MV AGUSTA STRADALE 800 : Mengembara Penuh Bergaya
Cinta Pandang Pertama... satu ungkapan yang cukup sesuai digunakan pada model yang baru ditunggang ini iaitu MV Agusta Stradale 800. Bukan kami sahaja... malah setiap kali jentera ini dimatikan enjin, pastinya ada mata yang menjeling sampai mengambil telefon pintar untuk mengambil gambar. Dalam bahasa Itali, strada bererti 'jalanan' dan pastinya Stradale merupakan sebuah jentera jalanan yang menggabungkan mesin-mesin touring, dual purpose dan sport.
Melihatnya dengan lebih dekat mengingatkan kami pada kata-kata indah dari MV Agusta iaitu “There are a lot of beautiful motorcycles in the world but MV Agusta is something else.” Betul tu... bukan terlalu memuji tetapi Stradale ini sememangnya antara model jalanan yang paling cantik pernah dihasilkan. Kesempurnaan rekabentuknya hadir dari setiap sudut. Lampu bentuk berliannya adalah identiti MV yang dikongsi hampir kesemua ahli keluarganya. Stradale adalah adaptasi daripada model Rivale yang dapat dilihat agak jelas menerusi rekabentuk fairing mini sisi depan dan belakang, belly pan, madgad dan corong udara di belakang.
Tangki Stradale cukup mantap manakala gabungan antara rekabentuk sistem ekzos dengan sportrim terbarunya memang kelihatan cukup garang sekali. Lampu posisi LED yang dilengkapkan pada cermin sisi dan memberikan rasa mewah seperti memandu kereta-kereta sport yang nilainya jutaan ringgit. Rekaan beg sisi Stradale ini mirip dengan model saingannya Ducati Hyperstrada cuma ia kelihatan lebih anggun kerana disepadukan dengan lampu LED yang terang dan menawan. Apabila lampu-lampu ini menyala, Stradale cukup cantik dipandang. Apa yang lebih meyakinkan kita untuk menyimpan barang ialah beg sisi Stradale ini dilengkapi dengan kunci berkombinasi nombor rahsia.
Pelana yang setinggi 870mm memang sukar dipanjat tetapi kerampingan tubuh badannya membuatkannya mudah untuk dikawal. Jadi... tidak kiralah anda tinggi atau rendah, Stradale ini boleh dijadikan teman istimewa. Bar hendal yang lebih mendatar dan lebih lebar memudahkan kita mengendalikannya dalam kelajuan rendah mahupun tinggi. Apa yang kurang selesa ialah sudut pelananya yang agak curam, kita seperti terhimpit ke hadapan dan masalah ini lebih rumit apabila menunggang berdua. Tetapi... selepas lama berada di atasnya, masalah ini tidak lagi diperbesar-besarkan.
Panel meter Stradale bukan main jelas lagi. Paparan yang cerah memudahkan penunggang memilih atau menala pelbagai jenis mod tunggangan dan sistem pertahanan yang telah disediakan oleh MV Agusta. Antara info yang dipaparkan ialah tahap kelajuan, posisi gear, putaran rpm, pemetaan enjin, jarak perjalanan, traction control, ABS, masa, tahap bahan api dan suhu. Di bawah meter LCD ini terdapat barisan lampu-lampu penunjuk untuk lampu tinggi, pengaktifan sistem ABS, lampu amaran kehabisan petrol, posisi gear neutral, minyak enjin, kuasa bateri dan lampu isyarat.
Sebaik sahaja memulakan perjalanan, kami rasakan cukup suka pada ruang kakinya yang luas – selesa untuk penunggang tinggi manakala bentuk tangkinya yang baik memudahkan kita mengepit untuk mendapatkan kestabilan tinggi ketika membuat pecutan. Cermin pengadang anginnya yang tinggi turut membantu kita supaya terus mengekalkan kelajuan dengan selesa sekali. Enjin tiga silinder ternyata menawarkan bunyi yang garang dan unik sekali terutama apabila menarik kuasa enjin dengan putaran yang tinggi (lebih daripada 3,500rpm).
Kemantapan suara ekzosnya membuatkan orang di tepian jalanan dikejutkan dengan kehadirannya.
