Brough Superior Pendine Sand Racer
Tiga tahun lalu, kerjasama yang cukup bijak telah membolehkan jenama Brough Superior kembali bernafas semula dengan produksi dilakukan di Perancis untuk melahirkan sebuah jentera jalanan berprestasi tinggi yang kini memiliki lambang ikonik dari British untuk melangkah ke era baru.
Peluang dan kejayaan ini hadir selepas pemiliknya, Mark Upham telah bekerjasama dengan pereka dari Perancis bernama Thierry Henriette yang juga merupakan pemilik Boxer Design yang berpengkalan di Toulouse. Thierry juga orang yang bertanggungjawab dalam penciptaan model SS100 yang diperkenalkan di EICMA pada tahun 2013 lalu.
Henriette dan rakan perniagaannya, Albert Castaigne memperkenalkan kembali Brough Superior sebagai pengeluar motosikal berprestasi tinggi, bermutu, gaya retro menarik, bahan-bahan berkualiti tinggi dan teknologi canggih. Model terkini sedang disiapkan ialah Brough Superior baru yang dikuasakan oleh enjin v-kembar 88º, sistem penyejuk cecair yang dibangunkan oleh Akira Engineering dari Bayonne, Perancis khusus untuk Brough Superior. Syarikat ini juga bekerjasama dengan Kawasaki dalam penghasilan enjin jentera ZX-10R yang mendominasi dunia perlumbaan WSBK bersama penunggangnya, Jonathan Rea.
Model-model terkini Brough Superior ini dibina di 'rumah baru' terletak di Toulouse yang berkeluasan 2,000 meter persegi. Ia juga digelarkan Boxer Design Factory yang memiliki 14 kakitangan yang cukup bertenaga. Jentera Brough Superior dihasilkan di kilang baru ini, mereka tidak lagi memerlukan bekalan dari Akira. Tahun lalu, mereka berjaya menghasilkan 62 buah jentera dan sebanyak 128 lagi sedang giat disempurnakan untuk penghantaran pada tahun ini. Dijangkakan jumlah penghantaran akan mencapai tahap tertinggi iaitu sebanyak 250 unit pada tahun 2019. Jumlah pengeluaran sentiasa dikawal agar Brough Superior sentiasa dikenali sebagai jenama berprestij.
Pada tahun 2001 lalu, dia telah pun menghasilkan 36 buah jentera Boxer VB1 Superbike yang benar-benar cantik. Ketika ini, jentera tersebut menggunakan enjin v-kembar Voxan tetapi syarikat yang mendapat beratus-ratus pesanan ini pula terkubur. Thierry Henriette memang seorang yang sudah 'masak' dalam dunia perniagaan motosikal dan menjanjikan akan melindungi Brough Superior daripada menerima nasib yang sama.
Itu adalah kisah awal kelahiran semula Brough dengan kejayaan model SS100 Sportbike yang mengekalkan konsep jentera retro. Langkah terbaru ialah menerusi sebuah model lebih mantap iaitu Pendine Sand Racer yang memiliki rekabentuk sangat berbeza dan cukup unik. Pada tahun 1920 lalu, Pendine adalah nama sebuah pantai sepanjang 11 kilometer yang pernah menjadi tempat persaingan dua pelumba hebat iaitu Sir Malcolm Campbell yang memandu sebuah jentera bergelar Bluebird dengan juara tempatan, J.G Parry Thomas bersama jentera Babs. Pendine kemudiannya diabadikan pada semua jentera perlumbaan milik pelanggan Brough. Jentera tunggangan mereka itu mampu mencapai kelajuan lebih daripada 160 kilometer sejam.
Jentera Pendine baru ini merupakan satu ciptaan yang amat berlainan, ini kerana rekabentuknya sahaja benar-benar indah – bagaikan sebuah monster yang ditukar menjadi Panigale tetapi masih menggunakan platform yang sama. Melihat pada rekaan ekzosnya yang diletakkan ke sebelah kiri (ekzos model SS100 di sebelah kanan) sudah cukup mengagumkan dan itu belum lagi menikmati bagaimana kekuatan enjinnya. Walaupun begitu, harga 5% lebih murah berbanding SS100 iaitu Euro60,000 (RM284,379.00) manakala harga untuk SS100 ialah Euro63,500 (RM300,967.78).
