Isu Terkini

Julai 2024

Pandu Uji / 10 Mac 2021

KAWASAKI NINJA 400SE ABS Memiliki Prestasi Yang Memukau

Sejak tahun 1986 lagi Kawasaki telah menghasilkan sebuah jentera sportbike suku liter menerusi model Ninja 250. Demi untuk memperkukuhkan lagi pasarannya di Asia, Amerika dan kini di Eropah, Kawasaki telah mengumumkan kehadiran Ninja 400 sebagai jentera edisi sport yang baharu pada tahun 2018 dan merupakan pengganti untuk Ninja 300. Enjin 399cc dapat memberikan prestasi yang lebih baik berbanding Ninja 300.

Walaupun peningkatan kapasitinya hanyalah sebahagian daripada peningkatan asas, ia mampu menyampaikan kuasa yang lebih baik, tork, kestabilan casisnya dan menawarkan keseronokan ketika menunggang. Tahniah buat KMSB yang tidak ketinggalan untuk membawa masuk Ninja 400 ke pasaran negara. Model yang kami pandu uji kali ini adalah berwarna hijau (Lime Green). Yang menariknya, corak grafik pada jentera ini telah diinspirasikan dengan warna daripada jentera Kawasaki dalam perlumbaan WSBK, Kawasaki Racing Team. Di bahagian fairingnya pula telah dihiasi dengan logo 400.

Kami amat sukakan rekabentuknya yang sporty dan agresif. Tidak kira pandang dari sudut mana pun, ia tetap tidak membosankan. Dengan rekabentuk badannya yang tegap yang telah diilhamkan daripada model flagship Ninja H2, secara tidak langsung dapat menarik perhatian penunggang di luar sana. Parkir sahaja, mesti ada mata yang memandang ke arahnya.


Sebaik sahaja melihat jentera ini, kami sudah tidak sabar untuk menunggang dan melihat keupayaannya. Pelana yang setinggi 785mm memudahkan kami memanjat jentera ini. Kami mula melabuhkan punggung ke atasnya dan didapati posisi tunggangan direka dengan sempurna sekali. Badan tidak terasa membongkok dan tapak tangan tidak terlalu tertekan. Memang sangat sesuai untuk perjalanan jauh.


Naikkan tongkat sisi, putarkan kunci, dan tekan suis penghidup. Deruman enjin yang keluar melalui corong ekzos sungguh sedap untuk didengar. Senyap dan tidak terlalu bising. Tetapi selepas sahaja dipulas pendikitnya sehingga putaran RPM mencapai tahap tertinggi, terserlahlah karaktornya yang mula berubah menjadi garang.


Ya! Panel meternya yang direka berasaskan  model Kawasaki Ninja 650 memaparkan pelbagai informasi yang terdiri daripada penunjuk RPM (analog). Panel meter digital pula terdapat purata kelajuan, masa, tahap bahan api, suhu, trip, penunjuk gear dan jarak perjalanan. Lampu latar belakangnya yang terang meyakinkan lagi kita ketika menunggang pada waktu malam.


Rekaan lekukan yang terdapat di bahagian tangki memudahkan kita untuk mengepitkan kedua-dua belah peha dengan tepat. Ditambah pula ruang atas pelana yang cukup selesa buat semua penunggang.

Enjin empat lejang , DOHC 8 injap, penyejuk cecair mampu menawarkan kuasa setinggi 33.4kW (45 PS) pada 10,000rpm dan tork maksimum 38Nm pada 8,000rpm yang jelas terasa ketika kita memulas pendikit. Enjin Parallel Twin dengan gerek bersaiz 70mm dan lejang 51.8mm memberikan kuasa tork di peringkat pertengahan yang cukup tinggi. Dalam kedudukan gear ketiga, empat dan lima, jentera ini dapat meluncur sehingga 170km/j dengan mudah dan lancar.


