Isu Terkini

Julai 2024

Pandu Uji / 10 Mei 2016

J300 Skuter Pertama Kawasaki

Lihat sahaja mesin skuter, tentunya kita tidak akan menyangka ia adalah sebuah jentera Kawasaki. Kalau dibandingkan dengan jenama dari Jepun yang lain seperti Yamaha, Honda dan Suzuki, Kawasaki adalah satu-satunya pengeluar motosikal yang hanya dikenali buat sekian lama menerusi kepakarannya dalam menghasilkan jentera streetbike, sportbike, dual purpose, enduro dan sport tourer.

Demi terus berdaya saing dalam pasaran dunia, Kawasaki akhirnya telah mengambil langkah cukup berani untuk memperkenalkan skuter pertamanya iaitu J300 yang memang dinanti-nantikan. Untuk pengetahuan pembaca, 'J' diambil daripada singkatan Jyounetsu yang bererti kecintaan atau passion dalam bahasa Jepun.

Kawasaki J300 diperkenalkan ke pasaran negara pada akhir November lalu dan ternyata kehadirannya mendapat riaksi positif daripada komuniti pengguna motosikal di seluruh negara. Untuk membuktikan keupayaan dan kebolehan jentera 299cc ini, Kawasaki Motors (Malaysia) Sdn Bhd (KMSB) telah menganjurkan sesi tunggang uji bersama pihak media pada 15 Mac lalu. Program yang diadakan ini diserikan dengan kehadiran Pengerusi Eksekutif KMSB, Raja Dato' Hanippudin bin Raja Dato' Nong Chik sambil ditemani oleh Pengurus Besar KMSB, Dato' Jeffrey Lim.

J300 merupakan hasil kerjasama di antara pihak Kawasaki dan pengeluar utama skuter di Taiwan iaitu Kwang Yang Motor Co, Ltd (KYMCO). Namun begitu jentera ini ternyata mempunyai identitinya tersendiri untuk tampil lebih menawan dan menepati citarasa para pengguna. Kawasaki J300 menawarkan rekabentuk agresif seperti mana yang dimiliki oleh model-model Ninja yang lain. Rekabentuk lampu hadapannya tampak seperti model sporty (ZX-10R & ZX-6R) atau pun model tourer seperti keluarga Versys. Lampu belakangnya jenis LED yang sangat-sangat jelas – sangat mudah dilihat oleh kenderaan dari belakang.

Mudah benar untuk memanjat J300, pelananya hanya setinggi 775mm tetapi ruang hadapannya sedikit mengecewakan kerana papan meletak kaki model ini agak terhad (besar sedikit berbanding Kymco Xciting 300) - agak menyukarkan bagi penunggang yang mempunyai kaki bersaiz 10 dan ke atas. Ruang barang bersaiz sederhana terletak bersebelahan hendal kiri boleh menyimpan beberapa barangan kecil seperti dompet, telefon pintar dan soket pengecas telefon pintar berkuasa 12V. Apa yang boleh dicadangkan ialah agar ruang barang ini dapat dilengkapkan dengan sistem kunci.

Panel meternya kemas dan moden. Dua meter bulat memaparkan tahap kelajuan, tahap putaran rpm yang juga dilengkapi dengan lampu penunjuk bagi bahan api (akan menyala bila minyak hampir kering), sistem ABS, bateri, sistem pancitan bahan api dan servis minyak hitam. Kadar bahan api, suhu, jarak dan jam dipaparkan menerusi meter digital. Apa yang tidak begitu memberangsangkan ialah kombinasi warna lampu digital berwarna hitam dan biru ini tidak begitu terang walaupun ketika menunggang di malam hari.

Untuk menghidupkan enjin J300, tongkat terlebih dahulu perlu diangkat manakala tuas brek juga perlu ditarik. Bestnya... Bunyi enjin 299cc, SOHC yang dilengkapi dengan sistem pancitan bahan api ini cukup senyap dan segar, membuatkan kita tidak sabar-sabar lagi memilih destinasi untuk ditujui. Walaupun menggunakan sistem tali sawat sebagai pacuan akhir, kecemerlangan skuter ini memecut dari kelajuan sifar amat mengagumkan. Kalau memulas pendikit di persimpangan lampu isyarat tu.... pasti kita yang 'terbang' paling pantas ke hadapan.

Apabila mula meluncur laju, sifat garang mesin-mesin Ninja turut diwarisi oleh J300 ini. Dengan kekuatan maksimum 27.2bhp pada 7,750rpm dan tork 28.7Nm pada 6,250rpm, J300 mampu memecut dari kelajuan 60km/j ke 110km/j kurang daripada 10 saat. Rekabentuk fairing yang mantap, angin kencang dari hadapan dapat melaluinya dengan baik sekali seterusnya memberi keselesaan berpanjangan buat penunggang. Apa yang agak mengganggu ialah cermin pengadang udaranya agak rendah sedikit, mengganggu penunggang yang berketinggian 5'10” dan ke atas.


