Isu Terkini

Julai 2024

Pandu Uji / 10 Oktober 2017

Suzuki GSX-S 1000 ABS : Tenaga Luar Jangkaan

Ketika diperkenalkan di Litar Go-Kart Antarabangsa Sepang bersama model-model Suzuki yang lain pada Julai lalu, GSX-S 1000 adalah antara yang paling disukai dan diminati. Litar ini sepanjang 1,247 meter dengan kelebaran 10 meter dan mempunyai 11 buah selekoh tajam yang cukup mencabar. Walaupun baru mengenali dan mengendalikannya ketika itu, jentera naked ini mudah serasi dan senang untuk difahami.


Model jalanan, GSX-S 1000 bersesaran 999cc yang mempunyai kuasa hantaran setinggi 143hp pada 10,000rpm dan tork 106Nm pada 9,500rpm yang benar-benar terasa sebaik sahaja kita menghidupkan enjinnya. Walaupun dalam keadaan melahu, kita sudah dapat merasakan kekuatan dan kemantapan enjin ini. Suzuki ini dilengkapi dengan sistem ekzos 4-2-1 yang bunyinya... fuh! Cukup sedap sekali! Ia kuat tetapi tidak bising ataupun menyakitkan telinga.


Rekabentuk GSX-S 1000 ini dihasil cukup tampak, kemas dan gagah sekali. Lihat sahaja sisinya... fairing separa di hadapan direka selari dengan bentuk tangkinya. Fairing bawah pula cukup sepadan dengan bentuk sistem ekzos dan ekor GSX-S ini. Less is More itulah yang boleh kita ungkapkan pada rekaan lampu utama dan lampu belakangnya. Lampu utama dan belakang model ini dikemaskan dengan jenis LED untuk suluhan yang lebih terang – bagus! Dari belakang, sifat garangnya juga terserlah menerusi saiz tayarnya yang cukup besar (190/50 ZR17 M/C) yang amat diperlukan untuk menampung kekuatan jentera ini dan keberatannya.


Kualiti sebuah jentera perlu dilihat dari dekat, bukan sekadar melihatnya secara kasar dari jauh. Suzuki ini mempunyai beberapa bahagian yang kemas, dibentukkan dengan rapi dan diwarnakan dengan anggun sekali.

Ketinggian model ini adalah 810mm, agak tinggi juga bagi mereka yang berada di bawah 5'4”. Namun begitu, posisi menunggangnya yang relaks menghilangkan sebarang keraguan dan kesukaran sebaik sahaja kita bergerak. Untuk pengendalian yang sesuai dan selamat, Suzuki telah melengkapkan jentera ini dengan sistem elektronik terkini, Traction Control (TC) tiga mod yang boleh dipilih dengan mudah sekali.

TC 1 mempunyai kadar kawalan geseran paling rendah yang disesuaikan untuk tunggangan yang pantas/sport seperti di dalam litar atau di jalanan biasa. TC 2 lebih kuat – sesuai untuk tunggangan santai atau di dalam bandar dan TC 3 dipilih ketika menunggang di dalam hujan atau di permukaan yang licin. Sistem ini juga boleh dimatikan.

Bagaimana TC ini berfungsi? Sistem ini akan menganalisa pergerakan tayar hadapan dan belakang, pendikit, engkol, posisi gear dan ECU akan melakukan pengiraan sebanyak 250 kali dalam sesaat. Ia akan memperlahankan enjin apabila berlakunya putaran roda. Bak kata lain, jentera kita akan berada dalam sudut miringan yang tepat serta posisi gear yang lebih sesuai. Secara logiknya, jentera ini memang mustahil untuk terbabas.

Hamburan kuasa yang cukup luas membolehkan kita memecut dengan pantas dalam mana-mana gear pun. Paling seronok untuk 'bermain' ialah ketika berada dalam kedudukan gear 3-5. Pulaslah pendikit dalam gear berapa pun... dalam putaran rpm berapa pun... GSX-S 1000 ini berlari dengan pantas sekali. Inilah hasil daripada sistem Suzuki Dual Throttle Valve (SDTV) yang mengawal kadar kemasukan udara dan minyak ke dalam omboh dengan tepat ketika injap pendikit utama dibuka oleh penunggang.

