Isu Terkini

Julai 2024

Pandu Uji / 10 September 2017

Kawasaki Versys 1000 : Sukar Dicabar!

Jujurnya, Kawasaki Versys merupakan model Kawasaki yang tidak lagi perlu diperkenalkan. Ia adalah di antara model paling popular di kalangan para penunggang motosikal kerana kebolehannnya memenuhi kehendak dan keperluan ramai. Versys sesuai untuk mereka yang berulang alik ke tempat kerja dan juga buat para pengembara motosikal yang ingin menikmati perjalanan ribuan kilometer di dalam maupun luar negara. Untuk itu, Kawasaki Motors Malaysia Sdn Bhd (KMSB) kini menawarkan tiga model Versys dengan isipadu enjin yang berbeza iaitu Versys-X 260, Versys 650 dan Versys 1000.

Terima kasih buat KMSB yang memberi peluang untuk kami mengembara sekitar 1,900 kilometer bersama Versys 1000 dan ianya satu pengalaman menunggang yang cukup mengagumkan. Berbanding dua 'adik-adiknya', Versys 1000 memiliki saiz badan yang jauh lebih besar. Bahagian hadapan diperkemas dengan dua buah lampu tajam dan rekabentuk fairing yang cukup garang sekali. Model yang diuji ini juga telah dipasang dengan aksesori lengkap dengan lampu kabus (fog)depan, penunjuk gear, soket 12-volt dan beg sisi bersaiz 28L setiap satu – cukup besar untuk memuatkan pakaian jika ingin membuat pengembaraan.

Pelananya setinggi 840mm (Versys 650:840mm, Versys-X250: 815mm) dan oleh kerana saiz enjin yang besar dan seberat 250kg, memanjatnya sedikit sukar jika dibandingkan dengan Versys 650 walaupun bagi penunggang setinggi 170cm. Namun begitu, perasaan yang cukup berbeza dapat kita rasa sebaik sahaja melabuhkan punggung ke atasnya. Tidak lagi terasa Versys ini besar atau berat. Cukup mudah dialihkan...cukup senang juga ditolak ke hadapan dan ke belakang. Ketinggian cermin sisinya boleh diubah sesuka hati (manual) manakala bar hendal mesin ini lebar membantu kita mengawal pergerakannya dengan kemas. Langsung tiada perasaan kekok atau tidak senang walaupun baru seminit bersama Versys ini.

Pandangan dari sisi dimantapkan dengan rekabentuk enjin, ekzos yang besar dan beg sisinya. Sayang sekali lampu belakang masih dikekalkan dengan bentuk Versys 1000 lama (lampu Versys 650 dan Versys-X250 lebih cantik!). Untuk memberi perlindungan kepada penunggang Versys ini, ketinggian cermin hadapannya boleh diubah mengikut kesesuaian dan kami memilih untuk menalanya kepada yang paling tinggi. Perubahan atau talaan ini hanya boleh dilakukan secara manual dan semestinya ia bukan satu yang menyusahkan.

Sebaik sahaja suis utama dipulas, panel meter model ini mula terang dengan paparan informasi yang disusun dengan kemas. Meter analog menunjukkan kadar putaran rpm manakala meter digital dipadatkan dengan tahap kelajuan, masa, tahap bahan api, Mod Kuasa (F: Full atau L: Low), suhu dan Kawasaki Traction Control (KTRC) tiga tahap.

Ok... pemetaan Mod Kuasa F menawarkan kuasa hantaran penuh dan sesuai untuk mereka yang dahagakan kuasa pecutan yang mantap dalam semua gear manakala sebaik sahaja kita memilih untuk menukarkan kepada Mod Kuasa L iaitu Low, kuasa enjin Versys ini diturunkan kepada hanya 75%. Perbezaan di antara kedua-dua amat ketara sekali. Sistem KTRC pula dilengkapkan untuk memberi tunggangan yang lebih stabil, yakin dan selamat.

