CFMOTO 650MT: Pilihan Terbaru Buat Pengembara Motosikal
Sejak ditubuhkan kira-kira tujuh tahun yang lalu, jenama KTNS sememangnya sudah tidak asing lagi buat pengguna motosikal di Malaysia. KTNS Holdings Sdn Bhd mendapat tempat di pasaran motosikal negara selepas menawarkan pelbagai model yang menepati citarasa dan permintaan para pengguna motosikal. Antara model yang menarik minat ramai ialah RS3 SE, RS3 Adventure (dengan kotak barang Tourfella), GP250 Classic, Antique dan Cafe Racer, GP125 dan Rhino 125.
Dalam segmen touring, model pengembaraan RS3 meraih penjualan yang cukup menggalakkan kerana jentera ini memang selesa, pengendalian yang mudah dan ketahanan enjin yang telah membawa para pemiliknya menjelajah di dalam dan luar negara, Antara mereka yang telah pun berjaya membuktikan keupayaan jentera KTNS ini ialah Alex Wong yang telah mengembara hampir ke seluruh Indonesia dari Banda Aceh hingga ke Sulawesi yang berjarak 16,000km, pasangan Zamri dan Zarihan yang juga berjaya menikmati ribuan kilometer perjalanan dari Malaysia ke sempadan China dan ramai lagi.
Selepas berjaya dengan model tersebut, KTNS Holdings kini telah bekerjasama dengan sebuah syarikat besar di China iaitu CF Moto dan model pertama yang diperkenalkan ialah CFMoto 650MT. Model ini juga menunjukkan kematangan syarikat dari China untuk memberi saingan dalam pasaran segmen jentera pengembaraan yang semakin meningkat terutamanya di negara-negara Asean. Sudah semakin ramai penunggang dari Malaysia, Thailand, Singapura dan lain-lain yang semakin selesa mengembara ke beberapa negara terdekat (Malaysia, Thailand, Laos, Kemboja, Vietnam) dengan jentera pengembaraan yang tahan lasak, mudah diselenggara dan jimat petrol.
“Model pengembaraan ini mempunyai hantaran kuasa yang mantap dengan 71hp pada 8,750rpm dan tork setinggi 62Nm pada 7,000rpm. Model 650MT juga disempurnakan dengan dua mod tunggangan iaitu Touring dan Sport yang menjanjikan prestasi pecutan yang bersesuaian dengan cuaca, kadar permukaan jalan dan lokasi tunggangan. Ini juga merupakan sasaran KTNS untuk turut serta dalam pasaran jentera berkuasa besar yang sedang mendapat permintaan yang tinggi di kalangan pengguna motosikal di Malaysia pada harga yang cukup berpatutan,” kata Pengurus Besar Bahagian Jualan dan Pemasaran, En. Alan Lee.
Jentera ini diambil daripada pengedar sah KTNS dan CFMoto, E-Store Chuan & Cycle Sdn Bhd yang terletak di No.9 Jalan SS3/29 Petaling Jaya, Selangor. Selain menjual pelbagai model KTNS dan kini CFMoto 650MT, syarikat yang diuruskan oleh En. Robinson Teoh ini juga mempunyai kepakaran dalam membaik pulih jentera skuter.
CFMoto 650MT ini merupakan sebuah jentera pengembaraan yang cukup mudah ditunggang. Pelananya setinggi 840mm senang untuk dinaiki oleh semua dan paling disukai ialah posisi menunggangnya yang natural. Untuk keselamatan dan keselesaan penunggang, CFMoto telah melengkapkan model ini dengan bar keselamatan enjin yang menjanjikan perlindungan terbaik jika berlakunya situasi cemas. Sudut tangkinya (18 liter) yang direka kemas, mudah untuk kita mengepit demi mendapatkan kestabilan ketika memecut atau berada di selekoh.
Terdapat dua warna menarik yang boleh dipilih iaitu Royal Blue dan Black Night. Kami diberikan warna hitam. Enjin dua silinder dengan sistem penyejuk cecair ini berderum dengan segar manakala panel meter digital yang cukup jelas amat kami sukakan lebih-lebih lagi di waktu malam. Ia memaparkan tahap putaran rpm, kelajuan, posisi gear, jarak perjalanan, trip, masa, suhu dan tahap bahan api. Cukup sempurna!
