Isu Terkini

Julai 2024

Pandu Uji / 28 Ogos 2020

Yamaha Y15ZR Idaman Setiap Penunggang

Buat peminat jentera dua roda sudah tentunya telah mengenali motosikal Yamaha Y15ZR. Ia merupakan sebuah jentera yang digilai para penunggang di negara ini terutama dalam kategori moped. Setelah diperkenalkan pada tahun 2015, model ini telah mendapat sambutan yang sangat menggalakkan. Tidak kira di dalam bandar atau luar bandar, ke mana sahaja kita pergi sentiasa akan nampak jentera ini. Selain nama Y15ZR, model ini juga digelar sebagai ‘YSuku’ oleh segelintir masyarakat di sini.

Pada tahun 2019, pihak Yamaha telah memperkenalkan model Y15ZR v2 yang menampilkan beberapa ciri-ciri terbaru antaranya panel meter, lampu hadapan, panel pada bar hendal, tayar hadapan yang lebih lebar dan corak grafik yang moden. Sememangnya Y15ZR diminati kerana rekabentuk yang sporty, kelajuannya, ketahanan enjin dan keselesaan posisi menunggang. Jangan hairanlah jika ada penunggang lain sentiasa memerhatikan motosikal anda kerana tarikan model baru ini memang cukup menggoda.

Model ini hanya boleh dihidupkan dalam satu cara sahaja iaitu elektrik, tiada penggunaan sistem penghidup jenis tendang. Seperti biasa, enjin jentera Yamaha baru ini sungguh sedap didengar. Walaupun pendikit dipulas, deruman yang segar dan senyap memang mengasyikkan sehingga menusuk jiwa.

Enjin Y15ZR ini berputar dengan lancar sekali sewaktu ia dihidupkan. Terus terang kami katakan rekaan sistem ekzos dengan tiga peringkat peredam menghasilkan bunyi yang sporty dan sedap didengar. Model ini dilengkapi dengan enjin sejukan cecair 150cc, SOHC, silinder tunggal empat lejang menawarkan kuasa maksimum 11.3kW pada 8,500rpm dan tork 13.8Nm pada 7,000rpm.

Sistem klac dapat bertindak dengan cukup pantas dalam proses penukaran gear. Gerek bersaiz 57.0 x 58.7mm menawarkan kuasa tork yang cukup mantap. Kita dapat meluru ke hadapan dengan cepat dan mudah walaupun mempunyai berat 117kg.

Kami cukup kagum dengan kelembutan pendikitnya. Pulas sedikit sahaja sudah mampu untuk mengerakkan jentera ini. Dalam kedudukan gear pertama, Y15ZR dapat dikerah untuk memecut sekitar 35-40km/j sebelum enjinnya mengerang dan meminta kita untuk menambah gear.

Kami telah memasuki ke lebuhraya untuk bermain-main dengan Y15ZR ini. Pecutan kuasa di peringkat pertengahan sangat mengasyikkan. Kami dapat menarik enjin ke tahap 9,500rpm dalam kedudukan gear ketiga yang memberikan kelajuan sekitar 105km/j. Dalam kedudukan gear kelima, kami dapat rasakan peningkatan kuasa yang terhasil. Y15ZR berjaya dilarikan sehingga kelajuan mencecah 140km/j.

Dengan ketepatan hantaran kuasa, kita mudah untuk memintas kenderaan di hadapan. Posisi menunggangnya direka untuk semua jenis penunggang. Kita tidak akan terasa kebas di bahagian pinggang walaupun menunggang jauh dengan Y15ZR ini.

Seperti jentera-jentera jalanan yang lain, apabila kita menunggang dengan laju, tamparan angin mula mengganggu tumpuan kita. Untuk mengelakkannya, hanya perlu menundukkan sedikit kepala atau merapatkan badan ke hadapan sambil merendahkan bahagian dada.

Berbekalkan kerangka jenis Backbone bertegaran tinggi, kita dapat merasakan kestabilan jentera ini ketika memecut dan ‘melibas’ ke kiri atau kanan ketika masuk ataupun keluar selekoh. Ia juga membantu penunggang memiringkan model ini dengan mudah dan selesa. Tubuh badannya langsung tidak bergegar dan terhuyung-hayang.

Semakin lama menunggang di jalanan, makin banyak mata yang memadang. Dari segi rekaan luaran, Y15ZR ternyata sangat bergaya sekali. Kombinasi rekaan grafik yang moden mampu menyemarakkan lagi tunggangan kita. Tambahan pula unit yang dipandu uji ini berwarna Cyan. Memang warna yang menjadi pilihan buat sesetengah para pecinta dua roda.

Bergaya tu bergaya juga… jagalah motosikal anda dengan sebaiknya. Sehingga kehari ini, terlalu banyak kes kehilangan motosikal di negara kita, terutamanya model Y15ZR. Tidak kira ke mana sahaja kita pergi, jentera ini sangat ‘panas’ di mana-mana. Ada sahaja individu yang memerhati dari jauh. Kami sarankan parkirlah motosikal anda di tempat yang lebih selamat. Seelok-eloknya gunakan pengunci motosikal yang selamat dan sah.

Tinggi pelana 780mm memudahkan penunggang berkaki pendek memanjatnya, tidak kira lelaki atau wanita. Ruang yang luas antara lutut dan bar hendal meyakinkan lagi penunggang memacunya dengan selesa. Para penunggang dapat membuat belokan pada sudut yang kecil atau membuat pusingan ‘U’ dengan pantas sekali. Walaupun pelananya yang kecil dan nipis, tidak mengganggu kita melakukan perjalanan berjarak jauh. Itu hanyalah perkara kecil sahaja.

