Ducati 1299 Superleggera: Antara Yang Terbaik Pernah Dihasilkan
Agak klise untuk menggelarkan sesuatu itu merupakan satu hasil seni mekanikal yang cukup hebat tetapi jika berbicara mengenai motosikal, anugerah tersebut layak dihadiahkan buat Ducati 1299 Superleggera. Ia disempurnakan dengan gentian karbon, titanium, rekabentuk anggun dan inovasi teknologi yang sangat mengagumkan.
Ia adalah satu keterangan dan satu bukti sebenar kemampuan Ducati untuk melahirkan sebuah jentera yang menggabungkan keindahan dan prestasi yang cukup hebat.
Model ini dihasil bersumberkan kejayaan dan kemenangan Ducati selama ia berada di dalam dunia perlumbaan. Hanya terdapat 500 unit sahaja untuk model edisi terhad ini dengan harga Euro 80,000 seunit (termasuk cukai di Itali 22%). Bagi mereka yang baru nak berkira-kira untuk memesan model ini, lupakan sahaja kerana ianya telah dirisik sebaik sahaja dilancarkan di Pameran Motosikal Antarabangsa Milan pada bulan November yang lalu. “Kejayaan dalam menghasilkan model unggul ini mengingatkan kita kepada model saudara kecilnya, 1199 Superleggera yang dihasilkan tiga tahun yang lalu. Ia adalah sebuah jentera terbaik dan antara sesi tunggang uji yang mengujakan pernah saya cuba.”
Ternyata 1299 Superleggera ini juga merupakan satu lagi tanda kejayaan dalam sejarah Ducati dengan mempamerkan konsep dan perlaksanaan yang cemerlang. Ini juga merupakan model lumba street-legal berenjin desmo v-twin terakhir dari Ducati memandangkan tahun 2017 ini, jentera lumba mereka menggunakan enjin V4. Evolusi format enjin desmo ini telah terbukti sangat berjaya dengan kemampuan menggenggam 14 takhta juara World Superbike dan 15 kali juara Kategori Pengeluar.
Pada tahun 1974, model berkerangka hijau 750SS diperkenalkan dengan jumlah pengeluaran hanya sebanyak 401 unit. Model ini hampir menyamai replika Paul Smart Imola yang menggunakan enjin Desmo V-Twin. Lebih kurang sama dengan model 1299 Superleggera yang mirip dengan model F17 tunggangan Chaz Davies dan Marco Melandri. Dari segi teknikalnya, casis model ini lebih baik dengan struktur kerangka monocoque diperbuat daripada gentian kaca yang berjaya mengurangkan berat jentera ini sekitar 1.7kg berbanding penggunaan aluminium untuk jentera perlumbaan.
Dari segi prestasi enjin, model ini juga menawarkan kuasa yang tidak jauh bezanya berbanding model jalanan iaitu 215hp/158.1kW pada 11,000rpm, 15hp lebih tinggi berbanding Panigale R yang digunakan dalam siri perlumbaan FIM Superstock. Pemilik 500 unit model Superleggera ini datangnya dari 42 buah negara seperti Norway hinggalah ke Afrika Selatan dan Chile. Tiga lagi ke Malaysia, Kuwait dan China. Singapura dan USA juga tidak ketinggalan. Kebanyakannya tertumpu untuk pasaran Eropah seperti Jerman, UK dan Itali. Memang berbaloi memilikinya walaupun pada harga yang sangat tinggi. Menurut Ducati Malaysia, model mewah Superleggera telah pun dibawa masuk ke pasaran negara pada harga RM788,888 (termasuk GST).
Mengenang kembali di saat saya cukup aktif berlumba dan merupakan di antara 401 pemilik bertuah memiliki 750SS berkerangka hijau yang dibeli baru pada tahun 1974. Ketika itu, saya masih berlumba dalam perlumbaan Classic F750 dan sememangnya Ducati ini adalah model tulen yang seronok dibawa ke litar. Jadi... ia adalah satu penghormatan buat saya (tiada kata lain yang lebih sesuai) apabila dipilih bersama lapan lagi wartawan permotoran dari seluruh dunia untuk merasai 1299 Superleggera ini di litar terkemuka dan penuh bersejarah, Mugello, Itali.