Kedudukan tuas brek belakang dan tuas gear diletakkan dengan baik dan penggunaan klac yang lembut membolehkan kita menukar gear tanpa sebarang tekanan. Dalam gear-gear pertengahan, hantaran kuasa enjin 650MT ini langsung tidak mengecewakan. Dengan mudah kelajuan ditingkatkan tanpa sebarang sentapan pada enjin mahupun sistem transmisi. Tindakbalas di antara pendikit dan kuasa enjin yang linear menjadikan 650MT ini cukup sesuai untuk semua peringkat umur dan pengalaman.
“KTNS membuat keputusan bekerjasama dengan CFMoto kerana ia di antara lima pengeluar motosikal terbaik di China dan telahpun diiktiraf dengan kolaborasi bersama KTM untuk mengeluarkan model Duke 390 bagi pasaran Asia. Bagi para pembeli jentera ini, pihak KTNS menawarkan waranti kilang untuk enjin tanpa had kilometer selama setahun manakala komponen dan alat ganti boleh terus didapati/dipesan dari KTNS menerusi talian 04-5681333 atau di KTNS Assist (http://www.motorcycle.my/ktns-assist/).” Tambah beliau lagi.
Bar hendalnya direka pada ketinggian yang sempurna dan keseronokan menunggang dibantu dengan suis-suis yang juga diletakkan dengan baik. Cermin sisi memberikan pandangan yang jelas tanpa rasa kabur walaupun sewaktu jentera ini sedang bergerak. Penyerap hentak jenis cantilever di bahagian belakang memberikan keselesaan sewaktu menunggang di laluan yang beralun dalam kelajuan tinggi. Kita tidak terasa seperti membuai-buai dan apabila berada di laluan lurus serta selamat, kami menggunakan kuasa hingga ke tahap maksimum untuk mencapai kelajuan tertinggi sekitar 195-200km/j.
Dengan kuasa hantaran sekuat 71hp, kita hanya perlu menurunkan satu gear sahaja untuk dapatkan pecutan lebih mantap untuk membuat pintasan. Namun begitu, jika berada di lebuhraya, kita tidak perlu turunkan gear sebaliknya hanya perlu pulas pendikit dan nikmati CFMoto ini meluru ke hadapan dengan pantas. Alangkah seronoknya jika suatu hari nanti model ini dilengkapkan sistem quickshifter – harap mereka dapat mempertimbangkan cadangan ini.
Apa pun, prestasi penyerap hentaknya sedikit menurun apabila berada di atas jalan-jalan yang tidak rata. Ia dirasakan sedikit keras tetapi amat berbeza pula dengan penyerap hentak depan (fork jenis terbalik 43mm) yang benar-benar memuaskan hati. Walaupun jalan agak teruk, penyerapannya yang cemerlang membuatkan bahagian lengan tidak lenguh dan terbeban untuk mengawal pergerakan jentera yang seberat 213kg ini. Dengan adanya cermin pengadang udara boleh laras, penunggang boleh meninggikannya ke tahap paling sesuai untuk tunggangan di lebuhraya dan kembali ke posisi agak rendah apabila menyusuri jalanan di dalam bandar.
Pergerakan di dalam bandar tidaklah begitu menyusahkan walaupun jentera ini dilengkapi dengan kotak barang sisi sebesar 36 liter – dapat menyimpan dengan baik pelbagai jenis barangan yang mencukupi untuk pengembaraan selama tiga hingga empat hari dan tidak lebih daripada 150kg. Apa yang cukup mantap ialah sistem keselamatan yang menggunakan brek-brek (hadapan: 300mm, belakang: 240mm) dari jenis J.Juan.
Sedikit info mengenai jenama ini. J.Juan merupakan sebuah syarikat pengeluar brek yang berpengkalan di Barcelona, Sepanyol dan turut memiliki cawangannya di negara China serta beberapa pejabat bahagian teknikal di USA dan India. Brek-brek J.Juan telah digunapakai oleh beberapa pengeluar motosikal di seluruh dunia sejak pada tahun 1965 lagi – kualitinya telah terjamin.
Ketika kami menguji CFMoto ini, beberapa kali terpaksa mengharungi cuaca yang agak mencabar seperti hujan lebat beserta angin. Tubuh badannya yang tegap tidak terganggu sama sekali dengan pukulan angin manakala cengkaman brek belakang juga cemerlang tetapi diharapkan KTNS Holdings dapatlah memantapkan sedikit prestasi brek hadapannya yang dirasa kurang ‘cekap’ menangani permukaan jalan yang licin walaupun ia telah dilengkapkan dengan sistem ABS. Masalah kurang cengkaman ini tidak berlaku ketika kami menunggang di permukaan yang kering.