Ruang bahagian kaki dan papan pemijaknya agak kecil terutama buat mereka yang berkaki panjang. Kaki tidak boleh dilunjurkan ke hadapan, terpaksa dibengkokkan sepanjang perjalanan.

Kalau untuk perjalanan di bawah 100 kilometer mungkin tiada masalah tetapi lebih daripada itu... kita mudah lenguh. Rekaan ini agak bercanggah dengan konsep sebenar skuter maksi yang seringkali digunakan untuk tujuan pengembaraan. Keselesaan bahagian kaki antara yang paling penting bagi seseorang penunggang itu.


Ternyata ramai peminat motosikal yang cukup kagum apabila melihat sebuah skuter yang tertulis 'Kawasaki' di bahagian sisinya dan tahniah buat Kawasaki kerana maklum balas yang diterima cukup positif dan memberangsangkan. Selain rupabentuknya yang menarik, ruang barang bawah pelana yang luas merupakan satu sebab utama mengapa ia menerima pujian ramai. Ruang yang luas ini mampu untuk kita menyimpan topi keledar atau kelengkapan pengembaraan seperti pakaian, peralatan baik pulih, kotak kecemasan dan lain-lain dengan berat maksimum isian sekitar 10 kilogram.

Walaupun ia skuter maksi dengan saiz badan yang besar, ia bukanlah sebuah mesin yang boleh dipandang rendah ketika berada di dalam bandar. Hamburan kuasanya yang luas menjadikan sebuah skuter yang seberat 191kg dengan tapak roda 1,555 mampu beraksi dengan lincah seperti skuter-skuter berkuasa lebih rendah cuma apabila berada di ruang selesa... ia menghilang sekelip mata. Cepat sungguh!


Kerangka keluli jenis berlian membantu kita terus mantap ketika berada dalam kelajuan tinggi. Kelajuan tertinggi untuk skuter 299cc ini ialah sekitar 160km/j dan kestabilannya meluncur tanpa sebarang gegaran pasti memberikan kepuasan dan senyuman lebar buat pemilik Kawasaki ini. Walaupun begitu, kelajuan paling ideal dan selamat ialah sekitar 120-130km/j kerana ketika ini penunggang masih mampu bertindak dengan cepat jika berlakunya kecemasan.

Selepas hampir 200 kilometer perjalanan, titik-titik hujan mula menerjah badan dan di sinilah saiz tubuh badan J300 yang besar ini melindungi penunggang daripada basah teruk. Ruang-ruang menyimpan barang di hadapan tadi senang dibuka, membolehkan kita menyimpan telefon pintar dan duit dengan cepat jika hujan turun dengan lebat secara tiba-tiba. Dalam keadaan hujan gerimis, percaya atau tidak jika kami katakan sekitar 80% pakaian penunggang masih kering. Kalau sudah lebat... memang basahlah!


Menunggang di dalam alam persekitaran yang kelam dan gelap, kecerahan lampu amat penting agar penunggang dapat dilihat dengan jelas oleh pengguna jalan raya yang lain. Lampu utama J300 memang cukup terang... no problem! Walaupun sudah ditegur... sudah dibuktikan dengan kadar kemalangan yang semakin meningkat, masih ramai di antara kita (penunggang motosikal) yang tidak bersungguh-sungguh memastikan lampu depan dan belakang motosikal masing-masing berfungsi dengan sempurna.

Mengapa ya? Sanggup kita menggadaikan nyawa daripada singgah ke bengkel motosikal sebentar untuk menukar mentol. Bagi ayah dan ibu yang menjemput anak-anak mereka dari sekolah atau pun dari pusat asuhan... tolong ambil perhatian! Selepas seharian bekerja dan berhimpit dalam kesesakan jalan raya, ramai di antara pemandu sudah keletihan. Tumpuan pada jalan raya juga semakin berkurangan dan janganlah kita tambahi risiko kemalangan disebabkan kegagalan melengkapkan motosikal kita dengan lampu utama dan lampu belakang.

Siapa kata skuter tak boleh 'layan' jalan selekoh? Dengan saiz tayar hadapan 120/80-14M/C 58S dan 150/70-13M/C 64S (belakang), J300 ini cukup mantap apabila berada di jalan berselekoh. Gunakan sedikit posisi badan untuk melabuhkan miringan skuter ini dan kekuatan torknya amat berguna apabila kita cuba keluar daripada selekoh. Jika berada di kawasan berbukit, J300 akan mendaki dengan pantas sekali tanpa perlu bersusah payah.


