Isu Terkini

Julai 2024

Pandu Uji / 10 Disember 2017

DEMAK EXPLORER 150 : Selesa, lincah & sesuai untuk mengembara!

Menunggang sebuah skuter amat mudah sekali. Cuma pulas pendikit dan terus bergerak. Tidak perlu guna gear atau pun klac. Salah sebuah skuter yang menjadi tarikan orang ramai ialah Demak Explorer 150. Walaupun dari segi rekabentuk badannya yang agak besar ia tetap comel di hadapan pandangan kita. Rekaan skuter ini sesuai untuk penunggang yang muda mahupun berumur.


Apabila menghidupkan enjin Explorer ini, kedengaran bunyi enjin berputar dengan senyap sekali dan walaupun kita meningkatkan kadar putaran enjin, bunyinya tetap tidak terlalu bising. Model ini disertakan dengan penghidup jenis elektrik (turut dilengkapi dengan penghidup tendang). Untuk menghidupkannya kita perlu memastikan terlebih dahulu bahawa suis on/off di bahagian kanan bar hendal dalam keadaan “on”.


Enjin bersilinder empat lejang ini mampu menghasilkan kuasa 10.0hp pada 8,000rpm dan tork 10.1Nm pada 6,500rpm yang mampu memberi kepuasan pada kami di saat menunggangnya. Prestasi pada awalnya agak kurang memberangsangkan tetapi apabila sudah mula memecut, boleh tahan juga motosikal ini.


Skuter ini mampu mencecah sehingga 130km/j di jalan yang lurus mengikut berat badan yang bersesuaian serta cara tunggangannya. Sekali gus membuktikan ia terus sentiasa kekal berkuasa kerana Explorer ini dihadirkan dengan kapasiti enjin yang bersaiz 150cc.


Walaupun mempunyai berat 108kg, ia bukan menjadi masalah untuk menunggangnya di jalanan. Ternyata dengan mempunyai berat sebegitu Explorer ini cukup stabil terutamanya ketika memotong kenderaan besar seperti bas, lori dan lain-lain. Kami tidak merasakan tolakan angin yang begitu kuat berbanding skuter kecil yang lain.


Prestasi Explorer 150 di selekoh juga tidaklah mengecewakan buat kami yang menunggangnya. Saspensi skuter ini adalah daripada jenis fork teleskopik. Ia bertindak dengan kemas ketika membrek dengan kuat dan cepat. Penyerap hentak belakangnya memberikan keselesaan pada penunggang dan pembonceng. Ditambah pula dengan saiz tayar yang lebar, 90/90-12 (hadapan) dan 100/90-10 (belakang). Walaupun tayar hadapan lebih besar berbanding belakang ia tetap stabil ketika menunggangnya.


Brek hadapan model ini didatangkan dengan jenis cakera cukup mencengkam sekali semasa membrek. Brek belakang pula jenis gelendong, tetapi agak mengecewakan semasa menggunakan brek belakang kerana kurang mencengkam. Kita perlu menarik tuas brek dengan lebih kuat sedikit untuk menggunakannya.


Meternya juga cukup besar dengan paparan yang mudah dibaca dan kita dapat fokus menunggang di atas jalan raya. Dengan hanya sekali pandang kita sudah dapat membaca kelajuan, tahap bahan api dan jarak perjalanan. Bahagian panel kelajuan adalah jenis analog manakala di bahagian bahan api dan trip, ia jenis digital. Pada waktu malam lampu latar belakang meternya cukup terang untuk dilihat.


Begitu juga dengan lampu hadapannya yang cukup jelas untuk menerangi jalan sewaktu menunggang pada waktu malam. Kita juga boleh menghidupkan dan mematikan lampu hadapan atau di bahagian dada dengan hanya menolak suis yang telah disediakan di panel hendal sebelah kanan. Lampu belakangnya juga amat besar, memudahkan pengguna jalan raya yang lain melihat kita dari belakang terutamanya pada musim hujan mau pun waktu malam.


Model Explorer 150 ini telah dilengkapi dengan ruang bawah pelana cukup luas yang mampu memuatkan barang seperti helmet, jaket, beg galas dan lain-lain. Untuk membuka tempat mengisi petrol dan pelana amat mudah caranya. Hanya perlu putar kunci ke “SEAT/FUEL” kemudian tekan butang SEAT atau FUEL (terletak bersebelahan kunci utama) dan ia akan terus terbuka dengan lembut sekali.