KTRC untuk model ini mempunyai tiga tahap pilihan. KTRC-1 (paling rendah), 2 (sederhana) dan 3 (paling tinggi). Kami memilih untuk bermula dengan memilih Mod Kuasa L dan KTRC-2. Lebih selamat dan meyakinkan kerana baru mencari keserasian. Kuasa hantaran dalam Mod L tidak terlalu kuat, kita dapat rasakan enjin 1043cc ini berputar dengan lancar dan tenang. Kuasa sebegini amat sesuai untuk mereka yang baru menunggang Versys 1000 buat pertama kali atau ketika hujan. Walaupun kita cuba mengerah pendikit dengan ganas dalam gear kedua, ketiga dan keempat, enjin Kawasaki dengan Mod L ini tidak garang dan tetap beroperasi dengan lembut.

Sistem pendikitnya yang cukup ringan menambah keseronokan menunggang jentera ini dan walaupun di dilengkapi dengan kotak sisi, menunggang di tengahtengah bandar tidaklah begitu sukar . Tekniknya mudah sahaja iaitu, jika bar hendal Versys ini boleh melepasi suatu ruang itu maka kotak sisinya juga akan lepas tanpa tersentuh di mana-mana bahagian. Namun begitu, jika berada di ruang yang lebih kecil atau lebih sempit.... lebih baik perlahankan kelajuan dan beri peluang kepada motosikal di belakang untuk ke hadapan. Takut juga kotak sisi ini dilanggar secara tidak sengaja oleh penunggang lain.

Sistem penyejuk jenis cecair pada model ini juga berkhidmat dengan baik, keberkesanannya cukup terasa ketika bersesak-sesak di tengah kota. Kami tidak terasa bahang panas di bahagian kaki terutamanya peha dan bahagian enjin juga tidak menunjukkan tanda-tanda panas lampau. Bagus!

Apabila ruang telah terbuka, lenggokkan sahaja Versys ini ke kiri atau kanan dan rasai nikmat motosikal besar ini membuat miringan tanpa gangguan. Ketegaran casis ini membolehkan ia bergerak dengan lincah sehingga kita bagaikan terlupa ia sebuah jentera yang besar dan gagah. Nisbah gear-gearnya yang direka dengan rapi turut membolehkan kita berada di dalam suatu gear dengan lebih selesa. Dalam gear keempat, kami masih mampu menurunkan kelajuan sehingga 30km/j dan kemudiannya terus memulas pendikit tanpa sebarang sentapan pada sistem gear mahu pun enjin.

Selepas kira-kira sejam 'melayan' jem di tengah kota, kami menukar laluan menuju ke utara tanahair dengan menggunakan lebuhraya. Kami masih menggunakan Mod L dan KTRC-2. Ketika berada di laluan yang luas sebegini, barulah hamburan kuasa yang rendah dari pilihan Mod L sangat dirasai. Dari kelajuan 100km hingga 170km/j dirasakan agak lambat tetapi sekali lagi dikongsikan, pemetaan seperti ini amat sesuai untuk mereka yang baru mencari keserasian, menunggang di waktu malam, di dalam bandar dan ketika dalam cuaca yang tidak menentu.

Untuk tunggangan lebih lancar dan mudah, Kawasaki ini dilengkapkan dengan teknologi terkini iaitu Assist & Slipper Clutch bertujuan untuk meringankan tuas klac serta mengelakkan roda belakang daripada terkunci jika kita menurunkan gear dengan cepat. Klac yang cukup lembut amat berguna ketika mengawal pergerakan jentera ini di dalam kesesakan bandar. Tapak tangan tidak cepat lenguh!

Walaupun di siang hari, jentera yang dilengkapi dengan sistem lampu hadapan yang terang dan jelas sentiasa memberi kelebihan. Gabungan lampu utama dan lampu fog yang disempurnakan pada Versys ini menarik perhatian kenderaan di depan. Hampir kesemuanya memberi laluan...terima kasih. Kawasaki ini juga dilengkapkan dengan Economical Riding Indicator (ECO) yang bertujuan untuk memberitahu para penunggang tentang kadar penggunaan bahan api yang paling baik. Apabila kita berada di dalam kelajuan paling ideal, penunjuk ECO ini akan terpapar.

