Isu Terkini

Julai 2024

Pandu Uji / 10 Oktober 2017

HONDA NSS300 : Tawar Keselesaan Untuk Semua Tunggangan

Honda tidak pernah 'terlena' dalam usaha untuk terus memberikan produk-produk terbaik buat para pelanggan mereka di seluruh dunia dan ia sememangnya sangat penting agar jenama ini terus diminati dan dipercayai. Bercerita mengenai segmen skuter mewah, Honda PCX150 telah mendapat perhatian ramai ketika ianya dilancarkan kira-kira lima tahun yang lalu. Antara sebab utama model ini menerima maklum balas cukup positif ialah kerana sifatnya yang lebih menarik. PCX lancar, lincah, tangkas dan cukup selesa.


Jika PCX sudah cukup menarik.... bagaimana pula dengan NSS300 yang baru diperkenalkan pada bulan Jun lalu. Kali pertama jentera ini ditunggang ialah ketika pelancarannya di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dan kelincahannya meratah selekoh-selekoh di SIC memang cukup mengagumkan.


Kali kedua kami berkesempatan menunggang NSS300 ini ialah ketika menghadiri pelancaran tayar terbaru Pirelli Diablo Rosso Scooter dan Pirelli Angel Scooter di Taiwan. Prestasi skuter maksi ini sekali lagi mengejutkan kami selepas mempamerkan ketangkasannya sewaktu ujian di litar dan di kawasan basah. Kita mudah serasi dan cepat menyesuaikan diri dengan karaktornya walaupun di tempat/litar yang masih baru dan belum benar-benar mahir.

Gambar ini diambil di Nafas Cube @ Mardi yang terletak di Mardi, Serdang.
Gambar ini diambil di Nafas Cube @ Mardi yang terletak di Mardi, Serdang.


Seperti yang dikatakan oleh Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif, En. Nobuhide Nagata, NSS300 adalah sebuah skuter premium yang dihasilkan untuk penunggang baru dan veteran yang inginkan sesuatu yang praktikal serta mesin tunggangan yang bergaya.


Jadi... ini adalah kali ketiga kami bersamanya! Bahagian hadapan skuter maksi ini dikemaskan dengan dua buah lampu yang turut disepadukan dengan lampu isyarat. Cermin pengadang udaranya agak kecil bagi sebuah jentera 300cc kerana sudah pasti ianya dapat dipecut dengan pantas pada bila-bila masa. Bahagian sisinya ringkas tetapi tampak anggun dengan pelananya yang tebal dan luas serta sistem ekzos yang mantap. Pemilihan lampu belakang jenis LED adalah satu langkah bijak kerana ianya terang, tahan lasak dan cantik. Pembikinannya yang halus dan berkualiti membuatkan NSS300 ini cukup 'sedap' mata memandang. Tak jemu-jemu!


Pelana skuter ini hanya 716mm. Semua orang boleh menunggangnya dan ia juga memudahkan kita mengendalikan jentera ini dalam apa jua kelajuan, tidak kira ketika memintas kenderaan lain di lebuhraya atau pun ketika menunggang santai di tengah-tengah bandar. Posisi menunggangnya sangat selesa dan pelana NSS ini turut dilengkapi dengan tempat bersandar yang memang cukup berguna untuk kita merehatkan pinggang tanpa mengganggu tunggangan! Kita dapat memegang bar hendalnya dengan mudah sekali manakala papan pemijak yang luas memastikan penunggang yang berkaki panjang turut ingin menunggangnya.


Panel meter NSS ini jenis analog berbentuk bulat yang disusun dengan kemas sekali. Ada meter bahan api, tahap kelajuan, rpm dan suhu cecair. Terdapat juga satu meter yang kecil berdigital di tengah-tengah panel. Melihat panel meternya ini, mungkin dapat dicadangkan agar pihak Honda membuat penilaian semula untuk menggunakan panel meter digital sepenuhnya yang lebih jelas, tepat dan terkini.


