Italjet Buccaneer 250i: Ada Rupa & Gaya
Sesetengah orang mempunyai citarasa dan kehendak berbeza. Ada pula yang mementingkan kelajuan, ada yang berminat pada keselesaan dan pasti ada yang suka bergaya dengan jentera masing-masing. Percaya atau tidak model cafe racer berjaya menambat hati para penunggang di Malaysia.
Kini jentera cafe racer tidak lagi asing di negara kita, Bukan sahaja di kawasan bandar malah turut menjadi pilihan di kawasan kampung dan digilai tidak kira muda ataupun yang berumur. Bagi mereka yang ingin nampak bergaya dan macho menunggang jentera ala klasik, model Italjet Buccaneer 250i adalah pilihannya!
Sebaik sahaja kita putar kunci utama dan tekan suis penghidup vrooomm… bunyinya kuat dan sedap untuk kita dengar berbanding dengan model-model jenama lain yang bersesaran 250cc di Malaysia. Ternyata kemerduan ekzos ini menyebabkan Italjet Buccaneer 250i amat mudah diketahui kehadirannya tidak kira ke mana sahaja ia dituju.
Pelana yang setinggi 820mm amat mudah untuk dipanjat meski pun buat penunggang rendah. Sangat mudah untuk kita menjejakkan kedua-dua tapak kaki ke atas tanah dengan sempurna. Sebaik sahaja kita melabuhkan punggung, fuhh! Lembut, luas dan sangat selesa. Menunggang jauh dengan model ini tidak jadi masalah, kita tidak akan terasa kebas langsung pada bahagian punggung. Selain itu, bar hendalnya yang lebar sudah tentu memudahkan kita mengawal segala pergerakan jentera ini.
Putaran enjin yang lancar amat menyenangkan ketika dihidupkan. Kita dapat rasakan betapa senyapnya ia bergerak. Enjin yang bersesaran 250cc, 4 lejang dan penyejuk udara mampu menghasilkan kuasa setinggi 13kW pada 8,000 rpm. Tork 19Nm pada 6,000 rpm yang menghasilkan prestasi tunggangan lebih lancar dan berkuasa dalam semua kedudukan gear dapat kita rasakan apabila putaran rpm dalam lingkungan 3,000 rpm. Dengan ketepatan hantaran kuasa, kita mudah memintas kenderaan dengan selesa untuk menuju ke hadapan.
Panel meter berbentuk bulat memang kena dengan konsep keseluruhan rekabentuk Buccaneer yang memaparkan putaran rpm (analog), kadar kelajuan, jarak perjalanan, penunjuk gear dan tahap bahan api. Motosikal ini menggunakan meter jenis analog dan digital. Walaupun meternya bersaiz kecil, kita dapat melihat dengan mudah dan pantas informasi-informasi yang sedia ada.
Tindak balas antara enjin dan pendikit agak lancar kerana model ini dilengkapi dengan sistem suntikan bahan api. Kuasa tolakkan di setiap gear cukup mengagumkan, ditambah pula dengan pendikit yang lembut. Tarik tuas klac, masuk gear sudah terasa Buccaneer 250i ini terus mengajak ke hadapan. Model ini bukanlah dihasilkan untuk mereka mencari kelajuan, ia lebih sesuai kepada mereka yang inginkan tunggangan santai dan bergaya.
Apa yang perlu difikirkan oleh pihak Chear Global ialah dari segi penggunaan sistem gear. Agak sukar untuk kami menurunkan kedudukan gear satu kepada Neutral (N). Tuas gear dirasakan keras boleh menyebabkan permukaan atas kaki terasa sakit sedikit. Ini akan membuang masa kita semata-mata hanya untuk mendapatkan gear Neutral. Harap pihak Chear Global dapat menangani masalah seperti ini pada jentera tersebut.
Model cafe racer yang diuji ternyata menarik perhatian kita menerusi rekabentuknya. Lampu utamanya berbentuk bulat ini mengekalkan ciri-ciri klasik moden. Turut menarik pada motosikal yang kami uji terdapat nombor 66 di bahagian atas lampu dan sisi jentera seperti motosikal lumba. Cermin sisi yang bulat sangat sesuai dipadankan dengan Buccaneer 250i. Tidak begitu besar ataupun kecil, cukuplah buat kita mampu untuk melihat kenderaan belakang dengan jelas. Untuk mengubah penglihatan cermin sisi ini agak susah kerana kita perlu menggunakan alatan pemutar nat untuk melonggarkannya.
