Isu Terkini

Julai 2024

Pandu Uji / 10 November 2017

DUCATI MONSTER 797 : Kekalkan Kehebatan Dari Dulu Hingga Kini

Bagi pencinta motosikal khususnya model-model naked, nama Ducati Monster wajib anda kenali kerana ia antara jentera-jentera yang mendapat permintaan yang cukup tinggi dari dulu hingga kini. Monster diperkenalkan pada tahun 1993 yang ketika itu merupakan di antara model jalanan atau naked paling diminati. Kerangka jenis trellis, hantaran kuasa yang lancar, sistem brek jenis cakera dan posisi menunggang yang selesa adalah faktor-faktor penting menjadikannya begitu diminati.


Pada tahun 1997, Ducati perkenalkan pula model 750cc dan 900cc untuk dua kumpulan pelanggan yang berbeza. Model Ducati Monster 750 ketika itu memiliki kuasa maksimum setinggi 68hp pada 8,500rpm manakala 'abangnya' Monster 900 pula berkuasa 75hp pada 7,000rpm. Kuasa tork juga berbeza iaitu 71Nm pada 6,500 (model 750cc) dan 83Nm pada 6,400rpm (model 900cc). Monster 750 dihasil untuk mereka yang baru ingin dekat dengan dunia jentera berkuasa tinggi manakala model 900cc lebih sesuai untuk pemilik yang mempunyai pengalaman lebih luas.


Tahun demi tahun... beberapa penambahbaikan telah berjaya dilakukan agar pemilik Monster ini bukan sahaja dapat menikmati setiap kilometer perjalanan dengan lebih menyeronokkan tetapi juga lebih selamat. Pada tahun 2007, Monster 695 diperkenalkan dengan kuasa 72.01hp pada 8,500rpm dan tork 61Nm pada 6,200rpm. Memang kuasa dan kelincahan model ini ditagih oleh setiap penunggang. Untuk kesesuaian semua, ketinggian pelana model 685cc ini masih sama dengan unit Monster 750/900 tahun 1997 lalu iaitu 770mm.


Untuk memuaskan hati para penunggang motosikal yang datangnya dari pelbagai latar belakang, Ducati menyempurnakan nama model ini dengan menawarkannya dalam pelbagai versi dan pelbagai isipadu enjin seperti Ducati Monster 695, 795, 796, 821, 1200 dan yang terkini iaitu Monster 797. Model ini diperkenalkan kira-kira dua bulan yang lalu dalam sebuah majlis yang cukup meriah diadakan di Naza Automall, Petaling Jaya.


Menunggang sebuah jentera Ducati sememangnya memberikan 'rasa' cukup istimewa kerana spesifikasi dan karaktor enjinnya yang lain daripada yang lain. Kalau rujuk kepada mana-mana model Monster, tarikan utama tentulah datang dari kerangka jenis trellis yang tegap, mantap dan sememangnya kerangka jenis ini adalah satu elemen yang sangat penting buat jentera-jentera Ducati.


Bahagian hadapannya memiliki banyak persamaan dengan model Monster 1200 termasuklah lampu utama, brek hadapan, tangki, cermin sisi dan rekabentuk sebahagian sistem ekzosnya. Cantik kan? Tidak hairanlah dengan spesifikasi sebegini, model ini terus mendapat perhatian dengan 20 unit telah pun dijual sejak diperkenalkan pertengahan Ogos lalu.


Dari segi rekabentuk, memang ada banyak persamaannya... tetapi adakah prestasi atas jalanraya juga sama? Untuk itu, ayuh kita hidupkan enjin dua silinder, jenis kembar V, 803cc. Ahh... bunyi yang terhasil daripada enjin dan ekzosnya cukup sedap sekali. Inilah juga antara sebab utama mengapa jentera-jentera Ducati sentiasa mendapat perhatian tidak kira ke mana sahaja ia dibawa. Tidak kiralah anda siapa.... peminat motosikal atau tidak.... bunyi Ducati pasti anda kagumi!


Pelananya setinggi 805mm memberikan posisi tunggangan yang berbeza berbanding model 796. Dengan model ini, kita tidak membongkok cuma secara peribadinya, posisi bar hendal dan rekabentuk pelana Monster 796 dirasakan lebih selesa untuk penunggang tinggi. Apa pun, memacu jentera berkuasa tinggi memang satu kelebihan iaitu kita dapat melihat keadaan trafik di hadapan dengan lebih jelas.