Tidak sempurnalah sesi ujian jika kami tidak mengerahkan tenaga jentera ini ke kawasan berliku. Seperti yang dijangka, tayar-tayar Metzeler Roadtec Z8 Interact (depan:120/70Z 17, belakang: 160/60Z 17) adalah pilihan terbaik untuk jentera pengembaraan seperti 650MT ini. Metzeler Roadtec Z8 Interact direka khusus untuk para pengembara yang sentiasa berdepan dengan permukaan jalan yang basah, sejuk dan sukar. Tayar ini menggunakan teknologi ‘Interact’ yang merupakan teknologi multi ketegangan pada bahagian bawah tapak bunga tayar yang memberikan prestasi yang mantap. Jalurnya yang dalam dan panjang meningkatkan kadar pengaliran air dan menambah kadar fleksibiliti serta tahap keselamatan di dalam semua kondisi.
650MT dilengkapkan dengan lampu hadapan dan belakang jenis LED yang bersinar dengan cerah sekali. Lampu ini bukan sahaja memudahkan penunggang melihat ke hadapan dengan lebih jelas malah membolehkan kehadiran kita dapat dilihat oleh pengguna jalan raya dari hadapan dan belakang. Ini adalah penekanan yang amat dititikberatkan oleh pengeluar jentera ini agar keselamatan penunggang sentiasa diutamakan.
Lebih kurang setengah jam meredah hujan, langit akhirnya kembali bersinar dan membolehkan kami memecut dengan lebih pantas cuma ketika menyusuri lebuhraya, kami dapati masih ramai di kalangan para penunggang yang berteduh di bawah jejambat. Ia sangat bahaya memandangkan kadar penglihatan yang menurun boleh menyebabkan pengguna lebuhraya lain tidak perasankan kehadiran anda. Pihak pengurusan lebuhraya telah menyediakan beberapa tempat khas buat para penunggang motosikal berteduh, lajakkanlah sedikit perjalanan (walaupun basah) untuk tiba ke tempat yang disediakan itu.
CFMoto ini juga sesuai untuk ditunggang berdua. Posisi pelana dan tempat pemijak yang direka cukup baik menawarkan keselesaan dan keyakinan. Dengan kawalan klac dan penggunaan gear yang tepat, prestasi jentera ini ketika menunggang bersama bebanan dan pembonceng tidak mengecewakan. Tahniah untuk ini!
Dengan sistem suntikan bahan api elektronik serta tangki yang besar, kami dapat merentasi perjalanan di pelbagai tempat pada jarak sekitar 320 kilometer. Jimatkan! CFMoto 650MT ditawarkan pada harga asas RM28,300 – cukup berpatutan untuk sebuah jentera bersesaran 650cc.
“KTNS kini memberi tumpuan untuk melebarkan pasaran buat jentera lebih daripada 250cc dan menyasarkan pertumbuhan kepada 50 buah pengedar pada tahun 2019. Dengan penambahan tersebut, para pengguna akan menikmati perkhidmatan lepasan jualan dan alat ganti dengan lebih baik,” kata En. Alan lagi.
Diharapkan kerjasama di antara KTNS Holdings dan CFMoto berterusan agar lebih banyak model dapat dan akan diperkenalkan kepada para pengguna motosikal di Malaysia. Apa yang perlu diutamakan ialah kualiti, alat ganti dan khidmat lepasan jualan yang baik. Pengguna motosikal kini lebih bijak dan lebih matang. Jangan hilangkan kepercayaan mereka. RR
Spesifikasi
Enjin: | dua silinder, 4 lejang, sistem penyejuk cecair. |
Sistem bahan api: | suntikan bahan api elektronik |
Kuasa maksimum: | 71hp pada 8,750rpm |
Tork maksimum: | 62Nm pada 7,000rpm |
Saspensi hadapan: | fork teleskopik 43mm jenis terbalik |
Saspensi belakang: | lengan ayun dengan penyerap hentak cantilever |
Tayar hadapan: | 120/70ZR 17 |
Tayar belakang: | 160/60ZR 17 |
Brek hadapan & belakang: | cakera 300mm / cakera 240mm |
Isi tangki: | 18liter |
Popular