Kita dapat menunggang Buccaneer begitu tenang sekali. Dengan memiliki set lampu hadapan dan belakang yang jelas dan terang, kita begitu yakin pengguna jalan raya lain mudah melihat kehadiran kita. Jika jentera ini mempunyai lampu jenis LED memang lagi ummpphh.... terserlah keunikannya bila dipandang sahaja dari jauh.
Melayan jalan-jalan berselekoh amat mengasyikkan. Tambahnya pula sistem saspensi hadapan jenis teleskopik dan bertindak dengan begitu efektif sekali. Jelas dapat dirasakan ketika melalui jalan berbonggol - tidak terasa hentakan yang kuat pada bahagian hadapan. Proses penyerapan berjaya dibuat ketika kami membrek dengan keras. Jentera seberat 128.5 kg ini langsung tidak terasa seperti ingin melontarkan kita ke depan selepas membrek dengan keras. Lengan ayun belakang lengkap dengan penyerap hentak hidraulik tidak memberikan sebarang masalah kepada penunggang. Ketika masuk/keluar selekoh tidak terasa seperti membuang langsung.
Keyakinan menunggang jentera ini juga disumbangkan oleh brek-breknya yang bekerja dengan cemerlang sekali. Buccaneer 250i hadir dengan brek cakera bersaiz 280mm (depan) dan 240mm (belakang). Memang terbukti berkesan. Brek-brek yang efisien amat diperlukan untuk sebuah jentera seperti Buccaneer. Mungkin boleh dicadangkan agar pihak Chear Global dapat menyempurnakan model ini di masa akan datang dengan sistem ABS?
Buccaneer dilengkapi dengan tayar hadapan bersaiz 110/90-70 dan belakang 130/90-15 dapat mengekalkan pengendalian yang baik ketika membelok. Cukup terasa cengkaman antara tayar dan permukaan jalan seperti melekat. Miringkan sahaja badan, jentera ini terus mengikut kehendak yang kita mahukan.
Di lebuhraya, walaupun tiada cermin pengadang udara di hadapan tidak mengganggu pengendalian ketika memecut laju. Dalam kedudukan gear yang tinggi, Italjet Buccaneer 250i ini mampu pecut mencecah 150 km/j dengan putaran enjin V-Twin, EFI yang segar. Dengan kelajuan sebegitu, Buccaneer telah menjalankan tugasnya dengan cukup sempurna. Tidak terasa bergoyang walaupun setiap kali sering dipotong dengan kenderaan laju di lebuhraya.
Kami sangat bertuah kerana dapat menguji jentera ini pada minggu acara MotoGP Malaysia. Seperti biasa apabila tibanya acara ini ramai penunggang motosikal di seluruh semenanjung akan berkonvoi ke SIC untuk menonton dan memberikan sokongan padu buat para pelumba yang mereka minat. Tak sangka Buccaneer 250i ini juga turut menarik perhatian para penunggang lain. Dengan gaya tunggangan kami yang santai, satu demi satu kami dipintas dengan pelbagai jenis model. Sambil-sambil itu, mereka sempat mencuri pandangan pada model cafe racer ini dan ada pula yang mengangkat tangan.
Apa yang sangat mengecewakan, sebaik sahaja tamat acara perlumbaan MotoGP kami memulakan perjalanan untuk pulang ke rumah. Secara tiba-tiba kami telah dipotong laju oleh beberapa penunggang motosikal dengan melakukan aksi ‘superman’. Tindakan mereka sangat tidak bertanggungjawab, bukan sahaja membahayakan diri sendiri malahan orang lain juga.
Dengan isian penuh tangki 14 liter, ia mampu membawa kita sejauh 200 kilometer perjalanan dengan sekali isi. Penggunaan petrol bergantung kepada gaya tunggangan, saiz penunggang dan keadaan muka bumi.
Model ini ditawarkan dalam tiga pilihan warna iaitu Yellow Gold, Black dan Matt Black serta boleh dimiliki dengan harga RM17,100. Sememangnya menunggang Italjet ini amat mengembirakan tambahan pula ia membantu pengendalian lebih bermakna. RR
Spesifikasi
Enjin: | v-kembar, penyejuk udara, EFI |
Gerek x Lejang: | 49 x 66 mm |
Kuasa maksimum: | 13kW pada 8,000rpm |
Tork maksimum: | 19Nm pada 6,000rpm |
Saspensi hadapan: | fork teleskopik |
Saspensi belakang: | penyerap hentak hidraulik |
Tayar hadapan: | 110/90-17 |
Tayar belakang: | 130/90-15 |
Brek hadapan & belakang: | cakera 280mm /cakera 240mm |
Isi tangki: | 14 liter |
Popular