Bakker BMW K1600 GS Mammoth Sentuhan Istimewa & Unik
BMW Motorrad memang mahir dalam memaksimakan model-model keluarannya agar dapat memenuhi segala segmen dan permintaan para peminat dunia dua roda. Kita juga sering 'dikejutkan' dengan kebijaksaan syarikat ini memperkenalkan beberapa variasi yang sangat menarik tetapi masih berkongsikan ciri-ciri dan olahan senireka yang sama.
Walaupun begitu, pengenalan kepada model terbaru K1600 sewajarnya perlu lebih mantap dan lebih unik. Sejak dilancarkan pada tahun 2011 lalu, lebih daripada 50,000 unit model ini telah berjaya dipasarkan dan ia merangkumi beberapa variasi seperti K1600 GT Sport Tourer, K1600 GTL dan K1600 B Bagger. Sayangnya, model-model ini tidak memiliki keunikan yang mampu untuk memberi saingan kepada Honda Valkyrie contohnya. Mungkin lebih menarik jika terdapat lukisan atau prototaip di bahagian R&D yang menggabungkan antara model pengembaraan dan lasak.
Antara sentuhan cukup kreatif yang telah dilakukan pada sebuah jentera BMW ialah model K1600 milik seorang pengembara motosikal, Willem Heijboer yang berasal dari Belanda. Terkejut? Benar... jentera 'kustom' K1600 GT ini dibuat di Belanda, bukannya di tanahairnya sendiri, Jerman atau di negara pasaran utama model ini iaitu USA. Apabila dia membuat keputusan untuk mengubahsuai jentera BMW K1600 GT miliknya menjadi lebih sporty, hanya ada seorang pengubahsuai yang perlu dia temui dan dia ialah Master Pereka Motosikal di Belanda, Nico Bakker.
“Saya membeli K1600 GT untuk kegunaan bekerja dan amat-amat berpuas hati dengan enjin, bunyi, keselesaan dan prestasinya, kata Willem, berumur 61 tahun. Dia boleh dikatakan seorang pencinta motosikal yang 'hidup kembali'. Perkataan 'hidup kembali' itu adalah kerana dunia motosikalnya pernah berhenti seketika demi isteri dan keluarga tercinta.
Apabila perniagaannya berkembang dengan baik dan anak-anaknya juga telah besar, Willem kembali melompat ke atas motosikal. Di usia 48 tahun (ketika itu), dia membeli sebuah R 1200 GS dan sering menggunakan jenteranya itu untuk berjumpa dengan pelanggan hampir di seluruh Eropah. Dari London ke Milan atau dari Stockholm ke Paris.... semuanya dilakukan dengan motosikal.
“Jika ada urusan di suatu tempat yang jauh, saya lebih suka menunggang motosikal berbanding memandu kereta. Jika saya ingin bertemu seseorang yang jaraknya sekitar 20 kilometer, pasti saya memandu kereta kerana ia lebih mudah. Saya tidak perlu memakai jaket, topi keledar. Tapi untuk bertemu dengan pelanggan yang jaraknya 700 kilometer dari rumah saya di Hague, saya pasti akan menunggang motosikal,” kata Willem.
“Dengan motosikal, perjalanan jauh lebih pantas lebih-lebih lagi dengan adanya lebuhraya hebat seperti Autobahn dan apabila masuk pula ke kawasan luar bandar, pemandangan alam hijaunya amat menakjubkan. Kenalan saya menyarankan untuk membeli sebuah K-16 dan saya bersetuju. Ketika membawa jentera saya untuk melakukan servis, dia ternampak bahagian kiri dan kanan enjin tercalar – jadi pada masa itulah dia menyuruh saya berjumpa dengan Nico Bakker.”
Bakker merupakan seorang perekacipta yang cukup disegani. Dia mahir dalam pembuatan casis dan kimpalan yang mampu mengubahsuai sesebuah motosikal kelihatan lebih unik disamping mengekalkan prestasi hebatnya. Lagi pun, tidak ramai pereka lain yang mampu menandingi Nico dalam melakukan pengubahsuaian khususnya jentera BMW.
Selain menjadi orang penting dalam pemasaran casis Deltabox aluminium untuk jentera Boxer dulu, Nico juga pernah bertugas sebagai seorang perunding untuk pengeluar motosikal Jerman itu ketika membangunkan model R1100 RS yang memperkenalkan semula dengan enjin Boxer dan sistem telelever. Boleh dikatakan, Nico antara orang di luar pasukan R&D yang mempunyai ilmu dan pengetahuan tentang jentera BMW. Nico juga memperkenalkan model sport pertama menggunakan enjin Boxer 8 injap dengan sistem penyejuk udara/cecair bergelar Bakker BMW Bomber.
Untuk menghasilkan sebuah jentera besar yang layak digelar K1600 GS Mammoth, Nico telah mencipta kerangka serba baru yang sesuai untuk dipasangkan dengan enjin beberapa silinder dari BMW.