Meternya terlalu ringkas! Hanya dilengkapkan dengan penunjuk kelajuan, rpm, masa, jarak perjalanan dan trip. Tiada penunjuk minyak atau kedudukan gear dan ini perlu dipertimbangkan agar setidak-tidaknya jentera berkuasa tinggi bolehlah disempurna dengan penambahan posisi gear ke dalam paparan digital tersebut. Ok lah! Walaupun begitu, meter ini berlatar belakangkan paparan berwarna putih yang cukup terang dan jelas sekali.


Jentera ini dilengkapi dengan tayar Pirelli Rosso II yang bersaiz 120/70 ZR17 (hadapan) dan 180/55 ZR17. Sudah pasti dengan serta merta kita terasa bagaikan selamat dan 'dijaga' dalam setiap tunggangan. Keyakinan yang tinggi adalah satu ciri yang wajib ada pada setiap penunggang kerana tanpanya seseorang penunggang itu akan melakukan kesilapan dalam membuat keputusan.


Monster ini telah mematuhi piawaian Euro 4 yang diperolehi menerusi penambahbaikan pada sistem suntikan bahan api dan badan pendikitnya. Ini menawarkan hantaran kuasa yang lebih lancar, lebih lembut disamping penjimatan bahan api lebih baik.

Kuasa hantaran yang ditawarkan pada Monster ini cukup mengujakan. Dengan 75hp pada 8,250rpm (kuasa maksimum) dan tork 67Nm pada 5,750rpm, kita dapat memecut dengan lancar dan bersahaja dalam mana-mana gear sekali pun. Pulas sahaja pendikit, Monster ini akan meluru ke hadapan dengan pantas sekali. Ruang pelananya cukup luas, kita dapat mengubah posisi tunggangan dengan mudah mengikut keselesaan.


Monster ini tidak didatangkan dengan sistem elektronik seperti traction control atau mod tunggangan. Ia hanya dilengkapkan dengan sistem ABS tetapi jujurnya, itu sudah cukup mantap untuk kita mengendalikannya di dalam permukaan jalan yang kering atau basah. Dengan brek enjinnya yang sempurna, kita mudah dapat mengenal pasti kedudukan gear yang sedang digunakan untuk terus 'lekat' di dalam laluannya. Walaupun begitu, untuk ditawarkan pada pelumba baru... penunjuk posisi gear tetap perlu diletakkan.


Dengan bar hendalnya yang lebar, mudah untuk kita mendapatkan posisi yang tepat untuk memecut sehingga 195km/j tanpa sebarang gangguan pada sistem transmisi dan casis. Casis trellisnya dibuat daripada keluli yang bertegaran tinggi demi memastikan prestasi Ducati ini di dalam kelajuan tinggi dan di dalam miringan terus stabil. Ketiadaan cermin pengadang udara sedikit mengurangkan nikmat di dalam kelajuan tinggi dan sudah pasti pihak Ducati memiliki aksesori untuk tujuan ini.


Dengan tuas klac dan sistem transmisi yang lembut, bermain di dalam gear 3, 4 & 5 memang seronok sekali. Kami merasainya ketika mendaki Banjaran Keledang di Lebuhraya PLUS yang menawarkan pelbagai jenis selekoh. Ada selekoh tajam dan tidak kurang juga dengan selekoh panjangnya. Fork hadapan jenis terbalik 43mm dan penyerap hentak mono jenis Sachs di belakang bertindak dengan cemerlang sekali untuk menambah kestabilan jentera ini ketika berada di selekoh-selekoh seperti ini.


Beberapa kilometer sebelum tiba di R&R Sungai Perak, kami disimbahi dengan hujan yang agak lebat. Di sinilah brek-brek yang lengkap dengan sistem ABS memberikan peranan dan keyakinan kepada kami untuk terus berpaut pada bar hendal jentera ini. Brek hadapannya bersaiz 320mm cukup efisien, satu jari sudah mampu untuk kita memperlahankan kelajuan dengan cepat manakala sistem ABS memastikan tayar-tayar tidak terkunci. Untuk disepadankan dengannya, Ducati ini didatangkan dengan brek belakang jenis cakera bersaiz 245mm.


Apa pun ketiadaan penunjuk tahap bahan api telah ‘berjaya’ menakutkan kami. Lampu penunjuk tiba-tiba menyala ketika kami melepasi susur terakhir untuk keluar ke bandar Ipoh. Nak patah balik memang mustahil... hanya satu jalan sahaja iaitu dengan mengawal kelajuan sehingga tiba di R&R seterusnya iaitu di Sungai Perak yang ketika itu sejauh kira-kira 30 kilometer.