Kemampuan sebegini amat diperlukan ketika membuat pintasan atau pun apabila melakukan pendakian. Panel meter GSX-S ini ringkas dan mudah dilihat. Ia memaparkan tahap rpm, jam, kelajuan, TC, suhu, tahap bahan api, jarak perjalanan, trip, purata penggunaan bahan api. Penunjuk posisi gearnya yang jelas sangat membantu ketika membuat pendakian, sekali jeling sahaja sudah cukup untuk pastikan kedudukan gear yang sedang digunakan.

GSX-S 1000 disempurnakan dengan kerangka jenis aluminium yang ringan dan bertegaran tinggi. Ia membantu kita mengendalikan jentera ini di dalam selekoh tajam lebih mudah dan meyakinkan. Apa yang agak mengganggu ialah hantaran kuasanya tidak begitu konsisten jika kita berada di antara 3,000 hingga 4,000rpm dengan TC-3. Agak tersangkut-sangkut menyebabkan kita terpaksa mengawalnya dengan menggunakan klac. Boleh memenatkan tapak tangan. Masalah ini tidak timbul ketika menggunakan TC-1 dan TC-2. Apabila kita memerah pendikitnya dengan lebih galak, kemantapan enjinnya membuatkan kita lupakan masalah tersebut. Small matter!

Kekukuhan kerangkanya membolehkan ia 'terbang' dengan stabil sekali. Tidak ada sebarang gegaran di mana-mana bahagian ketika GSX-S ini dibawa lebih daripada 230km/j dan untuk mengurangkan tamparan angin yang kuat majukan sedikit tubuh badan di hadapan. Dengan cara ini, kita akan rasa lebih tegap dan lebih stabil.

Sebaik sahaja tiba di selekoh, siapkan diri (ubah ke posisi yang sesuai untuk membelok), pilih gear yang sesuai dan baringkan GSX-S ini dan nikmati ia mengikut segala kemahuan si penunggang dengan taat sekali. Ketangkasan Suzuki ini di dalam selekoh memang mengagumkan dan ia turut disumbangkan oleh bar hendal aluminium jenis Renthal. Dengan berbekalkan kuasa tork 106Nm, kita perlu bersedia dengan hantaran kuasa yang hadir dengan mendadak sebaik sahaja kita memerah pendikit.

Fork teleskopik hadapan jenis terbalik yang berwarna emas memang sangat cantik tetapi itu tidaklah sepenting kecekapannya menyerap segala hentakan dengan baik terutamanya ketika kita menggunakan brek hadapan dengan keras. Kita tidak terasa bagaikan ingin menjunam ke hadapan!

Adakah jentera naked ini sesuai untuk ditunggang berdua? Ia bergantung pada saiz pembonceng dan hala tuju yang sedang dipilih. Bagi pembonceng yang bersaiz sederhana, pelana pembonceng masih sesuai tetapi kami berpendapat ia kurang sesuai jikalau ingin membuat pengembaraan jauh berduaan dengan model ini. Kalau nak berkonvoi jauh, Suzuki V-Strom 650 ABS atau V-Strom 1000 ABS kan ada!

Pemberhentian sebuah jentera seberat 207 (berat kering) ketika dalam kelajuan tinggi memang cukup merisaukan JIKA jentera yang ditunggang tidak dilengkapkan dengan sistem brek yang baik. Ia langsung tidak kami hadapi dengan GSX-S ini kerana model ini dilengkapi dengan brek hadapan jenis Brembo dengan ABS dan brek cakera 220mm dengan ABS di belakang. Tidak perlu tenaga dan usaha yang banyak untuk memperlahankan naked ini, dua jari dan sedikit sentuhan sudah memadai. Cukup efisien sekali.

Kuasanya yang hadir bagaikan tanpa batas memberi ketagihan, pendikit dipulas selalu. Laluan berbukit bagai sengaja dicari kerana terlalu yakin dan seronok menikmati Suzuki ini meratah setiap selekoh. Apalagi dengan tayar-tayar bersaiz besar 120/70 ZR17 MC (depan) dan 190/50 ZR17 MC (belakang) yang menggigit permukaan jalan dengan baik sekali.