Dengan menggunakan Mod L, tahap pembakaran bahan api juga dapat dijimatkan. Ini dibuktikan apabila melihat tahap penggunaan bahan api yang cukup rendah (baru dua bar) ketika berhenti rehat di Tapah dengan jarak perjalanan ketika itu sekitar 185 kilometer. Selepas itu, kami menukar kepada Mod F (Full) tetapi masih mengekalkan KTRC-2. Aduh...serta merta karaktor Versys ini berbeza sama sekali.

Jentera berenjin empat silinder sebaris dengan kuasa maksimum 88kW pada 9,000rpm dan tork 102Nm pada 7,500rpm mempamerkan ketangkasannya. Dalam gear kelima sudah boleh dipecut mencapai 195km/j dan kelajuan maksimum kami pada hari tersebut ialah sekitar 220-230km/j. Ketika ini juga barulah dapat rasakan sistem saspensi yang dimiliki oleh Versys ini bertindak dengan cemerlang sekali. Fork hadapan jenis terbalik 43mm dan saspensi belakang jenis Horizontal BackLink menyerap segala hentakan dan bebanan dengan baik sekali.

Apa yang cukup mengagumkan tentulah ketika menunggang berdua. Kelincahan dan kemantapan Versys ini menyusuri jalanan berselekoh langsung tidak terjejas malahan dirasakan lebih stabil untuk kekal di dalam kelajuan tinggi jika menunggang berdua. Lebih berat...lebih stabil. Kami dapat menunggang dalam kelajuan purata sekitar 180-190km/j dengan selesa. Terbukti, Versys 1000 ini menawarkan keseronokan menunggang tidak kira ketika solo atau berdua.

Ketika hampir tiba di Juru, hujan gerimis membasahi bumi dan perubahan mod tunggangan dan tahap KTRC perlu dilakukan. Mujurlah ianya dapat dilakukan dengan cukup mudah tanpa perlu berhenti. Penunggang hanya perlu menutup pendikit dan menukar pemetaan dan KTRC menerusi suis di sebelah kiri – memang mudah. Kami memilih untuk kembali menggunakan Mod L dengan KTRC3. Memang berkesan..... jentera ini memiliki lebih cengkaman terutamanya ketika membuat miringan.

Dengan banjaran kuasa enjin yang cukup luas, kita dapat meningkatkan kelajuan sesuka hati dengan cukup lancar. Walaupun sudah mencecah dalam kelajuan 180km/j (Mod F), pulas sahaja pendikit dan rasanya Versys ini menerkam ke hadapan tanpa ragu-ragu. Karaktor sebegini memang memberikan ketagihan!

Posisi menunggangnya yang tegak dan selesa merupakan satu pakej ideal untuk kita 'bergumbira' di lebuhraya atau pun di laluan berbukit yang berselekoh.

Kami dapat menikmati kelincahan Versys ini ketika menunggang dari Bayan Lepas menuju ke Tanjung Bungah. Pendakian di waktu malam dirasakan cukup mudah walaupun sudah lama kami tidak ke sana. Versys ini juga didatangkan dengan penunjuk gear yang sudah pasti amat-amat diperlukan terutamanya apabila berada di kawasan berselekoh. Mujurlah Versys ini mudah mengikut kata...satu persatu selekoh di Tanjung Bungah dapat diratah dengan cukup stabil.

Untuk disesuaikan dengan kepelbagaian tunggangan dan destinasi, Kawasaki telah melengkapkan jentera dualpurpose ini dengan tayar hadapan bersaiz 120/70-17 dan belakang 180/50-17 yang menggigit permukaan jalan dengan cemerlang. Tidak kira kita menunggang solo, solo + barang, berdua, berdua + barang.... prestasi Versys ini tidak pernah mengecewakan. Versys 1000 juga cukup jimat petrol. Ia mampu ditunggang sejauh 260 kilometer dengan satu isian tangki penuh sebesar 21 liter.