Jurutera syarikat dari Itali ini berjaya menghasilkan sebuah enjin yang mampu menepati segala apa yang kita idamkan untuk sebuah mesin jalanan atau bagi model ini ia juga sesuai digelar sebuah mesin pengembaraan. Enjin 798cc, tiga silinder ini mampu berputar dengan lancar tanpa tersentak-sentak walaupun serendah 2,000rpm – cukup sesuai untuk bersiar-siar di dalam bandar. Untuk disesuaikan dengan pelbagai jenis ragam penunggang, gaya tunggangan dan jenis muka bumi, sistem elektronik MV Agusta Stradale dilengkapi dengan empat jenis pemetaan enjin iaitu Rain, Normal¸ Sport dan Custom. Sistem TC 8 tahap yang dilengkapkan pada model ini juga bertujuan untuk memudahkan perjalanan. Walaupun begitu, kami rasakan sistem TC 8 tahap itu mungkin terlalu banyak.
Nota: Chear Motor Klang (pengedar rasmi MV Agusta) kini sedang mengadakan promosi hebat dengan memberi potongan istimewa untuk model Stradale ini. Harga promosi atas jalan ialah RM87,147 yang boleh dimiliki selagi stok masih ada.
Dengan adanya sistem Electronic Assisted Shift (EAS) 2.0 Quickshifter terbaru, kita dapat menambah dan menurunkan posisi gear tanpa perlu menggunakan tuas klac yang menggunakan sistem hidraulik. Stradale ini cukup seronok untuk ditunggang. Memang lancar dan sangat pantas! Kelancaran dan kepantasan Stradale ini memecut tidak ubah seperti sebuah jentera sport berbanding model dual purpose. Dengan tubuh badan yang tinggi lampai, penunggang dapat melihat keadaan trafik dengan lebih jelas. Ya, dalam mod Normal dan Rain, parameter kuasa enjin berada pada kadar 90hp. Lebih mudah dikawal terutama sekali bagi mereka yang baru mula menjinakkan diri dengan Stradale ini.
Puas dengan mod Normal, kami pilih pula mod Sport yang menawarkan kuasa hantaran lebih pantas dan lebih kuat. Apabila jalan sudah lengang, pulas pendikit dan keraskan badan untuk merasakan kuasa hantaran tertinggi iaitu 115hp pada 11,000rpm dan tork 78.5Nm pada 9,000rpm. Walaupun ia adalah sebuah mesin pengembaraan, Stradale mampu diperah ke tahap maksimum sekitar 210km/j dengan senang sekali. Sudahlah cantik… laju pula tu! Kekuatan tork MV Agusta ini membantu kita untuk mengekalkan keseimbangannya ketika menunggang dengan perlahan. Sistem penyejuk jenis cecair direka dengan unik dan kita dapat melewati kawasan-kawasan kota yang sesak tanpa mengalami panas lampau. Apa pun, kehadiran beg-beg sisi ini agak menyukarkan kita untuk bersenang-senang di dalam bandar.
Kehebatan Stradale ini diakui apabila ia dibawa di jalanan berbukit yang mempunyai selekoh-selekoh tajam. Kekuatan enjin tiga silinder ini memecut dalam gear-gear awal membolehkan kita mendaki tanpa perlu kerja keras. Kita hanya perlu melihat pemetaan apa yang dipilih, pilih gear… panjat! Kelincahannya mengingatkan kita pada model F3 atau Rivale yang lebih ringan dan lebih rendah. Sudah boleh membayangkan bagaimana ia beraksi dengan hebat jika dibawa mengembara ke luar negara. Tidak kira jalan itu cantik atau tidak, Stradale pasti mampu merentasinya dengan tenang, selesa dan selamat.
Jentera 798cc ini mempunyai saiz tapak roda (1,460mm) yang memberikan tindak balas pantas sewaktu kita mengubah posisi jentera ini ke kiri dan ke kanan. Kemantapan dan ke-lincahannya meredah jalan berselekoh ini turut disumbangkan oleh sudut putaran hendal yang luas serta kerangka jenis trelis yang tegar dan ringan. Dengan berat kering 181kg dan brek enjin yang tidak terlalu kuat, prestasi motosikal tinggi ini mirip benar dengan karaktor jentera sport – itu yang best! Untuk rasa nikmat bermain kuasanya di jalan-jalan sebegini, kami pilih mod Sport.
Keselesaan bahagian lengan juga amat penting untuk suatu perjalanan jauh dan seperti mana yang dikongsi tadi, bar hendalnya yang lebar memudahkan kita mengawal Stradale ini walaupun dalam kelajuan rendah. Bagaimana pula jika kita menunggang di jalan yang tidak begitu baik? Terima kasih buat fork teleskopik (jenis terbalik) Marzocchi (depan) dan lengan ayun tunggal aluminium di belakang yang ternyata menyerap segala hentakan laluan yang sukar dengan cemerlang sekali. Kemampuan yang dipertontonkan ini kami nikmati sewaktu sedang membuat miringan di sebuah kawasan yang secara tiba-tibanya keadaan jalan berubah bagaikan berombak. Walaupun agak terkejut, sistem saspensi yang dimiliki oleh jentera ini membuatkan kita cepat tenang untuk mengawalnya tanpa sebarang masalah.
