Isu Terkini

Julai 2024

Pandu Uji / 14 Oktober 2020

BMW G 310 GS : Jentera Adventure Mudah dan Menyeronokkan

Seperti yang dijanjikan, BMW Motorrad telah memperkenalkan sebuah lagi model diasaskan model G 310 R yang berada di pasaran sejak di penghujung tahun lalu. Model-model ini adalah hasil kerjasama di antara BMW dan TVS yang beroperasi di Bangalore, India. Selepas menempa kejayaan dengan model jalanan tersebut, kilang TVS kini sedang sibuk dengan pengeluaran model terbaru iaitu G 310 GS yang pastinya ditunggu-tunggu oleh para pengembara motosikal atau mereka yang baru ingin melangkah masuk ke dalam dunia pengembaraan.


G 310 GS juga ditawarkan pada harga yang cukup menarik! Untuk pasaran Jerman, harganya ialah Euro 5,800 termasuk cukai 19% (harga G 310 R: Euro 4,750) dan didatangkan dengan warna-warna menarik seperti Cosmic Black, Racing Red dan Pearl White Metallic. Harga pasaran di Brazil dan Asia pula pastinya berbeza. Namun begitu, G 310 GS ini mempunyai kualiti dan prestasi lebih tinggi daripada harganya.


Seperti yang kita semua tahu, model pengembaraan terulung BMW R 1200 GS merupakan produk berenjin Boxer paling laris dan paling digemari. Sudah pasti pihak pengurusan BMW Motorrad sangat mengambil berat tentang kemampuan dan kualiti yang dimiliki oleh jentera 313cc ini. “Menghasilkan sebuah GS berkapasiti kecil dan mengekalkan tahap tertingginya memang suatu perkara yang mencabar, akui Ketua Rekaan Kenderaan BMW Motorrad, Edgar Heinrich. Beliau merupakan antara yang bijaksana dalam penghasilan model R 1150 GS dan R 1200 GS.


Model ini diuji di utara Sepanyol dengan jarak perjalanan sejauh 610km meliputi perjalanan dari paras laut biasa hingga setinggi 7,500 kaki ketika menuju ke Andora. Kami mendaki dan merentasi Pergunungan Pyrenees sehingga memasuki Perancis dan kemudiannya berpatah balik ke Barca. Apa pun, prestasi jentera ini cukup mengujakan. Ia dapat mendaki dengan mudah walaupun di sesetengah keadaan yang memberi kesukaran buat jentera yang tiga kali ganda besar daripadanya.


Kami juga berkesempatan untuk mengunjungi kawasan luar bandar di Catalan yang masih memiliki perkampungan Zaman Pertengahan yang tidak tercemar dengan dunia luar. Selepas menunggang G 310 GS dengan keras selama dua hari, saya benar-benar mengagumi model ini hampir di setiap segi.


GS mini ini menggunakan platform enjin yang sama seperti model G 310 R. Ia menawarkan kuasa 34bhp pada 9,500rpm dan tork maksimum 28Nm pada 7,500rpm. Model GS ini seberat 169.5kg (11 kg lebih berat daripada model R) dengan isian penuh bahan api 11 liter. Casis kedua-dua jenis juga sama iaitu menggunakan keluli tiub dan unit GS ini dirasakan lebih mantap.


Apabila memanjatnya, kita dapati model ini memang lebih tinggi, pelananya 835mm (50mm lebih tinggi daripada model R) dan terima kasih kepada saspensinya yang panjang, penunggang berketinggian 1.80m turut merasakan ia cukup selesa. Terdapat juga aksesori yang menawarkan pelana yang lebih rendah serta sesuai untuk penunggang wanita dan itulah merupakan sasaran BMW untuk model ini.


Jentera ini juga memiliki ruang menunggang yang luas dan bar hendal yang lebar. Kedudukan tempat pemijaknya bersesuaian dengan pelbagai jenis penunggang. GS ini juga sesuai jika dipasangkan dengan kotak barang atau tunggangan di dalam bandar kerana ia menawarkan penjimatan bahan api yang cukup baik. Dikatakan penggunaan bahan apinya sama seperti model G 310 R iaitu pada jarak 100km untuk 3.33 liter bahan api.


Ketinggiannya juga membolehkan kita melihat ke hadapan melepasi bumbung kereta agar para penunggang dapat membuat keputusan untuk memilih jalan-jalan yang lebih lancar. Pelananya juga direka dengan bijak – sudut pelananya itu membolehkan kita merehatkan bahagian bawah pinggang ketika menunggang. G 310 GS membuktikan ia adalah sebuah jentera yang selesa untuk tunggangan seharian. Keselesaan ini juga disebabkan enjin kecil DOHC, empat lejang berputar dengan lancar tanpa sebarang gegaran.