Mahu atau tidak, terpaksalah diteruskan tetapi mujurlah telah dikongsikan oleh pihak Ducati Malaysia bahawa jarak yang masih boleh ditempuh sebaik sahaja lampu penunjuk bahan api menyala ialah sekitar 40-50 kilometer (jarak ini juga bergantung kepada cara tunggangan) Ya... kami berjaya tiba dengan selamat. Tangki Monster 797 sebesar 16.5 liter ini mampu menyusuri perjalanan sejauh 227 kilometer dengan kelajuan malar 140-160kmj dan hanya beberapa kali memecut di atas 180kmj.


Menunggang Ducati ini di waktu malam juga menyeronokkan. Lampu utamanya terang sekali, memudahkan kita dilihat dari arah mana sekalipun. Suluhan lampu utamanya yang rata dan terang juga sangat kami sukai terutamanya ketika berada di laluan yang tidak mempunyai sumber cahaya sama sekali. Lampu latar belakang panel meternya yang berwarna putih turut memudahkan kita melihat segala info yang tertera.


Menunggang berdua juga tidak meletihkan. Kedudukan pembonceng tegak dan natural, tidak perlu membongkok seperti menunggang sebuah superbike dan adanya sistem penyerap hentak yang baik serta kuasa enjin yang mantap, kita (penunggang) tidak berasa kekok atau tidak selesa untuk memecut di jalan raya.


Seperti apa yang dikatakan oleh pihak Ducati ketika ia dilancarkan, Monster 797 ini memang sesuai untuk semua jenis penunggang tidak kira siapa kerana ia benar-benar mudah. Apa yang boleh dicadangkan ialah agar dilakukan sedikit penambahan iaitu penunjuk gear dan bahan api. Monster 797 yang berharga RM55,900 (termasuk GST) ternyata terus mengagumi para pencinta motosikal seperti mana yang telah dilakukan oleh model-model sebelum ini. RR

Isu Pada

November 2017

Spesifikasi

Enjin4 lejang, v-kembar, sistem penyejuk udara
Isipadu803cc
Gerek x Lejang88 x 66mm
Nisbah mampatan11.0:1
Kuasa maksimum73hp pada 8,250rpm
Tork maksimum67Nm pada 5,750rpm
Berat basah193kg
Tinggi pelana805mm
Isi tangki16.5 liter
Pengedar RasmiDucati Malaysia, Next Bike Sdn Bhd

Popular

  • Warta Roda

    Honda RS150R Tiba Dengan Warna Baru

  • Model Baru

    EICMA 2024: Moto Morini Alltrhike 450: Makin Meriah Segmen Kembara

  • Warta Roda

    Cikgu Pencen Ubahsuai Motosikal Untuk Bersihkan Kampung

  • Dari Litar

    Honda HRC - Repsol: Penghujung Suatu Era

  • Dari Litar

    Jorge Martin Cipta Sejarah, Pelumba Pasukan Satelit Pertama Jadi Juara MotoGP!

Artikel berkaitan

BMW R 1300 GS - Ia Satu Revolusi, Bukan Evolusi

Suzuki GIXXER 250 - Lincah & Padu

CFMOTO 700CL-X Sport: Model Akhir 3 Beradik

Scrambler Ducati Full Throttle - Buatkan Perjalanan Lebih Seronok

Harley-Davidson Vance & Hines KoB Racer - Juara Mutlak 2023

Ducati Hypermotard 950 RVE - Aura Fesyen & Teknologi

Aveta Ranger Max Explorer - Prestasi Luar Jangkaan

Aprilia SR GT 200 Sport - Sensasi, Unik & Gaya Moden

Disyorkan untuk anda
Dari Litar

Jorge Martin Cipta Sejarah, Pelumba Pasukan Satelit Pertama Jadi Juara MotoGP!

Tahun 2024 juga menyaksikan rekod baru jumlah kehadiran penonton sepanjang musim ini mencecah 3,033,255 orang. Ia adalah pencapaian terbaik setakat ini sejak 75 tahun penganjuran MotoGP.

Model Baru

EICMA 2024: Nikmati Dunia Pengembaraan Dengan Voge Valico 800DS Rally

Voge menggunakan pentas global iaitu EICMA untuk melancarkan model kembara terbarunya iaitu Valico 800DS. Ia adalah sebuah jentera yang memberi cabaran dalam segmen Kembara/Adventure

Dari Litar

CP125: Syamil Akan Raikan Gelaran Juara Lebih Awal Jika Menang Hujung Minggu ini?

Gelaran juara keseluruhan CP125 buat pelumba pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha - 31 Racing, Md Syamil Amsyar semakin cerah.

Warta Roda

LCR Honda Fan Enduro Day!

Berbeza dengan sebelum ini, pihak GIVI telah mengadakan LCR Honda Fan Enduro Day bertempat di KEV Enduro Park, Gamuda Gardens, Rawang.