Berat kering mesin ini ialah 181kg dan bukanlah sesuatu yang sukar untuk memiringkannya di selekoh tajam. Dengan Stradale bukan sahaja mudah ditunggang malah berkeyakinan tinggi untuk dibawa berlari. Berkali-kali kami katakan sesama sendiri bahawa MV Agusta Stradale ini adalah sebuah jentera dalam kelasnya yang tersendiri. Ia adalah motosikal jalanan tetapi dalam masa yang sama, ia juga sebuah mesin tourer dan sport. Selesa tetapi mantap. Bukan terlalu memuji tapi itulah kebenarannya.
Untuk prestasi mantap dan keselamatan yang lebih terjamin buat penunggang, MV Agusta telah melengkapkan jentera 800cc ini dengan tayar-tayar yang berkualiti tinggi. Tayar Pirelli Diablo Rosso II bersaiz 120/70-ZR17 (depan) dan 180/55-ZR17 (belakang) memberi cengkaman sangat tinggi setiap masa. Tunggangilah Stradale ini di dalam hujan atau ketika panas terik dalam apa gaya sekali pun, ia terus berkhidmat dengan sempurna agar kita dan jentera ini berada di dalam laluannya dengan kemas sekali. MV Agusta Stradale dan Pirelli Diablo Rosso II merupakan pasangan paling ideal demi memastikan kita terus tersenyum walaupun tidak lagi berada di atas Stradale ini.
Menunggang dalam cuaca yang tidak menentu agak merisaukan kerana suhu permukaan jalan yang kadang-kadang sejuk, kadang-kadang panas menyukarkan tayar dan jentera berada di laluannya dengan selamat. Untuk mengelakkan insiden buruk berlaku, sistem pertahanan Stradale ini telah diperkuatkan dengan adanya sepasang brek hadapan cakera bersaiz 320mm jenis Brembo dan brek cakera tunggal 220mm jenis Brembo di belakang yang mencengkam dengan cemerlang sekali. Model ini juga dilengkapi dengan sistem ABS Bosch 9 Plus dengan Wheel Lift-up Mitigations (RLM).
Prestasi berubah dengan mendadak apabila kami menukar kepada mod Rain. Betul juga... kuasa enjinnya telah hilang kira-kira 25hp, tentu tidak lagi terlalu galak untuk memecut. Sememangnya dalam mod ini, Stradale lebih tenang dan lebih jinak untuk dikendalikan... sesuai untuk permukaan yang licin dan basah. Walaupun pendikit kadang kalanya terpulas agak keras, hantaran kuasa yang lembut memboleh kita memecut dengan lebih terkawal dan selamat.
Walaupun baru seharian menunggang MV Agusta ini, hubungan antara kami (jentera dan penunggang) cepat 'mesra'. Segala kesilapan kecil sewaktu di selekoh, berdepan dengan keadaan jalan yang tidak sempurna, Stradale menghadapinya dengan cemerlang sekali. Dengan isi tangki 16 liter, perjalanan lebih daripada 200 kilometer dapat kita lakukan dengan gembira sekali. Tidak dinafikan untuk memiliki Stradale ini kita perlu berbelanja agak tinggi tetapi apabila melihat kepada prestasinya yang sangat mantap dan sistem pertahanan yang dipadatkan begitu selamat maka ia memang berbaloilah. Stradale didatangkan dalam tiga warna iaitu Pearl White/Sand Metallic Grey, Red/Silver dan Bronze Metallic/Pearl White pada harga atas jalan (termasuk cukai GST 6%), RM99,917.00.
MV Agusta Stradale 800! Street... touring.... sport... Semua miliknya! RR
Spesifikasi
Enjin | 3 silinder, 12 injap DOHC |
Isipadu | 798cc |
Nisbah mampatan | 13.3:1 |
Gerek x Lejang | 79.0 x 54.3mm |
Kuasa maksimum | 115hp pada 11,000rpm |
Tork maksimum | 78.5Nm pada 9,000rpm |
Tinggi pelana | 870mm |
Berat Kering | 181kg |
Isi tangki | 16 liter |
Pengedar rasmi | Chear Motor (HQ) Sdn Bhd |
Popular