Menunggang sebuah jentera desmodromic yang dibentuk daripada magnesium, titanium, aluminium dan gentian karbon, berkeberatan 159kg (kering) atau sekitar 178kg dengan isi tangki penuh 17 liter adalah suatu detik yang sangat mengujakan. “Model ini direka untuk menawarkan prestasi yang unggul,” kata CEO firma ini, Claudio Domenicali yang menunggang jentera ini sehari sebelum saya. Selepas saya merasai sendiri jentera ini, saya pasti mereka berjaya mendapatkan Bullseye.
Pelana Superleggera setinggi 830mm dan sebaik sahaja melabuhkan punggung, terasa sudah akan posisi menunggangnya seperti jentera lumba dengan beban badan penunggang tertumpu pada bahagian tangan dan bahu. Tekan sahaja suis penghidup, deruman mantap daripada tubone (paip ekzos besar) betul-betul menggetarkan jiwa! Model yang saya tunggang turut dilengkapi dengan kit perlumbaan yang telah menambah kekuatan enjin dalam 5hp lagi.
Masuk gear satu dan berlepas. Itulah kali terakhir kita menggunakan tuas klac. Sistem auto-blipper yang dipasang pada model ini boleh ditutupkan tetapi kita akan dianggap gila jika berbuat demikian kerana ia berfungsi cukup lancar sekali. Ia membolehkan kita menurunkan gear tanpa perlu menyentuh tuas klac dengan mudah dan ringan. Ini bermakna, saya dapat memberikan seluruh tumpuan 100% untuk berada di tempat membrek dengan tepat untuk masuk ke dalam selekoh.
Kita juga tidak perlu bersusah payah selalu menggunakan tuas gear 1299 Superleggera ini kerana kuasa di peringkat pertengahannya sangat kuat. Kita juga tidak lagi perlu bersusah payah mencari posisi gear yang sesuai untuk mengekalkan momentum dan ia jauh lebih baik daripada 1199 Panigale. Kita juga boleh menggunakan satu gear lebih tinggi daripada posisi biasa dengan model ini.
Saya dapat menyempurnakan keseluruhan litar Mugello sepanjang 5.245km hanya dengan tiga kali penggunaan gear. Saya dapat masuk ke chicane dan mendaki ke Arrabbiata dengan menggunakan gear 1 dan 2. Saya kemudiannya menggunakan gear kedua untuk masuk ke selekoh San Donato kemudian menambah ke gear ketiga sekejap untuk mendaki ke chicane Luco dan kekalkan dalam gear ini hampir di seluruh litar. Hanya masuk ke gear keempat ketika tiba di laluan lurus. Saya kembali ke gear ketiga untuk menuruni laluan berbukit Bucine.
Untuk membuktikan yang saya ini bukan seorang pemalas, saya memeriksa lap timer menerusi Ducati Data Analyser (DDA) dalam kit perlumbaan yang telah dilengkapi pada model ini dan benar, corak penggunaan gear yang sedang saya lakukan ini lebih baik dan lebih pantas. Apabila saya tidak perlu menukar gear dengan lebih kerap, saya dapat menumpukan seluruh perhatian untuk mendapatkan laluan yang tepat dan kelajuan tertinggi. Enjin Superleggera ini ternyata cukup fleksibel.
Enjin 1299 ini dirasakan berputar lebih pantas apabila berada di atas 5,000rpm dan kita pastinya sangat seronok menikmati puncak kuasa torknya pada 9,000rpm. Walaupun selepas puncak tertinggi itu, kuasa tork di peringkat pertengahan tidaklah berkurangan tetapi ia terus lancar dan sekata sehingga 11,000rpm. Apabila kita mencecah 12,000rpm, kelipan lampu penukaran gear berwarna jingga akan berkelip-kelip untuk memberitahu kita sudah tiba saatnya untuk menambah gear.
