bernilai jutaan ringgit.

Model terbaru P51 Fighter Combat turut menyumbang kepada kenaikan jumlah penjualan syarikat ini. Ia diperkenalkan dalam dua versi iaitu Blonde Bare-Metal berharga $125,000 manakala model Black Flag pula ditawarkan pada $130,000. Sebanyak 31 buah P51 Fighter Combat sudah hampir siap untuk dipasarkan dan sebanyak 30 unit lagi akan dihasilkan kemudian. Menurut Paul Adam (Pengurus Jualan Confederate), pihaknya kini telah menerima sebanyak 41 tempahan daripada jumlah keseluruhan pengeluaran sebanyak 61 unit. Macam 'goreng pisang panas'... cepat dapatkannya, cepat!

Model ini adalah bukti kemampuan para pereka di Confederate untuk melahirkan sebuah mesin dua roda yang inovatif dan maju jauh ke hadapan. “Kami mahukan sebuah motosikal yang disukai ramai. Bahagian belakang yang rendah, tinggi di depan, ramping, kerangka lurus daripada bar hendal ke pivot lengan ayun yang nampak bagaikan berbentuk segitiga dari bahagian sisi dan sangat berbeza,” kata Chambers

.

Bagi para pelanggan yang inginkan sebuah motosikal yang ganas dan garang, Fighter ini adalah jawapannya. Casisnya yang ringan dan tegar mampu diletakkan sebuah enjin yang mempunyai kuasa tork cukup tinggi dalam semua keadaan. Okay... model G2 Fighter ini dihasil berasaskan versi G1 yang diperkuatkan dengan kerangka jenis tiub aluminium berdiameter 178mm (2” lebih lebar daripada G1).

Fiuslaj jentera ini dibuat daripada solid billet 6061 aluminium berspesifikasikan model kapal terbang. Jika Honda atau Harley Davidson yang meletakkan lambang jenama mereka di tangki minyak, lambang Confederate untuk model ini diletakkan di tengah-tengah kerangka utama. Tangki bahan apinya sebesar 16 liter yang diletakkan ke posisi rendah sedikit iaitu di bawah pelana. Bijak dan kreatif sekali!

'Untuk mengubahsuai motor Fighter S&S ini, kami berkunjung ke Jon Kaase (www. jonkaaseracingengines.com) yang terletak di pinggiran Atlanta, Georgia. Syarikat ini terkenal dengan talaan kepala silinder, terutamanya untuk perlumbaan Ford Dragrace – telah menerima pelbagai anugerah atas kepakaran syarikat ini. Walaupun sebelum ini tidak pernah menyentuh enjin-enjin motosikal tetapi akhirnya mereka berjaya mencipta sebuah jentera yang menawarkan kuasa tolakan cukup mantap buat para pemilik jentera ini. Jon telah melakukan pengubahsuaian pada kepala silinder S&S dengan membuat kimpalan di beberapa bahagian, menukar sudut injap, mereka semula kebuk pembakaran dan ruang pengaliran gas. Pengubahsuaian ini memberikan kuasa kuda baru kepada 209hp.

Jon menghantar semula kepala silinder itu ke S&S untuk dipasang dan ditala semula agar lebih sesuai untuk kegunaan jalan raya. Hasilnya…. untuk model jalanan, enjinnya kini hanya berkuasa 145hp pada 5,200rpm dan tork setinggi 217Nm. “Bagi mereka yang ingin menambah kuasa, pihak Jon boleh melakukannya. Tetapi bagi saya, saya sudah cukup gembira pada kadar kuasa sekitar 5/10 atau 6/10 daripada kuasa sepenuhnya,” komen Matt Chambers.

Model P51 ini juga dihasil berasaskan kapal terbang Mustang P-51 yang dikatakan berjaya menembak jatuh kira-kira 4,950 kapal musuh sewaktu Perang Dunia Kedua dulu. Inilah yang boleh kita kaitkan dengan jentera ini, ia adalah model Confederate paling berkuasa dan paling laju. Ia mampu menewaskan catatan 282km/j milik James Hoegh bersama model X-Wedge Hellcat yang dilakukan di Bonneville Salt Flats pada tahun 2014

Saya merupakan orang luar pertama Confederate yang diberi peluang untuk menunggang jentera ini. Paul Adam membawa Fighter ini untuk tujuan demonstrasi kepada para penerbit perfileman yang mungkin mahukan mesin ini beraksi di layar perak. Kesempatan itulah membolehkan saya memacu jentera istimewa ini di kawasan pergunungan San Gabriel yang terletak di utara Los Angeles. Saya memulakan tunggangan dari jalan Gunung Glendora menuju ke lokasi bersalji iaitu Gunung Baldy.

