Isu Terkini

Julai 2024

Pandu Uji / 7 April 2021

Indian FTR1200: Kebangkitan Indian Untuk Tembusi Pasaran Dunia

Kehebatan jentera Indian Motorcyle dalam perlumbaan AFT/American Flat Track tidak perlu dipertikaikan lagi. Selepas kira-kira 70 tahun menyepi, ketibaan jentera lumba FTR 750 ternyata berjaya menggerunkan pihak lawan dan dibuktikan dengan takhta tempat pertama selama dua tahun berturut-turut selepas muncul juara sebanyak 17 kali daripada 18 perlumbaan yang dianjurkan.

Pengeluar motosikal tertua di dunia ini kini memberikan khabar gembira buat para pencinta motosikal di seluruh dunia apabila memperkenalkan model jalanan yang dicipta berasaskan jentera juara, FTR 750 dari segi gaya dan kejuruteraan. Model asas FTR 1200 2019 dijual pada harga USD12,999 manakala model FTR 1200S pula bermula dari USD14,999 – bergantung kepada warna. Model ini dilancarkan buat tatapan umum di Pameran Motosikal Antarabangsa Intermot pada awal Oktober 2018.

Harley Davidson cuba melakukan sesuatu yang hampir sama dengan model ini menerusi XR1200 pada tahun 2008 lalu tetapi sayangnya ia tidak berterusan. Jentera Indian ini telah pun membuktikan keupayaannya dengan mendominasi perlumbaan litar lasak dua tahun berturut-turut. Dengan cogankata, Born on the Dirt, Built for the Street, Indian ternyata cukup yakin dengan prestasi keseluruhannya.

Saya amat bertuah kerana diberi kesempatan secara eksklusif untuk menguji kemampuan jentera pre-produksi ini di Pusat MN R&D lebih kurang enam minggu sebelum ia dilancarkan di Intermot. Model ini merupakan jentera sulung yang dilengkapkan dengan enjin sejukan cecair, DOHC, v-kembar yang bersesaran 1,203cc. Saiz gerek x lejangnya ialah 102 x 73.6mm yang menghamburkan kuasa maksimum setinggi 120bhp pada 8,250rpm dan 115Nm pada 6,000rpm.

“Enjin model ini sangat berbeza jika dibandingkan dengan model Scout dan boleh dikatakan ia adalah satu platform yang boleh terus dibangunkan oleh kami. Ternyata terdapat banyak peluang buat kami untuk lebih maju dengan keluarga model-model seperti ini. Amat mengujakan bagaimana kami dapat menghasilkan sesuatu yang amat berlainan daripada apa yang sedia ada seperti jentera Cruiser/Bagger/Tourer dengan terciptanya FTR1200 ini,” kata CEO Indian, Steven Menneto.

“Fokus kami bukan hanya untuk pasaran Utara America tetapi Indian adalah jenama global dan kami perlu menembusi pasaran Eropah dengan model-model hebat yang dikehendaki oleh para pelanggan di negara-negara tersebut,” tambahnya lagi.

Apapun, enjin serba baru yang dilengkapkan pada Indian ini pastinya mendapat sambutan hangat di America seperti popcorn, baseball dan pai epal dan di masa hadapan, akan dipermantapkan untuk pencinta motosikal di seluruh dunia – contohnya model yang bakal mencabar BMW R 1250 GS dan pengenalan kepada jentera jalanan tidak lama lagi. Ternyata Menneto dan pasukannya benar-benar berusaha gigih agar Indian bukan lagi hanya untuk sekelompok penunggang motosikal sahaja seperti sekarang ini.

Menurut Pegawai Kanan Bahagian Produk Antarabangsa, Ben Lindaman, projek untuk model FTR 1200 ini bermula pada tahun 2016 dengan menggunakan nama kod Project Apollo, hanya dua bulan selepas melancarkan jentera lumba FTR 750 – jadi, kedua-dua model ini sebenarnya telah dimulakan secara serentak.

