Isu Terkini

Julai 2024

Pandu Uji / 10 September 2017

BMW R nineT Prestasi Yang Mengasyikkan

Dunia dua roda ini luas.... ia bergantung kepada individu atau seseorang penunggang itu sendiri. Jika disempitkan hanya untuk ke tempat kerja... maka di situlah tamat 'tugas'nya tetapi bagi si pencinta motosikal yang mempunyai pandangan dan alasan yang lebih unik... motosikal ini boleh memberikan kebebasan, keseronokan dan pengubat jiwa. Benar! Tiada saat yang lebih sempurna apabila berada di atas sebuah motosikal yang berupaya memberikan kita senyuman dalam apa keadaan sekali pun dan itulah yang kami rasai sepanjang bersama BMW R nineT 2017 ini.


Secara ringkasnya, model ini adalah hasil intipati perjalanan BMW Motorrad dalam dunia permotoran lebih daripada 90 tahun dan sememangnya model 2017 ini menawarkan rupabentuk yang telah dinaik tarafkan menjadi lebih anggun dan lebih menarik. Lampu utamanya dikemaskan dengan logo kecil BMW yang bagi kami ia adalah satu sentuhan yang bijak – tampak mewah dan untuk model 2017, model ini didatangkan dengan dua buah meter bulat yang menggabungkan penunjuk analog dan paparan digital.


Meter analog terdiri daripada penunjuk kelajuan dan rpm manakala info-info lain seperti posisi gear, masa, jarak perjalanan, trip, kadar purata kelajuan, penggunaan bahan api, suhu kesemuanya di paparan digital. Antara ciri-ciri menarik lain yang menjadikannya nampak mewah ialah menerusi rekaan bar hendal, lampu utama, perumah (rig) lampu utama, pelindung enjin, pelindung kepala silinder yang dibuat bersama pereka motosikal kustom terkenal dunia, Roland Sands.


Gabungan warna hitam dan kelabu yang boleh kita lihat menerusi sistem ekzosnya, pelindung enjin, panel sisi tangki, sebahagian kerangka dan sistem breknya mencetuskan rasa teruja walaupun belum melompat ke atasnya. Satu-satunya warna yang berlainan ialah sistem fork hadapannya dan yaaa... fork yang berwarna emas itu adalah jenis boleh laras yang bersaiz 46mm, satu lagi pembaharuan yang dibuat pada model R nineT ini. Rekabentuk R NineT yang ergonomik ini sememang menyerkanlah lagi karaktornya yang dinamik dan mantap.


Melihat akan bentuk luarannya, kami terkenangkan kata-kata Ketua BMW Motorrad, En. Owen Riley yang menjelaskan bahawa R nineT ini juga adalah sebuah jentera asas yang sangat sesuai buat mereka yang cintakan dunia pengubahsuaian. Memang betul... pelbagai aksesori dapat dipadankan padanya dan pasti R nineT mampu memberikan kepuasan setiap kali ianya diubahsuai!


Jiwa tak tertahan apabila melihat enjin R nineT! Model ini didatangkan dengan enjin Boxer yang bersesaran 1,170cc dengan sistem penyejuk udara/cecair yang cukup mantap. Getaran yang dihasilkan oleh enjin ini sebaik sahaja ia dihidupkan sangat-sangat mengujakan. Ia bagaikan 'hidup' yang menyuruh kita untuk segera berada di jalan raya! Getaran yang terhasil pada enjin Boxer ini membuatkan kami tidak senang duduk lalu segera menekan tuas gear untuk memulakan perjalanan.


Bukan terlalu memuji tetapi tuas gearnya yang lembut menyebabkan kami hampir menekannya dua kali. Tiada langsung bunyi 'klak' yang kuat sewaktu masuk ke gear pertama. Model seberat 222kg terasa cukup ringan sebaik sahaja ia digerakkan. Apa pun, kuasa enjin R nineT memang cukup kuat... lupa, ia berkuasa 1200cc! Kekuatan enjin BMW ini memang ditagih. Ia mempunyai kuasa maksimum setinggi 110hp pada 7,550rpm dan tork maksimum 119Nm pada 6,000rpm yang membolehkan kita memecut ke hadapan dengan pantas sekali.