“Willem datang ke kedai saya dan meminta untuk mengubahsuai jenteranya (K1600 GT) menjadi sebuah model lasak baru versi-GS. Saya tanyakan semula, betul ke apa saya dengar? Selepas berbual panjang dengannya, saya yakin dia tahu apa sahaja yang dia inginkan. Dia juga pemilik R 1200 GS. Terus terang saya katakan, ia bukan mudah dan pasti tidak murah.”
Untuk menghasilkan jentera ini, Willem perlu membeli sebuah BMW K1600 GT 2018 yang menawarkan beberapa perubahan pada sistem pengurusan enjinnya – memang lebih padu! Jentera ini hadir dengan enjin 1,649cc, enam silinder, 24-injap yang mempunyai hantaran kuasa setinggi 160bhp pada 7,750rpm dan tork 175Nm pada 5,250rpm (70% daripada kuasanya hadir dari kedudukan serendah 1,500rpm). Model ini juga lengkap dengan tiga mod tunggangan (Road, Dynamic, Rain) dan Dynamic ESA. Willem mahukannya terus dipasang pada jenteranya seperti biasa termasuklah sistem brek dan ABS.
Selepas membuat pengiraan yang tepat, Bakker mulakan projeknya, dengan merekacipta bahagian kerangka menggunakan chrome-moly yang bertegaran tinggi dan ringan. “Kami mahukan jentera ini lebih ringan dan menambah ruang kelegaan tanah untuk jentera Willem.” Jujur, enjinnya terlalu rapat dan tidak sesuai untuk sebuah motosikal silinder sebaris.
Jentera ini juga menawarkan kotak gear enam kelajuan, sistem klac jenis basah, badan pendikit 52mm, kotak angin baru untuk membesarkan saiz isi tangki. Tapak roda telah dipanjangkan dari 1,618mm kepada 1,635mm dan untuk penyerapan hentakan dengan cemerlang, Bakker masih menggunakan sistem BMW Telelever dan fork hadapan 48mm boleh laras jenis WP yang memang sangat sesuai untuk mesin sehebat Mammoth ini.
Untuk 'masukkan' ciri-ciri model R1200 GS pada K-16 ini, Bakker menggunakan tayar hadapan bersaiz 19 inci untuk disesuaikan dengan tayar belakang bersaiz 17 inci. Oleh kerana Willem minat dengan rim jenis berjejari, Nico telah memasang jentera kustom itu dengan set buatan Itali dengan rim bertempa dan jejari jenis keluli. Menurut Nico, perumah bagi pacuan shaft juga direka semula untuk memuatkan set tayar 'baru' itu dan proses ini mengambil masa yang lama.
Tangki K-16 GS ini dibuat khas supaya lebih besar – 39 liter. “Saya tidak suka untuk berhenti ketika dalam perjalanan jauh sehinggalah benar-benar memerlukannya. Oleh itu, saiz tangki yang lebih besar berbanding model K1600 GT (24 liter) sangat-sangat saya sukakan,” kata Willem. Dari segi berat pula, model kustom ini adalah 310kg dengan semua cecair manakala model K1600 GT pula seberat 319kg dengan 90% kadar cecair. Memang berbeza sekali. Jangan lupa... tangki Mammoth juga lebih besar!
Bakker turut menyempurnakan jentera ini dengan kotak sisi yang diambil daripada model R 1200 GS Boxer dan terdapat juga braket untuk meletakkan kotak tengah. “Apabila mengembara atas urusan kerja, saya pasti akan bawa bersama komputer riba, contoh-contoh kerja dan kadang kalanya sut/tie untuk hadir ke mesyuarat penting. Saya akan pastikan telah bersiap, kemas dan bersedia sebelum tiba ke destinasi. Untuk itu, saya perlu ruang yang luas untuk menyimpan barang-barang itu. Bila dah sampai, simpan topi keledar dan jaket di dalam kotak dan saya terus bertugas. Mudah sangat!”
Radiator coolant yang dipasang pada Mammoth ini datangnya dari model Aprilia RSV1100 V-kembar manakala sistem ekzos keluli tahan karat Akrapovic 6-2 didapatkan terus dari Slovenia menerusi agen mereka di Belanda, Mike Pajic. Mike juga merupakan seorang bekas pelumba Superbike yang bersetuju bahawa bunyi Mammoth kini lebih mantap dan garang. Rupabentuknya juga cantik dan yang penting sekali, ia tidak menambah berat.
ECU untuk BMW ini telah diubahsuai oleh pakar elektronik iaitu Rens L'Ami dari syarikat De Jong Alphen BV yang beroperasi di Alphen aan de Rijn. Pengubahsuaian ini penting agar pemetaan enjin tidak terganggu dan dia mampu melakukan segala penambahbaikan itu tanpa perlu masuk ke sistem berkod BMW. Bijak!