Selain tempat penyimpanan barang di bawah pelana, kita juga boleh meletakkan barang ringan ataupun kecil di bahagian tengah dada yang tersedia. Tidak lupa juga terdapat ruang kecil yang terletak di sebelah kiri handel. Untuk membuka ruangan kecil ini hanya perlu tekan pada penutup ruang tersebut. Selain itu, terdapat cagak yang ditambah pada skuter ini untuk menyangkut beg plastik.


Ruang antara pelana dan bahagian depan boleh dikatakan tidak terlalu sempit. Ia cukup sesuai untuk penunggang yang mempunyai ketinggian dalam lingkungan 180cm. Rekaan fairing hadapan juga cukup membantu ketika waktu hujan. Kepitkan sedikit kaki ke dalam, kita dapat melindungi kasut dan sebahagian seluar kita daripada terkena percikan air hujan yang berada di permukaan jalan.


Kadar petrol yang digunakan untuk sebuah jentera seperti ini juga amat menjimatkan. Kami dapat memacu model ini lebih daripada 120 kilometer dengan isian penuh tangki bersaiz 6.6 liter. Explorer 150 ini sesuai dibawa ke mana-mana sahaja kerana menawarkan gaya tunggangan yang lincah serta penjimatan bahan api.


Explorer 150 ini boleh dimiliki dengan harga RM5,312 (termasuk GST serta harga atas jalan dan insurans). Ia diperkenalkan dengan tiga pilihan warna iaitu biru, merah dan oren. Tunggu apa lagi! Demak Explorer 150 sesuai untuk mengembara, ke tempat kerja dan ke mana sahaja yang kita inginkan. RR

Isu Pada

Disember 2017

Spesifikasi

Enjin4 lejang, silinder tunggal, Jet air cooled, enjin horizontal
Isipadu150cc
Gerek x Lejang57.5 x 57.8mm
Nisbah mampatan9.5:1
Kuasa maksimum10.0hp pada 8,000rpm
Tork maksimum10.1Nm pada 6,500rpm
Berat108kg
Isi tangki6.6 liter
Kelegaan tanah120mm
Pengedar RasmiDemak Marketing Sdn Bhd

Popular

  • Model Baru

    EICMA 2024: Moto Morini Alltrhike 450: Makin Meriah Segmen Kembara

  • Warta Roda

    Cikgu Pencen Ubahsuai Motosikal Untuk Bersihkan Kampung

  • Dari Litar

    Honda HRC - Repsol: Penghujung Suatu Era

  • Dari Litar

    Jorge Martin Cipta Sejarah, Pelumba Pasukan Satelit Pertama Jadi Juara MotoGP!

  • Warta Roda

    Honda BigWing Melaka Dibuka Secara Rasmi

Artikel berkaitan

BMW R 1300 GS - Ia Satu Revolusi, Bukan Evolusi

Suzuki GIXXER 250 - Lincah & Padu

CFMOTO 700CL-X Sport: Model Akhir 3 Beradik

Scrambler Ducati Full Throttle - Buatkan Perjalanan Lebih Seronok

Harley-Davidson Vance & Hines KoB Racer - Juara Mutlak 2023

Ducati Hypermotard 950 RVE - Aura Fesyen & Teknologi

Aveta Ranger Max Explorer - Prestasi Luar Jangkaan

Aprilia SR GT 200 Sport - Sensasi, Unik & Gaya Moden

Disyorkan untuk anda
Dari Litar

Pelumba Negara Tampilkan Aksi Memberangsangkan

Tahniah buat para pelumba muda negara telah mempamerkan aksi yang cukup hebat dalam saingan FIM MiniGP World Finals.

Model Baru

Moto Morini Calibro 700 Masuki Pasaran Negara. Harga bermula RM35,888

Mforce Bike Holding selaku pengedar rasmi jenama Moto Morini di Malaysia dengan bangganya melancarkan model ketiga hari ini iaitu Calibro 700.

Warta Roda

GIVI Convoy MotoGP Ride & Camp 2024

GIVI Asia Sdn Bhd telah menganjurkan GIVI Convoy MotoGP Ride & Camp 2024 pada 2 & 3 November yang disertai sekitar 100 orang peserta hampir dari seluruh semenanjung negara, termasuk dari Perlis.

Dari Litar

MotoGP Malaysia: Walaupun Raih Juara, Misi Pecco Belum Selesai....

Pecco akhirnya menerima bendera penamat sebagai juara diikuti Martin di tempat kedua dan kini mendahului carta dengan 24 mata manakala Enea Bastianini di tempat ketiga.