Perbezaan ketara lain yang boleh dilihat ialah menerusi diameter rimnya. SS100 didatangkan dengan rim bersaiz 18 inci manakala rim yang dipadankan pada Pendine bersaiz 19 inci atau lebih tepat 120/70R 19 (depan) dan 170/70R 17 di bahagian belakang. Lebih mengujakan, rim-rim ini dibentuk dengan menggunakan mesin CNC dan untuk memberi cengkaman ketika memperlahankan kelajuan mesin ini, Pendine dilengkapi dengan brek hadapan dan belakang jenis cakera yang bersaiz 320mm dan 230mm.
Sebagai orang yang menemukan Mark Upham dengan Thierry Henriette pada 2010 lalu, saya adalah orang luar pertama yang diberikan peluang untuk menikmati Pendine baru ini. Macam tidak percaya apabila melihat keanggunan sebuah motosikal yang direka begitu teliti berada di depan mata. Model yang diuji ini adalah jenis pelana tunggal – masih tiada ruang untuk pembonceng – amat berbeza dengan SS100. Pelananya setinggi 805mm mudah sekali untuk dipanjat dan jujur saya katakan, kita terasa bagaikan bersatu dengan jentera ini sebaik sahaja melabuhkan punggung.
Bentuk bar hendalnya berbeza berbanding SS100 dan posisi menunggang juga dirasakan cukup selesa dan amat mudah untuk dikendalikan – penting ketika menunggang di dalam kesesakan bandar. Jika saya tidak teringatkan harga jualannya yang begitu tinggi, boleh dikatakan ia adalah model jalanan streetfighter antara yang terbaik pernah dirasakan untuk sekian lama. Untuk tampak lebih bergaya disamping menawarkan tunggangan penuh elegan, model ini disempurnakan dengan tayar-tayar yang lebar, silinder klac dan brek direka dengan kreatif.
Hantaran kuasa enjin baru ini jauh lebih mantap dan sempurna jika dibandingkan dengan model SS100 yang saya tunggang tiga tahun dahulu. Terasa benar kelancaran kuasa hantarannya sebaik sahaja pendikit dibuka – memang sungguh teruja! Jentera ini menawarkan kuasa maksimum setinggi 100bhp pada 9,800rpm dan tork 89Nm pada 7,450rpm. Kuasa tolakan yang terhasil apabila kita memulas pendikit dari kelajuan sifar cukup lancar dan kuat walaupun masih di putaran 2,000rpm cuma sukar pula untuk kita lihat penunjuk rpm yang terdapat pada meter digitalnya.
Panel meternya yang agak kecil ini turut memaparkan jarak perjalanan, tahap kelajuan dan suhu enjin tetapi sayangnya, tiada penunjuk posisi gear yang bagi saya amat berguna untuk sebuah jentera yang berkuasa sepertinya. Jika kebanyakan motosikal biasa boleh meletakkan penunjuk gear ini…. Brough Superior sepatutnya turut sama! Sambil saya merungut, saya dapati suis penghidup dan suis pemberi isyarat juga terlalu kecil – agak susah untuk menggunakannya lebih-lebih lagi dengan sarung tangan.
Oh ya… tongkat sisi model ini juga tidak mesra penunggang. Susah sungguh untuk digunakan apabila ingin berhenti rehat. Penunjuk bahan api juga tiada dan hanya diganti dengan lampu amaran, memang kurang praktikal.
Hati kembali terubat apabila merasakan kotak gear cukup lembut dan lancar - menurunkan gear ke tahap neutral kini jauh lebih mudah berbanding model terdahulu. Walaupun nampak cukup garang, ia adalah sebuah mesin berkuasa tinggi yang lincah dan ringan untuk kita baringkan ke kiri mahupun ke kanan.
Tuas klac yang lembut juga cukup saya sukakan kerana ia adalah satu ciri-ciri penting bagi sebuah jentera jalanan yang seringkali dibawa ke dalam bandar. Walaupun enjin model ini mempunyai persamaan dengan jentera v-kembar dari Ducati, bunyi dari mesin ini tidak pula seperti Ducati sebaliknya ia seakan-akan bunyi Aprilia RSV1000 dan apabila enjin dikerah ke putaran 6,000rpm, kuasa hantarannya begitu kuat dan memberi ketagihan. Enjin Pendine ini boleh ditarik sehingga mencecah ke garisan merah iaitu 10,000rpm tanpa gangguan pada kualiti pengendalian dan juga enjin.