Bila menunggang motor yang besar dan pantas, ia mesti dilengkapi dengan sistem brek yang berkemampuan tinggi. Ya benar... Kawasaki ini dilengkapi dengan brek hadapan jenis cakera 310mm jenis berpetak dengan ABS dan brek belakang 250mm jenis berpetak dengan ABS. Kami dapati brek hadapan bertindak dengan cukup baik tetapi brek belakang agak kurang cengkaman. Apa pun, Versys ini sangat berbaloi untuk dimiliki kerana ia merupakan antara jentera dual-purpose bersesaran 1000cc yang cukup mampu milik . Dengan nilai pasaran RM85,030 (termasuk GST), kita dapat memiliki dan menikmati sebuah jentera yang mempunyai kemantapan enjin, keselesaan, sistem elektronik terkini, ABS, KTRC dan semestinya tahan lasak.

Memang berbaloi! RR

Isu Pada

September 2017

Spesifikasi

Enjin4 lejang, sistem penyejuk cecair, DOHC 16 injap
Isipadu1043 cc
Kuasa maksimum102PS pada 9,000rpm
Tork maksimum 102Nm pada 7,500rpm
Sistem bahan apisuntikan bahan api
Tapak roda1,520mm
Kelegaan tanah150mm
Tinggi pelana840mm
Isi tangki21 liter
PengeluarKawasaki Motors (Malaysia) Sdn Bhd.

Popular

  • Warta Roda

    Honda RS150R Tiba Dengan Warna Baru

  • Model Baru

    EICMA 2024: Moto Morini Alltrhike 450: Makin Meriah Segmen Kembara

  • Warta Roda

    Cikgu Pencen Ubahsuai Motosikal Untuk Bersihkan Kampung

  • Dari Litar

    Honda HRC - Repsol: Penghujung Suatu Era

  • Dari Litar

    Jorge Martin Cipta Sejarah, Pelumba Pasukan Satelit Pertama Jadi Juara MotoGP!

Artikel berkaitan

BMW R 1300 GS - Ia Satu Revolusi, Bukan Evolusi

Suzuki GIXXER 250 - Lincah & Padu

CFMOTO 700CL-X Sport: Model Akhir 3 Beradik

Scrambler Ducati Full Throttle - Buatkan Perjalanan Lebih Seronok

Harley-Davidson Vance & Hines KoB Racer - Juara Mutlak 2023

Ducati Hypermotard 950 RVE - Aura Fesyen & Teknologi

Aveta Ranger Max Explorer - Prestasi Luar Jangkaan

Aprilia SR GT 200 Sport - Sensasi, Unik & Gaya Moden

Disyorkan untuk anda
Dari Litar

Honda HRC - Repsol: Penghujung Suatu Era

Kejuaraan MotoGP 2024 telah berakhir selepas 20 pusingan dan 40 perlumbaan di beberapa buah negara seluruh dunia. Pada masa yang sama, hubungan perniagaan di antara dua syarikat ikonik dalam dunia MotoGP juga sudah sampai di penghujungnya.

Model Baru

EICMA 2024: Yamaha R3 'Kemas Kini' Lebih Mantap!

Berikutan pelancaran R9 baru tempohari, Yamaha memilihi 'pentas' EICMA untuk memperkenalkan model yang dikemas iaitu R3 untuk pengeluaran tahun 2025.

Dari Litar

Podium Berganda Buat Qabil Di Sepanyol & Raih Keempat Keseluruhan di ESBK

Qabil Irfan menutup musim Kejuaraan Superbike Sepanyol (ESBK) Moto4 dengan podium berganda di pusingan akhir yang berlangsung di Circuito de Jerez, Sepanyol.

Warta Roda

LCR Honda Fan Enduro Day!

Berbeza dengan sebelum ini, pihak GIVI telah mengadakan LCR Honda Fan Enduro Day bertempat di KEV Enduro Park, Gamuda Gardens, Rawang.