Untuk melihat keberkesanan dan keupayaannya, FTR 1200 telah pun diuji pada jarak lebih daripada 1.6 juta kilometer dalam masa dua tahun. Sebagai rakan niaga kepada Polaris, jentera ini juga diuji di pusat R&D yang seluas 620 ekar. Anak syarikat Polaris, Swissauto turut bekerjasama dalam pembangunan jentera FTR 750 di ibu pejabat mereka di Burgdorf, Switzerland. Oleh itu, para penunggang uji dari Swissauto seperti Juan Bautista Borja (bekas pelumba GP500 Sepanyol) dan krew pasukan AFT yang menjadi johan dalam Kejuaraan Indian Motorcycle turut memainkan peranan sangat penting.

FTR 1200 dilengkapkan dengan kerangka keluli jenis trellis yang disepadukan pada casisnya dengan sub-kerangka belakang aluminium yang disempurnakan lagi dengan lengan ayun panjang dan penyerap hentak tunggal Sachs (boleh laras untuk model FTR 1200S). Pelananya setinggi 840mm memang sedikit sukar bagi mereka yang agak rendah manakala tempat duduk pembonceng juga dirasakan agak kecil. Apabila melompat ke atasnya, posisi menunggang agak ke hadapan yang membantu lebih bebanan pada bahagian depan jentera ini. Jesteru, ia menyebabkan tangan kita lebih selesa dan rasa ringan untuk mengendalikan Indian tersebut.

Perlumbaan di Atlanta pada tahun 2018.
Perlumbaan di Atlanta pada tahun 2018.

Dengan fork hadapan Sachs 43mm, jentera ini cukup sesuai untuk mengembara di pelbagai jenis laluan, lurus dan berselekoh. Tempat pemijak lebih ke depan daripada yang saya sangka, menjadikan posisi menunggang cukup relaks. Ketinggian kita juga membantu penglihatan yang jelas dan luas di hadapan kita. Kini, Indian FTR 1200 turut menjadi saingan untuk Ducati Monster 1200 kerana kedua-duanya boleh menjadi pilihan.

Sebaik sahaja enjin dihidupkan, bunyi yang terhasil daripada sistem ekzos 2-1-2 berderum dengan kuat dan pihak Indian perlu memperlahankan sedikit bunyi ini berikutan piawaian Euro 4 yang kini lebih ketat. Ducati ternyata memiliki enjin v-kembar terbaik buat masa ini kerana ia benar-benar sedap didengar. FTR 1200 didatangkan dengan tangki sebesar 13 liter yang terletak di bawah, berdekatan dengan pelana dan ini memberikan pusat graviti lebih rendah. Pada masa yang sama, rekaan ini jadikan ruang untuk kotak udara lebih luas – betul-betul di atas sepasang badan pendikit Mikuni bersaiz 60mm. Jadi FTR ini memiliki sifat lebih lincah, tangkas dan mudah dikawal.

Tapak roda jentera ini juga panjang dan dikawal dengan cukup baik oleh tayar hadapan bersaiz 19 inci dan 18 inci di belakang yang dipasang pada rim 10 jejari seperti mana yang didapati pada jentera lumba Flat Track. “Pada mulanya, kami ingin memasang tayar bersaiz 19/19 inci seperti mesin lumba tetapi tidak dapat mencari tayar yang sesuai. Kemudian, kami cuba pula 17/17, namun begitu ia dilihat tidak sesuai dan apabila menggunakan tayar 19/18 inci, barulah segalanya sempurna, baik dari segi rupabentuk dan prestasinya,” kata Pegawai Kanan Rekabentuk, Rich Christoph.

Tayar-tayar ini ternyata memberikan daya tunggangan yang super stabil ketika memecut di atas lebuhraya mahu pun di jalanan berliku. Miringan boleh dilakukan serendah 43 darjah sebelum beberapa bahagian terkena jalan. Model baru ini juga mempunyai kelegaan tanah yang lebih tinggi berbanding Scout Bobber yang merupakan model Indian paling laris di USA – lebih popular daripada Indian Chieftain.