Jentera ini juga lincah untuk ditunggang di dalam bandar dan sistem penyejuknya beroperasi cukup baik. Tiada terasa panas melampau pada bahagian enjin atau ekzos yang mengganggu tunggangan. Ketinggian pelananya juga membolehkan pemiliknya yang agak tinggi melihat keadaan trafik melepasi bumbung kereta dengan jelas sekali. Walaupun begitu, harus kita ingati, memecut laju di dalam kesesakan lalu lintas adalah satu tindakan kurang cerdik.

Benar! Kita sudah cukup pengamalan dan sudah mahir tetapi jangan lupa bahawa kita sedang berkongsi jalan dengan pelbagai jenis pengguna jalan raya yang lain. Mungkin ada di antaranya masih baru memegang lesen, mungkin ada yang mengantuk, tidak mustahil yang memandu dalam pengaruh alkohol atau dadah... semua ini adalah salah satu penyebab berlakunya kemalangan. Oleh itu, sentiasa bersabar dan menunggang dengan bijak! Biar kita sampai ke destinasi atau pulang ke rumah dengan selamat.

Satu isian penuh tangki 17 liter yang dimiliki oleh GSX-S 1000 ini telah memberikan kami senyuman untuk sepanjang perjalanan lebih daripada 200 kilometer. Memang sudah cukup jimat memandang jentera ini dibawa ke pelbagai tempat dan mukabumi. Model ini dijual pada harga RM74,094 (selepas GST) dan pilihlah warna mana yang anda minat! Ada Biru, Hitam dan Merah. Kunjungilah mana-mana pusat pengedar Suzuki Assemblers Malaysia berdekatan untuk membuat pilihan anda! RR

Isu Pada

Oktober 2017

Spesifikasi

Enjin4 lejang, 4 silinder, sistem penyejuk cecair DOHC
Isipadu998cc
Gerek x Lejang73.5 x 59.0mm
Nisbah mampatan12.2:1
Kuasa maksimum143hp pada 10,000rpm
Tork maksimum106Nm pada 9,500rpm
Tinggi pelana810mm
Isi tangki17 liter
Tapak roda1,460mm
PengeluarSuzuki Assemblers Malaysia Sdn. Bhd

Popular

  • Warta Roda

    Honda RS150R Tiba Dengan Warna Baru

  • Model Baru

    EICMA 2024: Moto Morini Alltrhike 450: Makin Meriah Segmen Kembara

  • Warta Roda

    Cikgu Pencen Ubahsuai Motosikal Untuk Bersihkan Kampung

  • Dari Litar

    Honda HRC - Repsol: Penghujung Suatu Era

  • Dari Litar

    Jorge Martin Cipta Sejarah, Pelumba Pasukan Satelit Pertama Jadi Juara MotoGP!

Artikel berkaitan

BMW R 1300 GS - Ia Satu Revolusi, Bukan Evolusi

Suzuki GIXXER 250 - Lincah & Padu

CFMOTO 700CL-X Sport: Model Akhir 3 Beradik

Scrambler Ducati Full Throttle - Buatkan Perjalanan Lebih Seronok

Harley-Davidson Vance & Hines KoB Racer - Juara Mutlak 2023

Ducati Hypermotard 950 RVE - Aura Fesyen & Teknologi

Aveta Ranger Max Explorer - Prestasi Luar Jangkaan

Aprilia SR GT 200 Sport - Sensasi, Unik & Gaya Moden

Disyorkan untuk anda
Dari Litar

Pelumba Negara Tampilkan Aksi Memberangsangkan

Tahniah buat para pelumba muda negara telah mempamerkan aksi yang cukup hebat dalam saingan FIM MiniGP World Finals.

Model Baru

EICMA 2024: Honda Perkenalkan CL500, Jentera Retro Moden

Model baru ini menyasarkan para peminat dua roda muda yang mementingkan gaya retro dengan spesifikasi moden.

Model Baru

EICMA 2024: Moto Morini Perkenalkan Model Ikonik, 3 1/2 Baru

Moto Morini meraikan ulang tahun ke-50 model ikonik yang dikenali sebagai '3 1/2' dengan memperkenalkan di pameran motosikal antarabangsa EICMA.

Dari Litar

CP125: Syamil Akan Raikan Gelaran Juara Lebih Awal Jika Menang Hujung Minggu ini?

Gelaran juara keseluruhan CP125 buat pelumba pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha - 31 Racing, Md Syamil Amsyar semakin cerah.