Saspensi hadapan Pendine ini memang direka dengan kemas, cantik dan membuktikan betapa bijak perekanya dengan menggabungkan penampilan sebuah mesin retro bersama kemantapan dunia serba baru. Sistem fork model ini dicipta oleh Claude Fior yang merupakan seorang jurutera dari Perancis berasaskan model perlumbaan Fior yang pernah beraksi cemerlang dalam Grand Prix 500 pada tahun 1980an lalu. Ciptaan ini kemudiannya digunakan oleh BMW untuk menghasilkan fork duolever yang terdapat pada jentera BMW siri K. Saya dapati kadar penyerapannya cukup sempurna walaupun membrek dengan kuat.
Pemilik Brough Superior ini pastinya akan berpuas hati dengan tahap pengendalian dan keupayaan fork jenis wishbone di hadapan ini menangani bebanan sewaktu membrek dengan keras. Geometri casis yang sempurna mengimbangi kadar jarak tapak roda dan pengagihan berat manakala talaan sistem saspensi hadapan ini juga boleh dilakukan dengan mudah. Inilah kelebihan fork jenis ini berbanding prestasi fork jenis teleskopik.
Seperti yang dikatakan tadi, saya benar-benar tiada kritikan pada prestasi tayar hadapannya yang bersaiz 19 ini kerana pengendaliannya cukup mantap dan tepat. Kadar respon penyerap hentak belakang jenis KAYABA yang tepat membolehkan kita berada di laluan berselekoh atau pun di laluan lasak dengan stabil. Apapun, penggunaan saspensi dari Jepun ini sememang mengurangkan kos dan pada masa yang sama mengekalkan kelincahannya.
Jika kita membuat perbandingan, model SS100 boleh dikatakan sebagai sebuah jentera dua roda yang sama tarafnya dengan Aston Martin DB9 atau Bentley Continental yang menitikberatkan prestasi dan kualiti pembikinan. Bagi model Pendine pula, ia lebih mirip kepada Range Rover yang lasak dan tidak takut untuk beraksi lebih hebat. Cuma janganlah ia dibawa ke laluan offroad yang ekstrim lebih-lebih lagi di kawasan berlumpur. Kalau setakat di jalanan berpasir, Pendine akan mampu beraksi cemerlang.
Pendine masih menggunakan sistem kabel pendikit dan ini bermakna tidak ada pilihan untuk mod tunggangan. Apa pun, pemetaan enjin dari ECU Synerject amat mantap. Kita dapat menutup dan membuka pendikit dengan pantas, lancar dan tepat. Saya bandingkan dengan corak kawalan pendikit ketika menunggang SS100 dulu, memang jauh benar bezanya!
Tidak dinafikan lagi, Thierry Henriette dan kakitangannya berjaya menghasilkan sebuah jentera yang benar-benar membuka mata jutaan pencinta motosikal menerusi Pendine. Keterujaan menghasilkan jentera ini sekali lagi memberi kenikmatan buat semua jenis penunggang tidak kira muda atau tua, asalnya poket anda dalam! RR
Laporan: Alan Cathcart
Kredit Foto: Kel Edge
Spesifikasi
Enjin: | v-kembar, DOHC, sistem penyejuk cecair |
Gerek x Lejang: | 94 x 71.8 mm |
Kuasa maksimum: | 100bhp (model biasa) 130bhp (model Sport) |
Tork maksimum: | 89Nm @ 7,450rpm (model biasa), 120Nm @ 6,500rpm (model sport) |
Saspensi hadapan: | fork jenis wishbone dengan penyerap hentak tunggal |
Saspensi belakang: | lebgan ayun + penyerap hentak tunggal |
Brek hadapan & belakang: | cakera 320 mm / cakera 230 mm |
Tayar hadapan: | 120/70R 19 |
Tayar belakang: | 170/60R 17 |
Tinggi pelana: | 805 mm |
Popular