Isu Terkini

Julai 2024

Pandu Uji / 14 Julai 2020

1980 Yamaha YZR500 OW48R Racer Milik Kenny Roberts

Kira-kira 40 tahun yang lalu, Kenny Roberts Snr telah berjaya menewaskan jentera Suzuki dengan injap rotari yang secara teorinya memiliki kuasa yang lebih mantap. Kejayaan itu juga membolehkan beliau mencipta hatrik dalam kejuaraan 500GP World Championship bersama jenteranya iaitu Yamaha YZR500 OW48R.

Secara kebetulan, tepat dua dekad kemudian, anaknya Kenny Roberts Jnr yang bergelar King Kenny telah menghadirkan situasi yang sama apabila berjaya menewaskan jentera Honda dan Yamaha yang lebih pantas dengan jentera Suzuki RGV500 untuk merebut takhta juara 500GP pada tahun 2000. Inilah satu sejarah cukup hebat dalam dunia perlumbaan motosikal kerana pertama kalinya seorang ayah dan anaknya menjadi Juara Dunia 500GP di jarak tepat 20 tahun.

Peluang untuk menguji jentera sang juara Yamaha OW48R dengan enjin reverse-cylinder ini hadir di litar Assen dan paling istimewa - litar ini juga merupakan tempat jentera ini diperkenalkan pada tahun 1980 yang lalu. Ribuan terima kasih buat seorang warga British selaku pencinta/pengumpul motosikal, Chris Wilson dan pakar enjin serta bekas mekanik pasukan factory iaitu Nigel Everett yang kedua-duanya telah melahirkan semula jentera lama ini untuk terus lincah meratah selekoh-selekoh di litar.

Koleksi simpanan Wilson memang hebat. Ada beberapa unit jentera GP 500cc. Antaranya sepasang model Yamaha OW48R, jentera 1981 tajaan Akai milik Barry Sheene bersama pasukan Erv Kanemoto, jentera factory OW54 berinjap rotari dan banyak lagi. Apa pun, jentera milik Roberts ini didapatkan di Holland (di pusat Yamaha European). Di casisnya terdapat nombor bukti ia model 1980 dan ketika itu, King Kenny merupakan satu-satunya pelumba Yamaha yang menggunakan kerangka jenis aloi, Pada waktu yang sama, dia turut meletakkan namanya pada jentera tersebut.

Kenny Roberts (kiri) bersama Chris Wilson-RT (tengah).

Oleh kerana hanya Roberts yang menunggang jentera ini, terdapat beberapa trademark yang telah ditinggalkan olehnya seperti rim Morris Magalloy, fork terbalik 280mm, torque arm, fork hadapan Kayaba dengan anti-dive magnesium dan penyerap hentak tunggal belakang De Carbon.

“Enjin OW48R pada dasarnya adalah satu set aci engkol dengan kotak gear cassete sama seperti model TZ500. Ia menggunakan power-valve guillotine, corak stud juga berbeza. Titik paling lemah untuk model ini ialah pada kotak gearnya” kata Nigel Everett.

Kenyataan ini turut dipersetujui oleh pemenang Yamaha TT, Charlie Williams yang turut menunggang jentera Roberts di Assen. Charlie tetap mengingati dengan jelas insiden kerosakan pada kotak gear ketika dia sedang mendahului persaingan kelas senior di perlumbaan TT Isle of Man dalam tahun 1981. Lebih menakutkan, masalah itu timbul ketika dia berada di selekoh Ballacrie yang sangat laju betul-betul selepas pekan Ballaugh. Fuh... memang sukar nak bayangkan bagaimana Charlie mengawal jenteranya di sebuah laluan yang sesukar itu.

“Saya amat bertuah kerana ia menyentap syaf. Jika tidak, saya mungkin tidak dapat menceritakan apa yang berlaku. Antara memori yang tidak dapat saya lupa ialah ketika mengambil motor itu di kilang Yamaha di Amsterdam. Ada banyak kotak gear bersepah di luar kawasan Yamaha Racing yang menunjukkan masalah yang sedang cuba diatasi ketika itu,” kata Charlie.

Bagi Kenny Roberts pula, beliau wajar berterima kasih buat pasukannya yang cukup pakar dan mahir dalam pembikinan enjin. Para mekanik hebat itu diketuai oleh Kel Carruthers yang dibantu oleh Nobby Clark dan Trevor Tilbury. Kenny tidak pernah langsung menghadapi masalah itu (kotak gear) sepanjang musim perlumbaan 1980.