Merasakan kekuatan torknya, bolehlah dicadangkan agar model ini dapat disertakan dengan sistem mod tunggangan. Tidak perlu banyak pilihan, dua jenis mod sudah mencukupi kerana tidak semua penunggang terutamanya yang baru ingin berjinak-jinak dapat mengawal kekuatan enjin Boxer sebesar R nineT ini. R nineT juga tidak dilengkapi dengan sistem TC.


Hamburan kuasanya yang luas membolehkan kita berada dalam gear-gear pertengahan dengan lebih lama. Gear empat contohnya, boleh membawa kita memecut selaju 150km/j dengan lancar tanpa rasa tekanan pada bahagian enjin dan kelajuan ini juga boleh diturunkan sehingga 25km/j tanpa enjin tersangkut-sangkut. Meter kelajuan jenis analog memang mudah, tidak kira siang atau malam, pagi atau tengahari, sekali jeling kita sudah dapat tahu tahap kelajuan yang dicapai.


Walaupun tanpa sebarang pelindung atau fairing hadapan, R nineT ini tetap selesa untuk dipecut dan kami berjaya mendapatkan kelajuan tertinggi sekitar 205 km/j. Namun begitu, kelajuan paling sesuai untuk R nineT ialah pada 110-120km/j. Apa yang menyeronokkan ialah gabungan di antara bunyi enjin dan sistem ekzosnya yang menarik perhatian setiap jentera yang dipintas. Bunyi ini juga penyebab utama mengapa kami disapa setiap kali memberhentikan BMW ini.


Posisi menunggangnya yang natural memberi keselesaan buat mereka yang sukakan perjalanan jauh. Tapak tangan tidak terasa tertekan cuma getaran enjinnya sahaja yang kadang kala membuatkan kita kebas.


Dengan tubuh badan yang ramping, menunggang di dalam kesibukan kota bukan satu masalah buat R nineT dan sistem penyejuk yang dilengkapkan pada jentera ini juga berfungsi dengan baik. Mungkin kerana logonya yang cukup 'berpengaruh', kita mudah diberi ruang oleh mana-mana kenderaan sebaik sahaja kita menyusuri di sebelahnya. Ini mungkin kelebihan yang dinikmati oleh para pemilik 'Bee Eem'..


Aduhai... kestabilan Boxer ini berada di jalan-jalan berselekoh amat kami sukai. Tidak kira gaya mana sekali pun kita cuba, kestabilannya ketika membuat miringan yang dalam membolehkan kita masuk dan keluar setiap selekoh dengan pantas dan meyakinkan. Kita dapat rasakan lengan ayun tunggalnya dan penyerap hentak spring di tengah-tengah 'bekerja' keras menyerap segala hentakan dan pergerakan bebanan dengan efisien sekali.


Kerangka model ini juga menarik. Ia dibentukkan dengan konsep empat-bahagian kerangka dengan satu kerangka di hadapan dan tiga lagi di belakang. Ketegarannya membuatkan R nineT ini cukup stabil dalam kelajuan tinggi dan di dalam selekoh. Geometri R nineT baru ini telah direka dengan sebaiknya untuk pengendalian dan respons yang lebih tepat terutamanya di jalan-jalan berselekoh.


Untuk menjaminkan setiap detik bersama jentera ini satu pengalaman indah, ia telah dilengkapkan dengan tayar hadapan jenis Metzeler Roadtec Z8 bersaiz 120/70 ZR 17 (hadapan) dan 180/55 ZR 17 (belakang) yang memiliki cengkaman cukup mengagumkan. Tidak kira di permukaan yang basah atau kering, tayar Metzeler Roadtec Z8 bertindak cukup cemerlang untuk memimpin BMW ini dengan kemas sekali.


Tayar-tayar Metzeler Z8 boleh didapati di South East Asia Auto Parts Sdn Bhd yang merupakan pengedar rasmi tayar-tayar Metzeler. Menurut pihak Metzeler, Roadtec 01 juga sesuai untuk model R nineT dan yang terkini, Metzeler turut mempunyai Roadtec 01 untuk model BMW R 1200 GS.


Berkata mengenai prestasinya, BMW ternyata tidak pernah berkompromi dalam aspek keselamatan malah inilah keutamaan mereka. Oleh itu, jentera ini disempurnakan dengan sistem brek hadapan jenis cakera bersaiz 320mm di hadapan manakala kekuatan cengkaman brek belakang adalah hasil daripada brek cakera bersaiz 265mm dan model ini juga dilengkapi dengan sistem ABS sebagai aksesori standard.