Untuk memudahkan pemilik skuter ini, Honda dengan bijaknya menyempurnakan ruang di bahagian kunci utama dengan suis-suis lain seperti pembuka penutup petrol, pelana dan kotak barang sisi kiri yang memang cukup luas sekali dan lengkap dengan tempat mengecas telefon pintas. Caranya mudah, pusingkan kunci ke arah Opener dan tekan suis-suis tersebut. Jika kunci diputarkan hingga ke On, suis-suis ini tidak dapat digunakan sama sekali.

Wow! Besarnya! Itulah ungkapan yang terkeluar sebaik sahaja melihat ruang bawah pelananya. Ruang ini bukan sahaja dapat menyimpan dua buah topi keledar tetapi juga beg galas, beg tangan atau beg pakaian. Benar... kalau nak mengembara berdua memang tidak menjadi hal! Seperti kebanyakan skuter lain, tuas brek NSS ini perlu ditarik sambil tongkat sisi dinaikkan kemudian barulah enjin dapat dihidupkan. Enjin 279cc menawarkan kuasa maksimum setinggi 19Kw pada 7,500rpm dan tork maksimum 26Nm pada 5,000rpm yang dapat dirasakan sebaik sahaja pendikit dipulas.

NSS300 digerakkan oleh sistem transmisi jenis V-Matic Continuously Variable tetapi kuasa hantarannya dirasakan tidak begitu garang walaupun pendikit dipulas sehabis-habisnya. Walaupun begitu, pergerakannya cukup lancar sekali dan dengan mudah kelajuan dapat dipertingkatkan daripada kedudukan 15km/j kepada 110km/j.

Cermin pengadang udaranya terlalu kecil untuk sebuah jentera skuter maksi ini. Kita ditampar kuat apabila kelajuan mencecah 130km/j dan mungkin boleh dicadangkan agar pihak Honda boleh menghasilkan cermin pengadang angin boleh laras agar lebih sesuai. Jika inginkan kesegaran udara di waktu pagi, laraskannya lebih rendah dan apabila masuk ke lebuhraya, naikkan semula cermin pengadang ini ke tahap terbaik untuk mendapatkan perlindungan daripada kencangan angin.

Dengan lantai pemijak yang luas, kami dapat meletakkan kaki dalam pelbagai posisi mengikut keselesaan. Lurus boleh... bengkok pun boleh. Memacunya di dalam bandar lebih seronok kerana kita tidak penat menukar gear – hanya perlu pulas sahaja, ia berlari dengan pantas manakala kerangka jenis underbone ini mengekalkan tahap kestabilan yang tinggi. Dengan tapak roda yang hanya bersaiz 1,546mm, skuter ini dapat mengekalkan laluannya di kawasan yang terhad tanpa masalah. Layangkan sahaja sesuka hati, Honda ini terus tegap menyusuri setiap perjalanan. Siapa kata skuter maksi tak sesuai dalam bandar!

Kelajuan maksima yang dapat kami lakukan ialah di antara 145-150km/j, namun begitu NSS300 ini paling selesa ditunggang pada kelajuan 110km/j. Untuk mengimbangi kemantapannya memecut dengan deras sekali, Honda telah melengkapkan model ini dengan brek hadapan jenis cakera bersaiz 256mm ABS dan brek belakang jenis cakera bersaiz 240mm dengan ABS yang benar-benar cukup efisien. Kami hanya perlu satu jari sahaja untuk memperlahankan kelajuan dengan pantas.

Fork hadapan jenis teleskopik bersaiz 35mm manakala penyerapan bahagian belakang disempurnakan oleh penyerap hentak kembar. Walaupun ketika melalui kawasan berbonggol dengan agak laju, sistem saspensi yang dimiliki oleh skuter ini wajar dipuji kerana bahagian tangan dan pinggang tidak terasa terhentak atau sakit-sakit. Kemantapan skuter ini berada di pelbagai jenis jalan turut disumbangkan oleh tayar-tayarnya bersaiz 120/70-14 (hadapan) dan 140/70-13 di bahagian belakang.

Selepas seharian menunggang, kami mengarahkan skuter ini ke Goat2Go Farm yang terletak di Maeps. Tempat ini menawarkan pelbagai juadah masakan daging kambing yang cukup lazat. Terdapat juga ladang ternakan kambing di sini untuk dikunjungi. Memang best! Ambil gambar di sini juga menarik.