Tidak kira anda menunggang bersendirian mahu pun berdua, sistem fork teleskopik di hadapan dan penyerap hentak berspring yang dilengkapkan di belakang berjaya menyerap segala hentakan dengan cemerlang sekali. Tidak kira jalanan yang beralun mahu pun ketika berada di kawasan berlopak, kita tidak melompat-lompat sebaliknya terus stabil hingga tiba di jalan yang lebih baik.

Okay, prestasi sistem brek jentera Kawasaki tidak pernah mengecewakan, termasuklah model ini. Kawasaki telah melengkapkan J300 dengan brek hadapan cakera jenis berkelopak 260mm dan brek belakang jenis berkelopak dengan saiz 240mm. Sistem pertahanan J300 turut diperkemaskan dengan adanya sistem ABS.


Dari timur ke barat... selatan dan utara, Kawasaki J300 terus berbakti tanpa penat dengan kapasiti tangki petrol sebesar 13 liter yang mampu membawa penunggang lebih daripada 250 kilometer dengan pelbagai jenis kelajuan, gaya tunggangan dan keadaan muka bumi. Pastinya skuter ini lebih mantap jika beberapa pengubahsuaian dapat dilakukan terutamanya pada ruang bahagian kaki agar lebih luas dan selesa.

Dengan rupabentuk yang agresif dan pengendalian mantap, kehadiran J300 pastinya memberi lebih pilihan kepada para menunggang motosikal terutamanya mereka yang meminati jenama Kawasaki. Kawasaki menyasarkan penjualan sekitar 500 unit pada tahun ini dan berdasarkan prestasi yang dipamerkan, jumlah ini pasti mampu dicapai. Model ini ditawarkan dalam dua pilihan warna iaitu putih dan hitam pada harga RM31,489 (termasuk cukai GST). RR

Isu Pada

Mei 2016

Spesifikasi

Enjin4 lejang, 4 injap, SOHC, sistem penyejuk cecair
Isipadu299cc
Gerek x Lejang72.7 x 72.0mm
Nisbah mampatan10.8:1
Kuasa maksimum27.2hp pada 7,750rpm
Tork maksimum28.7Nm pada 6,250rpm
Tinggi pelana 775mm
Berat Kering191kg
Isi tangki13 liter
PengeluarKawasaki Motors (Malaysia) Sdn Bhd

Popular

  • Dari Litar

    Voge Formica Rossa 150 Bakal Muncul di Perlumbaan CubPrix & ARRC Musim Depan

  • Warta Roda

    Honda RS150R Tiba Dengan Warna Baru

  • Model Baru

    EICMA 2024: Moto Morini Alltrhike 450: Makin Meriah Segmen Kembara

  • Warta Roda

    Cikgu Pencen Ubahsuai Motosikal Untuk Bersihkan Kampung

  • Dari Litar

    Honda HRC - Repsol: Penghujung Suatu Era

Artikel berkaitan

BMW R 1300 GS - Ia Satu Revolusi, Bukan Evolusi

Suzuki GIXXER 250 - Lincah & Padu

CFMOTO 700CL-X Sport: Model Akhir 3 Beradik

Scrambler Ducati Full Throttle - Buatkan Perjalanan Lebih Seronok

Harley-Davidson Vance & Hines KoB Racer - Juara Mutlak 2023

Ducati Hypermotard 950 RVE - Aura Fesyen & Teknologi

Aveta Ranger Max Explorer - Prestasi Luar Jangkaan

Aprilia SR GT 200 Sport - Sensasi, Unik & Gaya Moden

Disyorkan untuk anda
Warta Roda

Pos Malaysia Terima 1,092 Jentera Elektrik, MEV-1 Pro dari MODENAS

Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (MODENAS) sehingga kini telah pun menyerahkan sejumlah 1,092 unit motosikal elektrik iaitu MEV-1 Pro khusus kegunaan pihak Pos Malaysia Berhad.

Warta Roda

RXZ Twin Boss V2 Oleh FNG Works Akan Dipamerkan di Yokohama Hot Rod Custom Show 2024 di Jepun!

RXZ Twin Boss V2 yang menang di AOS2024 dalam pertandingan Art Of Speed Invitational Bike Build Off akan dipamerkan di Yokohama Hot Rod Custom Show 2024.

Model Baru

HLYM Perkenalkan Yamaha Y16ZR 6MRO Edisi Terhad – RM13,668

Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) turut meraikan pencapaian bersejarah itu dengan menampilkan model edisi terhad iaitu Yamaha Y16ZR 6MRO.

Model Baru

CFMOTO 675SR-R Dilancarkan Pada Harga Asas RM37,888

Bersempena dengan majlis perasmian CFMOTO Flagship Store Sendayan Motor, Mforce Bike Holdings Sdn Bhd telah melancarkan model sport terbaru iaitu CFMOTO 675SR-R.