Tangki BMW ini bersaiz 18 liter dengan simpanan sebanyak 3 liter. Namun begitu, ketiadaan penunjuk tahap bahan api ada kalanya merisaukan dan menyebabkan kita sentiasa berjaga-jaga. Bagi mereka yang ingin memiliki jentera ini, lebih baik bertanya dahulu mengenai penggunaan bahan api.


Ok begini... dalam sesi tunggang uji ini, kami telah membawa BMW ini ke merata tempat. Naik bukit... jalan kampung... lebuhraya... jalan berselekoh... dan lampu penunjuk bahan api menyala ketika perjalanan mencapai jarak 218km. Menurut pihak BMW, apabila lampu ini menyala, R nineT masih boleh ditunggang untuk 50 kilometer lagi dengan kelajuan purata 80-90km/j. Terdapat juga penunjuk jarak ini di panel meter tetapi perlulah kita mendapat panduan terlebih dahulu cara-cara untuk memahaminya!


Secara keseluruhannya, BMW R nineT ini merupakan sebuah model yang sangat mengujakan buat mereka yang sukakan prestasi cemerlang disamping rekabentuk yang penuh dengan sejarah kegemilangan BMW. Ia gagah perkasa, merentap jiwa dengan kekuatan enjinnya tetapi pada masa yang sama R nineT ini sebuah mesin yang kasual dan santai untuk kita mencari kepuasan. RR

Isu Pada

September 2017

Spesifikasi

Enjin4 lejang, sistem penyejuk udara/cecair berkembar (Boxer) dengan central counterbalance shaft
Isipadu1,170cc
Gerek x Lejang101mm x 73mm
Kuasa maksimum110hp pada 7,750rpm
Tork maksimum116Nm pada 6,000rpm
Nisbah mampatan12.0:1
Transmisi6 kelajuan
Tapak roda1,487mm
Tinggi pelana805mm
PengeluarBMW Motorrad Malaysia

Popular

  • Warta Roda

    Honda RS150R Tiba Dengan Warna Baru

  • Model Baru

    EICMA 2024: Moto Morini Alltrhike 450: Makin Meriah Segmen Kembara

  • Warta Roda

    Cikgu Pencen Ubahsuai Motosikal Untuk Bersihkan Kampung

  • Dari Litar

    Honda HRC - Repsol: Penghujung Suatu Era

  • Dari Litar

    Jorge Martin Cipta Sejarah, Pelumba Pasukan Satelit Pertama Jadi Juara MotoGP!

Artikel berkaitan

BMW R 1300 GS - Ia Satu Revolusi, Bukan Evolusi

Suzuki GIXXER 250 - Lincah & Padu

CFMOTO 700CL-X Sport: Model Akhir 3 Beradik

Scrambler Ducati Full Throttle - Buatkan Perjalanan Lebih Seronok

Harley-Davidson Vance & Hines KoB Racer - Juara Mutlak 2023

Ducati Hypermotard 950 RVE - Aura Fesyen & Teknologi

Aveta Ranger Max Explorer - Prestasi Luar Jangkaan

Aprilia SR GT 200 Sport - Sensasi, Unik & Gaya Moden

Disyorkan untuk anda
Model Baru

EICMA 2024: Moto Morini Alltrhike 450: Makin Meriah Segmen Kembara

Moto Morini telah melancarkan Alltrhike 450 baru di pameran motosikal antarabangsa EICMA 2024

Warta Roda

Cikgu Pencen Ubahsuai Motosikal Untuk Bersihkan Kampung

Bermodalkan RM700, seorang pesara guru mengubah suai motosikalnya sebagai pe­ngangkut sampah dan me­lakukan kerja-kerja mengutip sampah secara sukarela di Kampung Lanai, di sini.

Dari Litar

Akid Pertahankan Kejuaraan CP150

Tahniah buat Akid Aziz pelumba pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha - CKJ Racing meraikan gelaran juara keseluruhan CP150 dengan lebih awal.

Model Baru

Scrambler Ducati Edisi 10° Anniversario Rizoma

Bersempena dengan ulang tahun ke-10 jentera Scrambler, Ducati telah berkolaborasi dengan pengeluar aksesori motosikal Rizoma untuk memperkenalkan Scrambler Ducati 10° Anniversario Rizoma Edition.