Dengan menggunakan sistem suntikan bahan api elektronik PGM-FI, satu tangki 11.6 liter dapat membawa kita bergerak lebih daripada 200 kilometer. Oh ya! Tempat mengisi petrol yang terletak di bahagian hadapan memudahkan pengunaannya. Kalau pakai kad kredit, tak perlu turun daripada motor pun.

Secara keseluruhannya Honda NSS300 ini antara skuter yang cukup sesuai untuk semua jenis tunggangan. Tidak kiralah kita seorang pencinta pengembaraan atau mereka yang ingin menikmati perjalanan santai... Honda NSS300 sedia menjadi teman. Skuter ini ditawarkan pada harga RM30,727.28 (termasuk GST) dengan waranti selama dua tahun atau 20,000km (yang mana terdahulu). Warna pilihan juga menarik hati! Ada Pearl Himalayas White, Seal Silver Metallic dan Candy Caribbean Blue Sea. RR

Isu Pada

Oktober 2017

Spesifikasi

Enjin4 lejang, silinder tunggal, sistem sejukan cecair, OHC
Isipadu279cc
Gerek x Lejang72mm x 68,8mm
Nisbah mampatan10.5:1
Kuasa maksimum19kW pada 7,500rpm
Tork maksimum26Nm pada 5,000rpm
Tinggi pelana716mm
Kelegaan tanah140mm
Isi tangki11.5 liter
PengeluarBoon Siew Honda Sdn. Bhd

Popular

  • Dari Litar

    Voge Formica Rossa 150 Bakal Muncul di Perlumbaan CubPrix & ARRC Musim Depan

  • Warta Roda

    Honda RS150R Tiba Dengan Warna Baru

  • Model Baru

    EICMA 2024: Moto Morini Alltrhike 450: Makin Meriah Segmen Kembara

  • Warta Roda

    Cikgu Pencen Ubahsuai Motosikal Untuk Bersihkan Kampung

  • Dari Litar

    Honda HRC - Repsol: Penghujung Suatu Era

Artikel berkaitan

BMW R 1300 GS - Ia Satu Revolusi, Bukan Evolusi

Suzuki GIXXER 250 - Lincah & Padu

CFMOTO 700CL-X Sport: Model Akhir 3 Beradik

Scrambler Ducati Full Throttle - Buatkan Perjalanan Lebih Seronok

Harley-Davidson Vance & Hines KoB Racer - Juara Mutlak 2023

Ducati Hypermotard 950 RVE - Aura Fesyen & Teknologi

Aveta Ranger Max Explorer - Prestasi Luar Jangkaan

Aprilia SR GT 200 Sport - Sensasi, Unik & Gaya Moden

Disyorkan untuk anda
Warta Roda

GIVI Convoy MotoGP Ride & Camp 2024

GIVI Asia Sdn Bhd telah menganjurkan GIVI Convoy MotoGP Ride & Camp 2024 pada 2 & 3 November yang disertai sekitar 100 orang peserta hampir dari seluruh semenanjung negara, termasuk dari Perlis.

Model Baru

Kawasaki ZX-6R 2025 Sudah Boleh Ditempah Bermula 1 Disember Ini. Harga asas RM59,900

MODENAS telah melancarkan kempen pra-tempahan untuk model ZX-6R terbaru bermula pada 1 Disember 2024 di semua bilik pameran Kawasaki All-Star.

Dari Litar

MotoGP Malaysia: Walaupun Raih Juara, Misi Pecco Belum Selesai....

Pecco akhirnya menerima bendera penamat sebagai juara diikuti Martin di tempat kedua dan kini mendahului carta dengan 24 mata manakala Enea Bastianini di tempat ketiga.

Warta Roda

Lebih 100 Buah Motosikal Terbakar Di Depoh Simpanan DBKL

Sebanyak 130 buah motosikal yang diletakkan di depoh penyimpanan kenderaan tersadai milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Taman Connaught telah terbakar.