Kombinasi Ducati Wheelie Control (DWC) tahap 4 dan DTC Traction Control tahap 3 (kedua-duanya mempunyai 8 tahap maksima) membuatkan setiap selekoh dapat diratah dengan sempurna sekali. Superleggera ini juga dilengkapi dengan Ducati Slide Control Programme (DSC) yang mengelakkan jentera berada di suatu sudut yang boleh menyukarkan pengendalian di dalam selekoh. Dengan ini, pilih sahaja laluan anda dan Superleggera menunjukkan ketepatannya untuk beraksi di setiap masa. Jentera ini bukan sahaja pantas dan tepat... tetapi ia juga sangat selamat!
Dengan DSC, kita dapat memecut dengan keras dan lebih awal ketika keluar selekoh gaya drift yang terkawal. Manakala keberkesanan sistem DWC yang mengekang tayar hadapan daripada terangkat memboleh masa tidak mudah terbuang begitu saja. Saya juga dapat menggunakan brek dengan lebih keyakinan ketika berada di dalam miringan. Seperti yang saya katakan, catatan masa saya semakin lama semakin baik. Saya juga dapat rasanya kemantapan tahap cengkaman yang diperolehi daripada tayar-tayar Pirelli SC1 yang dilengkapkan pada model ini.
Apa pun, memang sukar untuk kita mengenepikan lebihan kuasa enjin EVO ini dan sesungguhnya, pengendalian 1299 Superleggera ini amat mengujakan. Saya telah melakukan sesuatu yang baru iaitu dengan secara tidak sengaja lakukan oversteer yang hampir masuk ke apex dan memaksa saya mengangkat Ducati ini beberapa kali untuk membetulkan laluan.
Saya telah menunggang rim karbon sejak 1994 lagi iaitu ketika membantu Dymag membangunkan rim sebegini untuk perlumbaan dan saya tahu bagaimana ia dapat mengimbangi jentera ini dengan baik. Untuk mengemaskan tunggangan dengan jentera ini memang tidak memberikan masalah kerana kerangka model ini dihasil menggunakan gentian karbon berbanding magnesium yang dilengkapkan pada model 1199 dahulu atau kerangka aluminium yang digunakan oleh Davies/Melandri.
Ini menjadikan Superleggera ini lebih ringan berbanding jentera superbike milik Chaz Davies yang saya uji lebih setahun lalu dan dapat dibezakan selepas membaringkan jentera ini di selekoh dan di chicane. Sementara menunggu apa kata penunggang uji Ducati, Alessandro Valia mengenai tunggangan saya... saya sekali lagi ingin katakan bahawa struktur casis gentian karbon (CF - Carbon Fiber) yang ringan dan alat ganti CF yang lain menjadikan jentera ini lincah dan sangat responsif. Ia jauh lebih hebat daripada mana-mana model desmo v-kembar yang pernah saya tunggangi termasuk jentera perlumbaan Superbike. Sayangnya, Superleggera ini tidak melepasi homologasi untuk kejuaraan WSBK – terlalu eksklusif!
Ini merupakan format casis yang digunakan oleh Valentino Rossi ketika bersama pasukan Ducati pada tahun 2011-2012. Rossi mengatakan kerangka karbon fiber D16 (yang mirip kepada konsep Superleggera) tidak memberikannya tindak balas dan respon di bahagian hadapan seperti mana yang diinginkannya. Dia tetap bertegas untuk menggunakan kerangka berformat Deltabox yang akhirnya tidak juga berjaya apabila melihat kepada keputusan yang dicapainya.
Ini amat berbeza dengan pencapaian Casey Stoner yang mendapat kemenangan pertamanya dalam pusingan paling awal di Qatar pada tahun 2009 dengan menggunakan kerangka gentian karbon. Pelumba Australia itu kemudiannya menang di tiga lagi pusingan pada musim itu dan berjaya menamatkan persaingannya pada tahun itu di tangga keempat keseluruhan. Stoner bukan sahaja menunggang uji untuk Ducati ketika mereka membuat perubahan daripada kerangka trellis keluli kepada kerangka karbon tetapi beliau juga turut menguji model berkerangka aluminium dan mengatakan bahawa “ia adalah jentera yang lebih baik!”