Sebaik sahaja berada di atasnya, kita akan dapati bahawa jentera baru G2 Fighter ini adalah sebuah jentera yang sangat berbeza jika dibandingkan dengan beberapa model sebelumnya. Pelananya memang cukup selesa – boleh mencabar model sport tourer cuma model ini tidak dilengkapi dengan kotak barang sisi. Posisi tempat letak kakinya ala model 'cruiser' dari Amerika manakala sifatnya pula mirip model sport dari Eropah. Terima kasih dengan gabungan hebat ini, ia jauh berbeza jika dibandingkan model G1 Fighter dulu – yang ini pastinya lebih baik dan lebih selesa.

Pereka model X132 Hellcat Speedster, Pierre Terblanche telah berpindah ke Royal Enfield dan tugasnya kini diganti oleh Matt Chambers yang berjaya menghasilkan idea baru yang cukup mengagumkan. Bar hendal barunya menawarkan posisi menunggang lebih baik dan tepat untuk mengawal jentera yang lincah ini. Kebijaksaan ciptaan baru ini membolehkan kita mengendali jentera dengan lebih mudah dan bijak sekali. Saya sendiri bagaikan tidak percaya jentera mampu bertindak balas secekap ini.

Jujurnya saya tidak berapa yakin untuk mendaki jalan-jalan cukup sukar di Gunung Glendora dengan laju selain jentera ini. Hamburan kuasa tolakannya yang sangat luas memudahkan segala pergerakan walaupun bagi sebuah jentera yang mempunyai tapak roda yang panjang (1,588mm). Jentera ini dilengkapi dengan penyerap hentak dari RaceTech yang membantu Fighter ini meratah selekoh-selekoh tajam dengan yakin dan berkualiti. Kelihatan cantik sahaja tidak cukup... kualiti sebuah produk turut bergantung kepada keupayaan dan prestasinya. Itulah yang telah dibuktikan oleh tayar Pirelli Night Dragon bersaiz 120/70ZR 19 dan Pirelli Diablo Rosso 240/45ZR 17 yang menggigit permukaan jalan dengan cemerlang sekali. Saya tidak terasa berat atau kekok dalam mana-mana kelajuan dan sudut selekoh.

Enjin X-Wedge dahulunya agak sukar dihidupkan tetapi masalah ini tidak lagi berlaku untuk Fighter! Tekan sahaja suis penghidup, akan berderum dengan lancar dan pantasnya. S&S telah melengkapkan jentera ini dengan adanya sistem Easy Start yang memudahkan proses menghidupkannya. Enjinnya telah disepadukan pada kerangka yang tegar dan sempurna menjadikan tunggangan dapat dinikmati tanpa sebarang gegaran. Kelancaran tindak balas jentera ini turut disumbangkan oleh sistem pancitan bahan api Delphi EFI – saya dapat menarik pecutan kuasanya dengan pantas walaupun daripada kedudukan melahu.

Pulas sahaja pendikit, kita akan 'berlari' dengan laju tidak kira dalam kedudukan gear apa pun dan paling mengujakan ialah Confederate telah menjadikan jentera ini amat mudah untuk ditunggang. Dengan pemetaan yang bijaksana, hantaran kuasa yang kuat dan lancar mampu dirasakan walaupun dalam kedudukan 2,000rpm. Dalam kedudukan gear teratas (5), kita mampu memecut sepantas 160km/j walaupun putaran rpm hanya sekitar 3,000rpm. Panel meternya jelas walaupun dalam saiz yang sederhana. Ia memaparkan tahap kelajuan, tahap bahan api, lampu penunjuk berwarna merah, lampu hijau untuk gear Neutral dan.... itu saja!

Menukar kedudukan gear dapat kita lakukan dengan lancar kerana model ini didatangkan dengan sistem klac bandit yang lembut sekali. Untuk kekal lancar dan tidak tersentap-sentap, putaran enjin dinasihatkan berada di atas 1,800rpm manakala tinggi maksimum kuasanya ialah pada 5,200rpm. Enjin ini berkuasa 145bhp... lebih 25bhp pada enjin X-Wedge yang dipasangkan pada model Speedster. Itulah hasil kerja yang cukup baik oleh Jon Kaase.

Proses penukaran gear dapat dilakukan dengan positif dan cukup lancar kecuali ketika menurunkan gear dari kedudukan 2 ke 1, memberikan bunyi 'klak' yang cukup kuat. Gear ketiga hingga kelima dapat kita gunakan tanpa sistem klac – mudah dan menyeronokkan. Apa yang mengejutkan ramai pihak ialah kebolehannya memecut di dalam sebuah bandar tanpa sebarang masalah. Ia lincah dan berkuasa... satu kombinasi yang sangat sesuai untuk bergaya ke mana sahaja.

