Isu Terkini

Julai 2024

Pandu Uji / 2 November 2020

Honda Forza 300 Praktikal & Mewah

Ketika diperkenalkan pada bulan November 2019, model automatik Honda Forza telah menerima pelbagai riaksi daripada para pengunjung yang hadir dan bagi RR sendiri, rekabentuk keseluruhannya adalah ciri penting yang menjadi kekuatan utama model ini. Boon Siew Honda Sdn Bhd (BSH) menetapkan harga untuk skuter pada RM30,999 yang boleh dipilih dalam tiga pilihan warna iaitu Pearl Horizon White, Asteroid Black Metallic dan Sword Silver Metallic.

Pearl Horizon White, itulah warna untuk model pandu uji kali ini yang merupakan gabungan di antara warna putih mutiara dan biru yang cukup anggun dan elegan sekali. Bahagian hadapan dimantapkan dengan lampu utama LED yang direka cukup unik dan sangat terang. Ternyata ia bukan sahaja untuk tujuan kosmetik tetapi juga memberi suluhan yang tepat dan terang agar setiap penunggang Forza dapat dilihat dengan mudah oleh kenderaan di depan.

Rekabentuk tampak tegap ini turut disumbangkan oleh sistem ekzosnya yang bersaiz besar. Pelana Forza setinggi 780mm dan ia memang cukup luas untuk memberi keselesaan buat para penunggang jentera ini di setiap masa. Ruang kaki yang luas pula membantu setiap pergerakan dilakukan dengan mudah ketika mendapatkan posisi sesuai di laluan selekoh, membrek atau apabila ingin merehatkan tubuh badan dalam perjalanan jauh.

Forza turut sesuai untuk dijadikan teman ke tempat kerja mahupun mengembara. Dengan ruang barang yang luas, kita boleh menyimpan pakaian, topi keledar, barangan pejabat atau peribadi tanpa bersusah payah. Dengan adanya suis istimewa, pelana dan tempat bahan api dapat dibuka dengan sekali tekan sahaja.

Bar hendal yang lebar dan sudut pelananya yang boleh dikatakan sempurna buat kami cukup menambat hati. Pandangan ke hadapan cukup luas sekali dan keseluruhan bahagian hadapan ini memiliki rekaan yang tampak mewah, mantap dan elegan! Cermin pengadang udaranya boleh dilaras secara elektronik dengan menekan suis yang terletak pada bar hendal sebelah kiri. Turut dipadatkan pada bar hendal tersebut ialah sistem Traction Control (TC), Info A, Info B, suis pelaras cermin hadapan, lampu tinggi/rendah, suis lampu isyarat dan hon.

Panel meter Honda Forza ini menggabungkan penunjuk digital dan analog yang mudah untuk kita lihat tidak kira siang atau malam. Dua buah meter analog memaparkan tahap kelajuan dan putaran rpm manakala paparan digital pula memberi info tentang tahap bahan api, suhu enjin, jam, trip, purata bahan api, jarak perjalanan dan kuasa bateri. Menerusi suis Info A, penunggang dapat melihat paparan untuk trip, purata penggunaan bahan api dan jam. Sementara Info B pula memaparkan odometer dan jarak purata perjalanan.

Seperti kebanyakan skuter lain, enjin Forza hanya dapat dihidupkan apabila tuas brek ditarik dan tongkat sisi dinaikkan terlebih dahulu. Enjin empat lejang, SOHC, 279cc 'bernafas' dengan lancar dan cukup segar. Apabila dipulaskan pendikitnya lebih galak, dapat dirasa kemantapan hantaran kuasanya. Naikkan kedua-dua kaki, turunkan sedikit cermin hadapan dan pulas. Forza berlari dengan lancar dan berkuasa. Disebabkan ia bersesaran 279cc, pemegang lesen B2 wajib 'upgrade' sebelum menunggang skuter ini!

Dengan memiliki tubuh badan yang anggun dan rekaan lampu utamanya yang unik, Forza menarik perhatian ramai ke mana sahaja ia dibawa. Apa yang kami harapkan ialah agar Honda dapat melengkapkan skuter ini dengan sistem lampu isyarat yang boleh dimatikan secara automatik. Sememangnya teknologi tersebut sedang rancak dipasang pada model-model baru dan ia adalah satu pembaharuan yang amat bijak. Memang banyak di antara kita (penunggang motosikal) yang sering terlupa untuk mematikan lampu isyarat selepas menggunanya dan ini boleh mengundang bahaya.