Dalam selekoh-selekoh pantas, kita dapat masuk dan keluar dengan kelajuan 110km/j tanpa rasa goyang pada bar hendal mahu pun tubuh badannya. Kelajuan ini dapat dilihat dengan jelas menerusi panel meter LCD (skrin sentuh) yang boleh berinteraksi dengan telefon pintar menerusi aplikasi Bluetooth.

Bar hendalnya yang lebar turut menyumbang kepada tahap pengendalian FTR yang mengagumkan lebih-lebih ketika berada di laluan berbonggol sewaktu saya menunggang di jalan lama menuju ke Minnesota. Kita juga mudah jatuh cinta pada GTR 1200 ini kerana pakej pengendalian yang mudah dan amat selamat.

“Kami tahu jentera ini bakal digunakan di jalanan biasa, atas lebuhraya dan di laluan berselekoh. Untuk itu, kami mempertingkatkan tahap penyerapan sistem saspensi agar ia lebih responsif malah FTR kini turut mampu menangani jalan-jalan berbatu, lasak dan kawasan berbonggol. Benar ia bukanlah sebuah dirt bike tetapi ia tetap bertenaga untuk jalan-jalan yang tidak terlalu lasak (offroad),” tambah Ben Lindaman.

Sepasang brek cakera Brembo 320mm yang dipadankan pada tayar hadapan cukup efektif untuk mengurangkan kelajuan jentera seberat 221kg ini (222kg –berat kering untuk model S). FTR tidak tiba-tiba ‘berdiri’ tegak walaupun sewaktu membrek dengan keras dan dengan adanya sistem ABS dan slipper clutch, perjalanan kita lebih lancar dalam semua jenis tunggangan sama ada yang santai mahupun lasak.

Untuk model FTR 1200S, ia disempurnakan dengan sistem RbW dengan tiga mod tunggangan iaitu Sport, Standard dan Rain. Sistem elektronik lain yang menanti para pemiliknya termasuklah Traction Control, Anti-Wheelie, Cruise Control, USB dan Cornering ABS. Untuk menjamin penggunaan gear berjalan dengan lancar, tuas klac model ini lembut, hanya satu jari sudah memadai untuk kita bergerak di dalam trafik sesak – tangan kita tidak akan kejang!

Apapun, jentera yang masih dalam progres mencari kesempurnaan tetap mempunyai beberapa kelemahan yang boleh diperbaiki. Antaranya ialah pelana yang keras, kunci utama agak susah diakses (meter berada di posisi yang tidak sesuai) dan tongkat sisi yang ketat. Model ini bakal menarik minat ramai dengan adanya pelindung sisi magnesium, lampu-lampu LED yang terkini.

Perkara pokok yang akan menjadi perbualan ramai ialah pada enjin 1,203ccnya yang langsung tiada gegaran walaupun ketika diperah mencecah 7,000rpm Cuma kita tetap dapat nikmati kekuatan enjin ini pada tempat pemijaknya ketika membuat pecutan. Beberapa minggu sebelum menunggang uji FTR ini, saya juga berkesempatan untuk merasai jentera sang juara Kejuaraan AFT, Indian FTR 750 di Goodwood Festival of Speed. Ketika teruja mengendalikan jentera hebat tersebut, terdetik di dalam hati, “Tolonglah Indian, letaklah enjin seperti ini pada jentera jalanan anda dengan kerangka yang lebih ringan. Walaupun begitu, enjin GTR 750 tetap untuk tujuan perlumbaan, model 1200 ini adalah yang paling hampir dengannya.”

Kini…saya lafazkan sekali lagi dalam hati, “Indian…tolonglah gunakan enjin ini pada model-model pengembaraan, café racer dan jentera streetfighter pula.” Tidak sangka, pada petang itu juga pihak Indian menyatakan hasrat mereka untuk hal yang sama.

Sememangnya Indian telah mara setapak lagi dengan lahirnya jentera ini sehinggakan beberapa kali terpaksa ‘mencubit’ diri sendiri untuk menyedari jentera hebat yang sedang dipacu itu adalah buatan Amerika, ini kerana hantaran kuasanya mirip benar dengan jentera-jentera dari Eropah – Itali.