Sistem brek Fighter ini memang layak menerima pujian dan antara model lain yang dilengkapkan dengan sistem brek sama ialah model Brough Superior SS100. Sepasang brek hadapan Beringer bersaiz 230mm jenis aluminum-seramik komposit dan brek belakang keluli tahan karat bersaiz 240mm memberi cengkaman dengan cemerlang sekali walaupun untuk sebuah jentera seberat 261kg.

Benar... brek-brek ini berfungsi dengan bijak sekali kelajuan P51 dapat diperlahankan dengan pantas walaupun dalam kelajuan tinggi. Saya jelas dapat merasakan perbezaannya berbanding model G1 Fighter yang hanya dilengkapi dengan satu brek cakera sahaja. Apa pun, menunggang dengan sistem brek yang sangat keras agak berbahaya untuk dibawa ke jalanan yang basah dan licin. Memang menakutkan... tambahan pula ketika bersama enjin Fighter yang sangat berkuasa ini.

Tidak dinafikan, Confederate P51 Fighter Combat ini adalah jentera terbaik yang pernah dihasilkan. Ia rendah, cantik dan gagah serta mempunyai kualiti pembikinan sangat tinggi. Bermutu tinggi dan agak mahal tetapi memang cukup berbaloi bagi mereka yang memilikinya. Dengan kejayaan model ini, ia juga mencerminkan tahap kemampuan syarikat ini selepas 25 tahun berada di dunia mesin dua roda untuk terus menghasilkan jentera dua roda yang menarik minat semua pencinta motosikal di seluruh dunia. RR

Laporan: Alan Cathcart                                                                                                                          Kredit foto: Kevin Wing

Isu Pada

Mei 2016

Spesifikasi

Enjin4 lejang, v-kembar, sistem penyejuk udara/minyak
Isipadu2,163cc
Gerek x Lejang111.76 x 111.76mm
Nisbah mampatan10.3:1
Kuasa maksimum145bhp pada 5,100rpm
Tork maksimum217Nm pada 2,000rpm
Tinggi pelana 724mm
Berat261kg
Isi tangki15.25 liter
PengeluarConfederate Motor Company

Popular

  • Model Baru

    EICMA 2024: Moto Morini Alltrhike 450: Makin Meriah Segmen Kembara

  • Warta Roda

    Cikgu Pencen Ubahsuai Motosikal Untuk Bersihkan Kampung

  • Dari Litar

    Honda HRC - Repsol: Penghujung Suatu Era

  • Dari Litar

    Jorge Martin Cipta Sejarah, Pelumba Pasukan Satelit Pertama Jadi Juara MotoGP!

  • Warta Roda

    Honda BigWing Melaka Dibuka Secara Rasmi

Artikel berkaitan

BMW R 1300 GS - Ia Satu Revolusi, Bukan Evolusi

Suzuki GIXXER 250 - Lincah & Padu

CFMOTO 700CL-X Sport: Model Akhir 3 Beradik

Scrambler Ducati Full Throttle - Buatkan Perjalanan Lebih Seronok

Harley-Davidson Vance & Hines KoB Racer - Juara Mutlak 2023

Ducati Hypermotard 950 RVE - Aura Fesyen & Teknologi

Aveta Ranger Max Explorer - Prestasi Luar Jangkaan

Aprilia SR GT 200 Sport - Sensasi, Unik & Gaya Moden

Disyorkan untuk anda
Model Baru

EICMA 2024: Moto Morini Alltrhike 450: Makin Meriah Segmen Kembara

Moto Morini telah melancarkan Alltrhike 450 baru di pameran motosikal antarabangsa EICMA 2024

Model Baru

Ducati Perkenalkan Panigale V2 & Streetfighter V2 Baru di Milan

Seperti biasa, Ducati memilih pameran motosikal antarabangsa EICMA untuk melancarkan Panigale V2 dan Streetfighter V2 yang memiliki ketangkasan dan kemantapan prestasi untuk tunggangan di jalanan biasa mahupun di litar.

Dari Litar

Podium Berganda Buat Qabil Di Sepanyol & Raih Keempat Keseluruhan di ESBK

Qabil Irfan menutup musim Kejuaraan Superbike Sepanyol (ESBK) Moto4 dengan podium berganda di pusingan akhir yang berlangsung di Circuito de Jerez, Sepanyol.

Warta Roda

Operasi Khas Motosikal Besar-Besaran Bermula....

Operasi Khas Motosikal akan dijalankan secara besar-besaran bermula 1 November hingga 31 Disember di seluruh negara susulan peningkatan kadar kemalangan yang direkodkan pada tahun ini.