Bagi mereka yang inginkan sebuah jentera untuk tunggangan seharian di bandar, Forza adalah satu pilihan yang ideal memandangkan tahap pengendaliannya yang cukup mudah. Penunggang wanita juga boleh kendalikan skuter ini tanpa masalah.

Hantaran kuasa 18.4kW pada 7,000rpm dan tork 27.2Nm pada 5,750rpm yang dimilikinya memastikan daya pecutan dapat dinikmati sejak dari awal lagi. Respons yang tepat menjadikan pergerakan skuter Honda ini sangat lancar walaupun apabila kita membuat pecutan dari kelajuan rendah. Kita tidak perlu mengambil banyak masa untuk meningkatkan kelajuan dari 20km/j ke 100km/j. Cermin sisinya yang luas membolehkan kita melihat keadaan trafik di belakang dengan mudah sebelum memotong kenderaan di depan.

Sememangnya ketiadaan cermin sisi juga seringkali menjadi penyebab utama berlakunya kemalangan. Berapa ramai di antara kita yang dilanggar dari belakang apabila cuba memintas... cuba membelok... tanpa dapat memastikan tiada kenderaan yang datang dari belakang.

Adakah jentera anggun ini turut memiliki sifat sporty? Jawapannya... Ya! Ketangkasan Forza ini menangani kesesakan kotaraya Kuala Lumpur mengagumkan kami. Honda ini mudah dibelokkan dalam semua sudut dan dapat diarah ke kanan dan ke kiri dengan pantas. Untuk dapatkan gambar yang cantik dan unik, kami akan menunggang ke pelbagai jenis tempat... berbagai ruang lokasi dan pengendalian sesebuah jentera amat penting ketika ini kerana jika ia susah 'nak' dibawa, macam mana kami nak letakkannya di sudut yang sesuai!

Laluan luas di lebuhraya sememangnya ditunggu-tunggu untuk melihat prestasi dan kemampuan jentera ini. Kami meninggikan cermin hadapan untuk kurangkan tamparan angin. Senang saja dengan adanya suis automatik ini. Apabila kedudukan sudah selesa, pendikit terus dipulas dengan galak. Betul lah... Forza cukup tangkas ketika dipecut dengan laju. Apa pun, kestabilannya memang mantap! Walaupun sudah mencecah 135km/j, tidak sebarang gegaran dirasa pada bahagian bar hendal mahupun badannya.

Ramai juga orang bertanyakan sama ada motosikal sebegini sesuai atau tidak untuk laluan berbukit. Untuk Honda Forza memang no problem! Selain memiliki kekuatan kuasa tork yang tinggi, sistem saspensi yang dipadankan pada skuter maksi ini berfungsi dengan cemerlang sekali. Walaupun model ini tidak mempunyai sistem gear, kemantapan sistem brek dan brek enjinnya memang suatu yang amat mengujakan.

Model ini telah didatangkan dengan pakej brek cakera hidraulik + ABS + Honda Selectable Torque Control (HSTC) yang membolehkan kita 'bergumbira' bersama skuter ini di mana sahaja kita pergi. Sistem HSTC ini akan mengesan kehilangan tahap geseran pada tayar belakang dan jika tahap tersebut menurun (di permukaan berpasir atau licin), sistem ini akan mengurangkan kadar kuasa tork agar tayar kembali mencengkam.

 Membuat miringan di dalam kelajuan tinggi juga cukup stabil dan terima kasih kami ucapkan pada tayar-tayar Pirelli Diablo Scooter bersaiz 120/70-15M/C 5 6 P (depan) dan 140/70 – 14M/C 62P di belakang yang menggigit permukaan jalan dengan cemerlang sekali. Tidak kiralah di laluan berselekoh panjang atau pendek, Forza memang cukup 'layan'. Ketika berada di dalam kawasan kampung, lampu utamanya memang menarik perhatian ramai. Sememangnya setiap penunggang perlu sentiasa berwaspada apabila berada di kawasan kampung. Jangan sesekali memecut laju kerana kebanyakan masyarakat tempatan tidak menunggang laju.