Kami terus tersenyum apabila melihat panel meter pada jentera ini. Y15ZR ini didatangkan dengan panel meter LCD yang memaparkan tahap kelajuan, putaran rpm, tahap bahan api, posisi gear dan jarak perjalanan. Lampu latar belakang yang terang mudah buat penunggang membaca segala informasi yang ada tidak kira siang atau malam.

Y15ZR ini sangat stabil dan lincah ketika mengambil selekoh-selekoh dalam apa jua kelajuan. Pihak Yamaha telah melengkapkan jentera ini dengan tayar yang lebih lebar berbanding model yang terdahulu. Tayar hadapan yang bersaiz 90/80-17M/C (38P) dan belakang 120/70-17M/C (58P) sememangnya memberi gigitan yang sempurna meratah jalan-jalan berselekoh. Kita dapat membelok ke kiri dan kanan dengan cepat. Walau bagaimanapun kita sebagai penunggang juga perlu berhati-hati untuk meratah setiap selekoh. Janganlah terlalu laju.

Dengan ukuran saiz panjang (1970mm), lebar (670mm) dan tinggi (1100mm) memudahkan pengendaliannya dalam setiap selekoh tanpa rasa membuang. Tidak kira penunggang itu kurus, tinggi, rendah mahupun gemuk, menunggang jentera ini memang satu nikmat kerana ia cukup mudah. Dilengkapi pula dengan saspensi belakang jenis penyerap hentak tunggal KAYABA yang mampu menyerap segala hentakan dengan baik sekali.

Menunggang pada waktu malam dengan jentera ini tidak memberikan sebarang masalah kepada penunggang. Lampu utamanya jenis LED yang serba baru tampil dengan lebih canggih dan sporty. Terdapat tiga bahagian pada lampu tersebut iaitu dua aras rendah dan satu aras tinggi memberikan pencahayaan yang lebih terang agar para penunggang mampu melihat keadaan di hadapan dengan jelas. Lampu belakang juga adalah jenis LED.

Kadar penggunaan bahan api tidak mengecewakan. Tangki petrol yang bersaiz 4.2 liter boleh membawa kita sejauh 140km/j dengan pelbagai jenis tunggangan dan kelajuan. Nak jimat lagi? Tungganglah secara santai.

Jentera ini memang menepati setiap citarasa pengguna tidak kira usia. Y15ZR ditawarkan dalam empat pilihan warna iaitu Blazing Red, Striking Cyan, Strom Blue dan Dynamic Grey yang dijual pada harga RM8,168 (tidak termasuk cukai jalan dan pendaftaran). Tunggu apa lagi! Mari beramai-ramai ke pusat pengedar Yamaha yang sah untuk memiliki sebuah unit ini. RR

Isu Pada

Julai 2019

Spesifikasi

Enjin4 lejang, silinder tunggal, SOHC sejukan cecair
Isipadu150 cc
Gerek x Lejang57.0 x 58.7 mm
Kuasa maksimum11.3 kW pada 8,500 rpm
Tork maksimum13.8 Nm pada 7,000 rpm
Transmisi5 kelajuan
Tinggi pelana780 mm
Isi Tangki4.2 liter
Berat 117 kg
PengedarHong Leong Yamaha Motor Sdn Bhd

Popular

  • Model Baru

    EICMA 2024: Moto Morini Alltrhike 450: Makin Meriah Segmen Kembara

  • Warta Roda

    Cikgu Pencen Ubahsuai Motosikal Untuk Bersihkan Kampung

  • Dari Litar

    Honda HRC - Repsol: Penghujung Suatu Era

  • Dari Litar

    Jorge Martin Cipta Sejarah, Pelumba Pasukan Satelit Pertama Jadi Juara MotoGP!

  • Warta Roda

    Honda BigWing Melaka Dibuka Secara Rasmi

Artikel berkaitan

BMW R 1300 GS - Ia Satu Revolusi, Bukan Evolusi

Suzuki GIXXER 250 - Lincah & Padu

CFMOTO 700CL-X Sport: Model Akhir 3 Beradik

Scrambler Ducati Full Throttle - Buatkan Perjalanan Lebih Seronok

Harley-Davidson Vance & Hines KoB Racer - Juara Mutlak 2023

Ducati Hypermotard 950 RVE - Aura Fesyen & Teknologi

Aveta Ranger Max Explorer - Prestasi Luar Jangkaan

Aprilia SR GT 200 Sport - Sensasi, Unik & Gaya Moden

Disyorkan untuk anda
Warta Roda

Pos Malaysia Terima 1,092 Jentera Elektrik, MEV-1 Pro dari MODENAS

Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (MODENAS) sehingga kini telah pun menyerahkan sejumlah 1,092 unit motosikal elektrik iaitu MEV-1 Pro khusus kegunaan pihak Pos Malaysia Berhad.

Dari Litar

Akid Pertahankan Kejuaraan CP150

Tahniah buat Akid Aziz pelumba pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha - CKJ Racing meraikan gelaran juara keseluruhan CP150 dengan lebih awal.

EICMA 2024: Skuter Adventure Maksi Pertama Dari KYMCO!

Kymco memperkenalkan skuter pengembaraan maxi pertamanya di EICMA.

Yamaha R9 - Generasi Terbaru Supersport

Untuk tahun 2025, Yamaha memperkenalkan model Supersport terbaru, R9 yang menawarkan prestasi cukup mantap dan teknologi canggih Siri R. Model ini direka berasaskan jentera perlumbaan sebenar.