Sistem yang bermasalah itu juga tidak digunakan pada model yang saya uji di Assen. Selepas diperelokkan oleh Everett, saya mula dapat rasakan kepantasannya. Oleh kerana ketiadaan peredam pada bahagian fork hadapan, tayar hadapan ada sedikit bergoyang ketika berada di beberapa selekoh di Assen. Pada mulanya memang ada risau juga membaringkan ke kiri dan ke kanan.

Jentera ini dilengkapkan dengan tayar perlumbaan slick 18 inci yang sememangnya memiliki cengkaman jauh lebih baik berbanding tayar-tayar yang digunakan 20 tahun yang lalu. Kejuruteraan tayar juga pesat membangun dan apabila mengenangkan tahap cengkaman ini, saya benar-benar menghargai kemahiran para pelumba dan pasukan Yamaha yang berjaya mengatasi segala kelemahan bahagian tayar untuk menewaskan para pencabarnya yang lebih handal.

OW48R dirasakan cukup moden untuk sebuah jentera yang berusia 40 tahun. Ia rendah, kompak dan dibina begitu seimbang walaupun ruang menunggangnya agak kecil berbanding jentera seterusnya, Suzuki empat lejang yang lebih tinggi. Mengendalikan Yamaha ini memang mudah dan sangat seimbang. Ia cukup cemerlang mengikut 'arahan' sewaktu saya menurunkan empat gear untuk masuk ke selekoh tajam dari laluan lurus utama litar Assen.

Ketegaran casisnya juga membolehkan saya cukup yakin untuk menarik keras tuas brek keluli yang diperkemaskan pada jentera ini. Saya selalunya tidaklah begitu gemar dengan teknologi sistem brek motosikal 70an tetapi Yamaha ini dikecualikan. Brek cakera Yamaha ini dikemaskan dengan angkup dua omboh yang begitu efisien memperlahankan kelajuan dalam masa yang singkat.

Kenny Roberts bersama anaknya.
Kenny Roberts bersama anaknya.

Sewaktu berada di chicane, kelincahannya 'berlayar' ke kiri dan ke kanan dengan pantas memang menyeronokkan. Inilah kelebihan Yamaha ini yang rendah dan kompak (saiz tapak roda 1,350mm) membolehkannya membuat serangan di ruang mana sekali pun. Tak sangka ia memberikan inspirasi dan keyakinan buat sesiapa sahaja yang berada di atasnya.

Walaupun saspensi monocross di belakang tidaklah lagi sesuai untuk jentera moden, ia tetap penambahbaikan yang sudah mantap di zamannya. Suzuki mengambil masa cukup lama untuk memperkenalkan sistem penyerap hentak Full Floater untuk menangkis segala serangan pasukan Yamaha yang cukup pantas dengan sistem penyerap hentak mono boleh laras itu. Apabila digabungkan dengan fork anti-dive di fork hadapan, ia berjaya mengurangkan penghantaran beban ke hadapan apabila kita menggunakan sistem brek dengan kuat.

Bagi Kenny Roberts Snr, dia tidak menyukai sistem ini (anti-dive) dan sering menggantikannya dengan fork berperedam boleh laras dan bagi saya, ia juga cukup stabil serta sesuai dengan casis jentera ini. Roberts mungkin dapat rasakan segala pergerakan lebih baik dengan pakej fork ini berbanding sistem anti-dive yang ada kalanya tidak memberikan respon yang tepat pada tayar hadapan.

Tidak dinafikan enjin OW48R tidak mempunyai hantaran kuasa sehebat enjin Kawasaki atau pun Suzuki. Walaupun dengan adanya YPVS power-valve system yang membantu untuk dapatkan kelajuan maksimum, ia tetap tidak cukup mantap untuk mengejar jentera lawannya. Kenny ternampak saya tidak ghairah mengoyak pendikit ketika berada di Assen National Kurve sebaliknya mengekalkan kadar putaran rpm dengan betul sebelum memecut.

Kenny menyatakan ia adalah tindakan yang betul atau kuasa enjin akan menurun dan sukar untuk ditingkatkan dalam masa yang singkat. Hantaran kuasanya masih 'OK' pada tahap 6,500rpm dan apabila berada di atas 8,000rpm, saya kekalkan kelajuan itu seketika kerana sistem transmisinya cukup lancar. Tingkatkan tanpa terburu-buru kuasanya sehinggalah mencapai tahap tertinggi iaitu pada 12,000rpm. Memanglah tidak semantap enjin berinjap-rotari tetapi Yamaha memang cukup bijak untuk atasinya dengan ciri-ciri hebat yang lain.

Kenny menceritakan bagaimana dia dan jenteranya yang tidak begitu laju untuk dapatkan kemenangan tetapi ia masih berjaya dilakukan beberapa sebab. Selain itu, pasukan Suzuki mempunyai empat atau lima orang pelumba yang bersaing di antara satu sama lain sehingga membolehkan Kenny berada di depan dengan tenang.