Mereka selalunya bergerak dalam kelajuan sederhana dan ada di antaranya akan membelok tanpa pedulikan sesiapa. Ini kerana kehidupan kampung sentiasa tenang... tidak terburu-buru seperti warga kota yang sibuk ke sana ke sini. Dengan pancaran lampu utama yang cukup terang, Forza mudah sekali untuk dilihat. Fork teleskopik di hadapan menyerap segala hentakan dengan baik. Walaupun ketika menunggang lama di laluan tidak rata, bahagian lengan dan tapak tangan kita tidak terasa kebas sedikit pun.

Dengan isian penuh tangki sebesar 11.5 liter, kami dapat melakukan perjalanan lebih daripada 220 kilometer. Memang jimat kan? Honda sewajarnya gembira dengan pengenalan model ini kerana ia boleh dikatakan sebuah jentera yang hampir sempurna. Forza adalah sebuah skuter yang tangkas, mudah dikendali, selesa, moden dan semestinya tahan lasak. Apabila digaulkan semuanya sekali... ia terbukti sebuah skuter maksi unggul. RR

Isu Pada

Julai 2019

Spesifikasi

Enjin4 lejang, SOHC sistem penyejuk cecair
Isipadu279 cc
Gerek x Lejang72.0 x 68.6 mm
Kuasa maksimum18.4kW pada 7,000 rpm
Tork maksimum27.2Nm pada 5,750 rpm
TransmisiPacuan tali sawat
Tinggi pelana780 mm
Isi Tangki11.5 liter
Berat184 kg
PengedarBoon Siew Honda Sdn Bhd

Popular

  • Model Baru

    EICMA 2024: Moto Morini Alltrhike 450: Makin Meriah Segmen Kembara

  • Warta Roda

    Cikgu Pencen Ubahsuai Motosikal Untuk Bersihkan Kampung

  • Dari Litar

    Honda HRC - Repsol: Penghujung Suatu Era

  • Dari Litar

    Jorge Martin Cipta Sejarah, Pelumba Pasukan Satelit Pertama Jadi Juara MotoGP!

  • Warta Roda

    Honda BigWing Melaka Dibuka Secara Rasmi

Artikel berkaitan

BMW R 1300 GS - Ia Satu Revolusi, Bukan Evolusi

Suzuki GIXXER 250 - Lincah & Padu

CFMOTO 700CL-X Sport: Model Akhir 3 Beradik

Scrambler Ducati Full Throttle - Buatkan Perjalanan Lebih Seronok

Harley-Davidson Vance & Hines KoB Racer - Juara Mutlak 2023

Ducati Hypermotard 950 RVE - Aura Fesyen & Teknologi

Aveta Ranger Max Explorer - Prestasi Luar Jangkaan

Aprilia SR GT 200 Sport - Sensasi, Unik & Gaya Moden

Disyorkan untuk anda
Warta Roda

Cikgu Pencen Ubahsuai Motosikal Untuk Bersihkan Kampung

Bermodalkan RM700, seorang pesara guru mengubah suai motosikalnya sebagai pe­ngangkut sampah dan me­lakukan kerja-kerja mengutip sampah secara sukarela di Kampung Lanai, di sini.

Dari Litar

Pelumba Negara Tampilkan Aksi Memberangsangkan

Tahniah buat para pelumba muda negara telah mempamerkan aksi yang cukup hebat dalam saingan FIM MiniGP World Finals.

Model Baru

EICMA 2024: Aprilia Tuono 457 - Jentera Jalanan Ada Aura

Aprilia kini memperkenalkan pula model jalanan paling baru iaitu Tuono 457.

Warta Roda

Hong Leong Yamaha Motor Rasmikan Space Y, Muzium Motosikal Pertama di Malaysia

Sekalung tahniah buat Hong Leong Yamaha Motor Sdn Bhd (HLYM) di atas pencapaian pengeluaran motosikal mereka yang ke- 6,000,000 unit. Bersempena dengan hari bersejarah itu, pihak HLYM telah merasmikan muzium motosikal pertama di Malaysia yang dikenali sebagai Space Y.