Jentera yang seberat 168kg ini memudahkan kami untuk mengendalinya hampir ke mana sahaja. Selepas semakin serasi dan selesa bersama Ninja 400 ini, kami mula mencari lebuhraya yang kurang dengan kenderaan.  Memang terserlah kebolehan mesin ini. Tindak balas antara pendikit dengan enjin yang tepat dalam semua gear memudahkan kami untuk memecut laju. Ya! Semakin kami memerah pendikit semakin pantas jentera ini meluru ke hadapan. Sangat mengagumkan, mesin ini dapat mencapai kelajuan hampir 200km/j tanpa terasa apa-apa gangguan. Dalam kelajuan tersebut, tidak terasa gegaran yang hadir di mana-mana bahagian.


Memang sangat seronok bila dapat memacu motosikal dengan laju. Tetapi nyawa itu lebih penting, ingatlah orang yang tersayang. Jika tidak ‘konfiden’, menungganglah dalam kelajuan yang paling ideal sekitar 120-130km/j. Buat penunggang yang baru, perlulah berhati-hati ketika berada di jalan raya. Pendikitnya yang ringan memberikan tindak balas serta merta. Tidak kira lah apa jua kenderaan yang ditunggang.

Model yang dilengkapi dengan sistem pancitan bahan api bukan sahaja beri tindak balas antara pendikit dan enjin, tetapi ia juga amat baik dari segi penjimatan bahan api. Kuasa tolakan di setiap gear cukup mengagumkan, ditambah pula dengan pendikit dan klac yang lembut. Pulas sahaja mudah untuk kita memintas kenderaan di hadapan. Jentera ini juga didatangkan dengan sistem Assist & Slipper Clutch yang mempunyai jarak cengkaman lebih luas. Kami dapat membuat penukaran gear dengan lebih mudah dan ringan serta dapat mempertingkatkan lagi kelajuan pada jentera ini dengan lebih cepat.

Ninja 400 hadir dengan sistem saspensi hadapan jenis teleskopik dan belakang pula lengan ayun dengan penyerap hentak tunggal berfungsi dengan efisien sekali. Proses kuasa hentakan dapat bekerja dengan baik. Ya... memang terbukti walaupun ada kalanya kami menunggang di jalan-jalan berliku atau tidak sekata, saspensi hadapan dan belakang tidak mengecewakan. Penunggang tidak akan terlompat-lompat, bahagian tangan dan pinggang juga tidak mudah lenguh.


Model ini begitu stabil dan lincah meratah selekoh. Ninja 400 ini didatangkan dengan sepasang tayar bersaiz 110/70R17 M/C 54H (hadapan)  dan 150/60R17 M/C 66H (belakang). Ia memberi keyakinan untuk memiringkan badan mesin ini ketika mengambil laluan selekoh dengan cemerlang sekali. Kerangka jenis trellis yang bertegaran tinggi memudahkan kita mengambil selekoh dengan penuh yakin. Jentera ini tidak terasa bergoyang atau bergegar apabila kita membrek dengan keras semasa ingin mengambil selekoh. Kerangka ini juga memantapkan lagi tunggangan kita untuk memecut laju.

Bagi mereka yang selalu bermotosikal, kepantasan sahaja pastinya tidak mencukupi. Kita juga mahukan sistem brek yang berfungsi dengan cemerlang. Jika tiada sistem brek yang baik, kita mungkin gagal berada di laluan-laluan betul atau mungkin akan menyebabkan kita mudah terbabas.


Pihak Kawasaki telah melengkapkan jentera ini dengan brek hadapan dan belakang jenis cakera. Untuk keselamatan, model ini juga turut didatangkan dengan sistem ABS. Dengan adanya sistem ini, jarak berhenti yang lebih singkat dapat dicapai untuk memastikan tayar tidak akan ‘terkunci’ apabila tuas brek ditekan dengan kuat. Ini kerana, roda yang terkunci tidak lagi mempunyai daya geseran yang optimum.

Kami mula menunggang jentera ini di waktu malam untuk melihat sendiri prestasinya di laluan gelap. Ternyata dua buah lampu LED di hadapan memberi suluhan yang terang dan mampu menyuluh keseluruhan jalan. Selain itu, kita juga dapat melihat bahaya yang berada di hadapan dengan mudah. Lampu belakangnya pula dicipta dengan kemas dan jelas supaya penunggang motosikal yang lain di belakang dapat melihat kita dengan mudah terutama di laluan yang gelap.