Everett telah menggunakan powerjet TZ500J pada jentera Roberts. Apabila dilakukan ujian dyno, ia memang power tetapi masih tidak sepantas jentera Kawasaki KR500 milik Chris Wilson yang tunggang pada sesi yang berbeza. Saya rasakan talaan sistem transmisi dan nisbah gear yang tepat di setiap litar adalah faktor penting buat Kenny dan pasukannya untuk bergelar juara. Terdapat empat nisbah berbeza untuk Gear 1 dan Gear 2 dan tiga lagi talaan nisbah yang berasingan untuk Gear 3 dan Gear 4.

Kenny Roberts memang telah bekerja keras untuk membawa namanya dan Yamaha di persada tertinggi dunia perlumbaan. Walaupun OW48R tidak sepantas pencabarnya, pakej keseluruhan seperti pengendalian dan keseimbangan juga adalah amat penting untuk berjaya. Selepas 40 tahun berlalu, senario yang sama masih dipikul oleh para pelumba Yamaha seperti lagenda Valentino Rossi dan juara baru bersara, Jorge Lorenzo dengan M1 mereka.

Tidak kiralah di zaman 900cc atau 800cc hinggalah musim lalu, para pelumba Yamaha sentiasa di depan jika berada di litar yang banyak selekoh tajam kerana jenteranya memiliki pengendalian lebih mudah dan lebih mantap berbanding Honda, Aprilia dan Ducati. Elemen utama dan paling penting tentang kejayaan Kenny ialah pada penunggang jentera itu sendiri. Kenny, kami salute anda! RR

Laporan: Alan Cathcart
Kredit Foto: Henny Stem

Isu Pada

Julai 2020

Spesifikasi

Enjindua lejang, empat silinder sebaris, sistem penyejuk cecair transverse
Gerek x Lejang56 x 50.6mm
Isipadu498cc
Kuasa maksimum102bhp pada 11,500rpm
Karburetor4 x 38mm Mikuni
NyalaanYamaha CDI
Transmisi6 kejalian
Kelajuan285 kmh / 177 mph
Tahun pembuatan1980
PemilikChris Wilson, Ramsgate, Kent, Great Britian

Popular

  • Model Baru

    EICMA 2024: Moto Morini Alltrhike 450: Makin Meriah Segmen Kembara

  • Warta Roda

    Cikgu Pencen Ubahsuai Motosikal Untuk Bersihkan Kampung

  • Dari Litar

    Honda HRC - Repsol: Penghujung Suatu Era

  • Dari Litar

    Jorge Martin Cipta Sejarah, Pelumba Pasukan Satelit Pertama Jadi Juara MotoGP!

  • Warta Roda

    Honda BigWing Melaka Dibuka Secara Rasmi

Artikel berkaitan

BMW R 1300 GS - Ia Satu Revolusi, Bukan Evolusi

Suzuki GIXXER 250 - Lincah & Padu

CFMOTO 700CL-X Sport: Model Akhir 3 Beradik

Scrambler Ducati Full Throttle - Buatkan Perjalanan Lebih Seronok

Harley-Davidson Vance & Hines KoB Racer - Juara Mutlak 2023

Ducati Hypermotard 950 RVE - Aura Fesyen & Teknologi

Aveta Ranger Max Explorer - Prestasi Luar Jangkaan

Aprilia SR GT 200 Sport - Sensasi, Unik & Gaya Moden

Disyorkan untuk anda
Dari Litar

Honda HRC - Repsol: Penghujung Suatu Era

Kejuaraan MotoGP 2024 telah berakhir selepas 20 pusingan dan 40 perlumbaan di beberapa buah negara seluruh dunia. Pada masa yang sama, hubungan perniagaan di antara dua syarikat ikonik dalam dunia MotoGP juga sudah sampai di penghujungnya.

Warta Roda

Honda BigWing Melaka Dibuka Secara Rasmi

Boon Siew Honda (BSH) telah merasmikan pembukaan Honda Bigwing yang pertama di Melaka.

Warta Roda

GIVI Convoy MotoGP Ride & Camp 2024

GIVI Asia Sdn Bhd telah menganjurkan GIVI Convoy MotoGP Ride & Camp 2024 pada 2 & 3 November yang disertai sekitar 100 orang peserta hampir dari seluruh semenanjung negara, termasuk dari Perlis.

Dari Litar

Qabil Irfan Raih Podium Di Sepanyol

Qabil Irfan menunjukkan prestasi cemerlang di Spanish Superbike Championship Moto4 Round 6 yang berlangsung di Litar Navara, Sepanyol.