Stoner terus percaya dengan pembangunan ini sehingga Ducati mampu untuk mencipta kemenangan di setiap pusingan dengan jentera ini tetapi sayangnya beliau berpindah pula ke pasukan Honda.
Ok, saya bukan Valentino tetapi kita sentiasa boleh bermimpikannya bukan? Ketika menunggang dalam lap terakhir bersama Superleggera, saya sudah dapat rasanya keyakinan yang sangat tinggi menerusi bahagian hadapan jentera ini – ia membenarkan saya 'menyapu' bersih setiap selekoh di Mugello ini dengan kemas sekali. Sememangnya amat berbaloi apabila kita menaruh kepercayaan yang tinggi pada tayar-tayar Pirelli yang telah disempurnakan padanya.
Superleggera ini juga sangat stabil ketika memecut laju di laluan lurus manakala cermin pengadang udara dari hadapan telah membolehkan kita meluncur tanpa gangguan. Brek-brek Brembo yang dipasangkan pada model ini bekerja dengan efisien sekali. Saya melihat kepada panel meter TFT dan ia memaparkan kelajuan sudah mencecah 295km/j. Laju sekali
Ducati ini! Saya kemudiannya membrek dengan keras dan menurunkan posisi gear untuk memasuki selekoh San Donato. Oleh kerana brek-breknya sangat bagus, seringkali saya rasa seperti telah membrek terlalu awal.
Dalam mod Race, brek enjin dirasakan lebih kuat (tanpa menggunakan tuas klac) dan paling utama ialah ia tidak mengganggu kestabilan jentera ini sama sekali. Memang terasa benar jentera ini bagaikan mahu melompat ketika memulas pendikit dengan garang di kedudukan gear kedua dan ketiga tetapi segalanya masih dapat dikawal dengan sempurna. Terima kasih kepada Pirelli, sistem penyerap hentak Ohlins dan program elektronik DTC EVO yang cukup cemerlang.
Dengan hanya 10 lap di sebuah litar perlumbaan antara yang terbaik dunia, saya akui bahawa saya telah benar-benar menguji dengan teliti jentera secanggih ini. Saya tidak mencuba talaan dan pakej elektronik lain sebaliknya hanya bergantung kepada talaan yang telah dipilih oleh Alessandro Valia. Ia talaan yang amat bijak kerana saya ingin ter'wheelie lagi dalam kelajuan 3++km/j dalam gear tertinggi di laluan lurus seperti mana yang berlaku ketika menguji jentera Aprilia RSV-4 milik Max Biaggi. Valia telah menala DWV di tahap 4 daripada 8 dan walaupun begitu, ada sedikit tayar hadapan terangkat ketika memerah pendikit untuk keluar dari selekoh Borgo San Lorenzo, segalanya tetap terkawal.
Jentera ini menawarkan pengendalian yang sangat stabil dalam kelajuan tinggi – Superleggera ini juga memiliki tahap pengendalian yang sangat cemerlang, Super-Satisfying! Tidak dinafikan ia adalah jentera jalanan sah, berlampu dan berdaftar yang terbaik pernah dihasilkan. Terlaksananya satu impian dalam dunia motosikal. Tahniahlah buat 500 orang pemilik Ducati ini yang kini sedang tersenyum di atas jentera masing-masing! RR
Laporan: Alan Cathcart
Kredit Foto: Lilagro, Thomas Maccabelli dan Rudy Carezzevoli
Spesifikasi
Enjin | Superquadro,silinder L-kembar, Desmodromic |
Sasaran | 1,285cc |
Gerek x Lejang | 115 x 50.8mm |
Nisbah mampatan | 13.0:1 |
Kuasa maksimum | 215hp pada 11,000rpm |
Tork maksimum | 146.5Nm pada 9,000rpm |
Berat kering | 156kg |
Isi tangki | 17 liter |
Tinggi pelana | 830mm |
Pengedar Rasmi | Ducati Malaysia |
Popular