Jentera ini memiliki pengimban pemacu-gear (gear-driven counterbalancer) yang beroperasi dengan cemerlang sekali. Tiada langsung gegaran! Tidak pada tempat pemijak, pelana atau bar hendal walaupun ketika memerah tenaganya mencapai 10,500rpm. Lampu penukar gear akan berkelip-kelip ketika putaran enjin mencecah 10,000rpm yang mengingatkan si penunggang untuk menambah gear.


Untuk menjadikannya lancar dan pantas, kita perlu memutar enjinnya lebih galak atau di atas 6,000rpm. Bila sudah bergerak dengan rancak, barulah kita dapat menikmati kelincahannya. Dengan sistem klac yang cukup lembut, memecut dan bertukar-tukar gear dapat dilakukan dengan pantas dan tepat yang menyamai kualiti jentera-jentera Jepun. BMW jelas telah berjaya meningkatkan prestasi GS ini berbanding model R yang saya tunggangi tahun lepas. Ini membuatkan saya dapat menikmati perjalanan dan keindahan di Andorra la Vella atau di setiap perkampungan di kawasan berbukit Catalan.


G 310 GS ini memberi respons mengikut cara dan corak tunggangan seseorang penunggang itu. Jadi... jika anda menggunakan kotak gearnya dengan galak dan lebih banyak revs, prestasinya cukup cemerlang yang benar-benar melepasi jangkaan. Saya juga suka menggunakan putaran enjin yang rendah untuk tunggangan santai. Ternyata GS ini memberikan kepuasan kepada semua peringkat pengalaman dan tahap kemahiran menunggang.


Untuk membuat pendakian, kita perlu memastikan putaran enjin sentiasa berada di tahap tinggi dan kena rajin bermain gear atau anda akan rasa sedikit kesukaran terutamanya ketika di selekoh berbukit yang tajam. Jika gagal memilih gear yang betul serta putaran enjin yang tepat, kita akan ketinggalan ke belakang. Penunjuk posisi gear adalah kunci utama yang menjadikan kita berjaya mendaki dengan lancar sekali.


Pengendalian GS mini ini amat memuaskan yang membolehkan kita sentiasa mendapatkan momentum yang tepat. Tidak seperti model R, GS ini dilengkapi dengan rim hadapan 19 inci yang mampu membawa tayar bersaiz 110/80 manakala rim belakangnya tetap sama dengan model R iaitu 17 inci dengan tayar bersaiz 150/70. Perbezaan saiz rim ini membawa kepada perubahan tapak roda iaitu 1420mm untuk jentera silinder tunggal 313cc – 46mm lebih panjang berbanding G 310 R. Kemantapan rupabentuknya dan ketegaran kerangkanya menjadikan GS ini tegap dan stabil di lebuhraya.


Sistem saspensi untuk kedua-dua jentera BMW ini agak berbeza terutamanya dari segi geometri kerana BMW benar-benar mementingkan kestabilan dan benar.... mereka telah berjaya melakukannya. GS ini super-stable ketika meratah selekoh-selekoh di jalan dari Andorra ke Perancis dan ketika mendaki ke bukit-bukit Catalan. Fork hadapannya bersaiz 41mm, tidak boleh dilaras manakala di bahagian belakang pula mengguna penyerap hentak tunggal yang cukup bagus untuk berada di laluan-laluan lasak (offroad). Cuma talaan yang dilakukan di antara saspensi depan dan belakang tidak begitu seiring.


Saspensi belakang cukup sedap sekali tetapi saspensi hadapan pula sedikit mengecewakan. Ia boleh dikatakan OK di jalan-jalan biasa tetapi kurang efisien apabila berada di laluan sukar. Ini memaksa kita terpaksa menggunakan sistem brek dengan bijak untuk mendapatkan penyerapan yang sempurna serta bergantung kepada kecemerlangan tayar-tayar Metzeler yang tidak perlu dipertikaikan lagi.


Demi keselamatan para penunggang, BMW Motorrad turut melengkapkan model ini dengan sistem ABS dua saluran seperti mana yang dipadankan pada model G 310 R. Sistem ABS ini juga boleh ditukar untuk mereka yang suka beraksi di laluan lasak. Saya juga sukakan sistem brek hadapannya 300mm jenis ByBre (anak syarikat Brembo) di India yang mampu memperlahankan kelajuan dengan pantas manakala brek belakang (240mm) juga tidak mengecewakan. Tuas brek hadapannya agak jauh dengan pendikit, ini menyebabkan penunggang bersaiz kecil (perempuan) mempunyai sedikit kesukaran.


Meluncur laju dengan BMW ini juga tidak merisaukan. Walaupun ia agak ringan, kami cukup yakin dengannya untuk memecut selaju 143km/j. Apa pun, kelajuan paling selesa dan paling ideal ialah 120km/j atau sekitar 7,500rpm. Ya... klacnya yang lembut membolehkan kita berada di dalam bandar tanpa letih atau kekejangan tangan. Gear duanya lancar malah boleh digunakan untuk menggerakkan jentera ini dari kelajuan sifar.