Dengan menggunakan mod Sport, kita dapat pecutannya memang sungguh hebat dan mengujakan. FTR meluncur dengan gagah sekali walaupun pada tahap 2,000rpm tanpa rasa sebarang sentapan sehinggalah ke kemuncak kuasanya. Menunggang jentera berprestasi tinggi yang pertama dari Indian sememangnya menyeronokkan dan saya benar-benar kagum dengan kesungguhan mereka. Tahniah Indian, FTR 1200 terbukti satu ciptaan yang kini sudah bersedia untuk dipasarkan ke seluruh dunia. Apa yang saya katakan kini…..saya tidak sabar untuk melihat perkembangan seterusnya. RR

Laporan: Alan Cathcart
Kredit Foto: Indian Motorcycle dan David Shelleny

Isu Pada

November 2018

Spesifikasi

Enjin:4 lejang, DOHC, sistem sejukan cecair
Gerek x Lejang:102 x 73.5mm
Kuasa maksimum:120bhp pada 8,250rpm
Tork maksimum:115Nm pada 6,000rpm
Saspensi hadapan:fork teleskopik 43mm jenis terbalik
Saspensi belakang:Monotube
Brek hadapan & belakang:cakera 320mm / cakera 265mm
Tayar hadapan:120/70 ZR R19
Tayar belakang:150/80 R18
Tinggi pelana:840 mm

Popular

  • Model Baru

    EICMA 2024: Moto Morini Alltrhike 450: Makin Meriah Segmen Kembara

  • Warta Roda

    Cikgu Pencen Ubahsuai Motosikal Untuk Bersihkan Kampung

  • Dari Litar

    Honda HRC - Repsol: Penghujung Suatu Era

  • Dari Litar

    Jorge Martin Cipta Sejarah, Pelumba Pasukan Satelit Pertama Jadi Juara MotoGP!

  • Warta Roda

    Honda BigWing Melaka Dibuka Secara Rasmi

Artikel berkaitan

BMW R 1300 GS - Ia Satu Revolusi, Bukan Evolusi

Suzuki GIXXER 250 - Lincah & Padu

CFMOTO 700CL-X Sport: Model Akhir 3 Beradik

Scrambler Ducati Full Throttle - Buatkan Perjalanan Lebih Seronok

Harley-Davidson Vance & Hines KoB Racer - Juara Mutlak 2023

Ducati Hypermotard 950 RVE - Aura Fesyen & Teknologi

Aveta Ranger Max Explorer - Prestasi Luar Jangkaan

Aprilia SR GT 200 Sport - Sensasi, Unik & Gaya Moden

Disyorkan untuk anda
Model Baru

Ducati Perkenalkan Panigale V2 & Streetfighter V2 Baru di Milan

Seperti biasa, Ducati memilih pameran motosikal antarabangsa EICMA untuk melancarkan Panigale V2 dan Streetfighter V2 yang memiliki ketangkasan dan kemantapan prestasi untuk tunggangan di jalanan biasa mahupun di litar.

Model Baru

EICMA 2024: Fantic Caballero 700 Edisi Khas - Deluxe & Travel

EICMA, Fantic Caballero 700 baru telah diiperkenalkan dalam dua edisi khas iaitu Deluxe dan Travel.

Model Baru

EICMA 2024: Moto Morini Perkenalkan Model Ikonik, 3 1/2 Baru

Moto Morini meraikan ulang tahun ke-50 model ikonik yang dikenali sebagai '3 1/2' dengan memperkenalkan di pameran motosikal antarabangsa EICMA.

Model Baru

Scrambler Ducati Edisi 10° Anniversario Rizoma

Bersempena dengan ulang tahun ke-10 jentera Scrambler, Ducati telah berkolaborasi dengan pengeluar aksesori motosikal Rizoma untuk memperkenalkan Scrambler Ducati 10° Anniversario Rizoma Edition.