Selepas menerima Mammoth itu, Willem Heijboer terus mengembara lebih daripada 17,000 kilometer dalam masa 14 bulan dan itu tidak termasuk empat bulan musim salji dari November hingga Mac. “Saya menunggang di sepanjang tahun dan setiap masa kecuali musim sejuk. Jika ingin dikira, lebih kurang 25,000 kilometer setiap tahun.”
“Mammoth telah berjaya melepasi jangkaan saya – jauh lebih baik. Walaupun ia masih sebuah motosikal yang berat, tahap kelancaran dan mudahnya untuk ditunggang membuatkan saya cepat jatuh cinta. Saya pernah membawanya ke track day di Assen dan ia meluncur dengan cemerlang. Walaupun enjin tak kena tanah, tempat pemijak sudah beberapa kali! Sudah menjadi kebiasaan di litar-litar seluruh Eropah, penunggang GS berpengalaman dengan mudah memintas dan 'memalukan' rider-rider jentera sport.
Willem beberapa kali menyuruh saya menunggang jenteranya untuk beberapa jam agar saya dapat rasakan perbezaan. Kalau tanya saya, jauh lagi pun boleh tetapi Willem ada mesyuarat di Erfurt, Jerman keesokan harinya. Jadi... beberapa jam pun sudah mencukupi.
Sebaik sahaja melabuhkan punggung, saya dapat pelananya sama selesa seperti model GS. Posisi menunggang tegak, natural dan dengan adanya cermin hadapan, saya cukup terlindung daripada pukulan angin kuat. Cermin juga tidak disukai oleh Willem kerana ia mudah bergegar dan bergoyang apabila berada di kelajuan 180-200km/j. Pendikitnya disertakan dengan pemanas – amat diperlukan untuk kondisi cuaca yang semakin sejuk. Bakker turut menyediakan tempat untuk kita letakkan GPS.
Kami berdua agak tinggi. Saya 5'10” manakala Willem pula 6'2”, ruang Mammoth ini cukup luas - membolehkan kami menukar posisi untuk dapatkan keselesaan dengan mudah. Pelananya 820mm, cukup tinggi sehingga saya sendiri hanya menyentuh permukaan jalan dengan ibu jari kaki. Saya dapati Mammoth ini cukup mudah dikendalikan dan amat stabil untuk kita berada di laluan-laluan sesak dalam kelajuan rendah tanpa ada masalah.
Sistem klac yang lembut bukan sahaja memudahkan saya menukar gear pada bila-bila masa tetapi ia benar-benar membantu kita mengawal pergerakan di dalam kesesakan kota. Sayang sekali saya tidak dapat menggunakan mod-mod tunggangnya! Mengapa saya suka bawa Mammoth ke bandar? Ini kerana enjinnya yang cukup fleksibel. Kita mampu meluncur serendah 40km/j walaupun masih berada di dalam gear tertinggi. Pulas pendikit, nah... ia memecut dengan pantas dan sungguh lancar. Kalau nak buat perbandingan dengan kenderaan empat roda, BMW R 1200 GS seperti sebuah Range Rover manakala K 1200 GS pula mirip kepada Lamborghini Urus.
Kecemerlangan jentera ini meratah selekoh-selekoh tajam dalam kelajuan tinggi membuktikan betapa hebatnya Nico dalam merekabentuk sesebuah motosikal. Walaupun ia sebuah mesin yang besar, panjang, kita tidak perlu menggunakan tenaga yang banyak untuk memiringkan jentera ini – ia masuk/ keluar dengan kemas dan meyakinkan. Sistem brek-brek yang dipadankan pada jentera enam silinder ini memang tidak perlu diragui lagi. Bakker turut menyempurnakan sistem pertahanan BMW ini dengan ABS.
Kestabilan K-16 ini memboleh kita menunggang dengan natural dan ini datangnya daripada pengiraan geometri yang tepat oleh Nico. Tidak apa lagi yang perlu dirungutkan apabila sentiasa tersenyum menikmati sebuah jentera yang lancar, bergaya, bunyi yang mantap, canggih dan berprestasi tinggi. BMW K1600 GS ini memang cukup istimewa.
Bagi saya, BMW perlu fikirkan untuk mengeluarkan jentera sebegini dan jadikan ia salah satu versi baru dalam keluarga besar anda. Harganya mungkin mahal memandangkan Nico sendiri menyatakan harga untuk Mammoth adalah sekali ganda berbanding K1600 GT dan mengambil masa yang lama untuk disiapkan. RR
Laporan: Alan Cathcart
Kredit Foto: Kel Edge
Spesifikasi
Enjin | sistem penyejuk cecair, DOHC, 24-injap, enam silinder, empat lejang |
Isi padu | 1,649cc |
Dimensi | 72 x 67.5mm |
Kuasa maksimum | 160bhp pada 7,750rpm |
Trok maksimum | 175Nm pada 5,250rpm |
Transmisi | 6 kelajuan |
Berat | 310kg |
Isi tangki | 39 liter |
Laju maksimum | lebih 250 km/j |
Pengeluar | Bakker Framebouw, Heehugowaard, Netherlands / [email protected] |
Popular