Seperti G 310 R, ia menggamit para penunggang baru untuk bermain dan bermesra dengannya. GS ini benar-benar mudah ditunggang dan prestasi enjin cukup cemerlang walaupun tanpa adanya sistem digital ride-by-wire. Enjin empat lejang twincam 313cc ini mampu memecut dengan sempurna walaupun ketika berada pada putaran serendah 3,200rpm dalam gear tertinggi. Kita akan dapat menikmati hantaran kuasanya yang lebih mantap apabila berada di dalam lingkungan 6,000rpm dan pada 9,000rpm.


BMW telah mempertontonkan tahap kualitinya yang cukup tinggi walaupun untuk produksi luar Eropah yang berkos rendah. Bahagian yang nampak murah hanya pada suis-suis plastiknya manakala yang lain ia kekal mewah dan kemas seperti model-model BMW yang lain. Hakikatnya inilah yang terhasil selepas BMW memperkukuhkan bahagian R&Dnya sejak 18 bulan yang lalu menerusi pengambilan eksekutif dari KTM bagi menerajui pasukan pembangunan model G 310.


Andreas Wimmer merupakan bekas ketua projek KTM untuk semua model-model berenjin tunggal dari 125 Duke hinggalah 690 Duke yang turut bekerja dengan Bajaj ketika jentera KTM mula-mula dibuat di India. Andreas sudah tiga tahun di BMW dan pasukannya turut disertai oleh ketuanya Jorg Schuller yang sama-sama pernah berkhidmat di KTM dulu. Kedua-duanya memiliki pengetahuan yang cukup luas dalam dunia pembinaan motosikal dan bakal memastikan kerjasama di antara BMW-TVS akan terus berjalan selamanya. Ok… model apa pula selepas ini?

Harga untuk model G 310 GS di pasaran negara ialah RM29,500 sila layari https://www.bmw-motorrad.com.my. RR

Laporan: Alan Cathcart
Foto Kredit: Daniel Kraus

Isu Pada

November 2017

Spesifikasi

Enjinsilinder tunggal, sistem penyejuk cecair, DOHC
Isipadu313cc
Gerek x Lejang80 x 62.1mm
Nisbah mampatan10.6:1
Kuasa maksimum34hp pada 9,500rpm
Tork maksimum28Nm pada 7,500rpm
Tapak roda1,420mm
Tinggi pelana835mm
Isi tangki11 liter
PengeluarBMW Motorrad Malaysia

Popular

  • Model Baru

    EICMA 2024: Moto Morini Alltrhike 450: Makin Meriah Segmen Kembara

  • Warta Roda

    Cikgu Pencen Ubahsuai Motosikal Untuk Bersihkan Kampung

  • Dari Litar

    Honda HRC - Repsol: Penghujung Suatu Era

  • Dari Litar

    Jorge Martin Cipta Sejarah, Pelumba Pasukan Satelit Pertama Jadi Juara MotoGP!

  • Warta Roda

    Honda BigWing Melaka Dibuka Secara Rasmi

Artikel berkaitan

BMW R 1300 GS - Ia Satu Revolusi, Bukan Evolusi

Suzuki GIXXER 250 - Lincah & Padu

CFMOTO 700CL-X Sport: Model Akhir 3 Beradik

Scrambler Ducati Full Throttle - Buatkan Perjalanan Lebih Seronok

Harley-Davidson Vance & Hines KoB Racer - Juara Mutlak 2023

Ducati Hypermotard 950 RVE - Aura Fesyen & Teknologi

Aveta Ranger Max Explorer - Prestasi Luar Jangkaan

Aprilia SR GT 200 Sport - Sensasi, Unik & Gaya Moden

Disyorkan untuk anda
Dari Litar

Jorge Martin Cipta Sejarah, Pelumba Pasukan Satelit Pertama Jadi Juara MotoGP!

Tahun 2024 juga menyaksikan rekod baru jumlah kehadiran penonton sepanjang musim ini mencecah 3,033,255 orang. Ia adalah pencapaian terbaik setakat ini sejak 75 tahun penganjuran MotoGP.

Model Baru

EICMA 2024: Nikmati Dunia Pengembaraan Dengan Voge Valico 800DS Rally

Voge menggunakan pentas global iaitu EICMA untuk melancarkan model kembara terbarunya iaitu Valico 800DS. Ia adalah sebuah jentera yang memberi cabaran dalam segmen Kembara/Adventure

Model Baru

EICMA 2024: Yamaha R3 'Kemas Kini' Lebih Mantap!

Berikutan pelancaran R9 baru tempohari, Yamaha memilihi 'pentas' EICMA untuk memperkenalkan model yang dikemas iaitu R3 untuk pengeluaran tahun 2025.

Warta Roda

GIVI Convoy MotoGP Ride & Camp 2024

GIVI Asia Sdn Bhd telah menganjurkan GIVI Convoy MotoGP Ride & Camp 2024 pada 2 & 3 November yang disertai sekitar 100 orang peserta hampir dari seluruh semenanjung negara, termasuk dari Perlis.