Dengan isian penuh bahan api, tangki yang sebesar 14 liter ini dapat bergerak lebih kurang 250 kilometer. Cukup jimat, bukan sahaja dibawa secara santai, tetapi tenaganya dikerah dengan sebaik-baiknya untuk mencari nikmat bermotosikal. Ninja 400 ditawarkan pada harga RM29,998 dengan satu pilihan warna sahaja iaitu Lime Green (KRT Edition).

Secara jujurnya, prestasi dan kualiti yang dimilikinya sangat memuaskan. Tidak hairanlah mengapa jentera ini begitu menyerlah dalam pelbagai perlumbaan terutama acara WSBK kategori WorldSSP 300.


Kawasaki Ninja 400? Inilah model yang sangat sesuai kepada mereka yang baru sahaja berjinak-jinak dalam permotoran. Ia sebuah model yang serba hebat kepada mereka yang ingin berkenalan dengan dunia superbike. Ia merupakan sebuah mesin yang selamat dan mudah untuk dikendali. Jadi? Takkan nak tengok sahaja. Jika anda berminat, mari kunjungi pusat pengedar motosikal Kawasaki yang sah. RR

Isu Pada

Julai 2019

Spesifikasi

Enjin4 lejang, sejukan cecair, Parallel Twin, DOHC 8 injap
Isipadu399 cc
Gerek x Lejang70 x 51.8 mm
Kuasa maksimum33.4 kW pada 10,000 rpm
Tork maksimum38Nm pada 8,000 rpm
Transmisi6 kelajuan
Tinggi pelana785 mm
Isi Tangki14 liter
Berat168 kg
PengedarKawasaki Motors (Malaysia) Sdn Bhd

Popular

  • Dari Litar

    Voge Formica Rossa 150 Bakal Muncul di Perlumbaan CubPrix & ARRC Musim Depan

  • Warta Roda

    Honda RS150R Tiba Dengan Warna Baru

  • Model Baru

    EICMA 2024: Moto Morini Alltrhike 450: Makin Meriah Segmen Kembara

  • Warta Roda

    Cikgu Pencen Ubahsuai Motosikal Untuk Bersihkan Kampung

  • Dari Litar

    Honda HRC - Repsol: Penghujung Suatu Era

Artikel berkaitan

BMW R 1300 GS - Ia Satu Revolusi, Bukan Evolusi

Suzuki GIXXER 250 - Lincah & Padu

CFMOTO 700CL-X Sport: Model Akhir 3 Beradik

Scrambler Ducati Full Throttle - Buatkan Perjalanan Lebih Seronok

Harley-Davidson Vance & Hines KoB Racer - Juara Mutlak 2023

Ducati Hypermotard 950 RVE - Aura Fesyen & Teknologi

Aveta Ranger Max Explorer - Prestasi Luar Jangkaan

Aprilia SR GT 200 Sport - Sensasi, Unik & Gaya Moden

Disyorkan untuk anda
Model Baru

EICMA 2024: Moto Morini Alltrhike 450: Makin Meriah Segmen Kembara

Moto Morini telah melancarkan Alltrhike 450 baru di pameran motosikal antarabangsa EICMA 2024

Model Baru

HLYM Perkenalkan Yamaha Y16ZR 6MRO Edisi Terhad – RM13,668

Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) turut meraikan pencapaian bersejarah itu dengan menampilkan model edisi terhad iaitu Yamaha Y16ZR 6MRO.

Warta Roda

GIVI Convoy MotoGP Ride & Camp 2024

GIVI Asia Sdn Bhd telah menganjurkan GIVI Convoy MotoGP Ride & Camp 2024 pada 2 & 3 November yang disertai sekitar 100 orang peserta hampir dari seluruh semenanjung negara, termasuk dari Perlis.

Warta Roda

Operasi Khas Motosikal Besar-Besaran Bermula....

Operasi Khas Motosikal akan dijalankan secara besar-besaran bermula 1 November hingga 31 Disember di seluruh negara susulan peningkatan kadar kemalangan yang direkodkan pada tahun ini.